Selasa, April 01, 2014

Semenanjung Korea tegang?


Korea Utara dan Korea Selatan hari ini saling berbalas tembakan meriam, memarakkan lagi perselisihan antara kedua-dua negara jiran itu sehingga memaksa penduduk Korea Selatan di beberapa buah pulau dipindahkan.

Menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Kim Min-seok, jirannya melepaskan sejumlah 500 tembakan meriam dalam satu latihan tentera dengan 100 daripadanya jatuh di perairan yang menjadi pertikaian kedua-dua pihak.

Korea Selatan pula membalas dengan 300 tembakan meriam yang menyasarkan Garisan Had Korea Utara.

Jelas Min-seok, tindak balas itu tercetus apabila Korea Utara melakukan latihan tembakan meriam ke arah Korea Selatan bagi mempertahankan sempadan perairannya.

Latihan ketenteraan oleh Pyongyang itu bermula pada pukul 12.15 tengah hari waktu tempatan, disusuli tindakan balas Korea Selatan tidak lama kemudian.

"Sebahagian peluru Korea Utara itu mengenai sempadan laut Korea Selatan semasa latihan berlangsung. Oleh itu, pihak tentera melakukan tembakan balas ke sempadan Korea Utara berpandukan protokol biasa," kata Min-seok.

Para penganalisis berkata, insiden itu berlaku sehari selepas Pyongyang mengancam untuk melakukan ujian nuklear baharu, sebagai isyarat kekecewaan Korea Utara dengan sekatan Amerika Syarikat (AS) untuk meneruskan rundingan pelbagai pihak membabitkan program nuklearnya.

Pyongyang melihat rundingan itu sebagai satu peluang untuk mendapatkan konsesi dan bantuan daripada komuniti antarabangsa.

"Saya tidak melihat ini sebagai satu percubaan untuk mencetuskan satu perbalahan secara serius.

"Tindakan ini adalah cubaan Korea Utara untuk mengekalkan tekanan bagi meneruskan satu rundingan nuklear," kata seorang profesor Universiti Pengajian Korea Selatan, Yang Moo-jin di Seoul.

Korea Utara sebelum ini, seperti biasa menguar-uarkan tentang latihan tembakan meriamnya dengan memberitahu Korea Selatan terlebih dahulu serta mengeluarkan larangan provokatif belayar dan terbang.

Pada 2010, Korea Utara melancarkan serangan ke atas Korea Selatan dengan melepaskan berpuluh-puluh tembakan meriam ke Pulau Yeonpyeong, yang menempatkan kira-kira 1,000 tentera Korea Selatan, berhampiran sempadan Laut Kuning, yang menjadi pertikaian kedua-dua negara.

Dua anggota marin Korea Selatan maut dalam kejadian itu, sementara 15 yang lain serta tiga penduduk awam cedera. - AFP

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: