Rabu, Ogos 11, 2010

Awas Jerat Hotel : Bufet Ramadan!

Pengusaha hotel yang belum memiliki sijil halal dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan terma bufet Ramadan atau berdepan risiko diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, bufet Ramadan merupakan perbahasaan halal dan mereka yang menyalahgunakan terma ini boleh dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Menurutnya, umat Islam juga digalakkan supaya hanya berbuka puasa atau menganjurkan majlis berbuka puasa di hotel yang disahkan halal oleh Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri.‘‘Sehingga 9 Ogos lalu, sebanyak 22 hotel dan 51 dapur hotel di sekitar Wilayah Persekutuan diberikan pensijilan halal oleh Jakim.

“Dari Mei hingga Julai lalu pula, Jakim telah menerima permohonan daripada sembilan hotel. Empat telah diluluskan manakala lima lagi dalam proses,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.Wan Mohamad berkata, kesedaran pengusaha hotel mengenai kepentingan sijil halal semakin meningkat kebelakangan ini.

“Pada 9 Ogos sahaja, Jakim menerima permohonan daripada 10 buah hotel dengan dua daripadanya telah selesai bagi proses dokumentasi manakala lapan lagi dalam proses semakan dokumen.

“Kempen 1Malaysia 1Halal pada 6 hingga 8 Ogos di Johor Bahru menerima kunjungan wakil dari 50 hotel yang menghadiri taklimat mengenai pensijilan halal.“Hal ini menunjukkan kesedaran yang semakin meningkat di kalangan pengusaha hotel,” katanya.

Untuk senarai terkini, sila lawati laman Portal Halal Malaysia. Klik di sini

Kepada yang suka berbuka di luar tu diharap dapat menyemak dahulu samada restoran hotel yang anda pergi itu ada mendapat sijil HALAL dari pihak JAKIM. Jakim juga diminta meningkatkan pemantauan bagi memastikan istilah itu ( bufet Ramadan ) tidak digunakan sewenang-wenangnya oleh pihak hotel.

Sebagai umat Islam, kita harus memastikan makanan yang dimakan itu halal lagi bersih kerana ia akan menjadi darah daging dan seterusnya penentu kepada kehidupan seseorang itu. Alangkah ruginya, setelah menahan lapar dan dahaga sepanjang hari dan apabila tiba waktu berbuka mengambil makanan yang tidak diketahui status halal.
Wallahuallam.

Sumber gambar : blog rbf

Suara Politik
Taminsari

4 ulasan:

wasabi berkata...

Salam ramadan..

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menjelaskan jumlah 244 hotel halal seperti mana didakwa oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) disifatkan sebagai angka yang tidak pasti kesahihannya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, apa dimaksudkannya itu berkaitan dengan pihak yang bertindak mengeluarkan sijil halal bagi kesemua hotel berkenaan sama ada ia daripada pihak berkuasa agama atau syarikat-syarikat swasta.

Beliau berkata, buat masa ini kerajaan hanya mengiktiraf sijil halal yang dikeluarkan oleh pihak Jakim atau Jabatan Agama Islam Negeri (Jain).

''Saya tidak pasti apakah asas MAH menyatakan 244 hotel di negara ini telah menerima sijil halal. Adakah mereka mendapat sijil halal daripada pihak berkuasa agama atau syarikat swasta?

''Namun saya cukup gembira sekiranya hotel-hotel ini mendapat sijil daripada Jakim atau Jain tetapi persoalannya adakah mereka ini benar-benar mendapat sijil halal daripada pihak berkuasa agama?'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden MAH, Datuk Mohd. Ilyas Zainal Abidin bahawa 244 hotel telah mempunyai sijil halal dan ia melebihi daripada apa yang dinyatakan Jakim.

Sijil halal itu diperoleh daripada Jakim, Jain, Majlis Agama Islam Negeri (Main) dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

Mohd. Ilyas berkata, MAH yang mewakili 552 hotel lima bintang menjangkakan jumlah hotel yang memiliki sijil halal lebih tinggi ekoran data 244 hotel itu diperoleh dalam tempoh tiga jam semalam.

Wan Mohamad berkata, beliau terpaksa bertegas dalam isu tersebut kerana menjadi tanggungjawabnya memastikan ibadah berbuka puasa dibuat di premis-premis yang mendapat pengiktirafan halal daripada pihak berkuasa agama.

''Saya bukan berniat mahu mempersoalkan angka ini tetapi saya juga bertanggungjawab dalam memastikan ibadah puasa umat Islam kita tidak cacat kerana berbuka di premis yang meragukan,'' katanya lagi.

Beliau sekali lagi meminta umat Islam mendapatkan senarai terkini hotel yang telah memperolehi sijil halal sama ada daripada Jakim atau Jain.

Hanya senarai itu sahaja katanya boleh diterima pakai sebagai hotel yang telah mendapat sijil halal.

Beliau turut memberitahu sekiranya hotel itu bersifat tempatan, sijil halal akan dikeluarkan oleh Jain tetapi jika hotel tersebut bersifat berangkai sijil halal dikeluarkan oleh Jakim.

''Begitu juga hotel antarabangsa. Walaupun ia berada di negeri-negeri dan bukan Kuala Lumpur, sijil halal tetap akan dikeluarkan oleh pihak Jakim,'' katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai senarai hotel yang mendapat sijil halal boleh melayari laman web www.halal.gov.my.

''Mereka juga boleh berhubung terus dengan Jain bagi hotel di peringkat negeri,'' katanya lagi.

wasabi berkata...

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini mengesahkan terdapat empat lagi hotel di negeri ini yang telah mendapat pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Empat hotel tersebut ialah Hotel Hilton Petaling Jaya, Cyberview Lodge Sdn. Bhd., Hotel Empress Sepang dan Hotel Impian Morib.

Ini bermakna terdapat 17 hotel yang mempunyai sijil halal di Selangor buat masa ini.

Pegawai Perhubungan Awam JAIS, Nurhamizah Othman berkata, pengesahan mengenai empat lagi hotel ini baru diperoleh dari Unit Halal, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JAIS.

Beliau berkata, enam lagi hotel di negeri ini masih di peringkat pertimbangan.

"Kami berharap pengusaha hotel yang masih belum memohon pensijilan halal dari Jakim dan JAIS agar tidak menggunakan perkataan Bufet Ramadan yang boleh mengelirukan umat Islam.

"Pihak kami juga memohon agar umat Islam sentiasa peka dan teliti dengan penawaran bufet Ramadan yang dibuat oleh hotel-hotel yang hanya berkepentingan untuk meraih keuntungan di bulan mulia ini,'' katanya.

Ujar beliau, umat Islam yang ingin mendapat maklumat lanjut berkaitan hotel halal di Selangor boleh melayari laman web JAIS iaitu www.jais.gov.my.

Semalam, Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi memberitahu, hanya 13 hotel di Selangor telah mendapat pengesahan halal dari JAIS dan Jakim.

Hotel tersebut ialah Seri Malaysia Bagan Lalang, Pan Pacific KLIA, Crystal Crown Petaling Jaya, The Summit Subang USJ, De Palma Shah Alam, De Palma Ampang, De Palma Sepang dan De Palma Kuala Selangor.

Turut memiliki sijil halal ialah Holiday Villa Subang, Residence Uniten, Grand Bluewave Shah Alam, Armada Petaling Jaya dan Concorde Inn KLIA.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan umat Islam di Selangor agar sensitif dengan status halal hidangan berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan ini terutama jika berbuka di hotel.

Beliau berkata, hanya hotel yang dapurnya telah disahkan halal oleh JAIS dan Jakim boleh diyakini bebas daripada penggunaan bahan-bahan mentah yang tidak halal dan meragukan serta jaminan kebersihan penyediaan dan pengendalian mengikut hukum syarak.

wasabi berkata...

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memaklumkan kepada semua 34 ketua perwakilan negara Islam di Malaysia mengenai senarai hotel yang mendapat sijil halal di sekitar Wilayah Persekutuan.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, pihaknya telah mengeluarkan pekeliling kepada kesemua negara Islam berkenaan melalui pejabat kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi mereka bermula semalam.

‘‘Antara perkara penting dalam pekeliling tersebut, Jakim memaklumkan kepada kesemua kedutaan berkenaan bahawa Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) merupakan badan kerajaan yang diberi tanggungjawab bagi mengeluarkan sijil halal di Malaysia,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Langkah tersebut merupakan tindakan terbaru Jakim untuk memaklumkan kepada semua umat Islam sama ada rakyat negara ini atau luar negara mengenai senarai hotel yang mempunyai sijil halal daripada badan itu dan Jain.

Wan Mohamad sebelum ini mengingatkan semua pengusaha hotel yang belum memiliki sijil halal supaya tidak menyalahgunakan terma bufet Ramadan atau berdepan risiko diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.

Wan Mohamad berkata, bufet Ramadan merupakan perbahasaan halal dan mereka yang menyalahgunakan terma ini boleh dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Sehingga kini, sebanyak 22 hotel dan 51 dapur di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diberikan pensijilan halal Malaysia oleh Jakim.

Wan Mohamad berkata, di dalam pekeliling itu pihaknya turut menggalakkan para perwakilan supaya memilih hotel-hotel yang disahkan halal oleh Jakim dan Jain.

‘‘Bagi setiap penganjuran majlis keraian dan majlis berbuka puasa oleh pejabat kedutaan berkenaan, Jakim galakkan mereka mengadakannya di hotel yang mempunyai sijil halal sama ada daripada Jakim atau Jain,’’ katanya.

Wan Mohamad dalam pada itu berkata, tindakan Jakim itu semata-mata untuk melindungi ibadah puasa daripada menjadi cacat ekoran berbuka di tempat yang tidak memperoleh sijil halal daripada pihak berkuasa.

Unknown berkata...

Salam Perjuangan,

TAHNIAH, kerana atikel2 and mendapat maklum balas positif dari kalangan pengunjung. Kami juga begitu teruja membaca artikel2 yang disampaikan di dalam blog anda.

Untuk pengetahuan saudara, blog kami yang dahulunya diberi nama UNIT MEDIA WANGSA MAJU telah dibubarkan dan kini telah melakukan beberapa penjenamaan semula. Kami telah membuat keputusan untuk menukar blog kami kepada GELOMBANG WANGSA MAJU.

Nama GELOMBANG WANGSA MAJU ditubuhkan atas permintaan beberapa pengunjung setia yang mahu blog kami dikekalkan di samping semangat perjuangan kami untuk meneruskan agenda menidakkan Anwar Al Juburi serta barisan keparat beliau.

GELOMBANG WANGSA MAJU akan menjadi lebih kritis dan terus mengkritik pihak pembangkang secara konsisten. Pihak pemerintah juga tidak akan terkecuali dari kritikan dan teguran blog ini. Tidak ada satu pun parti politik yang akan terlepas pandang.

Wadah perjuangan blog ini akan menjadi lebih universal dan bebas sekalipun masih tertumpu kepada usaha menyampaikan mesej pada isu isu nasional dan khususnya isu isu tempatan berkisar Parlimen Wangsa Maju.

KAMI juga TIDAK LAGI TERIKAT DALAM MANA2 PARTI POLITIK sebaliknya bebas menumpukkan isu2 yang dirasakan wajar ditegur dan dikritik.

Oleh itu, Kami berharap agar anda dapat MENUKAR NAMA BLOG KAMI DARI UNIT MEDIA WANGSA MAJU kepada GELOMBANG WANGSA MAJU di dalam list blog anda agar tidak berlaku sebarang kekeliruan dari pihak anda mahupun sahabat2 kita yang lain..


SEKIAN,

UMNO Didahulukan...
BN Diutamakan...