Rabu, Ogos 31, 2011

Salam Kemerdekaan : Kemerdekaan menuntut keinsafan anak bangsa !


Dalam suasana kemerdekaan yang disambut hari ini, orang Melayu yang berpecah belah, masih belum dapat ditautkan semula. Ini adalah suasana yang amat malang bagi bangsa Melayu kerana kedudukan mereka sebagai tulang belakang bangsa Malaysia. Bolehkan kita mengatakan bahawa orang Melayu sebagai masyarakat berwawasan sedangkan mereka sendiri terus berpecah belah.

Orang Melayu mempunyai sikap prejudis sesama sendiri. Daripada kata-kata, mereka dilihat tidak jujur sesama sendiri hanya disebabkan fahaman politik yang berbeza walaupun seagama. Di depan cakap lain, di belakang cakap lain. Hari ini puji, esok dikeji. Bila mereka bercakap di khalayak ramai orang mula melemparkan kata-kata mereka bercakap lain di mulut, lain pula di hati. Jika orang yang dihormati bercakap berbelit-belit, bagaimana ia boleh menjadi teladan kepada bangsa dan seagama. Inilah dilema orang Melayu hari ini.

Usaha mengisi kemerdekaan, tidak ada hadnya. Ia perlu diteruskan hingga kepada generasi akan datang walaupun ketika itu sejarah negara zaman silam sudah ditinggalkan jauh. Jika sejarah hari ini yang dijadikan sandaran, bermakna bangsa Malaysia hanya melihat kepada pergolakan bangsa Malaysia yang berlaku di depan mata kita hari ini.

Itulah sebabnya dalam apa keadaan sekali pun, apabila tiba bulan kemerdekaan nama-nama pemimpin negara bermula daripada Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi akan disebut kerana setiap mereka mempunyai peranan membina bangsa dan negara.

Begitu juga dengan pemimpin hari ini dan mereka yang akan mewarisi pimpinan negara pada masa akan datang, tetap disanjung. Setakat ini, semua pemimpin yang menerajui negara mempunyai jasa kepada negara berasaskan kepada waktu dan ketika pentadbiran mereka. Semua mereka menyambung tugas menyedarkan rakyat supaya memahami erti kemerdekaan.

Bagaimana keadaan negara pada 50 tahun akan datang. Dari segi fizikalnya, kita yakin Malaysia akan lengkap serba serbi. Isunya ialah bagaimana pemikiran rakyat Malaysia pada 2057 nanti, apabila negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-100 tahun nanti.

Setakat ini, sejarah menyaksikan betapa kepemimpinan Umno masih berjaya menerajui perjuangan mencapai kemerdekaan dan mengurus cabaran kemerdekaan. Untuk 50 tahun akan datang, pastinya ia bermula hari ini.

" 1 Malaysia Menjana Tranformasi "

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang ke-54 dan Salam kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: