Sabtu, Oktober 22, 2011

Jom kita ke Himpunan Sejuta Umat!


Ia diumpamakan seperti sekumpulan harimau yang sedang mengganas untuk mencari mangsanya. Itulah ungkapan yang sesuai digunakan bagi kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk memesongkan akidah umat Islam di tanah air ketika ini.

Pada asalnya ia dijalankan oleh mereka dalam kelompok yang kecil dan kini ternyata mereka bergerak dalam kumpulan yang besar serta dana yang mungkin mencecah ratusan juta ringgit.

Inilah merupakan satu ancaman kepada semua umat Islam di Malaysia yang perlu dipandang dengan serius dan ditangani dengan kadar segera. Bangsa Melayu merupakan sasaran utama kumpulan mereka ini.

Cadangan daripada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria agar diwujudkan Akta Murtad bagi menghukum individu yang terbukti bersalah memurtadkan orang Islam tidak seharusnya dipandang sepi tanpa ada tindakan susulan daripada semua umat Islam sehinggalah akta ini dapat dilaksanakan.

Kumpulan yang terlibat dalam memesongkan akidah umat Islam di negara ini dilihat begitu bebas tanpa ada sekatan. Mereka begitu rakus dan bertambah agresif dari semasa ke semasa.

Mereka tahu tiada peruntukan undang-undang yang boleh menyekat kerja-kerja 'syaitan' mereka ini. Kumpulan ini begitu licik dan terancang. Berbagai agenda dan tipu muslihat yang mereka lakukan untuk memurtadkan umat Islam sama ada dalam bentuk tulisan (bacaan) juga bantuan kewangan kepada umat Islam yang lemah pegangan agamanya.

Gesaan dan harapan banyak pihak yang mewakili umat Melayu Islam telah mula kedengaran agar orang Melayu perlu bersatu hati dalam menangani gejala isu murtad.

Perpecahan umat Melayu angkara fahaman politik masing-masing amat serius sehingga mereka lupa tanggungjawab yang paling utama iaitu soal akidah. Mereka lupa bahawa setiap umat Islam adalah saudara mereka. Demi perjuangan parti politik, mereka sanggup melakukan apa sahaja walaupun ia menyentuh soal akidah dan persaudaraan sesama Islam.

Di atas perpecahan yang berlaku sesama umat Islam telah diambil kesempatan oleh kumpulan-kumpulan syaitan ini untuk memurtadkan umat Islam. Serangan yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan syaitan ini amat bahaya.

Seperkara lagi yang perlu diambil perhatian ialah mengenai 'Himpunan Sejuta Umat' yang bakal diadakan di Stadium Shah Alam hari ini Sabtu, 22 Oktober 2011 . Semua umat Islam tidak kira anda dari kelompok parti atau puak mana perlu hadirkan diri bersama-sama dalam perhimpunan ini di atas kalimah syahadah. Jangan ada sesiapa di kalangan anda yang memakai baju atau membawa sepanduk yang melambangkan parti tertentu dalam himpunan ini. Perhimpunan ini perlu bebas tanpa ada agenda lain di sebaliknya.

Himpunan ini mempunyai mesej dan isyarat awal tentang kebangkitan umat Islam bagi menentang anasir-anasir jahat yang cuba memesongkan akidah umat Islam sehingga menjadi murtad. Kita kena pastikan himpunan ini berjaya dan mencapai matlamat.

Kini masa sudah tiba untuk umat Islam bangkit dan bersatu bagi menentang anasir-anasir jahat ini yang bebas menjalankan kerja-kerja syaitan sama ada di kota juga di desa.

Kita gerakkan kerja-kerja ini bermula dari sekarang. Kepada NGO-NGO yang mewakili bangsa Melayu Islam seluruh Malaysia perlu memberi fokus utama mengenai gejala murtad ini.

Kita perlu hentikan segera kerja-kerja kumpulan syaitan ini. Kepada golongan-golongan agama, perbanyakkan ceramah atau pengajian kepada seluruh umat Islam tentang isu sekarang ini bagi membangkitkan kesedaran dan keinsafan umat Islam dan seterusnya menggerakkan kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan dalam jemaah di kariah masing-masing.

Gerak kerja ini perlu bersepadu, tersusun dan konsisten. Tiada tempoh masa dan waktu untuk ditamatkan dalam kerja-kerja ini. Jangan kita biarkan saudara mara kita, jiran-jiran kita juga orang kampung kita menjadi mangsa akibat angkara kumpulan syaitan ini.

Salam perjuangan dari saya, ALLAH HU AKHBAR!

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: