Rabu, Mac 28, 2012

Kerajaan Selangor Diminta Henti Politikkan Isu Air!


Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui meminta supaya kerajaan negeri Selangor berhenti dari mempolitikkan isu penstrukturan semula tarif air ekoran pembinaan Loji Air Langat 2 (LAL 2).

Beliau berkata isu kenaikan tarif air tidak perlu timbul kerana kerajaan negeri itu sendiri yang menentukan kadar caj air di Selangor dan bukannya dibuat oleh kerajaan pusat.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga telah memberikan kelulusan kepada kerajaan pusat untuk membina LAL 2 itu.

“Jangan politikkan kadar tarif air, ia tidak ada kaitan dengan kerajaan Pusat, sebarang caj air ditentukan sendiri oleh kerajaan negeri bukan kerajaan Pusat.

“Saya tidak ada kuasa untuk menentukan kadar harga, ia (penstrukturan kadar air) bukan lagi isu, oleh itu saya minta kerajaan negeri beri kelulusan segera kepada kami untuk laksana projek loji air ini demi kesejahteraan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya ketika membalas hujah Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) ketika menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya hari ini.

Anwar sebelum itu mempertahankan tindakan kerajaan negeri Selangor melewat-lewatkan proses pembinaan LAL 2 kerana yakin pembinaannya kelak akan membebankan rakyat dengan kadar caj air ditetapkan kerajaan Pusat dijangka tinggi.

Dalam pada itu, Peter Chin berkata pihaknya tidak pernah menutup pintu rundingan dengan kerajaan negeri untuk sebarang usaha penstrukturan dan pembinaan loji itu, namun keputusan berhubung perkara itu perlu disegerakan kerana membabitkan kepentingan rakyat.

Beliau berkata ini adalah penting memandangkan pada 2014, dijangkakan krisis air akan berlaku di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya jika tidak di atasi segera.

“Kalau kami ada kelulusan (kerajaan negeri), esok lusa boleh mula, saya ada peruntukan, reka bentuk pun sudah siap.

“Demi kepentingan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, besar harapan saya supaya kerajaan negeri tidak menjadikan isu penstrukturan semula tariff harga sebagai barang tawaran untuk melaksanakan projek ini,” katanya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: