Rabu, Jun 25, 2014

Dikatakan 'Projek Langgar Hadi' muncul kembali?


Satu usaha menghidupkan 'Projek Langgar Hadi' iaitu gerakan menjatuhkan kepimpinan ulama dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) didakwa muncul kembali serta didalangi beberapa pemimpin termasuk seorang Ahli Parlimen Pas Selangor, editor dan wartawan daripada sebuah portal propembangkang.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim berkata, kumpulan tersebut menggunakan portal berita propembangkang sebagai medium memfitnah dan memburukkan Abdul Hadi kononnya peranan Presiden Pas itu menyebabkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim gagal disingkirkan oleh pihak tertentu.

Menurut beliau, cubaan memburukkan kepimpinan ulama itu dilakukan ekoran ketegasan Abdul Hadi dalam menegakkan syariat Islam di Selangor dan seluruh negara.

"Yang lebih memeritkan, sudahlah terdapat beberapa kenyataan dibuat salah seorang ahli Parlimen Pas Selangor yang ternyata membelakangkan keputusan Pas Selangor, kini dengan penuh biadab peluru itu ditujukan pula kepada Presiden Pas.

"Tuan guru difitnah sebagai punca kegagalan menyingkirkan Abdul Khalid selepas kegagalan 'Kajang Move' yang dirancang pihak tertentu. Tidak menghairankan apabila tuan guru dimangsakan sebagai penyebab kegagalan kerana tujuan sasaran utama sebenarnya ialah tuan guru sendiri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Syarhan Humaizi, individu-individu tersebut yang membuat kenyataan melalui media propembangkang adalah pemimpin munafik yang sedang berusaha melaga-lagakan pemimpin Pas sehingga memfitnah Abdul Hadi sebagai punca kegagalan mereka menyingkirkan Menteri Besar Selangor.

Tegasnya, mereka adalah pemimpin sama yang turut mendakwa Abdul Hadi sebagai pemimpin pro-UMNO dan melagakan beliau dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas PRU-12.

"Masih segar lagi dalam ingatan saya usaha melaga-lagakan dua tok guru, Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz oleh individu-individu upahan tadi. Tidak cukup itu, kemudiannya memfitnah tuan guru sebagai punca projek 16 September 2008 (kononnya 30 ahli Parlimen Barisan Nasional akan keluar parti dan menyokong pembangkang) yang gagal.

"Selepas gagal menjatuhkan tuan guru melalui serangan berterusan, kemudiannya tuan guru diserang melalui orang kuatnya seperti melalui menantunya dan melalui bekas Ketua Pemuda Pas. Usaha ini terus berlangsung akibat ketegasan tuan guru yang komited dengan prinsip Pas dalam menegakkan syariat Islam di bumi Malaysia," tegasnya.

Sehubungan itu, Syarhan Humaizi menegaskan, semua pemimpin Pemuda Pas akan sentiasa mempertahankan parti itu daripada sebarang 'parasit liberal' dan mencabar portal berita propembangkang berkaitan supaya menyatakan nama sumber dalaman yang digunakan dalam setiap laporan mereka.


"Ramai musuh Islam dari luar dan dalam yang sedang merangka 'grand design' ini. Ada yang bertaraf Yang Berhormat, editor dan ada wartawan yang bersekongkol untuk menjayakan usaha ini sejak sekian lama.

"Kalimah biadab adalah kalimah yang sesuai ditujukan kepada mereka atas perbuatan ini. Kami, para Pemuda Pas akan sentiasa mempertahankan Pas daripada sebarang 'parasit liberal' yang sedang menjalar ini," ujarnya.

Tambahnya, Pas Selangor tiada kaitan dengan kegagalan menjatuhkan Abdul Khalid tambahan pula ketika ini, semua komponen kerajaan pembangkang sepatutnya meningkatkan komitmen menjaga kebajikan rakyat, bukannya dengan kaedah menyerang agenda itu yang boleh menguntungkan musuh.

"Saya amat bersetuju dengan kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abd. Samad yang menafikan pendirian Pas Selangor berhubung beberapa kenyataan mengelirukan yang mendakwa Pas Selangor ingin menolak Abdul Khalid," katanya.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: