Ahad, Disember 21, 2014

Harimau berduka dalam menang!


Impian peminat bola sepak negara untuk berpesta menyambut Harimau Malaya muncul juara ASEAN terpaksa ditunda sekurang-kurangnya dua tahun lagi setelah mereka melepaskan kelebihan tiga gol untuk tumpas kepada Thailand dengan agregat 4-3 walaupun menang 3-2 malam tadi.

Perlawanan akhir kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi sekali lagi menyerlahkan betapa kele­mahan mempertahankan kubu pada peng­hujung perlawanan merosakkan keraian awal peminat apabila skuad negara dibolosi dua gol, seperti yang berlaku dalam perlawanan akhir pertama di Bangkok pada Rabu lalu yang menyaksikan anak-anak buah Dollah Salleh tumpas 2-0.

Permulaan garang Harimau Malaya hingga minit ke-80 untuk mendahului 3-0, berakhir dengan cara yang begitu menyakitkan.

Safiq Rahim meledak dua gol pada minit kelima dan 58 manakala satu lagi gol diperoleh menerusi Indra Putra Mahayuddin, namun tahap kecergasan sekali lagi menjadi nadi kejayaan Thailand apabila dua bintang muda mereka, Charyl Chappuis dan Chanathip Songkrasin meledak jaringan di tempat lawan yang cukup penting pada minit ke-81 serta 87.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan kemarau kejuaraan buat Thailand dalam tempoh 12 tahun selepas kali terakhir memenangi kejohanan ini pada 2002. Mereka juga merupakan juara 1996 dan 2000 untuk menyamai rekod Singapura yang merangkul empat kejuaraan.


Kekalahan kali ini merupakan yang kedua skuad negara kepada Thailand dalam perlawanan akhir, setelah melakukannya pada edisi pertama kejohanan pada 1996.

Dalam perlawanan malam tadi, anak-anak buah Dollah menunjukkan semangat juang tinggi untuk menjulang Piala AFF buat pertama kali di hadapan penyokong sendiri selepas pada tahun 2010 dilakukan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Safiq membuka langkah penuh sempurna apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit kelima selepas Norshahrul Idlan Talaha dijatuhkan.

Namun, lima minit kemudian, penyokong-penyokong Harimau Malaya hampir terdiam apabila ke­cuaian Mohd. Farizal Marlias hampir memakan diri apabila kelewatannya menyaksikan sepakannya dapat ditampan oleh Adisak Kraisorn tetapi bola melintasi gawang.

Kehadiran Azammuddin Akil di dalam kesebelasan utama pula tidak panjang apabila terpaksa keluar pada minit ke-12 dan digantikan oleh Safee Sali yang memaksa Dollah melakukan rombakan meletakkan Amri Yahyah di bahagian kanan sementara Indra Putra di sebelah kiri.

Norshahrul kemudian mendapat kesempatan terbaik pada minit ke-39 namun sepakan leretnya mengenai pertahanan Thailand dan bola keluar ketika penjaga gol, Kawin Thamsatchanan sudah tertewas.


Stadium Nasional kemudian bergegar dengan sorak penyokong apabila hantaran silang Norshahrul ditanduk sempurna oleh Indra Putra bagi menyamakan kedudukan agregat pada minit ke-44.

Sebaik bermula babak kedua, anak-anak buah Dollah yang memburu satu lagi gol untuk mendahului dari segi agregat, berjaya melakukannya apabila Safiq menyempurnakan sepakan bebas berdekatan kawasan penalti 13 minit selepas rehat yang sama sekali menewaskan Kawin, sekali gus muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol.

Pesta yang disangka bermula buat penyokong Harimau Malaya kemudian bertukar menjadi babak sedih dengan kegagalan skuad negara meneruskan aksi bertenaga selama 90 minit sehingga membuka ruang buat Gajah Perang mendapatkan dua jaringan dalam tempoh 10 minit.

Sepakan bebas yang dilakukan oleh Kroekrit Thawikan dapat ditampan oleh Farizal tetapi Charyl pantas menyambar peluang untuk kembali menyamakan kedudukan agregat.

Gol itu ternyata membunuh api perjuangan pemain-pemain Harimau Malaya dan kesempatan itu diambil oleh Thailand yang mengatur serangan pantas, hasilnya pemain paling bernilai kejohanan Piala AFF 2014, Chanathip memastikan Piala AFF kembali ke bumi mereka.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: