Ahad, Ogos 26, 2012

Apakah Nasharudin bakal senasib Hasan Ali?



Hayat politik bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dengan parti itu mungkin tidak berpanjangan apabila Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi gambaran bahawa PAS sudah tidak mengambil peduli lagi mengenai beliau.

Malah Abdul Hadi ketika ditanya mengenai pendirian PAS berhubung tindak-tanduk Nasharudin berkata, parti itu tidak kisah jika UMNO mahu menggunakan khidmat Ahli Parlimen Bachok tersebut kerana beliau sudah ditolak ahli akar umbi.

Beliau juga seolah-olah memberi gambaran Nasharudin kini sudah tidak penting kepada parti apabila menegaskan, Mesyuarat Lajnah Politik PAS memberi fokus terhadap perkara lebih besar berbanding isu bekas timbalannya itu.

Bagaimanapun Abdul Hadi berkata, kedudukan serta nasib pemimpin itu akan diputuskan Majlis Syura Ulama pada 9 September depan.

"Kalau UMNO nak tokoh yang sudah tidak dipilih lagi oleh ahli PAS dalam kepimpinan, kita tiada masalah. Kita tidak bincang isu Nasharudin hari ini kerana beliau bukan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Kita serahkan kepada Majlis Syura Ulama.

"Beliau ahli Majlis Syura Ulama dan terpulang kepada majlis syura untuk mengambil apa-apa langkah sewajarnya berhubung beberapa perkara tentang beliau baru-baru ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PAS, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali

Masa depan politik Nasharudin goyang apabila golongan 'Anwarinas' mempersoalkan gambar beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan ulama Arab Saudi di Mekah sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), baru-baru ini.

Lebih menambah kemarahan kelompok 'Anwarinas' apabila bekas Timbalan Presiden PAS tersebut menuntut partinya itu menyatakan pendirian sebenar berhubung penolakan Karpal Singh terhadap penubuhan negara Islam ala PAS dan hukum hudud sambil menggesa PAS keluar daripada pakatan pembangkang.

Dalam pada itu, Abdul Hadi juga seolah-olah menyifatkan Nasharudin yang lantang bersuara sebagai 'alat UMNO' apabila mendakwa pemimpin PAS atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengkritik parti tersebut dipergunakan UMNO.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: