Ahad, September 13, 2015

Ribut, petir punca tragedi di Masjidilharam Mekah?


Petir menyambar salah sebuah kren sebelum ia tumbang menghempap salah satu tiang di masjid sebelum jatuh menimpa Mataf. 

DUBAI 12 Sept. - Insiden sebuah kren tumbang yang mengakibatkan 107 orang terbunuh di Masjidilharam semalam dipercayai berpunca akibat petir dan angin kencang, lapor pihak berkuasa Arab Saudi.

Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Pertahanan Awam, Jeneral Suleiman al-Amr berkata, hujan lebat, petir dan angin kencang dengan kelajuan luar biasa menyebabkan banyak pokok tumbang, panel jatuh dan sebuah kren tumbang.

Suleiman menerusi satu kenyataan yang disiarkan dalam laman sosial Twitter, berkata, angka kematian mungkin meningkat dan kebanyakan 238 mangsa yang cedera hanya mengalami cedera ringan.

“Sebanyak 15 pasukan mencari dan menyelamat telah dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu membawa mangsa yang cedera ke hospital,” kata Suleimen.

KEDAAAN kren pembinaan yang terbalik di Masjidilharam Mekah yang dirakam awal pagi semalam. Insiden yang berlaku dalam hujan lebat dan ribut pada petang Jumaat lalu itu mengorbankan sekurang-kurangnya 107 jemaah haji dan mencederakan lebih 238 yang lain.

Malah, beberapa agensi berita turut melaporkan berlakunya petir di kawasan Masjidilharam sebelum kren tersebut tumbang.

Menurut laporan portal Saudigazette.com, hujan lebat dan banjir kilat yang melanda Mekah malam semalam merupakan antara yang terburuk sejak beberapa dekad yang lalu.

Katanya, hujan yang diiringi dengan angin kuat itu telah melanda seluruh kota suci umat Islam termasuk beberapa kawasan di pinggir bandar.

“Cuaca buruk itu mengakibatkan banyak kenderaan hanyut dibawa arus deras, pokok tumbang di jalan-jalan utama menyebabkan penutupan beberapa jalan raya sehingga menghalang pergerakan kenderaan untuk keluar masuk.

“Pasukan pertahanan awam, peronda keselamatan, polis trafik serta majlis perbandaran telah digerakkan untuk membersihkan kawasan serta memulihkan semula pergerakan lalu lintas di jalan-jalan utama tersebut.

“Malah, pihak majlis perbandaran juga telah menggerakkan semua anggota serta peralatan untuk membersihkan kawasan yang terjejas apabila lebih daripada 800 peralatan digunakan bagi membersihkan kawasan runtuhan,” kata portal tersebut. -UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: