Khamis, Ogos 19, 2010

Menjejaki Kontrak Sosial!

Apa itu Kontrak Sosial?

Isu “ Kontrak Sosial “ hangat di perdebatkan akhir-akhir ini oleh pelbagai pihak terutamanya dalam kalangan ahli politik. Masing-masing melihat dari sudut dan kaca matanya sendiri. Melihat pada senario politik sekarang, penulis tidak berapa pasti samada semua pihak menerima hakikat bahawa Malaysia ini berasal usul dari Tanah Melayu yang di perintah oleh raja Melayu.

Sebelum tahun 1511, kerajaan Melayu Melaka merupakan sebuah empayar Melayu yang terkenal di Nusantara, malah telah diiktiraf oleh kerajaan asing seperti Maharaja China, India, Parsi dan Arab. Mereka berdagang di Melaka sebagai pusat pertukaran barangan antara timur dengan barat. Negeri Melaka di perintah oleh seorang raja Melayu yang di bantu oleh seorang Bendahara, Temenggung, Laksamana dan Syah Bandar. Mereka mentadbirnya melalui undang-undang yang dikenali sebagai undang-undang Sultan Melaka.

Mengikut seorang penulis Cina, ada seorang penterjemah kepada Laksamana Cheng Ho dan seorang Muslim yang melawat gugusan pulau-pulau Melayu pada tahun 1451 telah menambah maklumat baru kepada pedagang Cina mengenai kerajaan Melayu Melaka dan raja Melayu yang memeluk agama Islam. Raja-raja Melayu mempunyai rakyat mereka sendiri yang dikenali dalam sejarah sebagai “ rakyat raja “.

Semuanya berubah apabila Portugis menyerang Melaka pada tahun 1511 dan raja Melayu yang memerintah terpaksa berundur. Melaka berubah tangan daripada Portugis kepada Belanda ( 1641 ) yang memonopoli perdagangan dengan raja Melayu Kedah dan raja Melayu Perak. Tidak lama kemudian, pada akhir abad ke-18, mulalah Inggeris memperkukuhkan kedudukannya dengan menubuhkan pengkalan angkatan laut di perairan Tanah Melayu untuk mengaktifkan perdagangannya dengan Raja-raja Melayu dan seterusnya mengambil alih kuasa daripada Belanda.

Raja-raja Melayu telah mengadakan perjanjian dengan wakil Inggeris seperti perjanjian memajak Pulau Pinang tahun 1786, Perjanjian Pangkor tahun 1874 dan lain-lain. Semua perjanjian untuk mendapat konsesi tanah dan perdagangan, dilakukan dengan Raja-raja Melayu. Semenjak tahun 1874, kerajaan Inggeris telah mengiktiraf hak ketuanan Melayu, perundangan dan adat resam Melayu. Perlantikan Residen dan penasihat Inggeris hanya sekadar untuk membantu Raja-raja Melayu dalam mengurus pentadbiran negeri, supaya lebih kemas dan tersusun.

Selepas Perang Dunia Kedua, kerajaan British telah melanggar perjanjian yang mereka buat dahulu apabila mereka memaksa Raja-raja Melayu dengan menyerahkan kuasa negeri masing-masing kepada kerajaan Inggeris dan menjadikan negeri-negeri Melayu sebagai tanah jajahan melalui perlembagaan Malayan Union. Penjajah British mahu membuka kerakyatan kepada pendatang asing berasaskan prinsip jus soli. Dengan itu Raja-raja dan bangsa Melayu telah kehilangan hak ditanah airnya sendiri.

Demi mempertahankan hak ketuanan Melayu dan amanah bangsa, orang Melayu bangun menentang Malayan Union sehingga melahirkan kongres Melayu pertama yang berlangsung dari 1 hingga 4 Mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Orang Melayu diseluruh Negara melalui perwakilan pertubuhan mereka telah membantah Malayan Union. Mereka berikrar mahu menghapuskannya dengan apa cara sekali pun.

Bagi mengukuhkan gerakan mereka, satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji percantuman semua pertubuhan Melayu yang hadir dalam kongres itu ke dalam satu pertubuhan tunggal yang akan dikenali kemudian sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ( UMNO ). Pertubuhan ini kemudiannya di rasmikan dalam Kongres Melayu Kedua di Istana Johor Bahru di bawah kepimpinan Dato’ Onn Jaafar pada 11 Mei 1946. Keadaan ini memaksa kerajaan British berunding dengan Raja-raja Melayu mengenai Malayan Union. Pada Februari 1948, kerajaan British bersetuju memansuhkan Malayan Union dan ditubuhkan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Dibawah kepimpinan Dato’ Onn Jaafar, UMNO telah berjuang untuk mengukuhkan ketuanan Melayu melalui semangan “ HIDUP MELAYU”. Walau bagaimanapun, semangat Dato’ Onn menjadi luntur apabila kerajaan British mendesak supaya UMNO perlu menerima pendatang asing di Tanah Melayu terutamanya orang Cina sebagai rakyat negeri ini. Tun Tan Cheng Lock, seorang pemimpin Cina yang berpengaruh di London telah menjalankan segala usaha supaya kerajaan British member ruang kepada kaumnya mendapat kerakyatan yang sah di Tanah Melayu. Bagi memenuhi kehendak semasa, Dato’ Onn telah membentangkan isu member kelonggaran kerakyatan dalam perhimpunan agung UMNO pada bulan Jun 1950, malah Dato’ Onn berura-ura hendak membuka keahlian UMNO kepada semua kaum di Tanah Melayu.

Perubahan sikap yang ditunjukkan oleh Dato’ Onn itu, telah mendapat tentangan hebat dari majoriti ahli UMNO. Beliau telah mengambil keputusan mengejut dengan meletak jawatan Yang Dipertua UMNO tetapi didesak oleh majoriti ahli UMNO supaya menarik balik perletakan jawatan itu. Mereka berarak ke rumahnya di Johor Bahru dengan menyatakan mereka berada di belakangnya. Dengan sebab itu Dato’ Onn kembali semula memegang jawatan Yang Dipertua UMNO. Akan tetapi ramai jawatankuasanya tidak bersetuju dengan kehendak Dato’ Onn hendak membuka keahlian UMNO kepada bukan Melayu kerana dasar UMNO adalah untuk orang Melayu sahaja. Sekali lagi Dato’ Onn meletak jawatan dan kali ini permohonannya itu diterima dan Tunku Abdul Rahman Putra mengambil alih tempatnya.

Dalam ucapan sulungnya, Tunku telah menegaskan bahawa beliau akan mempertahankan dasar UMNO, kerakyatan dan hak istimewa orang Melayu. Pemimpin MCA seperti Tun Tan Cheng Lock dan lain-lain telah menyertai parti Independence Malayan Party ( IMP ) yang baru ditubuhkan oleh Dato’ Onn. Pada masa ini, UMNO mendapat saingan yang hebat kerana Raja-raja Melayu dan menteri-menteri besar menyokong kepimpinan politik Dato’ Onn.

Semuanya menjadi berubah apabila pemimpin UMNO dan MCA di Kuala Lumpur dengan semangat berbaik-baik dan bersefahaman telah mengadakan satu pakatan kerjasama supaya kedua-dua parti politik itu dapat bergabung dan seterusnya dapat bertanding dalam pilihanraya bandaran Kuala Lumpur atas satu lambang Perikatan. Walaupun ada perasaan curiga antara satu sama lain, namun dengan kebijaksanaan Tunku, perasaan itu dapat di bending. Berdasarkan keputusan pilihanraya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur, Perikatan telah Berjaya memenangi Sembilan dari 12 kerusi yang dipertandingkan. Parti IMP pimpinan Dato’ Onn mendapat kekalahan teruk.

Hasil kemenangan parti Perikatan dalam pilihanraya ini mendorong pemimpin MCA mahu berunding dengan Tunku mengenai isu kerakyatan dan hak istimewa orang Melayu. Tunku telah bertolak ansur dan bersetuju menerima prinsip jus soli yang dituntut oleh pemimpin MCA. Tunku menerima tekanan hebat daripada ahli-ahli UMNO terutamanya UMNO Negeri Sembilan, tetapi Tun Abdul Razak telah Berjaya menggunakan kebijaksanaannya meredakan keadaan.

UMNO, MCA dan MIC telah mengukuhkan kerjasama dalam Perikatan sehingga bersetuju menyampaikan memorandum tunggal secara bersama kepada suruhanjaya REID. UMNO, MCA dan MIC telah bersetuju dalam memorandum itu mengenai perkara-perkara berikut:

1. Kerakyatan berasaskan prinsip jus soli sepertimana yang dituntut oleh MCA.
2. Mengekalkan hak istimewa orang Melayu
3. Kedudukan bahasa, kebudayaan dan agama

Itulah asas Kontrak Sosial yang dipersetujui oleh pemimpin Malaysia yang berjaya melahirkan Malaya Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Ramai anak muda sekarang mulai lupa kepada sejarah Negara dan bangsanya sendiri. Mereka kurang mengetahui bagaimana Negara kita ditubuhkan. Oleh kerana itu mereka mudah terpengaruh dengan sesetengah badan NGO yang member maklumat salah tentang fakta sejarah negara kita. Pada hari ini, ada generasi muda kita mempertikaikan isu-isu yang mereka tidak mengetahui sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai. Memang ada segolongan kecil masyarakat kita tidak berpuas hati dari dahulu sehingga sekarang. Sememangnya mereka boleh mencetuskan keresahan dan menjadikan Negara kita tidak aman. Adakah mereka gembira sekiranya perkara iti berlaku?

Sejarah dunia menyaksikan bahawa Negara kita ditubuhkan secara aman tanpa mencetuskan peperangan atau pemberontakan sepertimana yanag berlaku kepada beberapa buah Negara ketiga dunia. Negara kita ditubuhkan melalui semangat perpaduan yang melahirkan semangat toleransi antara kaum dan kepercayaan beragama. Ramai orang asing yang melawat Negara kita berasa kagum dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh rakyat Negara kita ini yang terdiri daripada pelbagai kebudayaan kaum dan kepercayaan beragama serta mengamal pelbagai bahasa.

Rahsianya terbongkar apabila mereka mengetahui bahawa orang Melayu dalam UMNO sanggup berkorban dan melupakan kepentingan mereka dalam politik sehingga sanggup melepaskan beberapa kawasan pilihanraya yang sepatutnya ditandingi oleh mereka tetapi telah diberi dengan sukarela kepada rakan kongsi politik mereka dalam parti MCA atau kepada rakan mereka dalam MIC. Malah yang lebih besar sekali ialah pengorbanan bangsa Melayu melonggarkan syarat kerakyatan beberapa kawasan pilihanraya yang sepatutnya ditandingi oleh mereka tetapi telah diberi dengan sukarela kepada rakan kongsi politik mereka dalam parti MCA atau kepada rakan mereka dalam MIC. Malah yang lebih besar sekali ialah pengorbanan bangsa Melayu melonggarkan syarat kerakyatan berasaskan jus soli yang mereka bangkang selama ini.

Sementara itu, kaum Cina dan India dalam MCA dan MIC menerima hakikat sejarah Negara ini dan bersedia secara sukarela, menerima dan mengakui hak keistimewaan orang Melayu semenjak turun temurun dan turut memperakui agama Islam sebagai agama rasmi negara ini. Sememangnya kedua-dua perkara ini menjadi mercu tanda kepada kewujudan Negara kita yang bernama Malaysia sekarang ini.

Setiap bangsa ada negaranya sendiri. Orang Cina ada negaranya di Tanah Besar China, manakala orang India ada negaranya yang bernama India. Keturunan Cina dan India yang lahir di negara ini dan menumpukan taat setia yang tidak berbelah bagi, mempunyai hak menjadi rakyat negara ini dan menikmatinya sebagai bangsa Malaysia.

Orang Melayu pun ada negaranya sendiri diTanah Melayu dan kemudiannya Malaysia. Agama Islam sudah menjadi agama orang Melayu semenjak kurun ke-14 lagi, malah kitab undang-undang Melaka yang memaparkan cara pemerintah yang berasakan kebudayaan Melayu dan undang-undang Islam sudah wujud dengan kedatangan Islam itu sendiri. Bagaimana hendak meminggirkannya? Bangsa Melayu berasa terjamin apabila Suruhanjaya REID mengekalkan kedudukan orang Melayu dalam perlembagaan Persekutuan dan menjadikan Islam sebagai agama rasminya. Pemerintahan Negara kita kekal sebagai sebuah negara beraja yang berasaskan demokrasi berparlimen . Ia bukan sebuah negara sekular dan bukan Negara teokrasi. Kita semua daripada keturunan Melayu, Cina dan India sudah menjadi bangsa Malaysia.

Apabila kita mahu kembali kepada sejarah dan asal usul Negara ini dan menerimanya dengan hati yang terbuka, malah merakamkannya secara rasmi dalam perlembagaan kita, itulah punca kejayaan kita sehingga dapat melahirkan sebuah Negara yang diiktiraf oleh dunia ketiga sebagai Negara maju. Itulah rahsia “ Kontrak Sosial “ yang diperkatakan selama ini.

Sejarah telah menyaksikan bahawa bangsa Melayu daripada pelbagai pertubuhan telah membantah Malayan Union. Bantahan itu dilakukan serentak melalui tunjuk perasaan secara aman di seluruh Negara. Mereka tidak bertindak di luar batasan undang-undang. Mereka menjemput ahli parlimen British menyaksikannya sendiri bantahan yang meluap-luap dalam kalangan orang Melayu. Orang bukan Melayu tidak menyertai tunjuk perasaan ini kerana mereka beranggapan bahawa negeri ini bukan negeri mereka. Walau bagaimanapun, mereka menyokong perjuangan UMNO menuntut kemerdekaan.

Sokongan ini mengerakkan pemimpin UMNO berunding dengan pemimpin Cina yang dikenali sebagai MCA, supaya turut sama dalam satu gerakan menuntut kemerdekaan daripada British. Kemudian MIC turut serta. Kaum Cina dan kaum India telah bergabung dengan bangsa Melayu menjadikan mereka bangsa Malaysia yang berjaya.

Pejabat Tanah Jajahan British berpuas hati kerana bangsa Melayu yang diwakili oleh UMNO sanggup bekerjasama dengan bukan Melayu dalam perikatan. Kerjasama itu telah dibuktikan melalui persetujuan bersama bangsa Melayu dan bukan melayu dengan mengemukakan manifesto dalam pilihanraya 1955 atas satu nama iaitu Perikatan. Manifesto tunggal ini telah berjanji hendak melaksanakan perkara-perkara berikut, jika Perikatan menang dalam pilihanraya 1955:

1. Menuntut kemerdekaan daripada British secara aman.
2. Mengekalkan hak-hak istimewa orang Melayu.
3. Memberi kerakyatan kepada bukan Melayu mengikut konsep jus soli.

Pengundi yang mewakili rakyat dan penduduk negara ini telah bersetuju dengan janji Perikatan dalam manifesto pilihanraya tahun 1955 dua tahun menjelang merdeka. Pengundi telah memberi kemenangan cemerlang kepada Perikatan sehingga mendapat memenangi 51 kawasan pilihanraya daripada 52 kawasan yang dipertandingkan. Ini merupakan satu petanda yang jelas bahawa rakyat negara ini bersetuju dengan formula yang dikemukakan oleh Perikatan.

Pejabat Tanah Jajahan British berpuas hati dengan semangat kerjasama dalam Perikatan dan bersetuju menyemak semula perlembagaan yang sedia ada pada masa itu. Kerajaan British dan raja-raja Melayu telah bersetuju menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi tujuan tersebut. Suruhanjaya ini dikenali sebagai Suruhanjaya REID.

Sekali lagi Perikatan telah menunjukkan semangat kerjasama yang padu apabila gabungan pertubuhan politik daripada bangsa Melayu, kaum Cina dan kaum India, telah bersetuju secara bersama menghantar memorandum tunggal kepada Suruhanjaya REID atas nama Perikatan. Memorandum itu menuntut antara lain supaya dimasukkan perkara-perkara berikut dalam Perlembagaan Malaya.

1. Salah seorang daripada Raja-raja Melayu di pilih dalam kalangan mereka menjadi ketua kerajaan.
2. Mengekalkan hak istimewa orang-orang Melayu.
3. Memberi kerakyatan mengikut prinsip jus soli.
4. Islam sebagai agama Persekutuan tetapi memberi hak kebebasan beragama kepada penganut agama lain dan mereka bebas menjalankan urusan keagamaan dan kebudayaan mereka.
5. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara tetapi bahasa dan kebudayaan lain-lain kaum, bebas mengamalkannya oleh kaum masing-masing.

Penulis juga berpendapat bahawa persetujuan bersama UMNO, MCA dan MIC yang diperakukan dalam manifesto pilihanraya dan memorandum Perikatan kepada suruhanjaya REID, merupakan asas sosial kontrak yang kita amalkan selama ini dengan jayanya. Berasaskan kepada formula inilah, BN telah menang dalam semua pilihanraya yang lalu dan terus memerintah Malaysia sehingga hari ini.

Parti-parti lain tidak boleh mendapat kemenangan dan membolehkan mereka memerintah kerana formula politik mereka tidak boleh diterima oleh rakyat negeri ini terutamanya fahaman perkauman yang sempit atau semangat keagamaan yang tidak bertapak dialam nyata. Sememangnya ada beberapa golongan yang tidak bersetuju dengan Perikatan atau BN tetapi bilangan mereka adalah sedikit pada masa lalu. Namun begitu, suara kebangkitan mereka sangat lantang dan mencemaskan. Mereka telah membuktikan dalam pilihanraya ke-12 pada tahun 2008 dimana mereka berjaya memenangi 5 negeri di semenanjung tanah air. Disamping itu juga mereka telah berjaya menafikan majoriti mudah 2/3 di Parlimen.

Setelah mendapat kemenangan, sedikit demi sedikit mereka cuba mempertikaikan perkara-perkara yang berkaitan dengan kontrak sosial seperti hak istimewa orang Melayu dan juga perlembagaan negara. Sesungguhnya penulis berasa sangat sedih kerana ada sekumpulan kecil masyarakat kita di Malaysia selepas 53 tahun merdeka, cuba mengubah landskap negara apabila mereka dengan berani tanpa menghiraukan perasaan “ tuan rumah “ mempertikaikan kedudukan agama dan hak keistimewaan orang Melayu dalam perlembagaan kita. Kesemuanya ini menampakkan kesannya begitu negatif sekali.

Suara sumbang daripada segelintir pertubuhan NGO yang membuat tuntutan supaya perlembagaan kita dipinda, diumpamakan seperti anai-anai menggigit tiang seri supaya bangunan itu runtuh. Penulis berpendapat bahawa majoriti suara rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan mereka. Sudah sampai masanya bagi semua rakyat Malaysia, terutama para pemimpin politik kita menghidup dan menyemarakkan semula semangat kerjasama melalui persefahaman dan toleransi sejati dalam kalangan semua kaum supaya rakyat hidup dengan aman dan damai. Berilah kerjasama dalam menjayakan
wawasan Perdana Menteri iaitu menerapkan Konsep 1 Malaysia dimana Rakyat didahulukan, Pencapaian di utamakan.

Dengan demikian, dapatlah pemimpin kita menumpukan sepenuh masa untuk memajukan bangsa Malaysia melalui pendekatan yang diterima oleh semua pihak. Mudah-mudahan harapan dan cita-cita kita hendak melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020 akan tercapai sepenuhnya.
Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

3 ulasan:

Juragan Malawati berkata...

Kontrak sosial makin longgar?

TIADA siapa dapat meneka bilakah pilihan raya umum akan diadakan. Tanda-tanya ini mungkin akan berlanjutan setahun, dua tahun atau tiga tahun lagi bergantung kepada perkembangan terkini politik tanah air.

Namun, di sebalik teka-teki mengenai tarikh pilihan raya umum tersebut, Barisan Nasional (BN) tidak boleh terus menunggu. Banyak kepincangan yang membabitkan parti-parti komponennya harus dibetulkan terlebih dahulu.

Antara negeri yang dilihat bakal berhadapan dengan persaingan hebat pada pilihan raya umum akan datang ialah Perak. Umum mengetahui 'pertarungan kaum' semakin jelas sejak negeri itu berjaya diambil alih semula oleh BN. Pengalaman melalui beberapa pilihan raya kecil menyaksikan pengundi Cina tidak mungkin akan memberikan undi mereka kepada calon yang bukan daripada kaum mereka.

DAP berjaya memanipulasikan keadaan menerusi sentimen kaum yang dimainkan sehingga memaksa MCA terikut-ikut dengan rentak sama walaupun sebagai parti komponen paling rapat dalam BN, parti itu cukup memahami dasar dan perjuangan BN dalam memastikan kesejahteraan dan keharmonian rakyat.

Melihat sikap MCA, UMNO yang menjadi tunjang kepada kekuatan BN selama ini tidak lagi boleh terlalu mengharapkan sekutu rapatnya itu. Paparan di media-media massa memperlihatkan gabungan yang diikat dengan sikap saling hormat menghormati dan saling percaya mempercayai terutamanya berkenaan kontrak sosial yang semakin hari semakin longgar.

Tuntutan-tuntutan keras yang dibuat oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang juga Pengerusi MCA Perak dan mempertikaikan hak-hak orang Melayu serta bumiputera di dalam Perlembagaan sedikit sebanyak menurunkan suhu kepercayaan terhadap hubungan yang sedia terjalin itu.

Agak ironi, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang dilanda pelbagai kontroversi kepemimpinannya kebelakangan ini juga dari Perak. Seperti DAP, MCA semakin lantang menuntut hak yang sebenarnya tidak wujud tanpa kontrak sosial yang dipersetujui oleh kaum Melayu.

Mengapa ini berlaku? Jawapannya kerana ia cara paling mudah untuk memenangi hati kaum yang diwakili.

''Bila masing-masing mempertahankan kepentingan etnik (kaum), kita akan melihat setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan percaturan politik dan bukannya satu keputusan menyeluruh untuk rakyat," kata Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) ketika dihubungi baru-baru ini.

bersambung..

Juragan Malawati berkata...

sambungan 1..

Hakikatnya kata beliau, sejauh mana pemimpin negara ini dapat mengenepikan kepentingan dalam menjalankan peranan sebagai ahli politik yang merentasi agama, etnik dan gender, masih menjadi tanda tanya.

''Tidak salah jika pemimpin mempertahankan hak etnik kerana parti-parti politik di negara kita ditubuhkan untuk memperjuangkan hak kaum masing-masing. Tetapi apa yang harus mereka ingat ialah dalam masa sama, perjuangan harus meliputi kepentingan di peringkat kebangsaan.

''Sepatutnya pemimpin menjadi contoh kepada rakyat. Kalau mereka gagal memainkan peranan ini sebaik-baiknya, maka, ia memperlihatkan taraf pemikiran seseorang pemimpin itu sendiri.

''Persoalannya di sini, mampukah mereka mempertahankan jawatan dalam parti tanpa memperjuangkan hak kaum kerana mereka akan menjadi tidak popular. Untuk kekal, mereka perlu melakukannya," katanya.

Sivamurugan melihat perkembangan politik tanah air sebagai satu kemunduran kerana ia bertentangan dengan kemajuan dicapai negara.

Dalam konteks Perak kata timbalan dekan ini, 'pertarungan kaum' yang berlaku memang sukar dinafikan. Sekiranya tiada usaha mengatasinya, dibimbangi ia akan menjadi semakin luas dan akhirnya mengundang mudarat.

Mengulas senario Perak itu, seorang penganalisis politik di utara tanah air menjelaskan, Soi Lek perlu mengambil sikap 'lebih Cina daripada DAP' untuk mendapatkan kembali kepercayaan masyarakat diwakili.

Namun katanya, jika cara tersebut terus dipraktikkan, ia hanya akan meningkatkan jurang perkauman dan masalah yang wujud akan berlarutan.

Dalam mengharungi isu-isu menjuarai hak etnik atau mungkin lebih tepat dikategorikan sebagai konflik ultra etnik ini, Sivamurugan sempat mempersoalkan bentuk keadilan yang kini diperjuangkan MCA.

''Mereka kata mahu keadilan sosial, tetapi keadilan sosial bagaimana? Bukankah mereka juga adalah sebahagian daripada kerajaan yang mencorakkan apa yang berlaku hari ini. Kenapa UMNO yang dipersalahkan," ujar beliau.

Mengambil kira senario di atas, UMNO lebih-lebih lagi di Perak, tiada pilihan. Pengalaman beberapa pilihan raya kecil sebelum ini membuktikan untuk mengharapkan rakan-rakan komponennya bukan satu keputusan bijak. Mahu tidak mahu, suka atau tidak, UMNO negeri itu harus menerima hakikat bahawa mereka kini 'keseorangan' dan perlu bekerja sendiri.

Malah, hitungan secara purata memerlukan UMNO Perak memperoleh sekurang-kurangnya 70 peratus sokongan undi daripada orang Melayu bagi membolehkan parti itu memenangi kerusi yang ditandingi.

''Masalah yang berlaku di Perak sama dengan Perlis dan Kedah. Sebenarnya, UMNO tidak lemah tetapi perpecahan dalam UMNO itu sendiri yang menyebabkan UMNO lemah. Mereka sendiri tahu tetapi buat-buat tak tahu.

''Pemimpin-pemimpin ini perlu bertanya kepada diri sendiri apakah mereka bersedia untuk menyerahkan Perak buat kali kedua kepada pakatan pembangkang," kata penganalisis politik dari utara itu lagi.

bersambung 2..

Juragan Malawati berkata...

sambungan 2..

Jelas beliau, pakatan pembangkang diketuai DAP, tidak akan memberi ruang kepada pihak lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan pastinya persiapan yang dilakukan kali ini adalah yang terbaik berbanding 2008.

''Sebelum ini, mereka letak calon tangkap muat pun boleh menang, tentu sekali calon-calon yang diketengahkan kali ini adalah yang terbaik kerana mereka dalam persediaan untuk memerintah negara," katanya.

Terdapat sembilan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO termasuk yang dilantik di Perak. Menjadi antara negeri teramai mempunyai wakil, dilihat antara punca mengapa para pemimpinnya sukar berada di dalam bahtera yang sama. Ini kerana masing-masing beranggapan mereka mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan pucuk kepemimpinan Pusat.

Dan sudah pasti keadaan itu menyukarkan Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengemudi dengan sebaik mungkin kapal yang diketuainya.

''Masing-masing melihat dia layak menjadi ketua bahagian, menteri besar atau menteri. UMNO masih dihantui soal merebut kedudukan daripada memperjuangkan isu Melayu yang amat dinanti-nantikan oleh orang Melayu.

''Masalah yang membelenggu ini menyebabkan 'komander' sukar memberi arahan. Sedangkan UMNO Perak tidak mempunyai banyak masa lagi," kata penganalisis terkenal itu sambil turut menekankan pemimpin lama atau 'dinasour tua' perlu melepaskan jawatan jika sayangkan parti.

Apa yang menarik, beliau melihat masalah itu dapat diatasi dengan mudah jika pucuk kepimpinan Pusat sendiri bersedia untuk membantu Zambry.

Penglibatan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat penting untuk menzahirkan impak bagi membetulkan apa yang tidak betul, katanya.

''UMNO merupakan parti feudal. Sebagai sebuah parti feudal, kadang-kadang pemimpin tertinggi perlu buat keputusan segera kerana apa yang diputuskan itu orang bawahan akan ikut.

''Perlu diingat, BN dan UMNO tidak boleh lagi bergantung kepada pemimpin-pemimpin lama tetapi mesti mencari pelapis baru yang berwibawa untuk menyaingi calon-calon yang diketengahkan parti lawan,'' katanya.

Hakikatnya, masih banyak perkara perlu diberi perhatian jika mahu memastikan akan wujud cahaya dihujung terowong yang malap di Perak.

Salam perjuangan..