Isnin, Ogos 23, 2010

Kemerdekaan menuntut keinsafan anak bangsa !

Mulai 1 Ogos lalu, negara memasuki bulan kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun. Ini adalah kali ke-53 negara menyambut ulang tahun kemerdekaan untuk memperingati tarikh keramat negara bebas daripada belenggu penjajah.

Walaupun bulan kemerdekaan sudah memasuki minggu ketiga, suasana kemerdekaan tidak pun dirasai, berbeza dengan suasana Ramadan, apatah lagi Aidilfitri. Ini mungkin kerana sudah terlalu banyak pesta di negara ini.

Sungguh malang kerana pada minggu kedua bulan kemerdekaan kita dikejutkan dengan kongres perniagaan Cina yang meluluskan 13 resolusi yang menyentuh hak serta keistimewaan orang Melayu seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek telah diminta menghentikan perbuatannya yang 'ala DAP' kerana ia hanya akan membangkitkan rasa sakit hati kaum Melayu di negara ini. Terbaru Soi Lek berkata, MCA tidak takut berkongsi pandangan dengan DAP dalam hal yang memberi keuntungan kepada masyarakat Cina.

Kemudian kita dikejutkan pula oleh penggunaan nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di beberapa masjid di Pulau Pinang, baru-baru ini. ‎"Ya Allah Ya Tuhanku, Kau selamatkanlah pemimpin kami Lim Guan Eng dan rakan-rakan kepimpinan kerajaan negeri," dan tiada doa kesejahteraan untuk Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abas.
(petikan Mingguan Malaysia 22 Ogos 2010).

Perkembangan itu amat mengejutkan kerana seolah-olah ada usaha pihak tertentu untuk mencemarkan nama Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di negeri ini. Penggunaan nama ketua menteri jelas mengingkari kuasa Yang di-Pertuan Agong seolah-olah ketua menteri pula menjadi ketua agama Islam! Malah yang menyedihkan apabila Mujahid Yusof Rawa (Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang) menuduh UMNO membuat fitnah dan pembohongan mengenai nama Guan Eng digunakan dalam khutbah Jumaat pada 22 Ogos 2010 dalam Malaysiakini, PAS mudah menuduh perkara itu sebagai fitnah dan bohong.

Sewajarnya kepimpinan PAS daripada Nik Aziz hinggalah kepada PAS di peringkat negeri menyiasat perkara ini dengan telus demi untuk menjaga kesucian agama Islam bukan membela pula Guan Eng. Kalau fitnah, sila saman saksi-saksi yang mendengar khutbah tersebut. Mereka dengar dengan telinga mereka sendiri. Ini bukan fitnah, kejadian ini memang berlaku. Beginikah cara Mujahid menjaga kesucian agama Islam di Pulau Pinang? Usah berbohong untuk melindungi DAP di Pulau Pinang di bulan yang mulia ini. Akuilah mana yang salah, bukan berpolitik taat setia secara membuta tuli kepada Guan Eng. Sedarlah, DAP ada agendanya yang tersendiri di Pulau Pinang. Sanggup orang Melayu dalam PAS dan PKR jadi talibarut dan pengkhianat kepada agama dan bangsa sendiri.

Sehari demi sehari berlalu tanpa sedikit pun rakyat merasai kemeriahan suasana bulan kemerdekaan. Pada malam 31 Ogos nanti, walaupun sambutan meriah akan diadakan di tempat terpilih ( jika diadakan ), namun belum pasti roh kemerdekaan dapat menyerap ke dalam jiwa bangsa Malaysia. Ramai yang datang untuk menyambut detik-detik kemerdekaan pada malam berkenaan, adalah semata-mata untuk menyaksikan persembahan pentas, menyanyi dan menari. Pada malam itu nanti ramai anak-anak remaja mendapat pasport daripada ibu bapa untuk keluar rumah dan balik hingga lewat malam dengan alasan untuk menyambut hari kemerdekaan.

Meskipun turut melaungkan seruan “Merdeka, Merdeka, Merdeka” apabila jam tepat menunjukkan pukul 12 malam pada 31 Ogos nanti, ia hanyalah laungan bergemuruh yang tidak ada bezanya dengan laungan pada sambutan tahun baru setiap tahun di hotel-hotel dan pusat-pusat hiburan. Bagi kumpulan bersemangat kebangsaan yang tebal, keadaan ini sangat membimbangkan mereka kerana menganggap terhakisnya semangat nasionalisme bangsa. Kumpulan ini menganggap masyarakat hari ini gagal mengagumi, apatah lagi menghayati sejarah. Sekiranya mereka dipilih sebagai pemimpin akan datang, ia akan mempercepatkan proses negara tergadai dan berlaku penjajahan baru oleh kuasa-kuasa besar.

Sikap kumpulan nasionalis ini berbeza dengan golongan berfikiran liberal. Mereka tidak bimbang kepada sikap generasi hari ini kerana menganggap ia adalah perkara biasa dalam tamadun manusia. Bagi golongan ini, apa yang mereka tahu ialah kebebasan bermakna rakyat sewajar diberi hak mutlak dalam segala bidang. Kumpulan ini memandang ke depan dan mahu rakyat menguasai ilmu tanpa perlu menoleh ke belakang. Bagi mereka, jika masyarakat tidak menguasai ilmu, mereka akan ketinggalan.

Pengertian kemerdekaan mempunyai semangat dan rohnya tersendiri. Penghayatannya juga berbeza daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Bagi seseorang yang berusia 70-an ke atas hari ini, mereka adalah kumpulan yang pernah hidup pada zaman Perang Dunia Kedua yang merasai pahit getirnya kehidupan pada zaman penjajahan British. Sebelum itu, mereka juga melalui pengalaman ketika pemerintahan Jepun, makan ubi kayu bakar dan bersembunyi di bawah tanah apabila diburu pengganas Komunis. Pengalaman mereka bersekolah, jauh beza daripada anak-anak zaman moden hari ini. Berkaki ayam hingga kaki keras berkematu, adalah perkara biasa.

Bagi golongan ini, sewaktu Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman melaungkan “Merdeka, Merdeka, Merdeka”, ia adalah seruan paling beremosi dan ramai yang mengalirkan air mata kerana mereka faham erti kebebasan.

Bagi mereka yang berusia 40 dan 50-an hari ini, kisah kehidupan zaman perang, pemerintahan Jepun dan penyeksaan hidup pada zaman Komunis, sudah mula menjadi cerita penglipur lara bila ayah atau datuk nenek menceritakan kisah lampau mereka sebelum ini. Kumpulan ini tidak dapat menggambarkan keadaan kehidupan zaman sebelum mereka, apatah lagi menyelami pengalaman yang dilalui datuk nenek mereka. Ketika ayah bercerita kisahnya menelaah buku di bawah lampu minyak tanah atau membeli nasi lemak dengan harga lima sen sebungkus, mereka hanya mendengarnya tanpa emosi dan simpati. Sukar bagi mereka mendalami keadaan itu yang menyebabkan perbualan ibarat percakapan antara itik dengan ayam.

Ketika tiba 31 Ogos setiap tahun, anak-anak muda hari ini juga tidak ketinggalan melaungkan ungkapan “Merdeka, Merdeka, Merdeka”, tetapi tidak siapa yang dapat membaca emosi mereka. Apakah mereka benar-benar faham erti kebebasan atau sekadar terikut-ikut dengan laungan untuk menggemakan suasana.

Anak-anak hari ini mempunyai cita-cita yang jauh berbeza daripada cita-cita dan pemikiran masyarakat pra dan pasca kemerdekaan. Keadaan ini berlaku kerana mereka terdedah kepada pelbagai pengaruh luar melalui pelbagai saluran dan media. Dengan kemajuan teknologi komunikasi dan telekomunikasi, anak-anak yang berusia belasan tahun, seterusnya mereka dalam lingkungan 30-an dan 40-an, mewarisi pemikiran moden. Mereka mungkin faham bahawa sambutan Hari Kemerdekaan adalah detik memperingati kejayaan negara yang berjaya membebaskan diri daripada belenggu penjajahan.

Disebabkan tidak pernah mengenal erti penjajahan, sama ada secara fizikal dan pemikiran, mereka tidak pernah menganggap mereka pernah dijajah. Pengalaman tidak pernah mengajar mereka penyeksaan hidup dijajah. Anak-anak hari ini tidak pernah merasa tidur dalam kerlipan pelita minyak tanah kerana setiap masa mereka membesar di dalam bilik berhawa dingin. Bagaimana mereka boleh memahami erti mandi di perigi, sedangkan mereka tidak pernah melihat perigi. Mereka hidup dalam zaman moden yang lama kelamaan menghakis semangat nasionalisme bangsa.

Realitinya, golongan muda hari ini mula tidak memahami erti sejarah kerana mereka belajar sejarah semata-mata untuk tujuan peperiksaan. Bagi semua bangsa Malaysia, mereka hanya akan memahami erti kemerdekaan sekiranya mereka menghayati erti keperitan hidup. Tidak salah meniupkan pemikiran serta jiwa merdeka kepada anak-anak bangsa kerana merekalah yang akan menyelamatkan negara daripada sebarang ancaman pada masa akan datang. Kemerdekaan negara akan hancur sekiranya rakyat berpecah belah.

Dalam suasana kemerdekaan yang akan disambut tidak lama lagi, orang Melayu yang berpecah belah, masih belum dapat ditautkan semula. Ini adalah suasana yang amat malang bagi bangsa Melayu kerana kedudukan mereka sebagai tulang belakang bangsa Malaysia. Bolehkan kita mengatakan bahawa orang Melayu sebagai masyarakat berwawasan sedangkan mereka sendiri terus berpecah belah. Orang Melayu mempunyai sikap prejudis sesama sendiri. Daripada kata-kata, mereka dilihat tidak jujur sesama sendiri hanya disebabkan fahaman politik yang berbeza walaupun seagama. Di depan cakap lain, di belakang cakap lain. Hari ini puji, esok dikeji. Bila mereka bercakap di khalayak ramai orang mula melemparkan kata-kata mereka bercakap lain di mulut, lain pula di hati. Jika orang yang dihormati bercakap berbelit-belit, bagaimana ia boleh menjadi teladan kepada bangsa dan seagama. Inilah dilema orang Melayu hari ini.

Usaha mengisi kemerdekaan, tidak ada hadnya. Ia perlu diteruskan hingga kepada generasi akan datang walaupun ketika itu sejarah negara zaman silam sudah ditinggalkan jauh. Jika sejarah hari ini yang dijadikan sandaran, bermakna bangsa Malaysia hanya melihat kepada pergolakan bangsa Malaysia yang berlaku di depan mata kita hari ini. Itulah sebabnya dalam apa keadaan sekali pun, apabila tiba bulan kemerdekaan nama-nama pemimpin negara bermula daripada Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi akan disebut kerana setiap mereka mempunyai peranan membina bangsa dan negara.

Begitu juga dengan pemimpin hari ini dan mereka yang akan mewarisi pimpinan negara pada masa akan datang, tetap disanjung. Setakat ini, semua pemimpin yang menerajui negara mempunyai jasa kepada negara berasaskan kepada waktu dan ketika pentadbiran mereka. Semua mereka menyambung tugas menyedarkan rakyat supaya memahami erti kemerdekaan. Bagaimana keadaan negara pada 50 tahun akan datang. Dari segi fizikalnya, kita yakin Malaysia akan lengkap serba serbi. Isunya ialah bagaimana pemikiran rakyat Malaysia pada 2057 nanti, apabila negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-100 tahun nanti.

Setakat ini, sejarah menyaksikan betapa kepemimpinan Umno masih berjaya menerajui perjuangan mencapai kemerdekaan dan mengurus cabaran kemerdekaan. Untuk 50 tahun akan datang, pastinya ia bermula hari ini. Wallahuallam.

Suara politik
Taminsari

Tiada ulasan: