Sabtu, Ogos 04, 2012

Antara sebab mengapa KETTHA tidak pertimbangkan hasrat Selangor untuk ambil alih Syabas?



Kes mahkamah yang belum selesai adalah antara sebab kerajaan persekutuan tidak dapat mempertimbangkan permohonan kerajaan Selangor untuk mengambil alih operasi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam satu kenyataan, berkata kes mahkamah itu difailkan Syabas bagi menuntut pampasan kerana kerajaan Selangor tidak bersetuju menaikkan tarif air bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak 2009.

"Sebab kedua ialah kerajaan Selangor dan Syabas didapati melakukan keingkaran dan tuduhan kerajaan Selangor ke atas keingkaran yang dilakukan Syabas didapati tidak mencukupi untuk membolehkan kerajaan Selangor mengambil alih operasi Syabas berdasarkan klausa 32 perjanjian konsesi," kata KeTTHA dalam satu kenyataan di sini.


Kenyataan itu bagi membetulkan beberapa kenyataan yang dilapor dibuat Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa anggota Exco kerajaan negeri berhubung isu air di Selangor, selain memberi gambaran sebenar isu yang dibangkitkan pihak terbabit.

Pada 24 Julai lepas, portal Selangorku melaporkan Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Rodziah Ismail sebagai mendakwa kerajaan negeri itu mahu mengambil alih operasi Syabas kerana syarikat tersebut tidak mampu menguruskan bekalan air, namun tidak diluluskan kerajaan Pusat.

Sementara itu Selangor akui krisis air akan berlaku?

Kerajaan negeri Selangor tahu dan mengakui krisis air akan berlaku di negeri itu, Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 2014 di sebalik bertegas mengatakan bekalan air terawat mencukupi hingga 2019.

Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam kenyataan akhbar berkata, bukti kerajaan Selangor mengakui krisis air akan berlaku jika tiada sebarang langkah diambil untuk menanganinya, ialah apabila ia bersetuju melaksanakan lima daripada lapan projek mitigasi yang dicadangkan kerajaan pusat bernilai RM301 juta.


"Persetujuan kerajaan negeri Selangor untuk melaksanakan projek-projek itu menunjukkan kerajaan negeri sememangnya mengakui krisis air akan berlaku pada tahun 2014 jika tiada sebarang langkah diambil untuk menanganinya.

"Ini menunjukkan bahawa pendirian kerajaan negeri Selangor yang mengatakan bahawa bekalan air terawat mencukupi sehingga tahun 2019, merupakan kenyataan yang tidak disokong oleh fakta," menurut kementerian itu.

Kementerian itu berkata, Kerajaan pusat sebelum ini bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM606 juta untuk melaksanakan lapan projek mitigasi itu bagi mengelakkan krisis air di tiga kawasan berkenaan memandangkan kerajaan Selangor tidak mengambil sebarang tindakan untuk memastikan loji-loji rawatan air di negeri itu membekalkan air terawat yang mencukupi.

Kenyataan kementerian itu bertujuan membetulkan beberapa kenyataan yang dibuat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beberapa Exco kerajaan negeri, termasuk Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Penyayang Dr Xavier Jayakumar serta anggota Parlimen Klang Charles Santiago sejak 23 Julai lepas mengenai masalah air di Selangor.


Kementerian itu juga berkata, kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa tidak ada keperluan catuan air dalam masa terdekat di Selangor bukan bermakna krisis air di negeri itu tidak akan berlaku pada 2014.

Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-isu Air Selangor yang dipengerusikan Muhyiddin membuat keputusan bahawa catuan air tidak perlu dilaksanakan pada masa ini kerana kedududkan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya secara keseluruhannya mencukupi, katanya.

Ini berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang memaklumkan kedudukan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya secara keseluruhannya masih terkawal, bagaimanapun terdapat beberapa kawasan yang dikenalpasti seringkali mengalami gangguan bekalan air.

Ini disebabkan rizab simpanan air yang sangat rendah iaitu secara puratanya 2.5 peratus sahaja berbanding paras optimum 10 peratus, menurut kenyataan itu.-UMO

Suara Politik
Taminsari



Tiada ulasan: