Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.” Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan. - Perjuangan kita belum selesai, kerana hanya yang cekal dan tabah sahaja akan berjaya membina mercu tanda bangsanya yang berjaya. -
Ahad, Januari 15, 2012
Isu siapa MB Selangor tidak penting?
Amir Mahpol, Ketua Pusat Daerah Mengundi Barisan Nasional (BN) Bandar Baru Sungai Buluh Selatan seperti tidak dapat menyembunyikan perasaannya. Semangatnya begitu berkobar-kobar mahu Selangor ditawan semula.
Dengan gaya yang tertib dan sopan, pesara berumur 57 tahun ini menggunakan analogi Selangor umpama sebuah piala. Piala itu pula sangat mahal yang telah terlepas kepada pakatan pembangkang pada saingan 2008.
"Semangat sentiasa membara," katanya merujuk kesungguhan jentera BN khususnya UMNO untuk mengambilalih semula Selangor.
PDM kawasannya menjaga DUN Paya Jaras dan Parlimen Subang. DUN Paya Jaras masih menjadi kubu kuat UMNO manakala DUN Kota Damansara dan DUN Bukit Lanjan (di bawah Parlimen Subang) dikuasai pakatan pembangkang.
Bukan Amir seorang yang bersemangat tinggi. Semangatnya dikongsi oleh 894 ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan lebih 200 penyelaras Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Berbanding pada pilihan raya umum sebelumnya, jentera akar umbi ini telah mula diaktifkan sejak Mac tahun lalu. Banyak aktiviti dan program kemasyarakatan dilaksanakan terutama untuk mendekati pengundi atas pagar.
"Biasanya tiga atau empat bulan sebelum pilihan raya baru sibuk. Tapi kali ini kita mahu benar-benar bersedia. Aktivitinya kecil saja tapi ada manfaat kepada masyarakat macam, Jom Gunting Rambut yang kita buat sebelum sesi persekolahan awal bulan ini," kata Amir.
Amir dan kumpulan PDM inilah pemimpin akar umbi yang akan bekerja di belakang tabir, siang dan malam untuk memenangkan calon BN. Mereka sudah belajar daripada pengalaman lalu. Tiada lagi istilah zon selesa. Setiap program mesti disusun dengan kemas dan mempunyai laporan terperinci.
Dan hari itu, pada pagi Jumaat, semua ketua PDM mendapat suntikan semangat daripada Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dalam tempoh sebulan ini, sudah tiga kali turun padang bertemu rakyat Selangor.
Keutamaan
Pagi itu, mereka turut mendapat rangsangan daripada negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Amanat penting Dr. Mahathir ialah utamakan parti berbanding kepentingan kelompok mahupun individu.
Daripada air muka dan semangat pemimpin akar umbi ini terutama selepas mendengar ucapan Najib dan Dr. Mahathir, ternampak semangat bekerja semakin membara.
Di atas kertas, peluang untuk mengambilalih Selangor adalah cerah walaupun banyak laporan menyebut peluangnya masih 50:50. Dalam kira-kira mudah, sebenarnya ada asas untuk BN menawan semula Selangor.
Malah, ramai yang yakin dengan banyak kepincangan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, usaha mengambilalih Selangor bukan lagi misi mustahil. Pada pilihan raya 2008, UMNO menang 18 kerusi daripada 35 kerusi yang ditandingi. UMNO kalah di 17 kerusi dengan majoriti antara 10 hingga 15 peratus sahaja.
Daripada kajian UMNO Selangor, 50 peratus yang mengundi pakatan pembangkang itu pula adalah 'orang kita' yang melepaskan kemarahan di peti undi.
Di 17 kawasan DUN ini, UMNO yakin dapat menawan kembali sekurang-kurangnya sembilan kerusi. Dengan MCA dan MIC yang masing-masing yakin menyumbang tiga kerusi, menjadikan BN bakal memperoleh 33 kerusi DUN - cukup untuk membentuk kerajaan negeri.
Angka mudah ini belum mengambil kira kawasan bermasalah seperti di DUN Gombak Setia (Datuk Dr. Hasan Ali) dan DUN Pelabuhan Klang (Badrul Hisham Abdullah - kini Bebas).
Ini ditambah dengan faktor Hasan dan janjinya untuk membentuk 'satu politik baru'. Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor ini yang baru dipecat daripada Pas dan Exco kerajaan negeri mempunyai ramai penyokong dan pengikut.
Pas Selangor terutamanya akan berpecah walaupun pakatan pembangkang cuba menyembunyikan rasa gentar mereka dengan membuat ramalan tinggi di awan. Ada Hasan Ali atau tidak, mereka tetap yakin menang 37 kerusi - kurang satu kerusi untuk majoriti dua pertiga.
Walhal sekarang ini mereka ada 35 kerusi. Entah bagaimana mereka mahu memenangi hati rakyat dengan pelbagai kepincangan daripada isu agama, pembangunan, bekalan air sehinggalah perkara remeh termasuk sampah.
Kini semakin panas pula isu salah guna kuasa dan penyelewengan pemimpin pembangkang dalam projek pembangunan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Aroma kepincangan itu semakin kuat membayangi suara mereka sendiri yang mengagungkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti.
Tetapi itulah gaya pakatan pembangkang yang pandai bermain persepsi dan berjanji. Soal benar atau boleh dikota, itu hal lain. Tetapi realitinya, pakatan pembangkang kini berada dalam kedudukan lebih sukar berbanding BN.
Bagaimanapun menurut seorang jentera BN Selangor, BN juga ada masalah dan isu yang perlu diselesaikan segera. Selain faktor puak walaupun tidaklah setebal di negeri lain, masih banyak rungutan mengenai komitmen jentera MCA, MIC dan Gerakan.
Di DUN Bukit Lanjan yang ADUNnya juga ahli Exco, Elizabeth Wong contohnya, tidak ternampak kesungguhan jentera BN untuk menawan kawasan itu. Ada PDM kawasan itu meramalkan peluang BN yang diwakili oleh Gerakan hanya 40 peratus.
"Yang masalah ada beberapa kumpulan panglima dalam UMNO Selangor, ia mungkin boleh dileraikan dengan mengumumkan siapa calon Menteri Besar itu," kata seorang pegawai BN Selangor.
Tetapi setakat ini calon Menteri Besar (MB) itu belum ditunjuk. Begitu juga belum ada tanda-tanda muka baru yang akan muncul untuk jawatan itu. Siapakah dia, mungkinkah Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar atau Pengarah Pilihan Raya BN Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed? Atau ada muka baru?
Bagi Noh mahupun Mohd. Zin, isu siapa MB tidak penting. Yang penting menang dulu. Dan semangat untuk menang dan menawan semula Selangor itu semakin membara. Ia dapat dirasai dan dilihat pada setiap program anjuran BN.
Rakyat Selangor perlu tahu yang MB Khalid telah GAGAL menerajui kerajaan negeri Selangor dengan baik selama lebih tiga tahun memerintah. Fikir-fikirkan lah!
Wallahuallam.
Suara Politik
Taminsari
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
"Di DUN Bukit Lanjan yang ADUNnya juga ahli Exco, Elizabeth Wong contohnya, tidak ternampak kesungguhan jentera BN untuk menawan kawasan itu. Ada PDM kawasan itu meramalkan peluang BN yang diwakili oleh Gerakan hanya 40 peratus."
salam saudara taminsari, saya ingin memperbetulkan fakta di atas yang mengatakan Bukit Lanjan tidak ada kesungguhan untuk memenangkan kwsn tersebut, bagi saya telahan ini tidak tepat, kita jgn hanya dengar dan tulis shj infor yg diberi. kita perlu berada disitu dan alami sendiri senario di bukit lanjan baru kita boleh membuat penilaian yang tepat berhubung
perkara tersebut.Saya sebagai salah satu jentera disini telah melihat angin perubhan pengundi yg cukup ketara terhdap BN, terutama pengundi kaum cina selain melayu dan india, saya amat yakin bahawa BN di Bkt Lanjan boleh memperolehi kemenangan dlm Plihnraya ke-13 dengan kesungguhan Penyelaras BN Dun Bkt Lanjan dan Jentera yang ada yang sanggup bekerja demi memenngkan BN. Sikap steptikal dikalangan org UMNO sendiri yang menyebabkan kita tak boleh menang, sedang mereka yg telah dilantik sebagai Ketua PDM hanya tahu duduk dan menerima peruntukkan PDM tanpa berbuat apa2 dan komen bahawa kawasn ini kwasn hitam tak boleh menang. malah bukan itu saja mesyurat PDM pun tak pernah buat, jentera pun tak sedia memanglah secara logiknya kita tak boleh menang.Saya sarankan kepda Dato'Seri Najib perlu buat perjumpaan tertutup dengan semua bahgian yang ada di selangor ni dengan dihadiri oleh semua ketua 4 peringkat bermula dari cawnagan, wanita puteridan pemuda, masa itu baru beliau tahu apa masalah sebenar kawasan ini tak boleh menang.samada silap ketua bhagian, Ketua PDM atau jentera parti tak bergerak..bagi saya org yng beri komen kata Bkt Lanjan tak boleh menang sebab dia PDM yang tido tak buat keje..sekian
Catat Ulasan