Isnin, Ogos 29, 2011

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri.


Semangat fitrah makin kurang dihayati ketika rai Aidilfitri

Ramadan dan Syawal datang silih berganti. Kehadiran dua bulan berkat ini sememangnya dinantikan umat Islam. Ramadan adalah bulan ujian dan Syawal membawa bersamanya perayaan Aidilfitri meraikan kejayaan umat Islam berjaya melalui ujian Ramadan.

Sesuai dengan namanya, Aidilfitri adalah perayaan bagi meraikan tuntutan fitrah anugerah Allah kepada seluruh umat manusia. Fitrah makan dan minum, berkasih-sayang, menghubungkan silaturahim, mencintai keharmonian melalui tradisi bermaaf-maafan, berhias-hiasan, dan kasih-mengasihi sesama manusia tanpa mengenal darjat, taraf dan bangsa.

Islam sesungguhnya adalah agama yang memelihara tuntutan fitrah manusia sehingga diwujudkan suatu hari istimewa untuk meraikannya. Menariknya, meraikan fitrah tidak akan menjejaskan kredibiliti iman seseorang, sebaliknya, meninggalkan fitrah dianggap suatu pengkhianatan besar terhadap agama.

Namun, berapa ramaikah daripada kita yang menyedari hakikat ini sedangkan inilah dia semangat fitrah yang seharusnya diketahui, dirai dan dihayati umat Islam semua lebih-lebih lagi di Aidilfitri yang mulia.

Allah menegaskan bahawa 'fitrah' adalah 'ketetapan Allah yang telah ditentukan kepada umat manusia sejak awal penciptaannya. Imam al-Ghazali, Ismail Raji al-Faruqi dan Sayed Naquib al-Attas adalah kalangan sarjana Islam yang membincangkan secara terperinci berkaitan fitrah dalam karya ilmiah mereka.

Secara umumnya, mereka menyimpulkan bahawa fitrah sebagai suatu potensi dalam diri manusia yang cenderung kepada nilai positif sejagat meliputi kecenderungan kepada kehidupan beragama dan nilai dipegang agama.

Perbincangan mengenai Aidilfitri, sewajarnya umat Islam merenung kembali sejauh manakah Aidilfitri diraikan dalam suasana menghayati fitrah. Pada hari ini, umat Islam bersuka-ria, bergembira, menikmati juadah enak, memakai pakaian baru, menghias kediaman, ziarah-menziarahi, bermohon maaf antara sanak saudara dan taulan, mengeluarkan zakat fitrah untuk disedekahkan kepada yang memerlukan.

Kesimpulannya, Aidilfitri adalah hari di mana nilai positif sejagat diraikan sebagai satu tuntutan agama. Adalah malang sekali andainya Aidilfitri semata-mata menjadi hari di mana kita membalas dendam terhadap nafsu makan dan minum yang dikekang di Ramadan yang lalu.

Berpakaian baru dan menghias kediaman sekadar menunjuk-nunjuk. Ziarah-menziarahi dan bermohon maaf sekadar suatu tradisi. Zakat fitrah, sedekah raya semata-mata kerana memenuhi tanggung-jawab peribadi dan sosial.

Mampukah semangat fitrah ini dihayati seandainya lebih ramai daripada kita memilih untuk duduk saja di rumah menonton rancangan menarik yang disajikan. Daripada sudut ekstrem, ada antara kita memilih memulakan puasa sunat seawal dua Aidilfitri sehingga menghalang budaya ziarah-menziarahi yang digalakkan di Aidilfitri.

Sesungguhnya, Aidilfitri adalah bukti rahmat Allah kepada umat Islam. Dari sudut sejarah, Allah menggantikan dua perayaan jahiliah kepada dua perayaan mulia iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Jadi sempena di hari yang mulia ini, saya mengambil kesempatan disini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua rakan-rakan bloggers yang jauh mahupun yang dekat dan juga pengikut-pengikut setia belantan.blogspot.com. serta pembaca dan pengulas yang budiman. Jika ada tersalah kata atau terkasar bahasa semasa saya berkarya di blog ini harap dapat kalian semua maafkan. Maaf Zahir Dan Batin.

Ikhlas dari
Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: