Isnin, Jun 09, 2014

DAP adalah PEMBULI BESAR dalam Pakatan Haram?


Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo berpendapat faktor hudud merupakan punca kekalahan calon parti itu, Dyana Sofya Mohd Daud dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan. Menurutnya, berdasarkan analisis awal, DAP telah kehilangan 25 peratus daripada undi bukan Melayu dalam PRK itu dan fenomena itu perlu diberi perhatian. Beliau berpendapat bahawa kontroversi berkaitan dengan pelaksanaan hudud oleh Pas menjadi penyumbang yang ketara terhadap kekalahan DAP di Teluk Intan.

Sebelum ini sekiranya dalam mana-mana kawasan yang DAP menang maka mereka dengan cepat meraikan kehebatan dan kemenangan DAP. Namun begitu, apabila mereka tewas di Teluk Intan baru-baru ini maka rakan seperjuangan mereka iaitu Pas pula dipersalahkan. Politik meletakkan beban tanggungjawab kekalahan parti mereka kepada rakan seperjuangan sangat jelas memperlihatkan sifat DAP sebenar.

Adakah DAP langsung tidak mengiktiraf usaha Pas untuk meningkatkan undi tiga peratus Melayu kepada DAP di PRK Teluk Intan? Selain itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, ada dalam kalangan mereka yang telah mengambil cuti dan berkampung di Teluk Intan, di samping ada yang menyumbang wang ringgit.

"Oleh itu jangan ada yang cuba memperlekehkan sumbangan mereka atau mengguriskan hati mereka dengan kenyataan-kenyataan yang tidak sepatutnya. Mereka juga manusia yang juga ada perasaan. Kesabaran mereka ada hadnya," ujarnya.

Persoalannya kini sampai bila Pas dan komponen parti lain dalam pakatan pembangkang hendak dipijak dan diperbodohkan oleh DAP? Adakah parti-parti tersebut yang didakwa 'sahabat' langsung tidak memiliki maruah dan martabat serta boleh diperlecehkan semudah itu?

Penurunan

Pas seharusnya bertanya kepada DAP apakah kehilangan satu kerusi di Teluk Intan lebih teruk berbanding dengan kekalahan yang dialami oleh Pas? Pada PRU-13 akibat DAP terlalu memainkan isu-isu perkauman secara keterlaluan menjadi punca penurunan ketara kerusi Pas di Kedah apabila kalah teruk berbanding 16 kerusi pada PRU-12 kepada hanya 9 kerusi pada PRU-13, sekali gus meranapkan kerajaan Pas di negeri ini.

Di Kelantan, kubu kuat Pas, majoriti jatuh dengan jumlah kerusi daripada 37 dalam PRU-12 kepada 32 pada PRU-13. Pada keseluruhannya purata undi Melayu dalam kawasan-kawasan yang ditandingi Pas di Semenanjung menurun daripada 48.34 peratus pada PRU-12 kepada 45.46 peratus pada PRU-13. Penurunan terburuk berlaku di Kedah dengan kadar 8.2 peratus disusuli Selangor dengan penurunan 4.9 peratus.

Mengapakah pemimpin-pemimpin Pas berdiam diri dan tidak berani untuk mempersoalkan DAP apabila undi parti mereka merosot pada PRU-13 disebabkan cara, ideologi dan perjuangan politik DAP? Kini setelah Pas berjaya meningkatkan undi tiga peratus Melayu untuk DAP di Teluk Intan malangnya tiada sebarang ucapan terima kasih dan pengiktirafan diberikan bahkan dipersalahkan oleh pemimpin tertentu dalam DAP?

Keputusan PRK Teluk Intan menunjukkan terdapat peningkatan sebanyak 15 peratus pengundi Cina dan 10 peratus pengundi India yang kembali menyokong Barisan Nasional. Diharapkan kenyataan bekas Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hasan Tantawi apabila beliau mengatakan DAP terlalu yakin sehingga merasakan parti mereka tidak memerlukan sokongan daripada pengundi Melayu termasuk daripada Pas akan membuka mata dan minda masyarakat Melayu yang lain.

Sekiranya DAP tidak memerlukan sokongan Melayu dan Pas, maka selepas ini masyarakat Melayu dan penyokong Pas akan memberi pengajaran kepada DAP. Sudah tiba masanya ahli dan penyokong Pas bangkit daripada terus dipijak demi menjaga martabat dan maruah mereka yang tercalar akibat DAP.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: