Khamis, Jun 26, 2014

Kabinet baru : Diharap jangan sekadar jadi 'penumpang' sudahlah?


Pelantikan pemimpin MCA dan Gerakan dalam Kabinet mampu memenuhi aspirasi kaum Cina dan memberi kesan positif kepada Barisan Nasional (BN).

Ini khususnya dari segi imej BN yang mengutamakan dasar keterangkuman memberi tempat kepada semua kaum.

Senario ini sesuai dan menepati landskap politik negara masa kini. Kemasukan wakil-wakil daripada dua parti terbesar kaum Cina itu mampu memberi keyakinan kepada kaum Cina. Maknanya, BN ada tempat untuk mereka, sekali gus ‘sekurang-kurangnya’ menitip sedikit-sebanyak keyakinan kaum itu kepada BN. Apatah lagi BN tahu dan sedar implikasinya jika MCA dan Gerakan selamanya dibiarkan berada di luar Kabinet.

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengenai tambahan dalam Kabinet yang menyaksikan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilantik Menteri Pengangkutan manakala Gerakan diketuai Datuk Mah Siew Keong dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, diharap dapat memberi suntikan kekuatan kepada dua parti itu untuk memperjuangkan masyarakat Cina.

Ini kelak akan mewujudkan situasi menang-menang untuk kaum Cina dan BN mengorak langkah ke depan untuk kestabilan politik negara.

Cuma, penulis pada masa sama mahu mengingatkan wakil-wakil MCA dan Gerakan bahawa pelantikan mereka ke dalam Kabinet harus dijadikan titik awal dua parti ini untuk membantu mengembalikan sokongan kaum Cina kepada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Tempoh menjelang pilihan raya umum paling mencabar ini sungguh singkat. Hanya tiga setengah tahun lagi.

Dalam hal ini, MCA dan Gerakan harus dapat mengemukakan dengan berani tetapi beradab tuntutan-tuntutan, aspirasi dan masalah kaum Cina kepada kerajaan. Jangan retorik dan membuta-tuli semata-mata hendak ‘menyaingi’ DAP. Juga, jangan hanya untuk ‘menyedapkan sangkaan’ pucuk pimpinan sahaja.

Ini penting supaya MCA dan Gerakan tidak dilihat sekadar penumpang sahaja dalam Kabinet. Kaum Cina tentunya mahu melihat sumbangan MCA dan Gerakan yang ‘terkesan’ untuk mereka. Kalau Tiong Lai dan Siew Keong berupaya dan berjaya mengemukakan aspirasi kaum Cina dengan ‘berani tetapi beradab’, dan kemudian diterjemahkan kerajaan, nescaya ini akan memberi kesan positif `menang-menang’ dalam penerusan dasar-dasar kerajaan.

MCA dan Gerakan jangan lupa cabaran yang didepani mereka untuk mengembalikan sokongan kaum Cina cukup getir. Mereka dibadai kekalahan teruk dalam PRU-13 tahun lalu.

Dalam PRU itu, MCA hilang lebih banyak kerusi kepada pembangkang, yang turut meranapkan ‘kubunya’ di Johor. Parti itu hanya memenangi tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi negeri, jauh lebih sedikit daripada 15 kerusi Parlimen dan 32 kerusi negeri yang dimenanginya pada PRU 2008. Pada PRU tahun lalu itu, MCA bertanding di 37 kerusi Parlimen dan 90 kerusi negeri.

Gerakan pula hanya menang satu kerusi Parlimen (Simpang Renggam, Johor) daripada 11 kerusi yang ditandingi, manakala untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya memperoleh tiga kerusi iaitu Pemanis di Johor serta Tanjong Papat dan Elopura di Sabah daripada 31 kerusi yang ditandingi.

MCA khususnya kalah kesemua kerusi yang ditandinginya di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, yang menunjukkan kegagalannya menawan kembali hati masyarakat Cina, walaupun pelbagai ikhtiar dilakukan untuk memulihkan kekuatannya 2008.

Malahan, calon DAP terutama di Pulau Pinang mendapat majoriti kemenangan yang cukup besar ke atas calon MCA dan Gerakan. Keputusan sama dapat disaksikan di negeri-negeri lain.

Di Seputeh, calon DAP di situ memperoleh majoriti undi 51,552 berbanding hanya 47,230 dalam pilihan raya umum 2008. Margin kemenangan besar turut dicatat DAP di Kepong dengan perbezaan berbanding saingannya, BN sebanyak 40,307 undi.

DAP turut mendapat majoriti luar biasa Parlimen Bukit Bendera dan Bagan.

Sememangnya cabaran yang dipikul MCA dan Gerakan cukup besar untuk menarik semula minat kaum Cina kepada mereka. Apakah kaedah yang akan digunapakai kedua-dua parti untuk melenyapkan syak wasangka dalam kalangan orang Melayu bahawa kaum Cina ‘tidak berniat’ mahu merampas kuasa dalam PRU-13.

Sentimen ini masih segar dalam fikiran orang Melayu khususnya daripada UMNO. Diuar-uarkan secara meluas motif orang Cina pada Mei 2013 itu hanyalah untuk menjatuhkan UMNO yang telah selama 55 tahun ‘menindas’ mereka dengan memberi pelbagai keistimewaan kepada bumiputera. Kerana itu dilihat kawasan-kawasan majoriti Cina, DAP menang dengan puluhan ribu undi.

Jika parti, calon dan khidmat wakil rakyat dijadikan alasan, tentulah pemimpin MCA seperti Datuk Seri Kong Cho Ha tidak tewas di Lumut. Apakah bentuk perkhidmatan dan pertolongan yang tidak diberikan kepada kaum Cina oleh Cho Ha dan Datuk Seri Zambry Abd. Kadir. Tapi, kerana mahu menjatuhkan UMNO mereka memilih untuk ‘membelasah’ Cho Ha.

Di DUN Sekinchan, Sungai Besar, Selangor pula, apa yang BN tidak bantu mereka selama lima tahun ini? Sekolah Cina? Bot nelayan? Bantuan kebajikan? Malah bila mereka minta Cina tempatan sebagai calon, juga BN berikan.

Akhirnya apa balasan mereka? Mereka beri undi kepada DAP dengan jumlah lebih besar walaupun ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim tidak memberi apa-apa bantuan kepada mereka.

Malahan, Timbalan Pengerusi BN Selangor ketika PRU-13 itu, Datuk Seri Noh Omar pun hairan. Padahal, beliau meramalkan kemenangan BN Selangor di banyak kerusi.

Kata Noh yang masih tergiang-giang di kepala penulis:

"Sebelum ini program-program BN buat untuk masyarakat Cina mendapat kehadiran amat luar dugaan, kita sasarkan kehadiran 5,000 tetapi yang datang sehingga 10,000 orang.

"Waktu berkempen, kehadiran pengundi-pengundi masyarakat Cina pada dasarnya seperti menyokong program BN begitu baik sekali. Bagaimanapun, pada hari pilihan raya semalam, BN Selangor tidak mendapat undi seperti yang diharapkan."

"Contohnya di bahagian saya walaupun majoriti saya meningkat berbanding 2008, begitu juga Parlimen Tanjung Karang, tapi kami kalah teruk di kawasan majoritinya pengundi Cina. Tak ada satu peti undi pun kita menang di kawasan pengundi Cina. Sedangkan tak ada satu pun yang saya tidak tolong masyarakat Cina. Kita terkejut kita kalah banyak terutama di peti-peti undi Cina.

"Kalau benar kita benci orang kerana rasuah, kerana seleweng, kerana zalim tentulah kita tidak akan minta tolong, tidak akan datang majlis dan tidak akan salam dengan orang yang kita benci ini," kata Noh.

Apa-apa pun tahniah khususnya kepada Tiong Lai dan Siew Keong!

Ketika kedua-dua Presiden parti ini harus tabik hormat ke atas kepercayaan yang diberikan Perdana Menteri kepada mereka, mereka harus jujur dan komited membantu perjuangan BN.

Pergi dan nyatakanlah dengan berani, telus dan jujur kepada kaum Cina. BN tidak memperjuangkan satu kaum semata-mata tetapi seluruh rakyat Malaysia. Dan marilah kembali berganding bahu dengan kami.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: