Jumaat, September 13, 2013

Tempias konflik selatan Filipina ke Sabah?

Beberapa penduduk melihat pelarian dari kampung di Zamboanga City melarikan diri menaiki sampan untuk mengelak pertempuran antara puak pemisah MNLF dengan tentera Filipina, semalam.

Dakwaan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) kononnya terdapat seramai 4,000 pejuang Tausug yang berada di Sabah dan Sarawak telah diaktifkan dan bersedia untuk berperang sememangnya agak mencemaskan kerana peristiwa pencerobohan Lahad Datu dan Semporna oleh pengganas masih terlalu awal untuk dilupakan.

Tetapi dakwaan sebegini bukan kali pertama berlaku terutama sekali oleh pemimpin MNLF Nur Misuari. Pada akhir Julai lepas Pejabat Daerah Tambunan Sabah menerima sepucuk surat yang berupa ugutan dengan kandungan menjerumus kepada Sabah akan diserang sekali lagi sebagai membalas dendam peristiwa Lahad Datu.

Setiap pencerobohan yang berlaku ke atas perairan Sabah ataupun ugutan kesemuanya adalah berpunca daripada pergolakan yang berlaku di selatan Filipina, terutama sekali yang melibatkan wilayah Kepulauan Mindanao.


Begitu juga dengan ugutan terbaru MNLF adalah rentetan daripada peristiwa pengisytiharan kemerdekaan oleh Misuari untuk wilayah selatan Filipina dan juga Sabah dan Sarawak pada 12 Ogos lepas. Dalam pengisytiharan tersebut, wilayah yang dimerdekakan itu digelar sebagai Republik Bangsa Moro (RBM).

Amat jelas sekali Misuari bertindak sedemikian kerana tidak puas hati setelah disisihkan daripada perjanjian damai antara Manila dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang akan membentuk wilayah merdeka yang dinamakan Bangsamoro.

Kemuncak daripada penentangan MNLF terhadap perjanjian damai Manila-MILF adalah apabila 400 lelaki bersenjata yang dipercayai ahli kumpulan MNLF menyerang Zamboanga City beberapa hari lepas. Serangan terbaru ini besar kemungkinan dilaksanakan kerana untuk memberi tekanan kepada Manila dan MILF yang akan berunding di Kuala Lumpur pada waktu yang sama.


Peristiwa serangan Zamboanga City adalah rentetan daripada perhimpunan bersenjata MNLF di bandar Indanan wilayah Sulu yang berlaku pada 25 Julai lepas. Ekoran perhimpunan inilah pada 12 Ogos Misuari telah mengisytiharkan Republik Bangsa Moro yang telah mensabitkan Sabah dan Sarawak.

Misuari cuba mempergunakan Perjanjian Tripoli yang dimeterai pada 1996 sebagai asas untuk mengagalkan perjanjian damai Manila-MILF dengan mendakwa kumpulan beliau adalah wakil sah penduduk Islam selatan Filipina.

Perjanjian Tripoli yang digunakan sebagai asas pembentukan Wilayah Pentadbiran Autonomi Islam Mindanao (ARMM) di mana Misuari sebagai Gabenor pertama dinilai telah gagal mencapai matlamat untuk membawa kestabilan dan kemakmuran kepada wilayah bergolak itu.


Setiap ugutan atau ancaman yang ditujukan kepada Sabah sebagai lazimnya ada kena mengena dengan apa yang sedang berlaku di selatan Filipina. Dalam keadaan status-quo seperti sekarang, amat sukar untuk mengekalkan kestabilan dan mengawal keadaan kerana terlalu banyak kumpulan yang memperjuangkan agenda masing-masing.

Keadaan dijangka menjadi lebih rumit kerana MNLF sedaya upaya cuba melibatkan Jakarta dalam persengketaan kumpulan itu dengan Manila mengenai status ARMM. Beberapa pemimpin MNLF dikatakan bersiap sedia untuk ke Indonesia bagi membincangkan perkara tersebut.

MNLF cuba meraih simpati daripada Jakarta kerana pada ketika ini Indonesia adalah Pengerusi Jawatankuasa Perdamaian Selatan Filipina Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC-PCSP) yang juga penggerak utama Perjanjian Tripoli.

Matlamat MNLF adalah begitu jelas kerana kegagalan perjanjian damai Manila-MILF sudah pasti memberi manfaat kepada kumpulan mereka. Tidak menjadi rahsia lagi Manila sudah mengiktiraf MILF sebagai wakil sah penduduk Islam selatan Filipina dan menyisihkan MNLF dalam rundingan damai terbaru.


MNLF walaupun sudah tidak mempunyai kekuatan seperti yang dimiliki dua dekad lepas tetapi masih mampu mengkucar-kacirkan keadaan kerana mereka mempunyai pengaruh yang agak kuat terutama sekali di Zamboanga City dan Davao City.

Strategi MNLF adalah cuba mengaitkan beberapa negara Islam dalam menyokong perjuangan mereka dengan harapan secara tidak langsung boleh memberi tekanan kepada Manila. Dalam hal ini Malaysia mahu tidak mahu telah terpalit dengan kemelut MNLF-Manila-MILF terutama sekali apabila faktor sejarah lampau Sabah diambil kira.

Memang begitu sukar untuk mengawal konflik selatan Filipina yang telah berlarutan lebih empat dekad dan telah mengorbankan lebih 150,000 nyawa. Manila juga dilihat begitu sukar untuk menstabilkan keadaan di selatan Filipina selagi tiada perjanjian damai yang diterima semua pihak dapat dimuktamadkan. Serangan MNLF ke atas Zamboanga City adalah manifestasi jelas kekalutan keadaan di selatan Filipina.


Dari semasa ke semasa Malaysia sudah pasti akan menerima ugutan dan ancaman yang berpunca daripada senario keadaan di selatan Filipina. Tetapi berlandaskan pengalaman Kuala Lumpur menangani peristiwa pencerobohan Lahad Datu pada Mac lepas, ugutan dan ancaman tersebut walaupun dalam bentuk retorik tetapi mampu ditangani jika ia menjadi realiti.

Perairan Sabah yang kini berada dalam Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) bukan lagi sempadan yang mudah dicerobohi. Tetapi apa yang lebih kritikal adalah Esscom bukan sahaja dilengkapi dengan aset pencegahan pencerobohan berteknologi tinggi tetapi juga mempunyai kemampuan risikan yang lebih bersepadu.

Sebab itu apabila Pejabat Daerah Tambunan menerima surat ugutan Sabah akan diserang pada Julai lepas, analisis dapat dilakukan dengan sahih dan cepat kerana adanya maklumat risikan. Begitu juga apabila MNLF mendakwa terdapat 4,000 pejuang Tausug yang boleh dikerahkan untuk berperang di Sabah dan Sarawak, Kuala Lumpur dengan pantas dapat menilai ugutan tersebut sama ada retorik atau realiti berpandukan maklumat risikan daripada Esscom.-UMO

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: