Jumaat, Ogos 10, 2012

Isu Negeri Selangorku: Cukuplah beri peluang untuk sepenggal sahaja?



Sebagai orang awam yang kurang faham soal transaksi ekonomi dan perniagaan, penulis terpanggil untuk menyentuh isu pengambilalihan hutang Talam Corporation Berhad sebanyak RM392 juta itu. Mungkin ramai yang bertambah pening dengan pelbagai pendedahan oleh Datuk Chua Tee Yong, Azwanddin Hamzah dan Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamad.

Apabila urusan pengambilalihan Talam dilakukan pada 2008, kita dimaklumkan bahawa kerajaan Selangor akan membuat penjelasan lengkap tentang urus niaga itu pada 2010, tetapi hingga kini, ia belum dilakukan. Itu belum lagi menyentuh soal tanah di Bestari Jaya yang sebahagiannya kawasan berair serta juga soal terlebih bayar lebih RM50 juta kepada Talam Corporation.

Kemudian apabila Tee Yong membuat beberapa siri pendedahan, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjanji akan memberi penjelasan kepada media, tetapi ini juga belum dilakukannya. Setelah itu kerajaan negeri Selangor mahu menggunakan lima juruaudit luar bagi membuat perincian urus niaga tersebut.

Soalnya, apa sudah jadi dengan juruaudit dalaman? Bagaimana pula dengan SELCAT?

Lebih mendukacitakan, Kumpulan Hartanah Selangor, Universiti Selangor dan Permodalan Negeri Selangor digunakan dalam tindakan pengambilalihan Talam. Malah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor turut terpalit sama. Soalnya, adakah tugas PKNS dan yang lainnya itu untuk menyelamatkan Talam Corporation? Memang sungguh hebat Talam Corporation hingga diberi layanan kelas pertama.

Penjelasan Tony Pua tentang isu itu dilihat sangat lemah dan menggambarkan kedangkalan fakta, sedangkan Yang Berhormat itu dianggap pakar ekonomi bagi DAP.


Malah tindakan penasihat Ekonomi Selangor, Anwar Ibrahim yang mendiamkan diri dalam isu ini juga amat menakjubkan. Anwar dilihat membiarkan Khalid terkapai-kapai kelemasan. Sedangkan Khalid ialah Menteri Besar tunggal dari PKR. Sungguh malang!

Pada penulis, kesemua itu memperlihatkan kelemahan tadbir urus parti pembangkang yang mentadbir empat negeri. Rakyat mahu melihat kehebatan mereka mentadbir negeri yang dikuasai mereka. Dahulu mereka puas menghentam kerajaan BN depan dan belakang dalam pelbagai isu dan menawarkan janji dan harapan baru, tetapi apa yang dapat dilihat setakat ini, harapan itu itu palsu dan pentadbiran menjadi huru-hara.

Lihatlah masalah bekalan air bersih yang tidak selesai di Kelantan, penebangan hutan di Gunung Inas di Kedah, pembangunan lereng bukit yang semakin parah di Pulau Pinang dan isu air di Selangor membabitkan kerajaan negeri dan Syabas.

Pelbagai isu yang melanda negeri-negeri dikuasai pembangkang telah membuka mata rakyat bahawa mereka mengamalkan 'cakap tidak serupa bikin'. Soal ketelusan dan pengurusan yang baik telah dikesampingkan. Itu belum lagi kita lihat janji-janji mereka yang belum ditunaikan.

Ramai yang sudah muak dengan retorik pembangkang dan ketidakupayaan mereka mentadbir. Cukuplah sepenggal melihat mereka 'bekerja'. Ada yang sudah tidak sabar-sabar untuk menghukum kesilapan mereka. Ingat, 'andai tidak tahu menari, jangan kata papan terjongkang-jongket'.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: