Sabtu, November 23, 2013

Kes liwat : Anwar tak puas hati Shafee kekal ketuai pendakwaan?


Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan pelantikan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan pendakwa raya bagi kes liwat melibatkan Anwar Ibrahim, sah di sisi undang-undang.

Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif memutuskan demikian selepas menolak rayuan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Sehubungan itu, rayuan pendakwa raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, akan didengar di Mahkamah Rayuan selama dua hari bermula pada 11 dan 12 Disember ini.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Seri Abu Samah Nordin.

Mahkamah Rayuan pada 18 September lalu mengekalkan pelantikan Muhammad Shafee mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan tersebut selepas menolak permohonan pihak pembelaan untuk menggugurkan peguam terkemuka itu.

Hakim Md. Raus dalam keputusannya menyatakan, Mahkamah Rayuan betul ketika memutuskan pelantikan Muhammad Shafee mengendalikan rayuan tersebut adalah sah di sisi undang-undang.


Pelantikan Muhammad Shafee selaku pendakwa raya dalam rayuan itu dibuat berdasarkan peruntukan dalam Kanun Tatacara Jenayah (CPC) iaitu Seksyen 376(3) dan Seksyen 379 serta Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Kuorum itu bersetuju dengan Mahkamah Rayuan bahawa Seksyen 378 CPC yang menyatakan hanya pendakwa raya, timbalan pendakwa raya kanan atau timbalan pendakwa raya boleh bertindak dalam rayuan jenayah, tidak harus dipencilkan daripada Seksyen 376(3) dan Seksyen 379.

Seksyen-seksyen itu melengkapi antara satu sama lain kerana Seksyen 379 memberi kuasa kepada pendakwa raya melantik seorang peguam mengendalikan kes jenayah.

Seksyen 376(3) menyatakan pendakwa raya boleh melantik mereka yang layak sebagai timbalan pendakwa raya.

Sehubungan itu, panel tersebut berpuas hati bahawa persoalan pertama yang dibangkitkan oleh Anwar berhubung kesahihan pelantikan Muhammad Shafee berdasarkan peruntukan berkenaan, tiada merit.

Kuorum berkenaan turut mendengar penghujahan peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar berhubung kedudukan Muhammad Shafee sebagai saksi yang berpotensi dalam kes itu kerana keterangannya pernah direkodkan oleh polis ketika perbicaraan berlangsung di Mahkamah Tinggi.

Karpal dalam hujahnya menyatakan, Muhammad Shafee merupakan saksi material dalam kes liwat kerana beliau berada di kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak ketika Mohd. Saiful Bukhari datang menemui Perdana Menteri (ketika itu Timbalan Perdana Menteri).

Walau bagaimanapun, panel tersebut tidak bersetuju dengan hujah peguam bela kerana Muhammad Shafee tidak pernah dipanggil sebagai saksi sehingga perbicaraan selesai walaupun beliau pernah ditawarkan sebagai saksi pembelaan.

Oleh yang demikian, mahkamah berpuas hati tiada bukti bagi menyokong hujah pembelaan bahawa pelantikannya sebagai pendakwa raya dalam rayuan itu akan mewujudkan konflik kepentingan.

Pada 9 Januari tahun lalu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah melepas dan membebaskan Anwar selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Mohd. Saiful Bukhari selain tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti asid deoksiribonukleik (DNA).

Anwar, 66, didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: