Sabtu, Disember 06, 2014

Mahkamah Persekutuan Sedang Siapkan Penghakiman Kes Anwar – Ketua Hakim Negara?


Mahkamah Persekutuan sedang menyiapkan penghakiman berhubung rayuan terakhir Penasihat PKR Anwar Ibrahim untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas sabitan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lepas.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria ketika dihubungi Bernama hari ini berkata beliau tidak dapat memberikan tarikh tepat kerana panel hakim masih menyiapkan penghakiman mereka.

“Saya tidak boleh memberitahu tarikh sebenar sehingga kami (hakim-hakim) melengkapkan penghakiman. Kami masih membaca penghujahan, biarlah kami membaca terlebih dahulu sebelum menulis penghakiman. Berilah kami ruang untuk menyediakannya,” katanya ketika ditanya mengenai tarikh pengumuman keputusan kes rayuan Anwar oleh Mahkamah Persekutuan.

Arifin, yang mempengerusikan panel lima hakim dalam kes rayuan itu berkata, seseorang hakim diberi tempoh yang munasabah untuk menyelesaikan penghakiman kerana setiap kes adalah berbeza.

Empat lagi hakim ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.


Arifin menjelaskan, amalan standard bagi Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk menyiapkan penghakiman mereka ialah dalam tempoh tiga bulan selepas kes itu didengar.

“Tetapi dalam kes-kes tertentu, mahkamah (Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan) akan mengambil masa lebih lama, mungkin sehingga enam bulan untuk menyiapkan penghakiman. Ia bergantung kepada kerumitan kes itu,” katanya.

Pada 7 Nov, Mahkamah Persekutuan menangguhkan penghakiman berhubung rayuan kes itu selepas mendengar hujahan peguam Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang mengetuai pasukan 15 peguam termasuk tiga anak mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh Deo, Sangeet Kaur Deo dan Gobind Singh Deo serta peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Pendengaran rayuan itu yang pada awalnya ditetapkan dua hari mulai 28 Okt telah berlarutan selama lapan hari berikutan pihak pembelaan dan pendakwaan menyampaikan hujahan panjang lebar dan mengemukakan banyak rujukan kes undang-undang dalam rayuan itu.

Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi di negara ini, akan membuat keputusan sama ada membenarkan atau menolak rayuan Anwar bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas, selepas ia membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskannya.

Sekiranya Anwar gagal dalam rayuannya, beliau akan hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen (MP) kawasan Permatang Pauh berikutan Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Kerajaan Persekutuan menetapkan seseorang MP lucut kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000.


Pihak pendakwaan juga telah memfailkan rayuan balas untuk menambah tempoh hukuman penjara.

Bagaimanapun rayuan itu hanya akan akan hanya didengar jika Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah meliwat Mohd Saiful, 27, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi membebas dan melepaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Mohd Saiful dengan alasan mahkamah tidak pasti 100 peratus tentang integriti sampel yang diambil untuk ujian DNA daripada individu yang didakwa menjadi mangsa.

Mahkamah memutuskan bahawa sampel berkenaan mungkin telah diusik sebelum sampai ke Jabatan Kimia untuk analisis.

Bagaimanapun, ketika mensabitkan Anwar dengan kesalahan meliwat itu, Mahkamah Rayuan berpendapat hakim perbicaraan terkhilaf dalam dapatannya tentang sampel berkenaan, yang didasarkan kepada keterangan dua saksi pakar yang dipanggil pihak pembelaan.

Ini kes liwat kedua melibatkan Anwar. Dalam kes pertama, beliau didapati bersalah meliwat pemandu keluarganya Azizan Abu Bakar di Tivoli Villa di sini pada 1994, dan dihukum sembilan tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000.


Mahkamah Tinggi memerintahkan Anwar menjalani hukuman itu selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan rasuah. Beliau didapati bersalah terhadap empat tuduhan rasuah pada 4 April 1999.

Bagaimanapun, setelah merengkok selama hampir enam tahun di penjara kerana rasuah, beliau dibebaskan pada 2 Sept 2004 apabila Mahkamah Persekutuan, yang diketuai Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudian menjadi Ketua Hakim Negara, mengubah sabitan kesalahan dan mengetepikan hukuman penjara terhadap Anwar bagi tuduhan meliwat Azizan dalam keputusan majoriti 2-1.

Abdul Hamid dan Hakim Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud membuat keputusan yang memihak kepada Anwar, manakala keputusan Hakim Datin Paduka Rahman Hussein pula adalah sebaliknya.

Bagaimanapun, Abdul Hamid, yang menulis penghakiman majoriti itu, berkata para hakim berkenaan mendapati Anwar dan tertuduh bersama, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, “terlibat dengan kegiatan homoseksual” dan oleh itu para hakim terdorong untuk mempercayai bahawa perbuatan liwat yang didakwa itu memang berlaku – BERNAMA

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: