Isnin, Oktober 17, 2011

UMNO Selangor tolak cadangan tubuh badan pemantau JAIS!

UMNO Selangor membidas tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menubuh satu badan pemantau yang kononnya bagi memastikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sentiasa mengikut prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan.

Setiausaha Perhubungannya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, penubuhan badan tersebut hanya akan menyekat kebebasan pihak JAIS untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang cuba memesongkan akidah umat Islam di negeri ini.

"Kami lihat tidak ada rasionalnya untuk menubuhkan satu badan pemantau untuk JAIS sebagai agensi penguat kuasa di bawah Enakmen Jenayah Syariah negeri.

"Ini kerana, semua telah sedia maklum bahawa JAIS telah ditauliahkan dengan Persijilan ISO dan ini telah terbukti bahawa agensi agama itu mampu untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik," katanya kepada pemberita pada satu sidang akhbar di Bangunan UMNO Selangor, di sini, hari ini.

Abdul Khalid membuat kenyataan mengenai cadangan penubuhan badan pemantau tersebut sejurus selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa baginda tersinggung dengan cubaan sesetengah pihak memesongkan akidah umat Islam di negeri ini.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Abdul Khalid berkata, badan pemantau tersebut akan dilantik daripada kalangan pakar undang-undang dan pemimpin agama yang nama mereka akan diumumkan tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Mohd. Zin berkata, Abdul Khalid sepatutnya menerima setiap laporan JAIS dan menelitinya bagi menegakkan undang-undang syariah di negeri ini sekali gus menjaga kesucian agama Islam.

"Abdul Khalid sebagai Menteri Besar sepatutnya menerima setiap laporan JAIS dan melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin negeri dengan sebaik-sebaiknya.

"Beliau juga sepatutnya mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan isu ini dengan baik dan bukannya mengeruhkan lagi keadaan dengan idea penubuhan badan pemantau seperti ini," tegasnya.

Dalam perkembangan berlainan, Mohd. Zin turut mendesak Abdul Khalid supaya membuat penjelasan mengenai lebihan wang sebanyak RM55 juta yang diberi Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri bagi tujuan perbelanjaan penyelenggaraan infrastruktur pada 2009.

Menurut Mohd. Zin, pada 2009 bagi tujuan penyelenggaraan itu, Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan sebanyak RM315 juta kepada kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, berdasarkan penelitian kami mendapati, pada tahun itu, sebanyak RM183 juta disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya, RM900,000 kepada Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) manakala RM76 juta lagi diperuntukkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Ini bermakna peruntukan pada 2009 mempunyai lebihan sebanyak RM55 juta yang kerajaan negeri dakwa disalurkan kepada tabung amanah negeri. Sehubungan itu, kerajaan negeri perlu menjelaskan adakah lebihan wang tersebut telah dibelanjakan dengan baik," jelasnya.-UM

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: