Jumaat, Oktober 28, 2011

MB Selangor tertekan - Kes Khalid Vs BIMB Dibicarakan Mahkamah Tinggi!

Mahkamah Persekutuan Selasa mengembalikan kes pertikaian sivil antara Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria yang mengetuai panel lima hakim membuat keputusan itu selepas panel berkenaan menolak untuk menjawab isu-isu perlembagaan kepada mahkamah tertinggi itu untuk memutuskannya.

Hakim Arifin berkata panel itu berpandangan bahawa sebarang isu perlembagaan yang timbul dalam kes itu tidak akan diputuskan dengan cara merujuk kepada Mahkamah Persekutuan.

Hakim lain yang bersidang dalam panel itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum serta Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong.

Mahkamah Tinggi merujuk lima persoalan perundangan berhubungan permohonan Abdul Khalid.

Satu daripada persoalan itu adalah sama ada Seksyen 56 dan Seksyen 57 Akta Bank Negara Malaysia 2009 tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah kerana ia bercanggah dengan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Jadual Kesembilan Perlembagaan Majlis Penasihat Syariah yang diberi kuasa untuk menentukan undang-undang Islam.

Seksyen 56 menyatakan jika di dalam mana-mana prosiding berhubung dengan perniagaan kewangan Islam di hadapan mana-mana mahkamah dan penimbang tara, apa-apa persoalan berbangkit mengenai suatu perkara syariah, mahkamah atau penimbang tara itu, hendaklah mempertimbangkan mengikut mana-mana keputusan Majlis Penasihat Syariah atau merujuk persoalan itu kepada majlis untuk keputusannya.

Terdahulu, Hakim Arifin bertanya sama ada Mahkamah Tinggi telah membuat apa-apa keputusan berhubung kes membabitkan undang-undang Islam dan peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili Abdul Khalid, menjawab tiada.

Abdul Khalid, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Guthrie Berhad dari 1995 hingga 2003, menyaman BIMB yang didakwanya melakukan kesalahan melupuskan saham-saham beliau dalam Guthrie Berhad yang diperoleh menerusi kemudahan pinjaman Al-Bai Bithaman Ajil (BBA).

Beliau mahu satu deklarasi bahawa wujud kontrak kolateral antara beliau dengan bank berkaitan kemudahan pinjaman BBA dan memohon ganti rugi daripada BIMB.

BIMB memfailkan satu saman balas untuk mendapatkan jumlah RM66.67 juta pada 24 Mei, 2007, mendakwa bahawa perjanjian BBA telah dimungkiri berikutan kegagalan Abdul Khalid membayar semula pinjaman berkenaan.

Pada Ogos 2009, Abdul Khalid diperintah oleh Mahkamah Tinggi membayar balik RM66.67 juta itu kepada BIMB tetapi Mahkamah Rayuan pada 3 Mac tahun lepas memerintahkan kes itu didengar semula di Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, Bank Negara dibenarkan sebagai amicus curiae (rakan mahkamah)-Bernama.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: