Selasa, Disember 30, 2014

Terkini....!!! Tragedi nahas AirAsia #QZ8501 : Reda ketentuan takdir!



30 DIS : Beberapa mayat tragedi pesawat QZ8501 yang ditemui terapung di dalam air sudah dibawa menaiki kapal tentera laut Indonesia.

Suasana sedih menyelubungi Pusat Krisis Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda yang dipenuhi ratusan waris dan anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia selepas pihak DCA negara itu mengesahkan penemuan serpihan pesawat sebentar tadi.

Suasana di pusat ini yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Surabaya yang pada awalnya terkawal, bertukar ratapan dan suasana sedih.

Ketua Badan Badan SAR Nasional (BASARNAS) di Surabaya, M Hernanto dilihat memberikan taklimat manakala pegawai penerbangan AirAsia Indonesia menenangkan para waris keluarga mangsa pesawat yang hilang itu.


Antara yang kedengaran ialah ‘sila bersabar’ dan sebahagian mereka dilihat berupaya mengawal emosi dengan ketenangan terpancar di riak wajah waris keluarga sekalipun menonton visual serpihan yang disiarkan stesen televisyen tempatan secara langsung dari kawasan pencarian.

Mereka melihat dan mendengar dakwaan Pembantu juruterbang Hercules C130 Indonesia yang mengaku melihat objek seperti mayat manusia terapung di Selat Karimata di mana objek lain seperti pelampung dan serpihan pesawat.


“Pada awalnya saya lihat seperti manusia melambai-lambai, mungkin dia menyedari kehadiran pesawat. Tetapi selepas kami dekati, nampak ia sudah membengkak. Ia kelihatan melambai-lambai mungkin kerana dipukul ombak,” kata Leftenan Satu Tri WibowoTri.

Pesawat Airbus 320-200 bersama 162 orang penumpang dan anak kapal berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi Ahad dan dijadualkan tiba di Singapura pada 8.20 pagi tetapi hilang komunikasi dengan menara kawalan trafik udara Indonesia pada 7.24 pagi.

Seramai 155 daripada mereka adalah warga Indonesia dan seorang dari Malaysia.

Suara Politik
Belantan

Terkini...!!! AirAsia #QZ8501 : Gelongsor kecemasan, pintu pesawat dikesan?

LAUT JAWA 30 DIS. 2014 - Gambar udara dari pesawat mencari dan menyelamat Indonesia menunjukkan objek terapung di kawasan pencarian pesawat AirAisa Indonesia yang hilang, QZ8501 di sini hari ini. Objek itu kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa Indonesia sama ada ia berkaitan dengan pesawat QZ8501 itu ataupun tidak.

JAKARTA 30 Dis. – Sejumlah objek gelongsor kecemasan dan pintu dipercayai milik pesawat AirAsia QZ8501, dikesan ketika misi pencarian melalui udara dijalankan oleh pasukan penyelamat, lapor pihak berkuasa Indonesia hari ini.

Pegawai Tentera Udara Indonesia, Agus Dwi Putranto dalam sidang akhbar berkata, pihaknya mengesan kira-kira 10 objek besar dan banyak lagi objek kecil berwarna putih di kawasan pencarian, kira-kira 10 kilometer dari lokasi terakhir pesawat yang membawa 162 penumpang itu dikesan radar.

Beliau turut menunjukkan 10 objek yang merupakan pintu pesawat, gelongsor kecemasan dan objek berbentuk kotak.

Seorang jurugambar AFP yang menyertai misi pencarian berkata, dia turut melihat sejumlah objek yang menyerupai rakit getah, jaket keselamatan dan tiub panjang berwarna jingga. - AFP

Suara Politik
Belantan

Pesawat QZ8501 mungkin di dasar laut?


JAKARTA  - Pesawat AirAsia QZ8501 yang hilang dalam penerba­ngan dari Surabaya, Indonesia ke Singapura awal pagi semalam berkemungkinan berada di dasar laut selepas dikhuatiri terhempas di perairan Indonesia ketika beberapa negara sekitar Asia menghantar kapal dan pesawat untuk membantu operasi pencarian.

Pesawat Airbus A320-200 yang membawa seramai 162 orang itu dilaporkan hilang selepas juruterbang gagal mendapat kebenaran daripada pusat kawalan trafik udara Lapangan Terbang Antarabangsa Sukarno-Hatta untuk menukar laluan bagi mengelakkan cuaca buruk.

Pesawat QZ8501 itu juga dimaklumkan tidak mengeluarkan isyarat kecemasan dan hilang di perairan Laut Jawa lima minit selepas gagal mendapat kebenaran pertukaran laluan berikutan kesesakan trafik udara.

Ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia, Soelistyo berkata, berdasarkan koordinasi mereka, pesawat itu dijangka berada di dasar laut.


Sumber penerba­ngan awam Indonesia melaporkan kepada agensi Reuters, pihak berkuasa mempunyai data radar pesawat tersebut dan sedang menunggu pasukan mencari dan menyelamat menemui serpihan pesawat sebelum memulakan siasatan punca kemalangan.

Seramai 155 penumpang Indonesia, tiga rakyat Korea Selatan, dan seorang penum­pang dari Singapura, Malaysia dan Britain menaiki pesawat ber­kenaan.

Jurucakap Tentera Udara Indonesia, Hadi Thahjanto berkata, dua pesawat C-130 digunakan untuk mencari pesawat QZ8501 di kawasan timur laut Pulau Bangka yang terletak di perairan Laut Jawa.

Negara jiran seperti Australia, Malaysia, Singapura dan China turut menghantar kapal dan pesawat bagi membantu operasi pencarian.

Sementara itu, Soelistyo berkata, Indonesia mungkin tidak memiliki teknologi canggih untuk mencari pesawat di dasar laut dan mereka menerima tawaran bantuan daripada Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis bagi melicinkan operasi. – REUTERS

Suara Politik
Belantan

Hari Ke-2 AirAsia #QZ8501 : 'Kami tidak tahu apa yang silap'?


SURABAYA – Tan Sri Tony Fernandes menyatakan bahawa syarikat AirAsia masih tiada jawapan terhadap apa yang berlaku kepada pesawat QZ8501 milik AirAsia Indonesia yang dilaporkan hilang pada pagi Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia itu berucap pada sidang media di Surabaya, Indonesia menyifatkan pesawat itu berada dalam keadaan baik malah menjalani penyenggaraan seperti dijadualkan pada November sebelum berlepas untuk perjalanan ke Singapura.

Beliau tidak mahu membuat spekulasi mengenai kehilangan pesawat Airbus A320-200 yang membawa 162 penumpang itu.

"Ini satu kejutan yang besar, sememangnya sukar untuk dipercayai. Kami tidak tahu apa yang silap," ujar hartawan penerbangan itu yang kelihatan sugul semasa sidang media semalam.

Pasukan operasi mencari dan menyelamat dikerah untuk mengesan pesawat berusia enam tahun itu yang berlepas pada 5.35 pagi dari Surabaya tetapi terputus hubungan dengan kawalan trafik udara Indonesia pada 7.24 pagi.

“Saya sebagai CEO akan bersama menempuh detik sukar ini. Keutamaan kami sekarang ialah menjaga kebajikan waris terdekat penumpang dan anak kapal,” tambah Fernandes lagi.


8 Fakta tentang kehilangan QZ8501

Disini dikumpulkan beberapa maklumat yang mungkin anda ingin tahu tentang kehilangan pesawat AirAsia QZ8501.

1. Ia merupakan pesawat jenis Airbus A320 yang sedang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura dan memulakan penerbangan jam 5.20 pagi.

2. Membawa 155 penumpang; 138 dewasa, 16 kanak-kanak dan seorang bayi. Turut bersama dalam penerbangan adalah 7 krew; 2 juruterbang, 4 krew kabin dan 1 jurutera teknikal.

3. Komunikasi terakhir antara juruterbang dan pengawal trafik udara adalah pada jam 6.12 pagi (waktu tempatan).

4. Dalam komunikasi terakhir itu, kapten meminta menukar ketinggian untuk mengelak melalui awan tebal.

5. Setakat ini, faktor cuaca buruk dikatakan punca pesawat gagal dikesan.

6. Lokasi terakhir pesawat dikesan adalah di Laut Jawa pada ketinggian 32,000 kaki.

7. Hanya seorang rakyat Malaysia disahkan berada dalam penerbangan itu.

8. Operasi mencari kini difokuskan di sekitar Pulau Belitung.

Suara Politik
Belantan

AirAsia #QZ8501: Pesawat terbang terlalu perlahan?


INDONESIA - Pelbagai teori tentang punca kehilangan pesawat AirAsia QZ8501 mula dibincangkan pakar selepas lebih 32 jam pesawat berkenaan hilang tanpa dapat dikesan.

Memetik laporan Daily Mail, seorang pakar penerbangan, Geoffrey Thomas memberitahu, beliau telah mendapatkan pandangan juruterbang lain dan mereka turut sependapat bahawa kelajuan pesawat malang itu terlalu perlahan.

Pesawat QZ8501 terbang dengan kelajuan kira-kira 100 knot iaitu 160 km sejam lebih perlahan, dan pada ketinggian 36,000 kaki, ia amat berbahaya.

Kata Geoffrey, dia dan juruterbang lain percaya kru pesawat itu cuba mengelak cuaca buruk dengan terbang menaik tetapi kemudian menyedari bahawa mereka terbang terlalu perlahan menyebabkan pesawat menjadi pegun.

Hal yang sama berlaku pada pesawat Air France AF447 yang terhempas pada tahun 2009.

Geoffrey menambah, perkara itu juga boleh terjadi pada sebuah pesawat A320 yang canggih dan moden kerana cuaca yang amat buruk boleh menyebabkan perkara tersebut berlaku.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Disember 29, 2014

KEMASKINI: Identiti warga Malaysia dikenal pasti?


Senarai nama penumpang pesawat AirAsia QZ8501 yang terputus hubungan pagi ini ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura dikeluarkan oleh pihak Kementerian Perhubungan Indonesia.

Dalam senarai tersebut, terdapat 155 penumpang berada dalam pesawat iaitu 70 lelaki dewasa, 68 wanita dewasa, 16 kanak-kanak dan seorang bayi.

Seorang rakyat Malaysia, dikenal pasti sebagai Sii Chung Huei dari Sarawak. Laporan The Star menyebut Sii sepatutnya disertai seorang rakan, namun rakannya itu memilih untuk menaiki penerbangan lain.

Sementara itu, 23 orang lagi direkodkan tidak mendaftar masuk ke dalam pesawat. Senarai tersebut tidak termasuk tujuh anak kapal.





Dalam perkembangan berkaitan, pesawat berkenaan tidak mungkin boleh meneruskan penerbangan lagi.

Ini kerana pesawat itu, menurut Pengarah Kementerian Udara dan Perhubungan, Djoko Murjatmodjo, hanya diisi dengan bekalan minyak yang cukup untuk penerbangan selama kira-kira lima jam sahaja.

Sementara itu media melaporkan, 47 saudara mara dan rakan 57 penumpang pesawat AirAsia Indonesia Penerbangan QZ8501 telah mendaftar diri di Ruang menunggu untuk saudara mara (RHA), Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.

Berikut adalah sebahagian daripada keluarga penumpang dan anak kapal penerbangan QZ8501 yang dirakamkan beberapa agensi berita tempatan dan antarabangsa.





Menurut Changi Airport Group (CAG), 36 pegawai kebajikan CAG dan empat kaunselor daripada Kementerian Sosial dan Pembangunan Keluarga sedang memberi bantuan dan sokongan kepada ahli keluarga di RHA.

Suara Politik
Belantan

Ahad, Disember 28, 2014

Air Asia: Operasi mencari pesawat QZ8501 sedang dijalankan?


Air Asia kini sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat setelah pesawat QZ8501 mereka dilaporkan hilang hari ini.

Menurut kenyataan AirAsia hari ini, operasi mencari dan menyelamat sedang sedang dijalankan dan AirAsia dikatakan bekerjasama penuh membantu perhidmatan menyelamat ini.

Operasi pencarian akan digerakkan melalui udara dan darat dan pesawat itu dilaporkan hilang di kawasan Indonesia.

Pesawat QZ8501 itu dilaporkan terbang pada ketinggian 32000 ribu kaki.

Media lapor, AirAsia juga telah menubuhkan pusat panggilan kecemasan di talian +622129850801 untuk membantu anggota keluarga dan rakan-rakan penumpang pesawat itu.

Menurut AirAsia, pesawat jenis Airbus A320-200 dengan nombor pendaftaran PK-AXC itu hilang perhubungan dengan pusat kawalan trafik pada jam 7.24 pagi ini.


Sementara itu, menurut Kompas.com ada sebuah pesawat dilaporkan terhempas di perairan Belitung Timur (Beltim), Indonesia tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah penerbangan AirAsia Indonesia QZ 8501!

"Tadi Pak Danlanud menelefon Bapak (Basuri), memberi maklumat ada pesawat Airbus jatuh di sekitar perairan Beltim," kata Yuhinu, Ajudan Bupati Beltim, ketika menghubungi bangkapos.com.

Sementara itu, Ketua Polis Marin Beltim, AKP Yanto berkata, maklumat itu masih disiasat.

"Kita masih berhubung dengan direktorat dan mengumpulkan maklumat daripada nelayan mahupun kapal yang melintas perairan Beltim," kata AKP Yanto ketika dihubungi bangkapos.com.

Pesawat AirAsia Indonesia QZ 8501 dilaporkan hilang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura pagi ini.

Suara Politik
Belantan

Sabtu, Disember 27, 2014

PM : Main golf demi hubungan diplomasi!


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan aktiviti bermain golf bersama Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di Hawaii baru-baru ini tidak bermakna beliau sengaja mengabaikan bencana banjir di negara.

Sebaliknya, beliau memberitahu, aktiviti itu telah dirancang atas dasar menjalinkan hubungan diplomasi dengan pemimpin-pemimpin dunia bagi mendatangkan manfaat kepada Malaysia.

Jemputan itu, kata Najib, telah disampaikan sewaktu Obama melawat negara ini April lepas dan amat sukar untuk beliau menolaknya kerana ia telah dirangka lebih awal dalam jadual kedua-dua pihak.

Najib juga menyatakan beliau sering memantau keadaan banjir di Pantai Timur dan apabila keadaan tampak bertambah buruk, beliau segera memendekkan cuti dan kembali untuk melihat sendiri keadaan tersebut.


Najib tinjau keadaan banjir di Kelantan

Dalam pada itu Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meninjau beberapa kawasan yang teruk dilanda banjir di Kelantan.

Perdana Menteri menaiki helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) meninjau antaranya jajahan Pasir Mas, Tumpat, Rantau Panjang dan Tanah Merah.

Beliau turut bertemu mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kubang Batang, Tumpat dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Belimbing di Tanah Merah.

Perdana Menteri kelihatan mendengar suara hati rakyat yang meliputi keluhan, rintihan dan harapan ketika berjumpa mereka.

Mengetepikan protokol, Najib turut makan apa yang dimakan oleh mangsa-mangsa banjir serta minum apa yang mereka minum.


PM umum 3 langkah tambahan bantu mangsa banjir

PM juga mengumumkan tiga langkah tambahan bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara.

Menurut beliau, langkah pertama ialah menyalurkan peruntukan sebanyak RM500 juta menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Langkah kedua ialah pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sepatutnya dibayar hujung bulan Januari dipercepatkan kepada pertengahan bulan Januari.

“Langkah ketiga pula meminta agensi serta institusi berkaitan kewangan supaya membuat penjadualan semula pinjaman mangsa yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau ditemani Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed meluangkan masa melawat mangsa dan meninjau keadaan banjir di Tumpat dan Rantau Panjang.

Suara Politik
Belantan

Rabu, Disember 24, 2014

Beli cincin berlian dengan mengutip sampah!


XINJIANG - Seorang warga emas yang mencari rezeki dengan mengutip sampah telah membeli cincin berlian bagi isteri kesayangannya dengan menggunakan wang simpanan daripada hasil kutipannya sejak bertahun lalu.

Difahamkan, lelaki itu telah membawa isterinya ke pusat beli-belah di Korla dan mengeluarkan seikat wang untuk membeli cincin buat isterinya.

Menurut pengguna Weibo @zhelishixinjiang, lelaki yang berusia 70-an itu turut membantu isterinya memilih cincin paling sesuai untuknya.

"Kehidupan kami sukar dan saya cuma mahu menggembirakannya," lelaki itu dilaporkan berkata di kedai berkenaan.

Kejadian itu menunjukkan kasih sayang yang berpanjangan antara pasangan berkenaan dan membuktikan kisah percintaan romantik masih wujud pada zaman ini.

Suara Politik
Belantan

PT3 : Pelajar skor semua A menurun?


Ujian bertulis Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) telah diperkenal Kementerian Pelajaran Malaysia bagi mengantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula pada tahun ini.

Namun keputusan PT3 yang dikeluarkan semalam telah menimbulkan tanda tanya selain mengejutkan banyak pihak apabila tiada pengumuman rasmi dibuat oleh Kementerian Pendidikan mahupun Jabatan Pelajaran Malaysia atau Jabatan Pendidikan Negeri.

Sehingga jam 6 petang semalam, tiada pengumuman dibuat mengenai jumlah pelajar tingkatan 3 yang mendapat keputusan semua A, pelajar terbaik keseluruhan atau sekolah cemerlang seperti yang biasa dilakukan dalam peperiksaan PMR tahun-tahun sebelumnya.


Peperiksaan PT3 melibatkan sebanyak 2,608 pusat peperiksaan yang terdiri daripada 453,413 pelajar tingkatan 3 di seluruh Malaysia.

Walaubagaimanapun, tinjauan pemberita di sekolah-sekolah cemerlang setiap negeri mendapati berlaku penurunan ketara bagi pelajar yang mendapat keputusan semua A dalam setiap mata pelajaran berbanding PMR tahun lalu.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminudin Baki, Latifah Mahfod berkata, daripada keseluruhan 178 calon yang menduduki PT3 hanya seorang pelajar yang mencapai keputusan 10A dalam semua subjek.

Suara Politik
Belantan

Selasa, Disember 23, 2014

Serban Dan Jangut Bagaikan DiRentap?


Sampai bila Pas mahu dihina dan diperlekehkan oleh rakan dalam pakatan pembangkang? Terbaharu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng terus mempersoalkan komitmen Pas untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Makin lama makin ketara Pas dihenyak-henyak oleh DAP. Kebelakangan ini, para pemimpin DAP secara terbuka menyerang Pas pada Persidangan Kebangsaan DAP 2014 di Putrajaya. Secara analoginya, bukan lagi sekadar serban dan janggut pemimpin Pas direntap bahkan kain juga cuba dilondehkan.

Inilah musim penghinaan yang paling dahsyat ke atas Pas dalam sejarah kerjasama pakatan pembangkang. Kenapa Guan Eng terus berani menekan Pas? Jawapannya kerana beliau yakin dengan 'kesetiaan luar biasa' penasihat PKR, Anwar Ibrahim terhadap DAP selain sudah terlalu selesa dengan sokongan masyarakat Cina.


Meskipun berdepan dengan asakan berterusan DAP, kita bersyukur kerana para pemimpin utama Pas terutama Hadi Awang, Nik Aziz Nik Mat dan Dewan Ulama tidak tunduk dalam isu hudud dan kalimah Allah. Pas sudah berani menolak Anwar dalam banyak isu kritikal berkaitan Islam. Kita yakin Pas boleh menjadi sandaran yang bermaruah.

Tinggal lagi bila parti itu mahu bersikap realistik dan tidak lagi menjadi mangsa buli, apakah mahu terus menadah najis yang dihumban oleh sekutunya atas menu tahaluf siyasi? Hakikatnya akar umbi Pas dalam diam sudah lama resah dan tidak mahu parti itu terus dimalukan lagi. Jangan sampai kain -simbol maruah- terlondeh, baru melompat. Ketika itu, DAP pasti ketawa besar.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Disember 22, 2014

Tabik rakyat Malaysia!


Walaupun impian Malaysia untuk menjulang Piala AFF 2014 tidak kesampaian ekoran kekalahan kepada Thailand (agregat 4-3 ) semalam, kita tetap berbangga dengan barisan pemain negara. Mereka telah mempamerkan semangat juang yang tinggi sehingga mendahului 3-0 seolah-olah juara sudah milik Malaysia.

Namun nasib tidak menyebelahi selain ternyata hakikatnya - pemain Thailand lebih tangkas pada separuh masa kedua. Dalam perlawanan bola sepak, segalagalanya boleh berlaku. Brazil yang dianggap hebat dalam sukan itu pernah dikejutkan dengan kekalahan memalukan 1-7 di gelanggang sendiri pada Piala Dunia lalu.

Bagi penulis kegagalan pada final Piala AFF kali ini tidak terlalu mengecewakan para pemain. Mereka tidak harus rasa terhukum dan patah hati. Prestasi Harimau Malaya menjadi Naib Juara Piala AFF 2014, adalah lebih baik berbanding musim lepas.


Mereka layak diberikan ucapan tahniah oleh rakyat Malaysia. Menewaskan Vietnam dengan jaringan agak besar di negara itu antara memori manis buat rakyat Malaysia yang bakal menutup tirai 2014.

Kita yakin peluang buat Harimau Malaya untuk bangkit terbuka luas pada masa depan. Semoga semua pihak berkenaan terutama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil pengajaran bernilai bagi melonjakkan prestasi skuad bola sepak kita.

Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengembalikan era kegemilangan bola sepak negara di arena antarabangsa sebagaimana dekad 1960-an dan '70-an. Musim Piala AFF kali ini menyerlahkan betapa rakyat Malaysia dahagakan kejayaan dalam sukan paling popular itu.



Biarpun Malaysia tewas semalam, penulis tabik kepada rakyat Malaysia atas sokongan padu kepada Harimau Malaya. Para peminat tegar terutama Ultras Malaya yang sentiasa memenuhi stadium memberikan tahap sokongan yang cukup luar biasa umpama pembawa panji-panji di medan perang.

Perlawanan semalam turut menyaksikan kehadiran peminat bola sepak nombor satu negara, Najib Tun Razak di Stadium Bukit Jalil sebagai tanda sokongan kepada skuad negara. Aktiviti harian rakyat Malaysia terhenti kerana tumpuan kepada siaran secara langsung final tersebut.

Semangat kesukanan telah menyatukan kita semua, yang ngauman Harimau Malaya menjadi pencetusnya. Terima Kasih Harimau Malaya.

Suara Politik
Belantan

Jangan mengalah perangi sindiket pengemis!


Setiap kali anda makan di luar, tidak kiralah di gerai tepi jalan, kafe kaki lima, kedai mamak dan restoran atau singgah di hentian rehat dan rawat, ada satu pengalaman dan pemandangan yang semua orang akan lihat dan lalui. Pengalaman didekati pengemis yang datang dalam pelbagai ragam.

Situasi yang biasa ditemukan adalah kanak-kanak yang mendakwa dari rumah anak yatim, sekolah tahfiz atau sekolah agama. Kategori ini mudah dilihat di kawasan rehat dan rawat. Itu dahulu. Sekarang ini boleh dilihat di mana-mana sahaja.

Mereka tidak meminta `sedekah’ tetapi `menjual’ poster, kalendar, buku, komik atau cakera padat berunsurkan agama. Jualan ini adalah untuk jualan amal dakwa kanak-kanak ini, bagi membantu mendirikan madrasah, sekolah agama, rumah anak yatim.

Sehari suntuk mereka ditinggalkan di situ. Mereka akan menghampiri setiap meja makan pengunjung. Dengan laju dan pantas disebutnya satu skrip standard yang sudah dihafal dan tidak jelas biji butirnya, sebelum menawarkan produk yang dijual. Jangan tanya lebih-lebih, mereka tidak selesa dan gelisah untuk menjawab. Dipelawa makan sekali pun mereka tidak mahu.

Pengemis dewasa pula boleh dilihat di mana-mana, sepanjang masa. Perempuan berpakaian lusuh mengendong anak kecil dengan kole plastik atau seorang lelaki tua bersongkok haji menjaja satu dokumen bersalut plastik yang tulisan di dalamnya sudah lusuh dan tidak boleh dibaca dan difahami. Ada juga lelaki kudung, bertongkat merayu bantuan kewangan untuk membeli kaki palsu. Bertahun-tahun dia menjaja cerita yang sama, jumlah wang seribu dua yang diperlukan masih juga belum mencukupi!

Apabila ditanya kenapa mengemis, kisah yang diceritakan lazimnya penuh kesedihan. Bagi yang pertama kali mendengar memang timbul belas kasihan. Siapa yang tidak tersentuh hari mendengar kisah seorang ayah disingkirkan ahli keluarga, dihalau oleh anak-anak, berkelana ke kota besar dan hidup sebatang kara sebagai pengemis.

Hati mana yang tidak meruntun melihat seorang wanita tua bercerita sedang bertarung dengan penyakit kronik bayi yang dikendongnya itu. Dia memerlukan wang bagi membiayai kos rawatan. Ada juga bercerita ditinggalkan suami. Pendek kata, ceritanya lebih kurang sama sahaja.

Satu lagi golongan yang paling biasa kita tengok ialah golongan orang kurang upaya (OKU). Mereka yang cacat penglihatan dipimpin oleh seorang lelaki atau wanita yang sihat walafiat. Tidak pasti sama ada itu suami atau isteri OKU terlibat. Sambil membawa tisu, mereka singgah dari satu meja ke satu meja. Mereka jarang bersuara atau berkata-kata kecuali ucapan `Assalamualaikum’ sahaja.

Mereka menjelajah dari satu kawasan tumpuan ke satu kawasan lain. Mereka mengulangi laluan yang sama, beberapa jam selepas itu. Kalau anda tidak percaya, cuba lepak lama-lama sikit di satu-satu restoran di Bangsar atau tempat-tempat tumpuan lain. Pengemis pertama yang menghampiri meja makan anda pada pukul 8.30 malam akan muncul semula di tempat anda dua jam kemudian dan muncul sekali lagi selepas pukul 12 tengah malam!

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini muncul satu lagi kategori pengemis, dipercayai warga asing. Berdasarkan susuk badan dan wajah serta cara berpakaian, mereka bukan warga tempatan. Juga bukan orang kurang upaya. Kumpulan ini tidak mengacau restoran atau kedai makan. Mereka memilih persimpangan bertingkat, simpang berlampu isyarat serta jalan-jalan yang sibuk dengan kenderaan sebagai lokasi sasaran.

Cara mereka beroperasi tidak ubah seperti pengemis di beberapa buah negara jiran dan negara Asia Barat. Ketika kenderaan berhenti pada lampu isyarat merah, pengemis ini mula menghampiri setiap kenderaan yang ada sambil menghulurkan tangan meminta sedekah atau menjual tisu atau barang permainan kanak-kanak.

Mengemis adalah salah satu cara paling mudah mendapatkan wang dan lumayan. Aktiviti mengemis yang sedang berleluasa dengan sebebas-bebasnya sudah pasti didalangi sindiket. Ini berdasarkan kepada beberapa serbuan pihak berkuasa sebelum ini. Modus operandi mereka sangat sistematik, meliputi hampir semua bandar besar dan licik. Mereka memperalatkan orang kurang upaya, orang tua, kanak-kanak dan bayi.

Dalam satu malam sindiket menjelajah banyak kawasan, hampir seluruh ibu kota. Selagi premis kedai makan atau restoran dibuka selagi itulah mereka bergerak. Bayangkanlah kalau seorang pelanggan menghulurkan satu ringgit bagi setiap meja, berapa agaknya dapat dikumpulkan dalam satu malam. Oleh kerana pelanggan bersilih ganti di sesebuah restoran atau kedai makan, sindiket yang sama berupaya membuat kutipan pada pusingan kedua, ketiga, keempat, kelima sehingga kedai menutup perniagaan.

Pengemis warga asing yang beroperasi di tepi-tepi jalan dan simpang lampu isyarat juga dipercayai didalangi sindiket. Manalah mereka tahu hendak ke Sierramas, Meru, Klang kalau tidak dihantar sindiket. Sejak awal pagi lagi mereka sudah berada di situ.

Aktiviti mengemis kelihatan bebas beroperasi dan tidak ada halangan langsung. Lebih rancak kerana rakyat Malaysia terlalu pemurah dan baik hati. Masyarakat negara ini cepat merasa simpati tatkala didekati oleh mereka yang `kurang bernasib baik.’ Mereka berasa serba salah jika tidak menghulur seringgit dua. Lebih terasa malu bila memikirkan makan beratus ringgit, seringgit pun hendak berkira.

Adakah segala wang yang diderma itu dapat kepada si pengemis atau sindiket yang mengawal mereka yang kenyang? Melihat kepada kepesatan aktiviti ini, pihak berkuasa tidak boleh berdiam diri lagi. Pemandangan pengemis berkeliaran di setiap ceruk kedai, restoran serta tempat tumpuan ramai menyakitkan pandangan. Pelanggan yang menikmati makan tengah hari, malam dan tengah malam pun tidak selesa. Dari satu segi, ia memberi imej yang tidak elok kepada negara.

Sindiket ini perlu dibanteras. Pihak berkuasa yang terlibat jangan sesekali mengalah dan kelihatan tewas dalam memeranginya.

Suara Politik
Belantan

Ahad, Disember 21, 2014

Maksud bendera hitam yang digunakan pengganas!


Dikenali secara meluas sebagai ‘The Black Standard’ atau ‘The Black Banner’ oleh masyarakat dunia, bendera yang sering dipamerkan oleh para ekstremis muslim dan pejuang jihad ini mula digunakan sejak awal tahun 90an.

Ia mula dikibarkan sekitar tahun 570 masihi oleh Nabi Muhammad saw. Bendera berkenaan mula mendapat perhatian pada tahun 1997 apabila digunakan oleh kumpulan Taliban di Afghanistan.

Militan-militan Islam lain seperti Al-Qaeda, al-Shabaab, Khorasan, Jabhat al-Nusra dan Negara Islam (ISIS) menggunakan variasi yang sedikit berbeza terutama tulisan kaligrafinya.

Menurut Jonathan Bloom, profesor Kesenian Islam di Kolej Boston di Amerika Syarikat berkata, bendera terbabit merupakan gagasan dari abad ke lapan ketika semasa dinasti kedua Islam mula berkuasa.

“Bendera hitam putih tersebut tertera kalimah syahadah ‘Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah” yang menjadi pegangan masyarakat Islam seluruh dunia,” ujar Jonathan.

Kebiasaannya, pengibaran serambi itu sering disertai dengan jari telunjuk yang oleh pejuang jihad berkenaan yang memberi amaran "saya akan datang kepada kamu".

Kebangkitan serta salah penggunaan bendera ini oleh militan Islam di seluruh dunia telah menyebabkan United Kingdom mengharamkan mengibarkannya malah mereka yang melakukan perbuatan tersebut boleh didakwa.

Negara-negara Eropah lain seperti Belanda dan Jerman turut melarang penggunaannya selain dari tujuan pendidikkan.

Suara Politik
Belantan

Harimau berduka dalam menang!


Impian peminat bola sepak negara untuk berpesta menyambut Harimau Malaya muncul juara ASEAN terpaksa ditunda sekurang-kurangnya dua tahun lagi setelah mereka melepaskan kelebihan tiga gol untuk tumpas kepada Thailand dengan agregat 4-3 walaupun menang 3-2 malam tadi.

Perlawanan akhir kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi sekali lagi menyerlahkan betapa kele­mahan mempertahankan kubu pada peng­hujung perlawanan merosakkan keraian awal peminat apabila skuad negara dibolosi dua gol, seperti yang berlaku dalam perlawanan akhir pertama di Bangkok pada Rabu lalu yang menyaksikan anak-anak buah Dollah Salleh tumpas 2-0.

Permulaan garang Harimau Malaya hingga minit ke-80 untuk mendahului 3-0, berakhir dengan cara yang begitu menyakitkan.

Safiq Rahim meledak dua gol pada minit kelima dan 58 manakala satu lagi gol diperoleh menerusi Indra Putra Mahayuddin, namun tahap kecergasan sekali lagi menjadi nadi kejayaan Thailand apabila dua bintang muda mereka, Charyl Chappuis dan Chanathip Songkrasin meledak jaringan di tempat lawan yang cukup penting pada minit ke-81 serta 87.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan buat Thailand dalam tempoh 12 tahun selepas kali terakhir memenangi kejohanan ini pada 2002. Mereka juga merupakan juara 1996 dan 2000 untuk menyamai rekod Singapura yang merangkul empat kejuaraan.


Kekalahan kali ini merupakan yang kedua skuad negara kepada Thailand dalam perlawanan akhir, setelah melakukannya pada edisi pertama kejohanan pada 1996.

Dalam perlawanan malam tadi, anak-anak buah Dollah menunjukkan semangat juang tinggi untuk menjulang Piala AFF buat pertama kali di hadapan penyokong sendiri selepas pada tahun 2010 dilakukan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Safiq membuka langkah penuh sempurna apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit kelima selepas Norshahrul Idlan Talaha dijatuhkan.

Namun, lima minit kemudian, penyokong-penyokong Harimau Malaya hampir terdiam apabila ke­cuaian Mohd. Farizal Marlias hampir memakan diri apabila kelewatannya menyaksikan sepakannya dapat ditampan oleh Adisak Kraisorn tetapi bola melintasi gawang.

Kehadiran Azammuddin Akil di dalam kesebelasan utama pula tidak panjang apabila terpaksa keluar pada minit ke-12 dan digantikan oleh Safee Sali yang memaksa Dollah melakukan rombakan meletakkan Amri Yahyah di bahagian kanan sementara Indra Putra di sebelah kiri.

Norshahrul kemudian mendapat kesempatan terbaik pada minit ke-39 namun sepakan leretnya mengenai pertahanan Thailand dan bola keluar ketika penjaga gol, Kawin Thamsatchanan sudah tertewas.


Stadium Nasional kemudian bergegar dengan sorak penyokong apabila hantaran silang Norshahrul ditanduk sempurna oleh Indra Putra bagi menyamakan kedudukan agregat pada minit ke-44.

Sebaik bermula babak kedua, anak-anak buah Dollah yang memburu satu lagi gol untuk mendahului dari segi agregat, berjaya melakukannya apabila Safiq menyempurnakan sepakan bebas berdekatan kawasan penalti 13 minit selepas rehat yang sama sekali menewaskan Kawin, sekali gus muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol.

Pesta yang disangka bermula buat penyokong Harimau Malaya kemudian bertukar menjadi babak sedih dengan kegagalan skuad negara meneruskan aksi bertenaga selama 90 minit sehingga membuka ruang buat Gajah Perang mendapatkan dua jaringan dalam tempoh 10 minit.

Sepakan bebas yang dilakukan oleh Kroekrit Thawikan dapat ditampan oleh Farizal tetapi Charyl pantas menyambar peluang untuk kembali menyamakan kedudukan agregat.

Gol itu ternyata membunuh api perjuangan pemain-pemain Harimau Malaya dan kesempatan itu diambil oleh Thailand yang mengatur serangan pantas, hasilnya pemain paling bernilai kejohanan Piala AFF 2014, Chanathip memastikan Piala AFF kembali ke bumi mereka.

Suara Politik
Belantan

Jumaat, Disember 19, 2014

Pembuli jalan raya serang kenderaan kerajaan?


Satu lagi gambar yang didakwa kes buli jalan raya tersebar di media sosial.

Laporan beberapa portal berita menyebut kejadian buli tersebut melibatkan sebuah kereta Perodua MyVi dan juga sebuah Hilux yang dimiliki oleh Unit Vektor Jabatan Kesihatan Daerah Ulu Langat

Dipercayai, lelaki pemandu MyVi bertindak memecahkan cermin kereta Hilux yang terlibat dengan menggunakan stereng lock.

Terdapat tiga gambar yang disertakan bersama dakwaan ini. Gambar pertama (atas) memaparkan pemilik MyVi yang terlibat keluar dari kenderaannya sambil membawa pengunci stereng.


Gambar kedua dan ketiga pula memaparkan kereta Hilux milik Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat yang sudah dipecahkan cermin sebelah kanan.

Suara Politik
Belantan

Khamis, Disember 18, 2014

Tahaluf siyasi pakatan pembangkang terbatal?


Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasruddin Hassan menegaskan penolakan hukum hudud oleh DAP akan menyebabkan tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang terbatal kerana jika Pas mengabaikan dasar itu, hukumnya adalah haram.

Menurut beliau, tahaluf siyasi bukanlah sebuah parti yang mempunyai satu ideologi sebaliknya kerjasama itu adalah berkait dengan tindakan politik yang dipersetujui bersama tanpa mengganggu hak dan dasar perjuangan masing-masing.

Katanya, kerjasama tersebut hanyalah dalam urusan kepentingan bersama membabitkan aspek politik untuk menolak kezaliman, penindasan, rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan pelbagai lagi tanpa melepasi dasar perjuangan parti.

“Jika DAP buat syarat pakatan pembangkang mestilah tanpa pelaksanaan Islam dan syariatnya, dan menegaskan bahawa Pas tidak boleh melaksanakan syariat Islam termasuk hudud, maka pada saya, syarat dan penegasan yang DAP buat itu membatalkan syarat tahaluf, tiada ertinya lagi tahaluf siyasi ini.

“Jika dasar parti terhalang untuk ditunai dan dilaksana dengan kerjasama ini, maka tahaluf ini batal. Malah tidak keterlaluan kalau saya nyatakan hukumnya adalah haram,” katanya dalam wawancara yang dipetik daripada portal Malaysia Transform di sini hari ini.

Beliau yang berada di Mekah mengulas perkembangan terkini dalam pakatan pembangkang berikutan beberapa siri serangan terbuka oleh pemimpin DAP termasuk daripada Lim Guan Eng sendiri, khususnya berhubung isu hudud dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2014 kelmarin.

Guan Eng dalam nada kerasnya mendesak pakatan agar memuktamadkan pendirian untuk tidak melaksanakan hukum hudud jika pembangkang berjaya memenangi pilihan raya umum akan datang, kononnya perkara itu adalah aspirasi daripada penyokong pembangkang.

Persidangan tersebut yang dihadiri 938 perwakilan juga sebulat suara meluluskan resolusi menolak pelaksanaan hudud sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan sekiranya pakatan pembangkang berjaya mentadbir Putrajaya.

Mengulas lanjut, Nasruddin berkata, Pas tidak akan sama sekali mengabaikan dasar perjuangan demi pakatan pembangkang, justeru DAP tidak sepatutnya menghalang pelaksanaan hukum hudud jika tidak mahu gabungan tersebut berpecah.

Dalam wawancara itu, Nasruddin turut mengakui bahawa kedudukan pakatan pembangkang kini semakin sukar kerana kesemua pihak belum ‘menemui lantai untuk sama-sama bersila menyelesaikan masalah yang dihadapi’.

Meskipun begitu tegasnya, Pas akan tetap mempertahankan dasar tersebut dalam apa juga cara dan menyifatkan pihak yang menolak hukum hudud sebagai penghalang kepada perjuangan Islam.

“Pas akan tetap berjuang untuk melaksanakan Islam dan syariatnya. Hudud adalah sebahagian daripadanya. Ia adalah kewajipan agama yang ditetapkan syarak, tiada siapa yang boleh halang, kalau mereka halang bererti mereka menjadi penghalang kepada perjuangan Islam.

“Kepada mereka yang meng­halang kerana dendam, benci, ang­kuh dan semangat menentang Islam, maka akan didepani dengan sebijaknya dan sesuai dengan penentangan yang dihadapi. Hujah dengan hujah, saraf dengan saraf, senjata dengan senjata,” tegas beliau. - UMO

Suara Politik
Belantan

Rabu, Disember 17, 2014

Perbualan Telefon Anwar Pujuk Ahli Parlimen BN Lompat Parti Didedahkan Di Mahkamah?


KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa terdapat tiga individu, termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, cuba memintanya supaya melompat parti pada tahun 2008.

Menerusi kenyataan saksi yang dikemukakan hari ini, Mohd Puad berkata dua individu lagi ialah bekas setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution yang menghubunginya ketika berada di Taiwan.

Seorang lagi ialah rakan Anwar, Dr Abdul Rahim Ghouse, yang menemuinya di Johor.

Kedua-dua kejadian itu berlaku pada Sept 2008.

Mohd Puad dipanggil sebagai saksi defendan dalam kes saman RM100 juta yang dikemukakan oleh Anwar terhadap Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berhubung kenyataan Anifah dalam sidang media di Washington pada Mei 2009.

Mohd Puad berkata Saifuddin telah menghubunginya semasa beliau bersama 30 anggota Parlimen BN mengadakan lawatan sambil belajar ke Taiwan, anjuran Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), beberapa hari sebelum 16 Sept 2008, iaitu tarikh yang disebut oleh Anwar untuk membentuk kerajaan baru.

Mohd Puad berkata program itu diadakan oleh BNBBC bagi mengelak percubaan ahli Parlimen pembangkang menghubungi ahli Parlimen BN supaya melompat parti.

“Pada ketika itu, sesiapa yang tidak mengikuti program tersebut ke Taiwan, mereka akan menjadi suspek atau disyaki akan melompat parti,” katanya.

Mohd Puad berkata Saifuddin turut memaklumkan bahawa Tian Chua dan Fuziah Salleh turut bersamanya di negara itu, dan mereka menginap di hotel yang sama dengan anggota Parlimen BN.

“Saya telah bertanyakan kepadanya bagaimana boleh mengetahui nombor bilik hotel penginapan saya sedangkan kami telah mengarahkan kepada pihak pengurusan hotel untuk tidak memberitahu berkenaan butiran tersebut kepada sesiapa.

“Saifuddin telah memberitahu bahawa beliau mendapatkan pertolongan daripada salah seorang Ahli Parlimen Taiwan,” katanya.

Mohd Puad berkata selepas perbualan tersebut, beliau dan ahli Parlimen yang lain bersiap sedia ke Macau untuk mengelak didekati ahli Parlimen pembangkang sebelum pulang ke Malaysia pada 18 Sept 2008.

Sekembalinya dari Macau, beliau pula dihubungi oleh Abdul Rahim pada 19 Sept 2008 untuk bertemu dan turut menyatakan yang “rancangan 16 Sept akan tetap berlaku beberapa minggu selepas itu atau sekitar 25 Sept.”


Abdul Rahim turut berkata Anwar memerlukan sekurang-kurangnya seorang ahli Parlimen Melayu dari Johor, dan bersetuju untuk menemui Abdul Rahim di gerai makan di Perhentian Batu Pahat di Jalan Omar, katanya.

Mohd Puad berkata dalam pertemuannya dengan Abdul Rahim pada 2 pagi 20 Sept 2008 di Batu Pahat, Abdul Rahim turut menyatakan bahawa bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak lama lagi akan hilang suara majoriti di Dewan Rakyat.

Abdul Rahim berkata “Beberapa ahli Parlimen BN telah menandatangani surat persetujuan untuk menyatakan sokongan terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri, dan beliau difahamkan surat tersebut sebagai suatu Akuan Berkanun,” katanya.

Mohd Puad berkata Abdul Rahim juga turut menyatakan bahawa 30 orang ahli Parlimen BN akan melompat parti dan surat persetujuan tersebut akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai bukti Anwar telah mendapat suara majoriti di dalam Dewan Rakyat.

“Saya telah memberitahu bahawa saya belum bersedia untuk menandatangani Akuan Berkanun tersebut,” katanya.

Abdul Rahim kemudian telah menghubungi Anwar melalui telefon bimbitnya, dan meminta ketua pembangkang itu bercakap sendiri dengannya, kata Mohd Puad.

Beliau berkata: “Anwar sempat menyatakan “Puad, we have enough numbers and its going to happen, but we still need a Malay MP from Johor like you to be with us.”

(Puad, kami mempunyai bilangan yang cukup dan ia akan berlaku, tapi kami perlukan seorang MP dari Johor seperti awak untuk bersama kami).

Mohd Puad berkata Anwar juga menyatakan “dengan nada yang menyakinkan bahawa empat Sultan telah bersetuju dan menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Persekutuan.

Antara negeri yang disebut adalah Perlis, Perak, Terengganu dan Selangor, katanya.

“Saya telah bertanya kepada Anwar tentang bagaimana dengan agenda Melayu dan plaintif telah menjawab bahawa beliau akan melindungi agenda Melayu.

“Saya berasa gementar, dan telah menyatakan kepada Anwar bahawa saya orang Johor dan Umno telah dilahirkan di Johor,” katanya.

“Jika saya tandatangan surat tersebut, Sultan akan murka dan memerintahkan saya untuk meninggalkan Johor. Kemudiannya saya memberitahu Anwar bahawa saya hendak pulang ke rumah dan melakukan solat istikharah. Perbualan saya dan Anwar terhenti setakat itu,” katanya.

Mohd Puad berkata selepas pulang ke rumah dan solat, beliau telah mendapat petunjuk mimpi bahawa sekiranya menandatangani surat tersebut bererti beliau telah menjual negara.

Susulan itu, beliau telah menghubungi Abdul Rahim dan memberitahunya “you tell Anwar, tumbang-tumbanglah, I am prepared to be the opposition but I will not sign the letter.”

(anda beritahu Anwar, tumbang-tumbanglah, saya sedia jadi pembangkang, tapi saya tidak akan tandatangani surat itu).

Mohd Puad berkata selepas kejadian itu beliau telah berlepas ke Aceh kerana tidak mahu diganggu.

Anwar telah mengemukakan saman terhadap Anifah dan kerajaan Malaysia pada 27 Mei 2009 kerana mendakwa kenyataan Anifah pada sidang media di Washington, pada 16 Mei 2009, yang turut dihadiri oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat yang ketika itu Hillary Clinton, telah mencemarkan nama baiknya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S.Hassan Badjenid bersambung 26 Dis ini -BERNAMA

Suara Politik
Belantan

Selasa, Disember 16, 2014

DAP tolak hudud Pas?

Barisan pemimpin DAP, Pas dan PKR yang hadir dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2014 di Petaling Jaya, semalam.

Resolusi diluluskan sebulat suara 938 perwakilan

Perjuangan Pas untuk melaksanakan hukum hudud semakin sukar apabila DAP menegaskan pakatan pembangkang tidak akan melaksanakan undang-undang Islam itu jika berjaya memerintah negara selepas pilihan raya umum akan datang.

Pendirian DAP itu juga diper­ku­kuhkan melalui satu resolusi menolak pelaksanaan hukum hudud sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan yang diluluskan sebulat suara oleh 938 perwakilan semasa Persidangan Kebangsaan DAP 2014 di Petaling Jaya semalam.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, penolakan hukum hu­dud perlu dimuktamadkan kerana itu adalah aspirasi pengundi dalam memberi sokongan kepada pembangkang untuk merampas Putrajaya.

“Untuk menang Pilihan Raya Umum ke-14, kita mesti ada pendirian tegas, kedudukan jelas bahawa pakatan pembangkang yang memerintah di Putrajaya tidak akan melaksanakan undang-undang hudud.

“Itu mesti jelas sama sekali, kerana itulah aspirasi pengundi-pengundi sederhana bukan pengundi ekstrem,” katanya ketika ucapan perasmian di persidangan itu.

Yang turut hadir, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Mohamed Azmin Ali. Bagaimanapun, Pas hanya diwakili Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Hatta Ramli.

Ketiadaan pemimpin kanan Pas dalam persidangan itu menimbulkan persoalan tentang hubungan kedua-dua parti yang semakin tegang dan telah berlarutan sejak enam bulan lalu berikutan krisis perebutan jawatan Menteri Besar Selangor.

Baru-baru ini, pemimpin kedua-dua parti turut bertikam lidah apabila Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP meluluskan resolusi bagi mendesak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Pembangkang.

Sementara itu, dalam ucapannya, Guan Eng turut menyatakan kesetiaan DAP menunggu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhadapan dengan hukuman penjara akibat kesalahan liwat.

“Di sini saya ingin memberi ja­­mi­nan kepada Kak Wan (Wan Azizah), sekiranya Anwar masuk penjara, jangan bimbang kita akan tunggu sampai beliau keluar penjara,” katanya.

Sebelum ini, DAP telah menyatakan pendirian untuk menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang pilihan raya umum.

Selain Guan Eng, Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dalam ucapannya turut mempersoalkan beberapa pihak yang cuba memperkenalkan undang-undang bersifat keagamaan di negara ini.

Beliau yang tidak menjelaskan perkara itu secara khusus berkata, Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara, justeru sebarang dasar yang cuba mencabulinya tidak boleh dibiarkan.

Dalam pada itu, perwakilan dari Perak, Wong Kah Woh semasa perbahasan meminta mana-mana pemimpin pakatan pembangkang yang tidak bersetuju dengan keputusan dibuat gabungan itu supaya segera berundur.

“Ini penting, pemimpin daripada parti yang ingkar untuk ikut keputusan tersebut atau mahu vetokan keputusan, beliau tidak layak jadi pemimpin dan harus undur diri,” katanya tanpa merujuk kepada mana-mana parti.

Suara Politik
Belantan

Krisis Tebusan Sydney: 3 mati selepas digempur polis!


AUSTRALIA – Krisis tebusan di sebuah kafe di Sydney berakhir lewat malam semalam apabila pasukan polis menembak mati pengganas yang menawan hampir 15 orang sejak pagi.

Walaubagaimanapun, operasi gempur yang dijalankan pada pukul 12.40 pagi (waktu tempatan) itu turut mengorbankan dua orang awam yang menjadi tebusan selama 16 jam.

Menurut laporan media tempatan, mereka yang terbunuh adalah pengurus kafe, Tori Johnson, 34 dan seorang peguam, Katrina Dawson, 38. Sementara itu, empat mangsa lain dilaporkan cedera termasuk seorang anggota polis.

Sydney semalam dikejutkan dengan tindakan seorang lelaki bersenjata yang kemudiannya dikenalpasti sebagai pelarian dari Iran telah menawan sebuah kafe di pusat bandar.

Kafe Lindt Chocolat terletak di sebuah pusat membeli-belah yang sering menjadi tumpuan ramai di Martin Place.

Man Haron Monis

Lelaki bersenjata terbabit dikenali sebagai Man Haron Monis telah memaksa dua tebusan memegang bendera hitam bertulisan Arab di cermin kafe.

Suspek melarikan diri dari Iran ke Australia pada tahun 1996 untuk mendapat suaka politik di mana beliau menukar namanya kepada Man Haron Monis dan menggunakan gelaran Sheik Haron. Monis juga pernah didakwa atas beberapa kesalahan jenayah.

Monis dilapurkan tidak mendapat sokongan umat Islam arus perdana dan sebelum ini pernah menarik perhatian media melalui kempen "surat kebencian" iaitu bantahan kehadiran pasukan Australia di Afghanistan.- theguardian

Suara Politik
Belantan

Krisis tebusan Sydney: Polis serbu bangunan!


SYDNEY - Satu 'footage' rakaman secara langsung dari kafe di mana seorang lelaki menahan sekumpulan tebusan disiarkan kira-kira jam 11.20 malam tadi. Dalam 'footage' berkenaan, beberapa das tembakan kedengaran selain bunyi letupan.

Laporan setakat ini mengatakan seorang tebusan ditembak, sementara empat yang lain cedera.

'Footage' awal menunjukkan polis merempuh masuk bangunan tersebut sebelum lima orang awam dilihat berlari keluar.

Robot pemusnah bom juga dibawa masuk.

Satu laporan lain menyebut dua orang terkorban, namun tiada kepastian dan identiti mereka belum dapat disahkan.

Suara Politik
Belantan

Isnin, Disember 15, 2014

Terkini di Sydney : 13 orang menjadi tahanan militan di kafe?


AUSTRALIA – Dua orang lelaki bersenjata yang dipercayai pejuang jihad menahan hampir 13 orang di sebuah kafe yang terletak di Sydney.

Dua suspek berkenaan dilihat membawa bendera pejuang jihad semasa mengertak polis dengan meletakkan beberapa tahanan berdiri di tepi tingkap premis.

Laporan awal menganggarkan sejumlah 40 hingga 50 orang awam yang ditahan di kedai Lindt yang popular dengan penjualan coklat.

"Ini merupakan kejadian yang amat getir tetapi warga Australia perlu mempunyai keyakinan terhadap agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan negara. Mereka terlatih dan boleh bertindak balas dengan cara yang teliti dan profesional," ujar Perdana Menteri Australia, Tony Abbott.


Faktor keganasan atau politik

Insiden ini masih tidak ditakrifkan sebagai serangan keganasan namun pihak berkuasa dilaporkan mengambil kedudukan yang konsisten dengan peristiwa keganasan. Motif utama penahanan juga masih kabur.

“Setakat ini kami belum berjaya berhubungan dengan lelaki bersenjata terbabit,” ujar Pesuruhjaya Polis NSW, Andrew Scipione.

Pemilik premis Lindt Australia iaitu Steve Loane menyatakan bahawa kemungkinan 40 hingga 50 orang awam yang menjadi tahanan merangkumi pelanggan dan pekerja.

Kabinet Jawatankuasa Keselamatan Negara Australia telah bertemu bagi membincangan isu tebusan sebentar tadi.

Dalam sidang akhbar sekitar 11 pagi waktu tempatan, Perdana Menteri Tony Abbott tidak dapat mengesahkan situasi tersebut berkaitan dengan motif politik. Beliau tidak menolak kemungkinan faktor berkenaan.

"Tujuan tindakan bermotifkan politik adalah sekadar menakutkan orang. Australia adalah negara yang aman, dan murah hati serta terbuka lantas saya menyeru kepada semua rakyat untuk menjalani kehidupan seperti biasa,” tambahnya lagi.


Suspek dilihat awal pagi

Pekerja kafe Lindt yang dikenali sebagai Bruno berjaya meloloskan diri dari lokasi kejadian berkongsi kisah mendebarkan yang baru dialaminya.

“Semua orang sedang duduk semasa pintu hadapan dikunci. Seorang lelaki misteri berjanggut dan memakai topi mula berkeliaran ke sekeliling kedai,” ujar Bruno.

Seorang saksi lain mengatakan terlihat seorang lelaki membawa beg sukan berwarna biru yang dirasakan berisi senjata api pada jam 9.44 pagi waktu tempatan.

Bangunan dikosongkan

Kedai coklat berkenaan dianggar terletak 30 ke 40 meter dari pejabat Channel7. Meskipun keseluruhan bangunan telah dikosongkan, stesen TV terbabit tetap mempunyai kamera di sekeliling bangunan.


Kawasan Martin Place merupakan lokasi terletaknya beberapa syarikat besar termasuklah pejabat Mike Baird iaitu Menteri Infrastruktur, Reserve Bank of Australia, bank Westpac, ibu pejabat Commonwealth Bank dan kedutaan Amerika Syarikat.

Beberapa bangunan besar di seluruh Australia turut ditutup sebagai langkah berjaga-jaga. Antaranya Rumah Opera Sydney, Mahkamah Agung, Hospital Sydney, Perpustakaan Negeri NSW, Parlimen NSW dan Konsulat Amerika Syarikat.- News Corp Australia

Suara Politik
Belantan