Ahad, Ogos 07, 2011

Isu serbu gereja - JAIS ada alasan kukuh!

Exco kerajaan Selangor bagi hal ehwal Islam, Datuk Dr Hasan Ali berkata Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya semalam kerana terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.

Menurut beliau, maklumat yang diterima mengatakan terdapat kehadiran orang Islam yang hadir pada majlis berbuka puasa di gereja berkenaan.

“Terdapat seramai 12 orang yang beragama Islam telah menghadri majlis tersebut. Tiada serbuan dan tiada tangkapan dibuat.

“Sebaliknya pemeriksaan dilakukan hanya selepas rundingan dengan pihak penganjur diadakan,” kata Dr Hasan dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, anggota penguatkuasaan Jais bersama anggota polis telah menjalankan pemeriksaan di bangunan gereja itu walaupun cuba dihalang oleh pihak penganjur.

“Penganjur utama yang dipercayai beragama Islam telah berunding selama hampir satu jam bersama ketua operasi agar pemeriksaan ke atas tempat dan individu tidak dilakukan sehingga majlis tersebut selesai,” katanya.

Beliau berkata pada majlis itu juga pihaknya dimaklumkan perkataan “Quran” dan “pray” diselitkan pada ucapan di majlis itu.

“Setelah majlis hampir tamat, pasukan penguatkuasa dan anggota polis telah membuat pemeriksaan meskipun terdapat cubaan bagi menghalang pemeriksaan dan melupuskan bahan bukti.

Larikan diri

“Pegawai penguakuasa Jais dan polis mendapati ada percubaan di kalangan peserta untuk melarikan diri melalui pintu belakang premis tetapi berjaya dihalang,” katanya.

Menurut Dr Hasan berdasarkan siasatan awal, 12 penganut Islam didapati terbabit dengan majlis itu dan mereka akan disiasat mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.

Seksyen itu memperuntukan mereka yang menghina Islam atau menyebabkan agama itu dipandang hina; mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam adalah melakukan suatu kesalahan.

Mereka yang disabitkan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Semua 12 mereka telah diarah untuk menghadirkan diri di bahagian penguakuasaan Jais untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, paderi kanan gereja itu, Daniel Ho dalam satu kenyataan akhbar berkata majlis makan malam yang diadakan dalam semangat 1Malaysia oleh Harapan Komuniti, sebuah NGO malam semalam bertujuan menawarkan bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik dan memerlukan.

Menurutnya, majlis itu juga bagi meraikan usaha NGO berkenaan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dalam beberapa projek komuniti, termasuk kerja-kerja amal dengan wanita dan kanak-kanak, mangsa HIV/AIDS dan penyakit lain.

Bukti serbuan JAIS berasas

Beberapa individu beragama Islam yang menyertai aktiviti keagamaan di sebuah gereja di Seksyen 13, Petaling Jaya, ketika pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat pemeriksaan malam kelmarin, hanya sebahagian kecil yang berjaya dikesan, manakala sebahagian besar golongan itu dipercayai menyertainya secara sembunyi atau ‘bawah tanah’.

Kebanyakan mereka terdiri daripada kaum Melayu dan golongan mualaf yang menyertai kumpulan berkenaan disebabkan kesempitan wang untuk menyara diri dan keluarga serta gagal mendapat bantuan daripada pihak berwajib.

Mereka menyertai kegiatan keagamaan berkenaan secara senyap-senyap di premis persendirian termasuk rumah kedai dan dewan komuniti, bukan saja di Lembah Klang, malah pergerakan ‘bawah tanah’ ini sudah berkembang di seluruh negara termasuk di Kelantan dan Terengganu.

Ia didedahkan sendiri seorang wanita Melayu yang mengikuti kumpulan itu sejak lebih setahun lalu, selepas dibelenggu masalah kewangan sehingga tidak mampu membiayai keperluan seharian.

Katanya, pendakwah kumpulan berkenaan membantu mereka dengan memberi seberapa banyak wang diperlukan dan selepas itu, mereka memujuk individu yang sudah diberi bantuan menyertai program keagamaan mereka.

Nampaknya Dr. Hasan Ali berseorangan dalam menangani isu ini. Atas ketegasan mempertahankan tindakan JAIS, beliau kini diasak kiri dan kanan oleh para penentang beliau baik dari dalam mahupun juga dari luar parti PAS! MB Khalid mahukan JAIS menyiapkan lapuran tentang serbuan tersebut dan akan membawa perkara ini untuk pengetahuan Sultan Selangor manakala PAS Selangor melalui Khalid Samad sendiri menuntut penjelasan dari Dr. Hasan Ali.

Demi memartabatkan Islam dinegara ini, tindakan tegas JAIS haruslah dipuji. Samada JAIS berada di bawah kerajaan BN atau kerajaan PR, yang pentingnya mereka menguatkuasakan undang-undang Islam. Pegawai-pegawai JAIS ini menjalankan tugas mereka kerana Allah swt dan ketegasan Dr.Hasan Ali mempertahankan tindakan mereka atas prinsip berani kerana benar. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

amri5205 berkata...

Hari ini adalah detik penentuan..adakah Datuk Dr Hasan Ali Exco Selangor dari PAS akan tunduk kepada desakan pemerintah berhubung isu periksa gereja utk bendung kes murtad ataupun meletakjawatan Exco Selangor dan PAS sebagaimana tindakan bekas Mufti Selangor Dato' Ishak Baharom yang meletak jawatan Mufti semasa era Dato' Seri Abu Hassan Omar dari UMNO berhubung isu 3 orang gadis melayu menyertai pertandingan ratu cantik pada 13 Jun 1997. Disepanjang zaman akan ada seorang pejuang yang mempertahankan kesucian agama Islam.