Sabtu, Januari 21, 2012

Peguam Anwar Kecewa Jabatan Peguam Negara Buat Rayuan..!


Peguam Anwar Ibrahim, Sankara Nair menyifatkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Ketua Pembangkang itu daripada pertuduhan liwat sebagai satu penganiayaan politik.

Beliau berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Saya tidak diberitahu secara rasmi oleh pendakwa raya. Bagaimanapun, sekiranya ini benar, ia adalah tindakan paling dikesali kerana alasan penghakiman oleh hakim yang membuat keputusan terhadap perbicaraan mengatakan bukti penting telah diusik.

“Ini menjadi satu kes penganiayaan politik terhadap Anwar, bukan satu kes pendakwaan,” katanya dalam satu kenyataan lewat petang semalam.

Semalam, Jabatan Peguam Negara memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan pembebasan Anwar daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 9 Januari lalu.

Memang agak pelik tetapi benar. Peguam-peguam hebat kumpulan peguam Anwar seperti Sankara Nair kecewa dengan tindakan Peguam Negara memfailkan notis rayuan. Kalau mereka dikatakan hebat, adakah mereka mahu menghentikan proses keadilan setakat di Mahkamah Tinggi sahaja? Begitu juga dengan Majlis Peguam. Sedangkan sebelum ini peguam itu dan rakan-rakannya memang terkenal dengan kegigihan mengheret kes sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Cuba lihat timbunan fail di mahkamah, peguam mana yang namanya terkenal mengheret kes sehingga ke peringkat tertinggi? Peguam mana yang berjuang-juang habis-habisan membawa kes sehingga ke Mahkamah Persekutuan demi menegakkan keadilan? Waima ada celah-celah atau lubang kecil mereka akan menyelinap untuk memastikan ruang ke peringkat rayuan dan seterusnya tidak dinafikan.

Tentunya semua orang ingat kes Anwar sebelum ini. Ke peringkat mana kes tersebut. Ketika itu tidak timbul pula soal menghabiskan duit rakyat. Tidak juga berbangkit nasihat kepada pejabat Peguam Negara supaya menumpukan kepakaran yang ada untuk menangani kes-kes jenayah yang lebih serius.

Bagi barisan peguam itu, tidak mengapa menangguh kes berkali-kali. Tidak kisah membuang masa. Tidak ada ruginya duit rakyat untuk membawa kes ke peringkat paling tinggi.

Bagi kumpulan itu memperjuangkan keadilan mesti ke peringkat teratas hatta tidak mustahil sehingga memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong. Dan sememangnya itulah proses mengangkat keadilan yang sebenar.

Tetapi apabila Anwar dibebaskan, proses mengangkat keadilan kepada pihak pengadu iaitu Saiful Bukhari Azlan cuba dihadkan. Sedangkan pihak tertuduh diberi kebenaran menangguhkan kes sebanyak 55 kali. Dibenarkan mengheret kes sehingga hampir tiga tahun.

Jadi adakah ini satu penganiayaan politik terhadap Anwar atau menafikan hak Saiful untuk mendapatkan keadilan yang sewajarnya!

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: