Sabtu, Jun 07, 2014

Disebalik keputusan PRK Teluk Intan - Rumah siap, pahat pula berbunyi?


Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata punca sebenar DAP tewas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan baru-baru ini adalah kerana pengundi Cina memprotes pemilihan calon Melayu, Dyna Sofya Mohd. Daud bagi mewakili parti itu.

Kenyataan ini dibuat respons kepada Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dalam kenyataan medianya meletakkan faktor hudud yang dibangkitkan oleh Pas sebagai faktor kekalahan DAP di Teluk ­Intan.

Sepatutnya kenyataan-kenyataan seperti ini tidak harus keluar sebelum "postmortem" dilakukan. Kenyataan Mohd. Amar jelas menunjukkan Pas Kelantan akan terus memperjuangkan hudud dan kenyataan Gobind adalah sebaliknya. Hudud dilihat oleh DAP sebagai liabiliti atau beban. Kelantangan ayahnya dulu Karpal Singh menentang hudud sedang diwarisi oleh anaknya.

Ibarat rumah siap, pahat berbunyi memperlihatkan sikap salah menyalah kepada punca kekalahan DAP. Perbezaan yang terdapat pada DAP dan Pas adalah perbezaan ideologi dan bukannya isu teknikal.

Mana mungkin Pas yang berhasrat memperjuangkan negara Islam dan hudud boleh berkawan dengan DAP yang hala tuju perjuangannya ke arah sosialis demokratik dan asas dukungannya monopoli satu kaum.

Khalayak jadi keliru bagaimana Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh turun berkempen menyokong Dyana Sofya di Teluk Intan sedangkan amat jelas calon DAP itu menentang pelaksanaan hudud walaupun beliau seorang yang beragama Islam.

Tahalluf Siasi yang berjalan semakin bercelaru kerana ia tidak berasaskan ideologi yang boleh membawa persefahaman. Apa makna sebuah Pakatan Rakyat sedangkan DAP tidak faham akan aspirasi perju­angan Pas.

Pas tahu ia akan kehilangan pengaruh sekiranya perjuangan negara Islam dan hudud tidak dicanangkan semula. Negara Berkebajikan dan Buku Jingga sangat kekok untuk diperjuangkan oleh Pas. DAP menganggap perjuangan negara Islam dan Hudud adalah duri dalam daging dalam perjuangan Pakatan Rakyat.

Sudah sampai masanya Pas berfikir semula mengenai tahalluf siasi ini. Dakwah dan maslahah Pas sekian lama terhadap DAP tidak memberi kesan. DAP tetap dengan fahaman cauvinis dan rasisnya. Cara saling mengguna pengaruh akan akhirnya membawa konflik. Tidak mungkin perjuangan Islam dan sosialis demokratik mampu mempunyai titiktemu kerana Islam sering menjadi agama yang disalahfahamkan.

Pas yang mendakwa sebagai sebuah parti Islam seharusnya memperteguhkan strategi dakwah dan tarbiyyah menyantuni pihak lain. Orang Cina bertanggapan kalau sesama Islam Pas gagal menyantuni mereka bagaimana mungkin terhadap DAP ia boleh terjadi.


DAP tahu ia tidak selari dengan hala tuju perjuangan Pas. Tetapi mengekalkan Pas dan UMNO berbalah adalah strategi ampuh untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN). DAP tahu akan ada kesannya jika PasUMNO berbaik semula atau Pas menyisihkan diri daripada Pakatan Rakyat. Sepahit mana isu hudud yang dibawa oleh Pas, DAP terpaksa menelannya. Meskipun DAP tidak bersetuju, Pas masih merasakan DAP adalah teman terbaik untuk menjatuhkan UMNO.

Pas masih bercita-cita besar untuk menjatuhkan UMNO. UMNO dilihat sebagai musuh nombor wahid. Bila Kelantan ingin membawa enakmen hudud ke Parlimen UMNO mengambil pendirian menyokong. Pendirian UMNO ini bukanlah perkara baru.

Semasa Enakmen Jenayah Syariah Kelantan dibentangkan di DUN Kelantan pada 1993, dua ADUN UMNO turut menyokong. Peliknya Pas, UMNO yang menyokong hudud dianggap musuh ketat tetapi DAP yang menentang habis-habisan hudud dianggap sebagai sahabat.

Hamas-PLO di Palestin adalah musuh ketat. Pernah berlaku pertempuran yang memakan korban hasil pertembungan ini. Orang Palestin menginsafi sekiranya umat Palestin tidak bersatu, perpecahan akan menjadi lebih parah dan pihak ketiga Israel akan menjadi lebih kuat sebagai tenaga pemecah.

Hal sama boleh berlaku di Malaysia, sekiranya Pas dan UMNO tidak berfikir ke arah wahdah atau kesatuan, pihak ketiga akan menggunakan kelemahan ini melakukan dominasi sebagai suatu strategi jangka panjang.

PRU13 membuktikan tanpa Pas, UMNO masih mempunyai kerusi yang cukup untuk memerintah. PRK Parlimen Teluk Intan menjadi bukti betapa dulunya DAP memperolehi majoriti lebih 7,000 tiba-tiba kalah dan BN menang.

Penulis yakin UMNO dan BN akan mencapai kemenangan lebih besar pada PRU14 nanti kerana muafakat PasDAP akan lebih mengelirukan rakyat. -UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: