Isnin, Jun 23, 2014

Mereka 'bergotong-royong' jatuhkan MB?


Cadangan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad agar kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dihapuskan semakin menyerlahkan kelemahan pentadbiran dua penggal Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Lebih mengesankan, tindakan Khalid yang mendapat sokongan tiga Ahli Parlimen Pas Selangor lain menunjukkan betapa lintang pukangnya hubungan antara pemimpin Pas dan juga antara pemimpin pakatan pembangkang di negeri itu.

Belum pun sempat cadangan itu dicerna, Pesuruhjaya Pas Selangor yang baharu, Iskandar Samad cepat-cepat memutuskan kaitan Khalid dengan Pas. Cadangan itu dianggap pandangan peribadi Khalid, yang pada tahun lalu digugurkan daripada jawatan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor dalam rombakan baharu kepemimpinan Pas negeri. Tetapi bagaimanakah pula mahu menjelaskan tentang kehadiran sama Hanipa Maidin (Sepang), Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Che Rosli Che Mat (Hulu Langat) dalam sidang akhbar Khalid itu?

Dalam banyak isu, kumpulan yang selalu dilabel sebagai Awnarinas dalam Pas ini mahu menonjol tetapi selalu dilihat tidak kena pada tempatnya. Sepatutnya isu antara MAIS dan kerajaan negeri diselesaikan secara bijaksana dalam suasana harmoni.

Negeri lain pun mengamalkan konsep pentadbiran yang hampir sama. Tidak pula kecoh. Tidak pula terlihat ada wakil rakyat sengaja memprovokasi majlis agama Islam dan kerajaan negeri. Ternampak sangat sentimen perseteruan dalam parti dibawa-bawa dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri. Di Selangor, hal-hal mudah menjadi rumit kerana terlalu banyak campur tangan orang politik yang mahu meraih keuntungan sendiri. Jika diperhalusi, merekalah sebenarnya yang mempolitikkan isu agama dan hal sensitif agar kewujudan mereka dapat terus dirasai oleh rakyat.

Tidak ada kepakaran

Mereka tidak ada kepakaran lain walaupun sudah bertukar peranan selaku penyokong dan pendukung kerajaan. Hendak bercakap soal pembangunan, malu kerana tiada langsung track record yang boleh dibanggakan. Hendak membantu menyelesaikan masalah rakyat jauh sekali kerana selama ini hanya tahu menjaja air liur.

Mungkinkah cadangan Khalid ini yang dimaksudkan sebagai 'syor-syor yang tidak munasabah' dalam titah Sultan Selangor pada Khamis lalu? Dalam titahnya, baginda berpendapat isu rampasan Bible oleh JAIS tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana ahli politik sehingga boleh mengeliru dan meresahkan masyarakat.


Cadangan Khalid itu sekali gus boleh digambarkan sebagai cubaan untuk merendah-rendahkan kemampuan Exco yang menjaga potfolio agama, Sallehen Mukhyi yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Selangor. Tetapi apalah peliknya. Inilah corak pentadbiran Kerajaan PKR Selangor. Bertelagah, saling menyerang dan memperlekeh sesama sendiri menjadi amalan yang selalu dipertontonkan kepada rakyat. Tidak pernah kita dengar mereka bercakap soal kualiti kerja apatah lagi untuk menambah baik apa yang ada.

Bilakah agaknya kita dapat melihat pemimpin pakatan pembangkang sepakat dan bersungguh-sungguh berpadu tenaga dan pemikiran untuk melaksanakan program rakyat? Rasanya, kali terakhir ialah semasa pelancaran manifesto pilihan raya dulu. Selepas itu, nihil. Hanya tak sudah-sudah berjanji, cakap berdegar-degar dalam ceramah dan sidang akhbar.

Sejak kebelakangan ini pula serangan ke atas pentadbiran Abdul Khalid semakin intensif. Selepas Langkah Kajang untuk meletakkan Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar gagal, Abdul Khalid terus diletakkan dalam kedudukan tidak senang duduk, dihambat dengan kritikan, kecaman dan tuduhan.

Seperti biasa mereka yang kononnya mewakili penduduk tertindas memutar belit fakta dan hujah. Mereka mendakwa sikap Abdul Khalid berbahaya kerana akan membawa kepada kejatuhan kerajaan negeri. Mereka sepakat merumuskan bahawa kerajaan pakatan pembangkang bakal kehilangan undi.

Lebih daripada itu, mereka mengecam persetujuan kerajaan negeri membenarkan kutipan tol di lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex) kerana bertentangan dengan manifesto pilihan raya. Pelik bukan, sedangkan wakil rakyat yang sama ini tidak pula bising dengan keputusan Kerajaan DAP Pulau Pinang yang membenarkan kutipan tol dalam projek kontroversi terowong dasar laut negeri itu.

Mungkinkah siri serangan ke atas pentadbiran Abdul Khalid ini sebagai satu tekanan berterusan supaya beliau digantikan. Selepas PKR sendiri yang beria-ia mahu menggugurkan Abdul Khalid, kini semangat itu telah merasuk pula kumpulan pemimpin Pas dan DAP. Inilah cara politik mereka. Atas kertas, tidak lama lagi Selangor bakal mendapat Menteri Besar baharu. Tetapi ini juga sangat bergantung kepada talian hayat terakhir yang ada pada Abdul Khalid.

Jika beliau dapat menambah kapasiti kuasa dengan memenangi persaingan jawatan Timbalan Presiden PKR yang sedang berlangsung sekarang, apa juga gerakan dan konspirasi menjatuhkan beliau bakal tertutup. Jika tidak, bergembiralah seteru-seteru politik dalam PKR, DAP dan Pas.

Tetapi apakah rakyat gembira dan merestui karut-marut politik yang berlegar di sekitar pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor ini? Jika benar bagai diduga Menteri Besar akan disingkirkan, jelaslah slogan kebanggaan 'Merakyatkan Ekonomi Selangor’ hanya sandiwara sahaja. Bukan sekadar Abdul Khalid gagal tetapi PKR, DAP dan Pas juga gagal dalam mempertahankan sebuah kerajaan negeri yang kononnya direstui rakyat itu.

Oleh : Zulkifly Hamzah

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: