Rabu, Oktober 19, 2011

Laporan Pemeriksaan Di HKL, Sangkal Anwar Tidak Mampu Meliwat!

Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pegawai penyiasat kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa tiada aduan diterima oleh mereka sehingga hari ini daripada Ketua Pembangkang itu mahupun peguam-peguam beliau berhubung kandungan satu laporan perubatan 16 Julai 2008.

Datuk Dr Zaininah Mohd Zain dan Supritendan Judy Blacious Pereira yang hadir memberi keterangan sebagai saksi penyanggah pertama dan kedua menyatakan demikian sewaktu disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan di Mahkamah Tinggi di sini.

Laporan perubatan tersebut adalah berkaitan dengan pemeriksaan fizikal terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh itu oleh dua doktor pakar HKL, Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai dan Dr Ee Boon Leong pada malam 16 Julai 2008.

Dalam keterangan Zaininah, beliau memaklumkan telah menerima surat melalui faksimile daripada firma guaman mewakili Anwar, Tetuan S. N. Nair & Partners yang memohon dibekalkan laporan perubatan terhadap anak guamnya itu bertarikh 16 Julai 2008.

Sewaktu pemeriksaan balas terhadap Judy pula, peguam bela utama, Karpal Singh mempertikaikan laporan perubatan tersebut yang hanya mengandungi tandatangan seorang doktor sedangkan Anwar diperiksa oleh dua orang doktor pakar HKL.

Pegawai penyiasat itu turut memaklumkan beliau tidak membuat sebarang siasatan mengenai perkara tersebut, walaupun pada 21 Disember 2008, beliau menerima satu lagi laporan perubatan yang mengandungi kedua-dua tandatangan doktor yang memeriksa Anwar kerana menganggapnya ‘tidak penting’.

Menurutnya satu salinan dokumen tersebut yang bertanda ‘sulit’ diserahkan kepada seorang peguam bernama Wan Anuar Shaddat di firma guaman berkenaan pada 24 Disember 2008.

Bagaimanapun, kandungan laporan perubatan tersebut tidak dibacakan di mahkamah malah ketika saksi penyanggah keempat iaitu Jeyaindran yang menyediakan laporan tersebut memberikan keterangan, pihak pembelaan memohon agar keterangan doktor pakar itu dibuat secara tertutup.

Pada prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) yang diadakan pada 3 Mac lalu, Anwar dalam keterangannya memberitahu bahawa beliau dibawa ke HKL oleh Judy sebelum dipertemukan dengan Jeyaindran dan Boon Leong.

Anwar berkata, beliau telah diberi satu borang, dan kedua-dua doktor itu memberitahunya bahawa mereka diminta untuk mengambil sampel darah dan rambut untuk ujian asid deoksiribonukelik (DNA).

Bagaimanapun, atas nasihat peguamnya, R. Sivarasa, beliau hanya membenarkan dirinya diperiksa tetapi tidak memberikan sebarang sampel ekoran pengalamannya pada tahun 1998.

Tanpa kehadiran peguam, pegawai penyiasat dan jururawat, katanya, beliau diminta membuka pakaian dan pemeriksaan dilakukan terhadap kemaluan dan duburnya termasuk diukur zakar dan bulu kemaluannya.

Sambil menyifatkan pemeriksaan itu sebagai menjatuhkan maruahnya dan memalukan, Anwar menyatakan, walaupun doktor-doktor terbabit menggunakan putik kapas sewaktu memeriksa alat sulitnya, beliau tidak bersetuju sebarang peralatan dimasukkan ke dalam duburnya.

Selain Zaininah, Judy dan Jeyaindran, turut dipanggil sebagai saksi penyanggah ialah penolong pegawai penyiasat, Sarjan Ahmad Abdullah yang bertanggungjawab menyerahkan salinan dokumen perubatan tersebut kepada firma guaman yang mewakili Anwar.

Kesemua mereka dipanggil bagi menyangkal keterangan saksi pembela ketujuh, Dr Thomas Hoogland berhubung keupayaan Ketua Pembangkang itu melakukan aksi seks seperti dalam pertuduhan yang dihadapinya.

Sejurus selepas Jeyaindran selesai memberikan keterangan secara tertutup selama kira-kira 20 minit, mahkamah menetapkan 23 dan 24 November ini untuk mendengar hujahan di akhir kes pembelaan.

Seorang lagi peguam yang mewakili Anwar, Sankara Nair memberitahu pemberita, tarikh keputusan kes itu akan ditetapkan oleh hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah selepas selesai mendengar hujahan tersebut.

Anwar, 64, dibicarakan selama 87 hari sejak 3 Februari tahun lalu atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di Unit 1151, Kondominium Desa Damansara, No 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.-UM.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: