
Barisan Nasional (BN) Selangor akan memperuntukkan sebanyak RM50,000 untuk membantu peniaga Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Shah Alam dekat sini membiayai kos guaman bagi menghalang kenaikan kadar sewa ruang niaga di kompleks itu.
Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang mengumumkan perkara itu berkata, pembiayaan itu bagi meringankan beban peniaga yang tertekan dengan cadangan PKNS untuk menaikkan kadar sewa ruang niaga sehingga 100 peratus bermula tahun ini.

''Sebagai tanda simpati, kita akan bantu biaya kos guaman mereka sebanyak RM50,000," katanya selepas Majlis Pelancaran BR1M Peringkat Selangor di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Khai Tee di Pasir Penambang, di sini hari ini.

Ini kerana kadar kenaikan yang akan dihadapi terlalu tinggi iaitu sehingga 100 peratus yang didakwa menindas peniaga di situ.
Pada 14 Disember lalu, peniaga berjaya mendapat perintah injunksi Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Zaki Husin di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menghalang cadangan PKNS menaikkan kadar sewa ruang niaga di komplek itu.

Ujar beliau, seperti yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membuat tinjauan mesra di kompleks PKNS pada Sabtu lalu, BN Selangor akan membela peniaga di kompleks itu dan menyelesaikan masalah lain di Selangor yang gagal dilakukan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri.-UM.

Suara Politik
Taminsari
Tiada ulasan:
Catat Ulasan