Jumaat, Jun 06, 2014

Pengajaran dari PRK Teluk Intan?


Tidak memeranjatkan apabila calon DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud tewas di Teluk Intan. Sebelum PRK, Penasihat DAP, Lim Kit Siang pernah berkata, parti itu berada dalam keadaan tertekan dan mungkin hanya akan mendapat 45 peratus sokongan tiket undi.

Walaupun kenyataan itu sebahagian daripada strategi beliau untuk menarik simpati pengundi seperti yang sering dilakukannya, tetapi kata-kata beliau kali ini begitu tepat sekali.

Pada awalnya, Siew Keong sendiri me­ngaku beliau kurang yakin boleh menang, sehingga di penghujung malam terakhir sebelum pengumuman dibuat barulah nampak seperti 50-50 boleh menang.

Seramai 40,000 orang membuang undi, terpisah hanya dengan 238 tiket undi. Dengan kelebihan 0.6 peratus, jika kita anggap itu adalah gelombang 50-50, mungkin tidak silap.

Walaupun nilainya hanya 0.6 peratus, ia telah meningkatkan semangat Gerakan sebanyak 100 peratus. Mereka merasakan seperti bangkit kembali dari dalam gaung dan umpama ikan kering yang dapat hidup kembali.

Kemenangan ini akan disolek sebagai kebangkitan kepada Gerakan kerana telah dapat menewaskan DAP dan ia juga boleh dicatatkan di dalam buku sejarah parti itu.

Tetapi jika sesebuah parti itu benar-benar berwibawa, ia akan membuat analisis terperinci sebab-sebab kemenangan tipis itu dan bukannya hanya mempamerkan rasa bangga yang menyinggung perasaan orang lain.


Bagi DAP, mereka perlu ingat baik-baik akan satu pengajaran iaitu pasukan tentera yang berlagak sombong pasti akan kecundang. Orang Cina dahagakan perubahan, hasrat itu tidak pernah berubah. Tetapi sekarang ini mereka mengikut DAP secara membuta-tuli sehingga percayakan kata-kata manis parti itu bahawa Pas tidak akan melaksanakan hukum hudud. Oleh itu, orang Cina sudah tidak lagi berani mengikut cara itu.

Adakah pengundi Cina benar-benar sudah kembali kepada BN jika jumlah yang keluar mengundi hanya 67 peratus?

Jika kita berdiri di pihak BN, kita mungkin bertepuk sorak menyatakan pengundi Cina telah kembali kepada parti itu dan menggunakan keputusan PRK terbaharu ini untuk menghentam pihak lawan.

Sebaliknya pandangan pemimpin DAP pula adalah berbeza dengan menyatakan kemerosotan undi pengundi Cina hanya 15 peratus manakala orang Melayu yang mengundi calon parti itu meningkat sebanyak tiga peratus berbanding Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bagi DAP, itu adalah satu keputusan yang mengejutkan. Ini menunjukkan strategi parti itu untuk menarik sokongan orang Melayu telah memberi kesan yang positif.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika ditemuramah berkata, kemenangan itu terlalu tipis dan agak payah untuk menyatakan pengundi Cina telah kembali kepada BN.

Dr. Mahathir berkata, jika nisbah keluar mengundi ramai, barulah dapat dikenal pasti sama ada pengundi Cina kembali kepada BN ataupun tidak.

Pandangan Dr. Mahathir adalah berdasarkan kepada realiti, tetapi kita juga tidak boleh menafikan bahawa pada PRK kali ini, ada kawasan peti undi yang ramai bilangan penduduk Cina yang secara besar-besaran kembali kepada BN.

Fakta pengundi Cina ini kembali kepada BN, dipercayai ada kaitannya dengan cadangan Pas untuk melaksanakan hukum hudud serta mahukan pembangunan di kawasan Teluk Intan.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: