Sabtu, Jun 21, 2014

Jangan keluar lesen judi untuk Berjaya Hills?

Pengunjung sudah cukup terpesona dengan seni bina bangunan ala-Perancis di Berjaya Hills ditambah pula dengan panorama sekitarnya yang menyegarkan.

Seperti diduga, Kumpulan Berjaya - pemilik pusat peranginan yang mereka namakan dengan gah, Berjaya Hills (asalnya, Bukit Tinggi Resort - nama menurut geografi kawasan) di Bukit Tinggi, Bentong, mahu membuat permohonan semula bagi mendapat lesen judi bagi kegunaan resort ini.

Ini dipercayai ada kaitan dengan laporan berita sebelum ini tentang kebarangkalian Resorts World Genting (RWG) - pengendali tunggal bagi pusat perjudian di negara ini setakat ini, memohon menambah lagi 100 meja judi di pusat peranginannya di Genting Highlands dalam usaha naik taraf bernilai RM3,000 juta di sana.

Permohonan semula bagi mendapat lesen judi di Berjaya Hills ini mungkin berasaskan logik; jika RWG memohon dan dipertimbangkan untuk menambah lagi 100 meja judi, mengapa pula permohonan mereka (Kumpulan Berjaya) yang telah ditolak sebelum ini, tidak mendapat layanan sepertimana RWG?

Rancangan untuk memohon semula lesen judi ini disebut oleh pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan sepertimana laporan berita yang disiarkan dalam halaman pertama sisipan Business Times keluaran akhbar New Straits Times pada 17 Jun.

Beliau dilaporkan berkata agar permohonan semula ini - dengan menyuntik pelaburan kira-kira RM3,000 juta (sama nilai sepertimana yang diumumkan oleh RWG untuk menaik taraf resort mereka di Genting Highlands); tidak akan menerima tentangan daripada mana-mana pihak.

"Kami akan memohon semula lesen itu. Malaysia tidak boleh tertumpu kepada satu pengendali. Ia patut dikongsi dengan pengendali-pengendali lain memandangkan pembangunan pelancongan boleh menjana pendapatan yang banyak kepada negara," Tan dilaporkan sebagai berkata.

Beliau juga berkata, "Kami akan memasarkan Berjaya Hills secara global, sebagai destinasi kasino. Saya mempunyai tanah seluas 4,600 hektar di Berjaya Hills dan banyak yang boleh dilakukan dengan pemilikan lesen berkenaan."

Seperti yang kita masih ingat, Kumpulan Berjaya telah pertama kali memohon mendapatkan lesen judi bagi Berjaya Hills pada awal tahun 2000, semasa negara masih di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, permohonan itu menerima tentangan keras terutamanya daripada Kerajaan Negeri Pahang sendiri, yang ketika itu, Datuk Seri Adnan Yaakob berada pada awal tempohnya sebagai Menteri Besar lagi.

Tentangan keras tersebut bukan sahaja dinyatakan dengan jelas dan dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan hingga mendapat reaksi serta sokongan padu daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi turut disampaikan menerusi saluran betul dalam hubungan Kerajaan Negeri ke Kerajaan Persekutuan.

Ketika itu juga, penulis sendiri ada bertanyakan kepada seorang pegawai tinggi Kumpulan Berjaya tentang rasional di sebalik permohonan untuk lesen judi berkenaan yang jawabnya, ialah untuk bersaing dengan RWG.

"Bagaimana kerajaan hendak berharap kami bersaing dengan Genting jika kami tidak diberikan lesen," begitulah lebih kurang alasan yang diberikan, yang dalam hati penulis tertanya pula, "Bila pula kerajaan suruh Berjaya bersaing dengan Genting?"


Seingat penulis, semasa kerajaan negeri didatangi - ketika Tun Mohd. Khalil Yaakob masih Menteri Besar Pahang; bagi permohonan untuk mendapatkan tanah kerajaan di Bukit Tinggi itu, yang dicadangkan - sepertimana idea Dr. Mahathir juga, ialah membangunkannya seperti kawasan peranginan tanah tinggi Alsace di timur Perancis.

Dan jika kita semak kembali apakah tempat-tempat tarikan di wilayah ini - daripada laluan Tour de France menerusi Lembah Munster, bandar Colmar di tengah-tengahnya atau Alsace Ecomuseum yang menempatkan 70 rumah country; tidak satupun yang menjurus kepada penganjuran aktiviti perjudian.

Kalaupun yang negatif adalah tarikan Alsace Wine Route, yang membawa pengunjung menelusuri laluan dan sejarah pembuatan wain, yang dikatakan menghimpunkan kira-kira 1,000 pengeluar bahan minuman tersebut.

Maka kini, jika Kumpulan Berjaya hendak menjadikan kawasan tanah tinggi ini sebagai ‘destinasi kasino antarabangsa’ pula, jelas sekali ia telah menyimpang jauh daripada sasaran asal bagi memajukannya.

Alasan untuk menjana pendapatan negara termasuk kononnya bakal mewujudkan kira-kira 10,000 lagi peluang pekerjaan, tidak boleh diterima.

Kita tidak perlukan ‘gula-gula’ sebegini yang, sungguhpun dijanjikan bulan dan bintang sekalipun, masih kita tidak perlukan yang sudah tentu tidak akan ada barakahnya.

Maka, jika permohonan daripada Kumpulan Berjaya sebelum ini ditolak oleh Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kewangan, ekoran bantahan keras daripada kerajaan negeri serta pelbagai pihak lain; begitulah juga diharapkan pada kali ini.

Untuk berlaku adil kepada semua termasuk juga kepada kedua-dua Kumpulan Berjaya dan RWG (mengenai permohonan untuk tambahan 100 lagi meja judi itu), elok ditolak sahaja permohonan kedua-duanya serta tegaskan ‘once and for all’, cukuplah dengan apa yang telah diperolehi selama ini.

Suara Politik
Belantan

3 ulasan:

tobeng berkata...

Hilang akal ke nak tambah satu lagi pusat judi?Yang ada pun kalau boleh nak suruh tutup,lagi mahu tambah?

Kalau kerajaan nak melingkup luluskanlah.

usin berkata...

En tobeng, ayat lain tu ok. Ayat akhir mcm tak boleh blah jer. Kerajaan melingkup diganti siapa? Kalau pesaing yg sedia ada ni... Lg liberal ada la. Tak pasal2 akan wujud 10-20 lg kasino... Bantah jer sungguh2 bro...

MiSS STRAWBerrY berkata...

Link me . Please =D
http://sberrypurple.blogspot.com/
Thanks ~