Isnin, Oktober 24, 2011

HIMPUN - Suatu permulaan yang baik!


Kita bersyukur, Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) di Stadium Shah Alam pada hari Sabtu baru-baru ini berjalan lancar, tenang dan tanpa provokasi. Ribuan hadir di sebalik pelbagai usaha pihak tertentu untuk menggagalkannya. Ada sabotaj secara langsung mahupun tidak langsung.

Minggu lalu, Pas Pusat mengeluarkan pendirian rasmi tidak menyokong perhimpunan itu. Aneh, sedangkan dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja, parti itu tidak pun mengeluarkan pendirian rasmi walaupun didesak oleh pimpinan Dewan Pemudanya. Sebaliknya ada beberapa pemimpin Pas mengenakan tekanan ke atas JAIS menyamai pendirian pemimpin DAP dan PKR. Siasatan kes itu akhirnya mendapati ada cubaan untuk memesongkan akidah umat Islam.


Selain faktor Pas menolak Himpun, pihak tertentu di Selangor menggunakan pelbagai taktik mengalihkan perhatian daripada perhimpunan itu. Antaranya mengadakan beberapa acara keramaian berhampiran stadium.

Apa yang berlaku menyerlahkan suatu hakikat bahawa parti pembangkang termasuk sebahagian pemimpin Pas menjadi penghalang kepada usaha mempertahankan akidah umat Islam.

DAP, parti paling berpengaruh dalam kerajaan Selangor, tentunya lega betapa percaturan parti itu terus berjaya untuk memecah belahkan dan melemahkan umat Islam. Begitu bijaknya DAP berpolitik tanpa mengorbankan agama anutan ahli dan penyokong mereka.


Sekali lagi jelas menunjukkan Pas tunduk kepada DAP demi politik untuk meraih undi bukan Melayu pada pilihan raya akan datang. Buat pertama kali dalam sejarah, kepimpinan Pas begitu tunduk dan dayus.

Pas lebih rela bertuankan S. Ambiga untuk menjayakan perhimpunan haram Bersih daripada berpegang kepada kesatuan Islam untuk menangani ancaman murtad. Menjijikkan. Sedangkan semua NGO Islam memperakukan bahawa ancaman murtad di negara ini semakin serius dan membimbangkan.

Untuk mengharapkan PKR, jauh sekali. Ternyata kumpulan Anwarinas yang menguasai Pas terus menghanyutkan parti itu daripada masyarakat Islam akar umbi.


Mujur ada kelompok dalam Pas yang masih rasional dan berada di landasan sebenar. Antaranya ialah Hasan Ali dan Dewan Pemuda Pas Pusat. Apa pun, tahniah digucapkan kepada seluruh badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam menjayakan Himpun. Begitu juga kepada semua yang hadir kerana meletakkan kepentingan Islam mengatasi segala-galanya.

Himpun bukan ancaman kepada agama lain, cuma mahu melindungi akidah umat Islam yang merupakan agama rasmi Persekutuan. Matlamat usaha tersebut akhirnya adalah untuk mengekalkan keharmonian pelbagai agama di negara ini demi kesejahteraan rakyat.


Tanpa bantuan dana asing, tanpa provokasi luar biasa dan tanpa kekecohan, Himpun telah membina tapaknya untuk melangkah lebih jauh. Walaupun jumlah kehadiran tidak seperti mana yang diharapkan, usahlah gusar. Sememangnya umat Islam dilanda sindrom selesa dan itulah cabaran terbesar. Namun ia bukan bermakna umat Islam tidak akan bangkit apabila tiba masanya. Ada hikmah dan iktibarnya, yang menuntut gerak kerja dan komitmen luar biasa daripada semua NGO selepas ini.

Setidak-tidaknya semalam, mesej perhimpunan itu telah sampai ke sanubari semua termasuk segelintir yang ghairah memurtadkan orang Islam. Deklarasi Himpun cukup mantap dan tegas. Himpun adalah suatu permulaan, bukan pengakhiran. Jika ada cadangan perhimpunan seperti itu diadakan di seluruh negara sehingga jumlah audiens mencecah sejuta, kita sepatutnya bersetuju.

Himpun boleh mewujudkan gelombang baru untuk mencetuskan kesedaran di kalangan umat Islam. Bahang itu sudah terasa Sabtu lepas. InsyaAllah.-UM.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: