Khamis, September 12, 2013

Akaun 'Haram' : JMM ikrar terus kejar Anwar?


Jaringan Melayu Malaysia (JMM) berikrar 'mengejar' Anwar Ibrahim untuk mendesak Ketua Pembangkang itu menandatangani surat kebenaran bagi membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan maklumat akaun-akaun bank seperti terkandung dalam surat misteri bertajuk Bankleaks Anwar/Karpal sebelum ini.

Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, bermula esok, JMM akan ke rumah Anwar bagi mendapatkan tanda tangan beliau dalam usaha mencari kebenaran berhubung maklumat akaun-akaun bank itu.

Sekiranya gagal, kata beliau, usaha tersebut akan terus dilakukan di setiap lokasi yang dihadiri Ketua Pembangkang berkenaan.

Menurutnya, JMM sudah menyediakan surat rasmi kepada Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz untuk membenarkan maklumat akaun terbabit didedahkan kepada media yang kini hanya memerlukan tandatangan Anwar.

"Kami akan ke mana sahaja yang dihadiri Anwar termasuk di Parlimen, ceramah-ceramah, di rumah malah sehingga ke Amerika Syarikat (AS) sekali pun sehingga beliau sanggup menandatangani surat itu.

"Saya bersedia menjadi despatch (budak pengantar surat) kepada Anwar kerana dengan cara ini sahaja dapat memastikan beliau menandatangani surat kebenaran itu selepas banyak desakan sebelum ini tidak menampakkan hasil," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Sebelum ini, bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Permatang Pauh, Dr. Mazlan Ismail mendedahkan menerima sebanyak 6,000 surat misteri bertajuk Bankleaks Anwar/Karpal yang menceritakan 'urus niaga' bernilai puluhan juta antara Anwar dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Malah, Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kasim sebelum ini juga turut mendesak Anwar berbuat perkara sama namun sehingga kini Ketua Pembangkang itu terus memilih mendiamkan diri.

Mengulas lanjut, Azwanddin menegaskan, desakan dan tekanan itu dilakukan JMM memandangkan kekayaan melampau Anwar sedangkan beliau hanya merupakan Ketua Pembangkang dan diketahui bukan seorang ahli perniagaan.

Menurutnya, Anwar tidak perlu takut menandatangani surat yang disediakan secara percuma JMM itu sekiranya beliau benar-benar tidak bersalah.

"Sekadar menjawab di pentas ceramah dengan hebat, tidak ada maknanya kalau surat ini pun takut untuk ditandatangani. Malah, saya juga mahu minta Karpal memujuk Anwar tanda tangan surat ini," katanya.

Tambahnya, keengganan Anwar menandatangani surat itu akan memperlihatkan sikap sebenarnya untuk dinilai rakyat.

Suara Politik
Belantan

1 ulasan:

NutCrakcer berkata...

Tak ada ke undang-undang yang membolehkan mahkamah mengeluarkan perintah agar akaun si polan dan si polan boleh di siasat dan di dedahkan sekiranya ia adalah akaun haram.