Sebenarnya ini adalah satu persoalan yang mudah untuk dijawab oleh Ustaz Haji Hadi Awang berkenaan dengan isu murtad ataupun di panggil irtidad / riddah jika mengikut enakmen kesalahan jenayah syariah ( hudud dan qisas ) Terengganu 2002 dan enakmen undang-undang kanun jenayah syariah ( II ) 1993 ( Hukum Hudud ) Kelantan.
Tetapi mengapa Haji Hadi masih berdiam diri mengenai isu murtad ini sehinggakan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasarudin Hasan sendiri yang mempertikaikan kenapa Pas Pusat mengambil masa begitu lama untuk menyatakan pendirian rasmi mengenai isu murtad tersebut.
Sambil menegaskan bahawa masalah murtad adalah isu akidah yang melepasi batas sempadan politik, Nasarudin sekali lagi mendesak agar pucuk pimpinan parti itu membuat pendirian rasmi mengenai isu tersebut. Beliau berkata, akidah adalah soal masa depan ummah yang akan dihisab diakhirat kelak dan perlu ditangani oleh seluruh umat Islam dinegara ini, khususnya yang diamanahkan menjadi pemimpin!
Dalam kenyataan terbaru Haji Hadi baru-baru ini mengatakan bahawa, " UMNO tidak layak mempertahankan Islam kerana tidak berwajah Khalifah Umar yang melawat gereja dan bersembahyang apabila tiba waktunya, kerana Umar mendirikan sembahyang maka dengan sendiri mendirikan masjid, sedang UMNO mendirikan masjid tetapi tidak semestinya mendirikan sembahyang. Mereka boleh berhimpun untuk membincangkan agenda negara dengan meninggalkan sembahyang, sedangkan Saidina Umar tidak memisahkan sembahyang dengan urusan negara."
Kesimpulannya, Haji Hadi berkata kenyataan media milik UMNO dalam isu gereja lebih bersifat apa yang disebut oleh Imam Ali K.W. “ Ucapan yang zahirnya benar , tetapi matlamatnya kebatilan “. Ianya dengan bermatlamat untuk memancing undi melayu Islam yang buta al Quran, bagi pilihanraya umum ke-13 untuk meneruskan agenda warisan penjajah iaitu Islam yang terpimpin bukannya Islam yang memimpin.
Yang peliknya mengapa beliau hanya menyebut mengenai isu gereja sahaja dan tiada langsung menyentuh mengenai isu murtad! Mengapa ya? Mengapa PAS mula berlembut soal murtad dan akidah umat Islam. Apabila JAIS menyiasat kehadiran 12 orang Islam yang dipercayai sedang dimurtadkan, para pemimpin atasan PAS sekadar mengambil langkah "menyiasat sendiri" laporan bekas Pesuruhjaya PASnya di Selangor, Hasan Ali. Sama ada mereka tidak percaya lagi kepada cakap Hasan Ali atau sebaliknya.
Selama ini PAS cukup pantang mengenai soal Islam terutamanya yang dikaitkan dengan UMNO. UMNO dituduh dengan bermacam-macam tomahan bila menyebut mengenai Islam? Dikafirkan pun sudah, dicaci-maki dalam ceramah-ceramah seluruh negara sudah, didoakan pecat perut juga sudah. Kononnya UMNO tidak berjuang untuk Islam dan orang UMNO mesti ditentang. Tapi bila orang Islam cuba dimurtadkan di Selangor apa pemimpin PAS ini cakap sehinggakan pemimpin sayap kanan mereka sendiri mendesak pemimpin tertinggi PAS memgeluarkan kenyataan rasmi?
Penulis berpendapat mungkin isu murtad ini adalah sangat sensitif bagi Haji Hadi. Maka dengan sebab itulah beliau masih berdiam diri lagi sekarang dari menyebut hal-hal murtad ini. Kalau kita masih ingat Enakmen Hudud di Kelantan,1993 dan Enakmen Hudud Terengganu, 2002 mengisytiharkan bahawa orang Islam yang telah murtad dan menurut enakmen tersebut mereka ini patut dikenakan hukuman mati.
Untuk pengetahuan, Haji Hadi lah yang mempengerusikan jawatankuasa bagi menggubal Rang Undang-Undang Hudud berkenaan dan juga pemimpin PAS yang lain, mengisytiharkan bahawa orang Islam yang menolak Rang Undang-Undang itu adalah murtad dan menurut Enakmen tersebut mereka ini patut dikenakan hukuman mati.
Beliau jugalah Ahli Parlimen daripada PAS pada ketika itu yang paling aktif secara berterusan cuba untuk membentangkan cadangan rang undang-undang ahli biasa di Parlimen bagi mengenakan hukuman mati atas kesalahan murtad.
Jika mengikut Enakmen Hudud di Kelantan dan Terengganu, adakah 12 orang Islam yang sedang ‘dimurtadkan’ dalam pemeriksaan JAIS baru-baru ini di sebuah gereja bakal dikenakan tindakan atau dikenakan hukuman ‘bunuh’ jika mereka disabitkan dengan kesalahan dan tidak mahu bertaubat walaupun undang-undang syariah Selangor tiada memperuntukkan hukuman yang sedemikian!
Mungkin Haji Hadi memikirkan apabila beliau bersuara mengenai isu murtad yang pernah menjadi ‘senjata politik’ beliau pada suatu ketika dahulu, beliau takut akan kehilangan satu undi daripada pengundi-pengundi Kristian! Jadi untuk selamat, beliau mengambil keputusan dengan berdiam diri sahaja walaupun tahu ‘senjata itu telah makan tuannya’ sendiri.
Nasihat penulis kepada para pemimpin PAS, kalau nak berpolitik dan nak duduki Putrajaya sekalipun janganlah sesekali mengadaikan maruah agama Islam, al-Quran dan Hadis. Ini adalah kerana masih ramai umat Islam diluar sana tidak akan biarkan perkara ini berlaku. Cukuplah pada bulan yang mulia ini orang bukan Islam semakin berani berlaku biadap terhadap umat Islam, tetapi janganlah kerana Putrajaya, agama hendak dilacurkan!
Seperti kata Nasarudin Hasan yang turut mengingatkan bahawa murtad kini menjadi ancaman serius kepada kemuliaan agama Islam di negara ini dengan data Mahkamah Syariah menunjukkan seramai 863 individu Islam telah memohon untuk menukar status agama mereka sejak 2000 hingga tahun lalu. Masalah murtad adalah isu akidah yang melepasi batas sempadan politik, maka sama-samalah kita fikirkan. Wallahuallam.
Suara Politik
Taminsari
1 ulasan:
ulasan bernas, tq
Catat Ulasan