Sabtu, Ogos 25, 2012

Bekas Timbalan Presiden Pas tidak keseorangan!



Seperti mana janji beliau untuk melakukan apa sahaja bagi mempertahankan agama Islam, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa menegaskan bersedia berdepan dengan Karpal Singh di mahkamah dalam isu beliau mendakwa Pengerusi DAP itu anti Islam.

Soal siapa betul, siapa salah biarlah mahkamah menentukannya. Apa yang lebih menjadi persoalan ialah pendirian Pas sendiri dalam berhadapan pertembungan antara Nasharudin dan Karpal ini.

Setakat ini, golongan pemimpin Pas yang dianggap daripada kelompok Anwarinas atau digelar sekular, dikatakan tidak menyebelahi Nasharudin, sebaliknya mereka ingin melihat Ahli Parlimen Bachok itu dihukum oleh parti kerana dianggap telah menggugat kerjasama dalam pakatan.

Bagi kelompok ini, mereka hanya mementingkan hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, tidak kira apa pun kedua-dua parti itu lakukan terhadap Pas.

Namun begitu, pemimpin-pemimpin Pas perlu diperingatkan mereka mungkin tidak menyenangi Nasharudin tetapi percayalah sebahagian ahli akar umbi masih utuh bersama bekas Timbalan Presiden Pas berkenaan.

Difahamkan, Nasharudin sendiri menerima sokongan yang cukup hebat daripada pemimpin dan ahli-ahli akar umbi. Mereka mahu Nasharudin istiqomah dalam perjuangannya demi masa depan orang Melayu dan umat Islam.

Penulis bukannya mereka-reka sokongan ini tetapi inilah hakikat berdasarkan pelbagai sumber yang diperoleh penulis.

Ada antara mereka, secara terang-terangan mempersoalkan ke mana arah perjuangan Pas dan apa benar perjuangan yang dibawa oleh parti itu.

Walaupun berbeza fahaman politik dengan UMNO, namun mereka tetap berpendapat bahawa penyatuan ummah dan memartabatkan agama Islam harus menjadi keutamaan dalam perjuangan Pas, bukannya begitu gelojoh memburu kuasa bersama-sama PKR dan DAP sehingga sanggup menggadaikan segala-galanya.

Atas sebab itulah, penulis melihat kepimpinan Pas kini berada dalam kedudukan tidak selesa. Mungkin ada di kalangan pemimpin Pas yang terus angkuh dengan mengecam Nasharudin dan menganggap kalau pun Nasharudin keluar daripada Pas, ia tidak akan menggugat parti itu.

Tetapi mereka juga harus faham bahawa ini adalah ujian kedua kepada Pas selepas pemecatan Datuk Dr. Hasan Ali, tidak lama dahulu. Jika sebelum ini Hasan dipecat kerana membuat kenyataan yang dilihat oleh kepimpinan Pas menyinggung perasaan PKR, kini mereka berhadapan pula dengan kenyataan Nasharudin yang dilihat boleh menjejaskan hubungan dengan DAP.

Jika Pas tidak berhati-hati dalam mengendali isu Nasharudin ini, mereka akan menanggung akibat yang amat buruk pada pilihan raya umum nanti.

Ini kerana pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi melihat Nasharudin tidak melakukan apa-apa kesalahan. Soal beliau dengan Karpal biar diselesaikan di mahkamah tetapi ketegasan beliau mempertahankan perjuangan Islam serta maruah Pas itulah yang menarik perhatian mereka.

Sebab itulah, ramai yang yakin Nasharudin tidak keseorangan dalam perjuangan ini biar pun beliau sudah tidak dibenarkan oleh Pas Kelantan mempertahankan kerusi Parlimen Bachok.

Bagi seorang yang berprinsip seperti Nasharudin, beliau tidak peduli itu semua, seperti juga Hasan, segala yang beliau lakukan adalah demi untuk perjuangan Islam dan demi menjaga martabat Pas daripada terus diperkotak-katikkan dalam pakatan pembangkang.

Tetapi di dalam Pas, ada sesetengah pemimpin parti itu yang tidak mempunyai aspirasi seperti kedua-dua insan berkenaan. Sikap politik kepartian dan begitu taksub untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) serta mengejar impian bagi memastikan Pas boleh menggantikan UMNO telah mengaburi perjalanan politik mereka.

Bagaimanapun puak-puak berkenaan perlu ingat seperti mana kata Nasharudin, "Pas tidak akan menang hanya dengan undi daripada ahlinya sahaja.''

Justeru, berhati-hatilah supaya Pas tidak menjadi sebuah parti yang paling rugi dalam muka bumi Allah ini kerana kita percaya Nasharudin tidak keseorangan dalam perjuangan murninya itu.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: