Rabu, Oktober 20, 2010

Perhimpunan Agung UMNO yang Ke-64 : Budaya politik baru!

Datuk Seri Najib Tun Razak mahu transformasi ahli-ahli UMNO digerakkan sehingga ke peringkat akar umbi bagi membolehkan mereka menterjemahkan model budaya politik baru yang bersifat inklusif, terbuka dan demokratik.

Presiden UMNO menegaskan, pembaharuan dalaman parti mesti disusuli dengan perubahan dari segi budaya, pemikiran, tindakan dan pertuturan.

‘‘Kita telah memulakan proses pemulihan politik di mana parti telah meminda perlembagaan pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu dan saya mengingatkan kepada ahli, ia merupakan titik permulaan kepada budaya baru model politik UMNO bersifat terbuka, inklusif dan demokratik.

‘‘Ia tidak boleh terhenti begitu sahaja, pembaharuan UMNO mesti disusuli dari segi budaya, pemikiran dan tindakan serta pertuturan supaya perubahan itu meresap dan menular ke peringkat bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Majlis Taklimat Presiden yang menjadi tradisi pembuka tirai kepada setiap perhimpunan agung parti memberikan ‘mood’ awal kepada kira-kira 4,000 perwakilan sekali gus menggambarkan hala tuju sepanjang perhimpunan sehingga Sabtu ini.

Imej parti yang mampu berubah terserlah apabila Najib dan para pemimpin tertinggi UMNO tampil di pentas utama dengan baju seragam berwarna putih sekali gus memberikan gambaran parti yang segar, ceria dan sedang bergerak ke arah pemulihan dan pengukuhan

Dalam taklimat kira-kira satu jam itu, Najib berkata, beliau menggariskan beberapa perkara penting berkenaan sistem demokrasi berparlimen dan peranan yang perlu dimainkan oleh anggota parti ke arah pengukuhan bahtera UMNO.

Selain itu, katanya, beliau juga mengingatkan setiap ahli agar memelihara kedudukan serta imej parti dan calon yang hendak diturunkan dalam pilihan raya mesti disenangi oleh rakyat.

‘‘Oleh itu, ahli-ahli di peringkat akar umbi, saya banyak tekankan supaya bersifat inklusif dan dapat tunjukkan imej yang disenangi oleh rakyat dan sentiasa dekat di hati rakyat melalui pelbagai aktiviti dan apa yang mereka lakukan sepanjang masa.

‘‘Dengan ini, kita dapat tunjukkan UMNO adalah merupakan pemudah cara dan pelopor kepada segala kegiatan di peringkat akar umbi,’’ ujarnya

Selain itu jelas Najib, ahli-ahli juga ditekankan mengenai jasa-jasa besar UMNO dan pada masa sama mereka patut sedar tentang kelemahan menyerlah parti-parti pembangkang sejak kebelakangan ini.

Dengan ingatan dan langkah-langkah pengukuhan tersebut, beliau berkata, UMNO telah memulakan perjalanan dalam membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.

‘‘Perubahan perlembagaan yang kita lakukan pada tahun sudah adalah langkah pertama tapi mesti disusuli usaha yang boleh mengukuhkan parti melalui perkara-perkara yang saya sebut tadi.

‘‘Penyatuan di peringkat bahagian adalah amat penting dan memberi tumpuan kepada kerja-kerja pengukuhan parti ada kaitan mengukuhkan ke arah pilihan raya apabila ia diadakan,” katanya.

Ditanya mengenai usaha memastikan perjuangan nasionalisme UMNO tidak memberikan ancaman kepada mana-mana pihak, Najib menegaskan, negara telah mencapai kejayaan di bawah kepimpinan Melayu yang diterajui parti itu.

‘‘Selama ini, kepimpinan Melayu UMNO yang sentiasa bertimbang rasa dan adil kepada semua kaum.

‘‘Jadi ini satu prinsip yang kita pakai sejak dulu lagi, sejak zaman Tunku (Abdul Rahman), kita amalkan prinsip yang sama, yang membezakan ialah kaedahnya dan memperincikan strategi yang patut kita laksanakan, tetapi prinsip dan falsafahnya tetap sama,” katanya.

Dalam taklimat tersebut Najib berkata, beliau menjelaskan kepada pemimpin UMNO tentang pelbagai cabaran besar yang berjaya dilalui dan hasil kerjasama ahli parti, kerajaan dapat memulihkan negara daripada krisis ekonomi.

Justeru katanya, kini negara berada pada landasan pemulihan yang segar lantas membolehkan kerajaan merencanakan masa depan berdasarkan kepada pengharapan baru.

‘‘Kita boleh mencapai hasrat untuk mentransformasikan negara seperti kepada wawasan negara berpendapatan tinggi dan segala perancangan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sedang berjalan lancar,” katanya.-UM

Suara Politik
Taminsari

Selasa, Oktober 19, 2010

Perhimpunan Agung UMNO yang Ke-64 : Ahli UMNO perlu disuntik keyakinan baru!

Tumpuan masyarakat pada minggu ini pasti ke arah Pusat Dagangan Dunia Putra, tempat berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO Ke-64. Perhimpunan yang berlangsung dari 21 hingga 23 Oktober ini akan diguna untuk membina semula hala tuju dan semangat baru kepada ahli-ahli UMNO dalam melaksanakan transformasi.

Perhimpunan kali ini akan dihadiri 2,543 perwakilan. Di sinilah tempat yang wajar bagi UMNO berhimpun dan memikirkan semula mengenai perjuangan parti khususnya berhubung dengan agenda agama, bangsa dan tanah air.

Inilah masa sesuai bagi para perwakilan menumpukan perhatian tentang agenda Melayu dan berdebat mengenai isu-isu yang berkaitan dengannya supaya kita peroleh manfaat melalui sumbangan idea-idea segar daripada pembahas.

Sesungguhnya perkembangan sejarah, rupa bentuk penduduk negara dan sifat orang Melayu sendiri menjadikan UMNO sebagai parti teras yang mempunyai implikasi besar terhadap politik negara.

Hakikat yang tidak boleh dinafikan bahawa kekuatan Malaysia dan orang Melayu bergantung kepada kekukuhan UMNO.

Untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara, maka UMNO perlu diperkukuhkan. Kekuatan UMNO akan mengukuhkan Barisan Nasional (BN), dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara.

UMNO harus menyatakan yang benar, walaupun sedar besar risikonya. Para anggota UMNO harus menggunakan kesempatan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO ini untuk berbincang dan berbahas isu-isu penting demi masa depan parti dan Barisan Nasional (BN).

Pada realitinya, gelora politik tanah air belum reda. Pengkhianat Melayu bermaharajalela hingga sanggup menggadai maruah bangsa dan Perlembagaan Negara.

Tanggungjawab itu amat berat terpikul di bahu Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri. Kita yakin dan percaya Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak tahu apa yang perlu dilakukan tanpa mengorbankan kepentingan mana-mana kaum apatah lagi kedudukan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan.

Kita yakin beliau ada formula. Beliau akan menyuntik semangat baru kepada ahli-ahli UMNO.

Harapan kita, biarlah keazaman dan semangat yang dibangkitkan dalam perhimpunan kali ini benar-benar menjadi tenaga penggerak ke arah tindakan yang konkrit.

Jangan hanya berkobar-kobar di dalam dewan persidangan tetapi luntur semangat dalam tindakan.

Untuk kali kedua, Najib akan menyampaikan ucapannya di Dewan Merdeka. Beliau akan berucap dalam suasana landskap politik yang berbeza, ekonomi yang masih perlu diperkukuhkan dan senario perpaduan kaum yang kian mencabar.

Namun kita yakin Najib akan memberi panduan dan arah tuju yang patut diikuti oleh ahli-ahli UMNO. Kita ternanti-nati apakah Model Politik Baru yang akan dihuraikan dalam ucapannya nanti.

Beliau mempunyai kata-kata dorongan, tiupan semangat, karisma, daya kepimpinan dan wawasan sebagai Presiden dan nakhoda kapal induk UMNO.

Apa pun Ketua-ketua UMNO bahagian, anggota majlis tertinggi, ahli Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri kena menyokong Presiden UMNO dalam menjayakan langkah-langkah baru bagi perubahan parti itu.

Sebuah pergerakan politik yang sudah lama berkuasa dan berdepan dengan cabaran yang kompleks, tiada senjata terhebat selain keyakinan. Itulah yang diharap daripada Najib pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO Khamis ini. Keyakinan UMNO perlu dipulihkan. Dan UMNO perlu keyakinan baru.

Kepada semua perwakilan UMNO, selamat bersidang.-UM

Suara Politik
Taminsari

Isnin, Oktober 18, 2010

Sempena Perhimpunan Agung UMNO yang Ke-64 : Mengembali perjuangan asal!

Perhimpunan Agung Ke-64 yang dijadualkan pada 19-23 Oktober ini bakal diadakan dalam sela waktu tahun-tahun terakhir sebelum menjelangnya pilihan raya umum akan datang. Meskipun belum ada tarikh yang jelas bilakah Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan diadakan, namun ia tidak mungkin lebih lama dalam tempoh setahun dua dari sekarang.

Ini meletakkan UMNO dalam situasi yang genting terutamanya dari sudut sejauh mana parti itu bersedia turun ke gelanggang. Apakah pengajaran yang diterima daripada PRU-12 tiga tahun lalu sudah benar-benar diperkemaskan?

Pada dasarnya, UMNO dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini bergerak dalam landasan perubahan yang cukup tinggi. Pindaan Perlembagaan UMNO yang diluluskan pada persidangan tahun lalu misalnya, adalah antara transformasi besar parti tertua bagi orang Melayu ini untuk kekal relevan dalam arus politik perdana.

Dari semasa ke semasa, UMNO juga dilihat bersungguh-sungguh untuk menjadikan parti itu lebih terbuka, demokratik dan inklusif. Namun, sejauh mana perubahan itu mampu mengembalikan sokongan orang Melayu terhadap UMNO tidak boleh ditelah menerusi analisis dan pandangan.

Ia hanya akan terbukti selepas PRU-13 sekali gus meletakkan nasib dan masa depan UMNO masih dalam keadaan yang sukar.

Realiti dan cabaran politik semasa memperlihatkan perubahan yang cuba ditonjolkan oleh UMNO juga belum memadai. Masih ada beberapa kelemahan dan kepincangan dalam UMNO yang memerlukan tindakan serta perhatian segera.

Kekosongan paling ketara ialah siapa di dalam UMNO yang benar-benar memperjuangkan agenda asal penubuhan parti itu seperti menjuarai perjuangan mempertahankan Islam, Raja-Raja-Melayu, bahasa kebangsaan dan hak-hak bumiputera dan Melayu?

Pertanyaan ini mungkin sesuatu yang terlalu serius dan berat untuk dilontarkan kepada sebuah parti yang banyak berjasa kepada orang Melayu ini. Namun, ahli-ahli UMNO perlu melihatnya dengan rasional dan tidak beremosi kerana ia tidaklah dilontarkan tanpa asas.

Ia juga bukanlah bermaksud UMNO sudah menyimpang daripada perjuangan asal. Cuma penubuhan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang seperti mengambil alih tempat UMNO seolah-olah memperlihatkan bahawa parti itu tidak lagi segagah dulu.

UMNO juga bagaikan terlalu banyak bertolak ansur dengan pihak yang menghina Islam dan Melayu. Kerana itu tidak hairan ramai ahli NGO Melayu adalah ahli UMNO yang kecewa dengan pendekatan terlalu bertolak ansur parti itu.

Justeru, bagi pemerhati politik tempatan Asri Abdullah, persidangan UMNO akan datang perlu memperlihatkan UMNO bersedia untuk mengambil alih peranan yang sudah digantikan oleh pihak lain.

''Paling utama, UMNO perlu menonjolkan kegagahan dalam teras perjuangan asal parti itu," jelas pensyarah pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran Dan Pengajian Polisi UiTM, Kampus Dungun Terengganu ini. Dalam masa yang sama, UMNO juga tidak wajar dilihat cuba memusuhi atau menjauhi NGO berasaskan Melayu, apatah lagi jika perjuangan NGO itu berteraskan Perlembagaan.

Sebaik-baiknya, NGO seperti itu dijadikan rakan strategik UMNO dan BN kerana ia mewakili sekurang-kurangnya suara mereka yang tidak mahu bernaung di bawah UMNO atau BN kerana beberapa faktor tertentu.

Memang tidak dinafikan tindakan bersekutu dengan NGO berasaskan Melayu itu boleh menimbulkan rasa kurang senang di kalangan parti komponen BN yang lain. Ia juga bakal dijadikan senjata oleh pembangkang untuk menonjolkan UMNO sebagai parti perkauman.

Justeru, UMNO perlu berani dan bertegas dalam menerangkan kepada rakan-rakan parti komponen BN untuk bersahabat dengan NGO. Parti komponen itu juga perlu diingatkan bahawa NGO itu bukanlah penyebab mengapa BN kehilangan majoriti pada pilihan raya lalu atau pada 1999 dan 1969.

''Ini mungkin dilihat seperti satu risiko, tetapi UMNO tanpa sokongan majoriti bumiputera, Melayu dan Islam adalah jauh lebih berisiko untuk kehilangan lebih banyak kerusi," kata beliau.

Asri turut menjadikan Sabah sebagai contoh kekuatan UMNO yang mana penduduk Melayu, Islam dan bumiputera di negeri itu berpeluang memegang tampuk kekuasaan dan melindungi kepentingan agama dan kaum lain.

Sabah adalah contoh bagaimana UMNO sebenarnya mampu berkuasa dengan sokongan padu penduduk pribumi. Perpaduan pribumi inilah yang sebenarnya mendorong kepada kaum-kaum lain untuk menghormati UMNO.

''Jika sokongan terhadap UMNO di peringkat akar umbi kukuh, kaum-kaum lain juga akan turut sama menghormati dan menyokong UMNO. Negara yang dipimpin oleh orang Islam yang tetap berpegang kepada Islam, akan berlaku adil kepada semua kaum. Inilah yang kita lihat di Sabah," kata Asri.

Kehadiran NGO juga seharusnya semakin menyemarakkan lagi roh perjuangan sebenar UMNO di kalangan ahlinya yang tidak begitu dirasai oleh orang Melayu ketika ini. Sedangkan semangat perjuangan sebenar itu penting dalam memperbetulkan semula persepsi salah mengenai hala tuju UMNO.

Ahli-ahli UMNO yang masih tidur dan leka perlu disedarkan supaya memperkemas dan memperbetulkan niat berjuang dalam politik melalui UMNO. Dalam masa yang sama tambah Asri, persidangan kali ini juga wajar mengetengahkan kepada umum bahawa UMNO tidak pernah mengetepikan perjuangan menegakkan syiar Islam di negara ini.

Ia sekali gus menafikan persepsi bahawa hanya parti pembangkang sahaja yang memilih perjuangan Islam. Sedangkan isu perjuangan Islam oleh pembangkang sebenarnya lebih kritikal kerana ia secara terang-terangan mendapat tentangan daripada parti pakatan pembangkang yang lain.

Persidangan kali ini perlu mengambil peluang untuk menarik sokongan golongan muda dengan menekankan mengapa UMNO adalah pilihan terbaik bagi masa depan mereka.

Perwakilan UMNO perlu menerangkan bahawa parti itu tidak akan menghapus atau menidakkan hak-hak agama dan kaum lain. Malah, apa sahaja yang diperjuangkan pihak pembangkang di negara ini, sebenarnya adalah sebahagian daripada perjuangan UMNO.

''Generasi muda juga perlu sentiasa diingatkan bahawa parti ini bukan sahaja terbaik untuk orang Melayu dan Islam, malah juga bagi agama dan kaum lain di Malaysia," katanya.

Perwakilan juga patut mengambil peluang ini untuk memperlihatkan kecintaan orang Melayu terhadap perjuangan UMNO. Mana-mana pun orang Melayu tidak akan dapat menidakkan bahawa mereka masih dan tetap akan sayang kepada perjuangan UMNO.

Cuma, perwakilan perlu ambil peluang meminta supaya pemimpin lebih tegas menghukum anasir-anasir pengkhianat agama dan bangsa di dalam dan di luar parti.
Wallahuallam.

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

Suara Politik
Taminsari

Jumaat, Oktober 15, 2010

Soksek-soksek akhbar berbahasa Cina : MCA Kini Kesuntukan Masa!

Artikel oleh Lim Ching Long dalam ruangan Yuan Lun di muka surat A12, akhbar Nanyang Siang Pao, 13 Oktober 2010 ini menyentuh mengenai Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MCA yang lalu.

AGM kali ini mengutarakan suara hati orang ramai. Jadi, Jawatankuasa Pusat tidak boleh pandang ringan. Oleh kerana ia mencerminkan suara orang ramai, maka ia bersabit dengan kepentingan dan keuntungan orang ramai serta isu-isu penting yang berlaku dalam masyarakat yang perlu MCA hadapi.

Tetapi menyedihkan, perhimpunan AGM pada 10 Oktober lalu menyaksikan dalam semua usul yang dibangkitkan, ia umpama menukar botol baru tetapi isinya tetap lama.

Sebagai parti kedua terbesar di negara ini, MCA tidak sepatutnya kemukakan usul yang begitu umum, kurang isi dan tidak mantap. Ia seperti mengemukakan usul untuk pandangan individu. MCA juga tidak sepatutnya mengusulkan cadangan dan sesuatu tajuk yang tidak jelas, contohnya isu-isu yang menyerang orang lain.

Sepatutnya, MCA mengemukakan usul yang boleh dilaksanakan. Jika semua usul hanya dapat tepukan dan sorakan penyokong, ia bukanlah satu keadaan yang tepat dan baik, seperti ikut arus tiupan angin. Perhimpunan AGM sepatutnya bersungguh-sungguh mengusulkan isu-isu yang lebih tepat, termasuk apa yang rakyat mahukan seperti pendidikan, ekonomi, budaya, politik dan masalah kehidupan dalam masyarakat.

Keseluruhan usul AGM pada 10 Oktober lalu tidak cukup menyeluruh, terutama sekali berkaitan pendidikan. Seperti ada satu kebocoran yang boleh menyebabkan penyelewengan dan tidak ada penghujungnya.

Kali ini, usul untuk pendidikan ada tiga iaitu menetapkan sistem peruntukan pembiayaan ke semua aliran sekolah, selain semua sekolah pelbagai aliran diletakkan di bawah tunggak pendidikan serta program pendidikan negara; yang kedua Kementerian Pelajaran perlu menghapuskan kandungan pelajaran yang tidak sesuai dan ketiga, menyeru kerajaan supaya terus membantu pelajar cemerlang serta memberi lebih banyak peruntukan terhadap mereka.

Apa yang kami tidak faham, kenapa AGM pada 10 Oktober lalu langsung tidak menyentuh mengenai pengiktirafan sekolah menengah Cina dan sijil peperiksaan gabungan sekolah menengah Cina, termasuk penambahan sekolah-sekolah Cina serta guru-guru bahasa Cina di maktab perguruan. Adakah isu-isu ini sudah dapat diselesaikan dan tidak perlu lagi diusulkan?

Selain itu, semua ahli MCA perlu faham iaitu masyarakat Cina mahu lihat perkara yang jelas, bukan seperti menggelabukan pandangan melibatkan perkara-perkara tertentu. Contohnya pelajar sekolah menengah Cina boleh menggunakan keputusan SPM untuk masuk ke maktab perguruan, atau perlu membina sekolah Cina di kawasan bilangan penduduk kaum Cina yang ramai, dan bukan apa yang Liow Tiong Lai sebutkan, "kawasan perumahan lebih 3,000 penduduk kaum Cina" ataupun Chor Chee Heung umumkan "lebih 5,000 penduduk Cina di satu-satu kawasan, boleh buat tambahan bina sekolah rendah Cina".

Hanya usul yang menjurus kepada keuntungan dan kepentingan rakyat saja akan dapat sokongan rakyat. Sepatutnya, selepas AGM ini, MCA pusat perlu mengadakan beberapa sesi perjumpaan untuk membincangkan isu yang telah diusul untuk pelaksanaannya.

MCA juga perlu bersama-sama membincangkan isu-isu seterusnya, menjemput kementerian ataupun jabatan berkaitan untuk sama-sama duduk berbincang bagi selesaikan isu, menggunakan langkah-langkah untuk selesaikan masalah, selain menghantar laporan lengkap dan laporan balas kepada kementerian ataupun jabatan yang berkaitan dengan segera.

Tepat apa yang disebut oleh Ong Ka Chuan bahawa masyarakat Cina kini kurang yakin pada MCA dan ia dapat dilihat melalui keputusan beberapa pilihan raya kecil yang lalu. Bagi menangani pilihan raya umum akan datang, MCA sudah kesuntukan masa.

UMNO Ketandusan Pemimpin Pelapis

Cadangan pemilihan calon Barisan Nasional (BN), Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Galas dalam Parlimen Gua Musang mendapat perhatian akhbar Sinchew Daily. Chang Yi Le dalam ruangan Oponion Corner akhbar ini di muka surat 30, bertarikh 12 Oktober 2010 menulis, pentas arena politik sekali lagi bermula. Besar kemungkinan Ku Li jadi calon BN untuk bertanding sekali gus membantu UMNO merampas kembali kerusi DUN tersebut. Pada pilihan raya lepas, kerusi tersebut dimiliki oleh Pas.

Isu ini agak sensitif, kerana ia kawasan Pas. Awal-awal lagi, Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz berkata, jika UMNO lantik Ku Li untuk bertanding, ia satu penghinaan dan memperkecilkan diri sendiri. Maksud Nik Aziz, Ku Li adalah keturunan anak raja, pernah jadi menteri kewangan, berlatar belakang penghormatan yang tinggi tetapi bertanding kerusi DUN. Bukankah itu bermakna memperkecilkan kedudukan beliau.

Ku Li adalah ahli UMNO veteran yang berwibawa. Kata-kata Nik Aziz itu sudah tentu ada benarnya, tetapi apa yang Pas mahu beri perhatian sebagai (ahli sekutu dalam pakatan Rakyat) bukan soal mahu melihat kedudukan Ku Li, sebaliknya masalah sekarang iaitu bagaimana pakatan pembangkang boleh menang dalam pilihan raya itu.

Jika benar Ku Li bertanding di Galas, pakatan pembangkang akan mendapat tekanan yang agak sukar. Ini kerana Ku Li menyokong kerajaan Kelantan terhadap isu royalti minyak dan berdiri di barisan yang sama mengkritik Kerajaan Pusat. Inilah yang membuat Pas serba salah. Jika pihak pesaing itu adalah Ku Li, sudah tentu Pas akan lebih risau dan tidak keruan.

Selain itu, jika Ku Li bertanding di Galas, ia bukan satu strategi dan taktik untuk timbulkan isu. Ia diputuskan oleh UMNO pusat. Selepas tsunami pilihan raya Mac 2008 dan selepas Najib memegang jawatan Presiden UMNO, mereka bersikap sangat mahukan sokongan rakyat untuk menang pilihan raya.

Selepas 11 kali pilihan raya kecil, ia sudah cukup memperlihatkan bahawa UMNO perlu tumpukan bagaimana memperoleh masa yang paling tepat untuk menang. Dalam UMNO sekarang, sudah terlihat bahawa UMNO kekurangan kumpulan cerdik pandai.

UMNO pernah mahu mempertahankan kemenangan di DUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan dengan terpaksa meletakkan orang kuat Mohd Isa Samad untuk kembali ke arena politik.

Hari ini, jika UMNO mahu tawan kembali DUN Galas, terpaksa letakkan orang veteran seperti Ku Li untuk bertanding. Sekali lagi, ia membuktikan UMNO kini kekurangan orang-orang berwibawa. UMNO ini sebenarnya ialah Barisan Nasional yang semakin lama semakin kekurangan orang-orang bijak yang boleh mentadbir negara ini.

Pandangan Mahathir Dikecam Hebat

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terus menjadi mangsa celaan akhbar Cina. Terbaru, akhbar China Press menerusi ruangan perbincangan umum rakyat di muka surat C17 terbitan 8 Oktober 2010 mengecam Mahathir. Loh Han Zhou dalam artikelnya, menulis jika kita mengambil kira orang yang jiwanya sepi di dunia ini, bekas perdana menteri kita, Mahathirlah orang yang paling layak menyandangnya.

Selepas bersara, beliau tidak henti-henti bersuara, beliau anggap di Malaysia ini hanya beliau seorang saja yang layak mentadbir negara ini. Yang lain, semua tidak layak.

Han Zhou juga menempelak Mahathir dengan berkata, beliau seorang tokoh yang tidak sedar diri. Jika kita mahu bincang mengenai isu perkauman, pemikiran beliau masih terhenti pada 1950-an, jika mahu bincang berkaitan isu ekonomi, pemikiran beliau terhenti pada 1970-an.

Beliau tidak sepi lagi, masih mahu menunjuk ajar isu-isu semasa, ia bukan membantu malah semakin merosakkan negara ini. Kata-kata fanatik yang diutarakannya menakutkan pelabur asing dan mereka terpaksa ambil keputusan tinggalkan negara ini. Akhirnya ramai rakyat kehilangan pekerjaan.

Baru-baru ini, penyakit beliau kembali semula, menuduh pelabur asing tidak boleh dipercayai, tidak boleh diambil berat, kerana pelabur asing hanya mahu mengikis harta kita. Jika kita mengharapkan pelabur asing, kita tidak akan capai tahap negara maju.

Tetapi, sedarkah bahawa Mahathir adalah Perdana Menteri pertama mengundang pelabur asing ke negara ini. Pada 1980-an, ekonomi negara kita agak lembap tidak berganjak, graduan lepasan universiti banyak menganggur. Mahathir hapuskan akta undang-undang berkaitan sekatan industri untuk majukan bidang ekonomi, membawa masuk ramai pelabur asing.

Pada masa itu, Mahathir gembira terhadap prestasi pelabur asing di negara ini. Tetapi kenapa hari ini, Mahathir kata pelabur asing tidak boleh dipercayai? Rupa-rupanya pelabur asing punya banyak pilihan, mereka sudah tidak dapat terima sistem kuota yang dikenakan kepada mereka. Contohnya dimestikan melantik bumiputera sebagai pengarah syarikat atau pengurus syarikat, bilangan pekerjaan mesti ada kuota bumiputera yang tertentu, melantik kontraktor bumiputera, dimestikan melantik pembekal-pembekal bumiputera dan lain-lain lagi.

Pelabur asing kini sudah ada pilihan untuk ke negara lain. Pemikiran rasis Mahathir masih terhenti pada 1950-an. Sudah tentu beliau tidak puas hati terhadap tingkah laku pelabur-pelabur asing itu, tidak puas hati terhadap pelabur asing yang tidak sokong niat negara kita mahu susun semula masyarakat. Sebab itu, beliau seperti Ah Q secara bijak berkata, kita tidak boleh mempercayai pelabur-pelabur asing.

Apakah jenis manusia seperti ini di Malaysia kini, malah berkata pelabur asing tidak penting, dan tidak peduli sama ada pelabur asing mahu datang atau tidak. Mahathir adalah tokoh yang sudah berlalu. Orang ramai sepatutnya tidak ambil peduli terhadap kata-kata beliau.-UM

Suara Politik
Taminsari

Khamis, Oktober 14, 2010

SIAPA ASSABIYAH : PAS ATAU UMNO!

Assabiyah menurut pengertian yang sebenarnya ialah satu sikap ta’asub atau fanatik yang melahirkan sikap ego dan bangga terhadap dirinya, kumpulannya dan keluarganya. Sikap ini menyebabkan seseorang itu sanggup melakukan kezaliman terhadap pihak lain dan sanggup menolak kebenaran dan mengenepikan keadilan.

Sikap ta’asub dan fanatik ini telah wujud dan hidup subur dikalangan masyarakat jahiliah. Oleh kerana sikap inilah mereka hidup berpuak puak dan bermusuhan antara satu sama lain sepanjang zaman.

Apabila datang Islam sikap ta’asub dan fanatik ini telah dihapuskan dan diganti dengan sikap muhibbah dan kasih sayang sesama manusia untuk mencapai kemajuan, keamanan dan perpaduan sejagat umat Islam ( Ukhwah Islamiah ). Antara ajaran ajaran Islam untuk menghapuskan sikap ini iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud :-

"Bukan dari golongan kami mereka yang menyeru menghidupkan asobiah dan bukan dari golongan kami mereka yang berperang mempertahankan asobiah dan bukan dari golongan kami mereka yang mati kerana assabiyah"

Oleh kerana perjuangan asobiah itu tidak diakui oleh junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW dan ianya bertentangan dengan Islam, maka dalam menghadapi Pilihanraya Umum 1982 PAS telah menggunakan asobiah itu untuk menuduh UMNO.

Tuduhan itu dibuat berdasarkan pentafsiran yang direka oleh PAS bahawa semangat kebangsaan melayu (Nasionalisma Melayu) itu diertikan sebagai asobiah, sedangkan menurut pengertian yang sebenarnya ialah semangat cintakan bangsa dan tanahair, yang mana dalam bahasa Arab disebut "Wathoniah" dan bukan "Asobiah".

Rasullulah SAW sendiri cintakan bangsa dan tanahair dan menyeru umat Islam mencintainya sebagaimana hadis yang bermaksud :- "Cintakan watan itu adalah sebahagian dari Iman"

Walaubagaimanpun isu ini tidak lama di perkatakan kerana pemimpin pemimpin PAS telah menyedari kalau pada satu ketika mereka dengan begitu lantang menuduh ahli ahli UMNO kafir disebabkan bekerjasama dengan MCA dan MIC (Parti Bukan Islam) tidak logiknya UMNO dituduh Asobiah, sedangkan asobiah itu adalah suatu sikap ta'asub yang semata mata mementingkan bangsanya sahaja, tanpa bersedia untuk bekerjasama dengan bangsa bangsa lain.

Kalau tuduhan itu diteruskan secara berpanjangan, mungkin umat Islam akan menyedari bahawa sebenarnya bukan UMNO parti assabiyah tetapi PAS.
Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Isnin, Oktober 11, 2010

Deklarasi Kongres Ekonomi Cina : MCA seolah-olah meletakkan syarat untuk terus menyokong BN!

Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-57 meluluskan 14 resolusi termasuk menyokong penuh 13 deklarasi yang diluluskan oleh Kongres Ekonomi Cina pada 14 Ogos lalu.

Antara deklarasi kongres berkenaan adalah supaya ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus dalam semua sektor ekonomi dikurangkan secara berperingkat dan syarikat milik kerajaan (GLC) mengambil ahli lembaga pengarah berbilang kaum.

Deklarasi itu telah mendapat bantahan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang menyifatkan ia sangat tidak sesuai dengan masanya berikutan bumiputera masih lagi terkebelakang dalam pelbagai bidang di negara ini.

Turut diluluskan juga adalah resolusi berkaitan pendidikan yang mahukan buku sejarah di sekolah menyediakan maklumat jelas mengenai pengorbanan setiap kaum dalam perjuangan kemerdekaan dan pembangunan Malaysia. Ia juga mahukan segala maklumat dalam buku berkenaan hendaklah tepat dan sahih serta digugurkan fakta-fakta yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum.

Sebanyak 1,764 perwakilan pada perhimpunan di Wisma MCA di sini turut meluluskan resolusi yang menggesa sekolah semua aliran diberikan peruntukan dan bantuan secara berkala.

Kerajaan turut digesa supaya meneruskan usaha membantu pelajar berkebolehan sebagai susulan kepada keputusan memberikan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat 9A+ tanpa mengira kaum.

Dalam pada itu, ia juga meluluskan resolusi mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan atau ancaman yang boleh menjejaskan perpaduan kaum di negara ini. Kerajaan juga diminta supaya memastikan setiap rakyat memahami agama dan adat resam kaum lain di Malaysia.

Turut diluluskan adalah resolusi menyokong usaha kerajaan melaksanakan dasar kebebasan beragama menerusi langkah mewujudkan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama.

Sebelum itu : Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek hari ini mengulangi gesaannya supaya kerajaan mengkaji semula ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus.

Beliau berkata, ia adalah selaras dengan program transformasi ekonomi yang sedang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan pada masa ini yang bermatlamat untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

"Ekonomi negara perlu diliberalisasikan dan kuota bumiputera 30 peratus itu harus dikaji semula.

"Ia tidak bermakna kami cuba merampas hak keistimewaan kaum majoriti tetapi apabila kita meliberalisasi, kek ekonomi akan berkembang dan semua orang akan mendapat perkongsian yang sama rata," katanya pada sidang akhbar selepas tamat Perhimpunan Agung Tahunan MCA di sini hari ini.

Permintaan MCA itu adalah salah satu daripada 13 deklarasi yang telah diluluskan pada Kongres Ekonomi Cina pada 14 Ogos lalu.

Deklarasi itu sebelum ini mendapat bantahan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang menyifatkan ia sangat tidak sesuai dengan masanya berikutan golongan bumiputera masih lagi terkebelakang dalam pelbagai bidang di negara ini.

MCA bagaimanapun pada hari ini meluluskan resolusi yang antaranya menyokong penuh 13 deklarasi itu.

Dalam pada itu, Soi Lek turut membidas kenyataan perwakilan Wanita MCA Pahang, Khiew Yuh Jiu pada perhimpunan agung tahunan pergerakan itu semalam yang membangkitkan isu berhubung skandal seks beliau.

"Saya hormat apa yang mereka katakan di dalam perhimpunan itu. Namun saya ingin ingatkan mereka bahawa saya dipilih melalui pemilihan yang diadakan sebelum ini."Ini adalah cara yang demokrasi. Saya hormati mereka tetapi saya juga meminta mereka ini menghormati saya sebagai Presiden MCA," katanya.

Komen : Penulis melihat sudah bermula kembali politik 'pressure group' Cina yang kuat terhadap UMNO yang perlukan undi Cina untuk menghadapi pengaruh saudara mereka sendiri dari parti pembangkang. Jika dahulu di bawah Jepun orang Cina di layan dengan buruk dan ini menyebabkan mereka memberontak melalui parti Komunis. Parti Komunis terus menentang kerajaan selepas merdeka namun di patahkan oleh orang Melayu dan kaum bukan Melayu yang anti komunis.

Sikap menentang kerajaan memerintah oleh parti Komunis masih wujud dalam pemikiran orang Cina, bukan dalam bentuk parti Komunis tetapi dalam bentuk lebih halus melalui platform yang berlainan.

Politik orang Cina di Malaysia selepas 50 tahun mula 'daring' dan 'adventurous'. Desakan dari DAP, MCA telah tidak ada bezanya melainkan platform berbeza. NGO orang Cina pula senada dengan parti politik Cina cuma mereka hanya bermain tarik tali sehingga tuan rumah merasa letih.

Atau kita boleh umpamakan politik orang Cina seperti kapal selam di laut. Kadang-kadang ia mematikan enjin untuk mendengar deruan enjin lawan dan kadang-kadang mereka mengangkat telescope dan menterpedo karam kapal lawan. Kecelaruan politik tuan rumah telah banyak menguntungkan masyarakat Cina dalam mencatur politik mereka. Sama-samalah kita fikirkan sebelum nasi menjadi bubur. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Selasa, Oktober 05, 2010

Isu Air: Keperluan rakyat atau komoditi politik?

Berapa liter air yang kita perlukan sehari? Idealnya mengikut ukuran di Asia Tenggara ialah 80 liter termasuk 3 liter untuk diminum bagi mengekalkan kelangsungan kualiti hidup yang ada sekarang.

Tetapi hakikatnya secara purata rakyat Malaysia menggunakan 226 liter air sehari. Berbanding rakyat Singapura yang kita tahu sangat sensitif dengan penggunaan air menggunakan 155 liter manakala Thailand 90 liter sehari.

Ini antara dapatan daripada kaji selidik Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang dilakukan sejak 2007.

Ada banyak alasan mengapa rakyat Malaysia menggunakan air sebanyak itu. Jika cuaca dijadikan faktor, apa bezanya dengan Singapura dan Thailand?

Jika rakyat Malaysia pembersih, apa kurangnya rakyat di dua negara jiran itu. Alasan paling hampir ialah kita mewah air. Air bersih senang diperolehi dan harganya pula murah.

Dan menurut kajian itu juga, rakyat Malaysia didapati sukar untuk mengubah tabiat membazir air. Menyiram pokok pun dengan air dirawat. Air bilasan pakaian dibuang begitu sahaja.

Bagaimana untuk mengubah tabiat membazir air ini? Kita pun tidak lagi peduli dengan kempen kesedaran berjimat air. Mesej-mesej yang terus berkumandang ibarat menuang air ke daun keladi.

Entah berapa kali Lembah Klang diancam kemarau dengan loji serta empangan air hampir kontang. Ramai tak mengambil iktibar apabila air terpaksa dicatu dan beratur panjang bagi mendapatkan bekalan yang dihantar melalui lori tangki. Kesedaran berjimat air tak ubah seperti fenomena El Nino yang datang dan pergi.

Apa yang diutamakan - menjadikan air sebagai komoditi politik!

Selangor yang kini seperti mengeluh kerana terpaksa membelanjakan lebih RM12 juta sebulan sebagai menunaikan janji pilihan raya membekalkan air percuma, mahu menguasai pula industri air di Lembah Klang.

Air percuma bagi 20 merter padu yang bernilai RM11.40 ini pun dijaja keliling kampung sebagai simbol kerajaan berjiwa rakyat. Memang ia bagus, siapa yang tidak mahu benda percuma.

Tetapi anehnya, apabila ada pihak mahu menggunakan wang air percuma itu untuk membantu pengguna yang mengalami bil tertunggak, kerajaan negeri menyifatkannya sebagai merampas hak rakyat pula.

Apa salahnya, jika kakitangan Syabas, syarikat konsesi bekalan air bersih Selangor yang merasakan diri mereka mampu, membantu rakyat miskin yang terbeban dengan bil air.

Lagi pun bukan semua rakyat Selangor menikmati air percuma itu yang dimulakan sejak 1 Jun 2008. Terdapat ribuan penghuni pangsapuri yang menggunakan meter pukal terpaksa berputih mata dengan imbuhan RM11.40 sebulan itu.

Sepatutnya langkah membantu rakyat iaitu golongan sasaran yang benar-benar memerlukan bantuan disokong. Tetapi itulah kerana kepentingan politik yang tidak memihak kepada mereka, usaha membantu rakyat seperti itu dimusuhi.

Kerajaan negeri, dengan segala alasan mengelirukan bukan sahaja memusuhi syarikat konsesi tetapi juga Kerajaan Persekutuan. Kroni, rasuah dan salah guna kuasa yang disimpulkan sebagai merampas hak rakyat dijadikan alasan untuk menghalalkan usaha menguasai industri air Selangor.

Benarkah? Jika bekalan air di bawah penguasaan kerajaan negeri dapat menjamin hak rakyat (dengan tarif yang rendah), mengapa hak itu tidak dipertahankan di Kedah dan Pulau Pinang?

Di Pulau Pinang, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memperkenalkan surcaj pemuliharaan air (WCS) mulai 1 November ini. Kadar barunya ialah 24 sen satu meter padu bagi air yang digunakan melebihi daripada peruntukan 35 meter padu sebulan.

Di Kedah, Jabatan Bekalan Air Kedah yang diswastakan oleh kerajaan Pas di bawah Syarikat Bekalan Air Kedah (SADA) telah menaikkan tarif sebanyak 27 peratus.

Alasan kerajaan negeri Pulau Pinang ialah menggalakkan penggunaan sumber air secara bijak dan mengekang pembaziran kerana hanya pengguna yang menggunakan air berlebihan sahaja terlibat.

Alasan Kedah pula ialah bagi membayar balik pinjaman kepada Kerajaan Pusat sebanyak RM1.7 bilion yang dibuat sejak beberapa tahun lalu, selain bagi menampung kos rawatan air yang meningkat.

Cuba analisis alasan mereka. Yang di Pulau Pinang memperkenalkan surcaj bagi mendidik pengguna berjimat air. Maknanya, tarif dinaikkan supaya pengguna berjimat cermat. Yang di Kedah, untuk membayar hutang kepada Kerajaan Persekutuan.

Tetapi sebaliknya rakan pakatan pembangkang di Selangor enggan berkompromi dengan penstrukturan semula industri air. Mereka tidak peduli hutang yang ditanggung oleh syarikat konsesi.

Pemimpin mereka lebih selesa menyalahkan syarikat konsesi dan Kerajaan Pusat. Malah amaran krisis bekalan air pada 2014 yang bakal menjejaskan kehidupan penduduk Lembah Klang diperlekehkan. Kerajaan negeri nampak cukup yakin dengan memberi unjuran krisis itu hanya akan tiba pada 2019 - sembilan tahun lagi.

Sekadar bertanya soalan, apa agaknya tindakan kerajaan negeri Selangor jika pembekal air di negeri itu adalah milik kerajaan negeri seperti PBAPP dan SADA? Mungkin sahaja tarif air akan dinaikkan dengan alasan 'mendidik rakyat berjimat cermat dan membayar hutang'.

Memang kita semua tidak suka dengan sebarang kenaikan terutama semasa kos hidup yang belum stabil. Tetapi kita juga berdepan dengan realiti untuk membayar kos bagi memastikan kehidupan masa depan yang lebih baik dan berkualiti.

Jadi, janganlah berterusan menjadikan air sebagai alat politik. Cukuplah semasa kempen pilihan raya lalu. Berundinglah dan bertolak-ansur demi kesejahteraan lebih 3 juta penduduk Lembah Klang.

Yang juga penting, kerajaan negeri harus mengambil inisiatif berkesan untuk mendidik pengguna supaya mengubah tabiat membazir air. Selangor tidak selama-lamanya akan dianugerahkan dengan sumber air yang mewah. Jangan jadi seperti pasir, tersilap unjuran! - UM

Suara Politik
Taminsari

Isnin, Oktober 04, 2010

Untuk dikongsi bersama : Siapa kita sebenarnya?

Oleh Harussani Zakaria

Saya agak terpempan membaca pandangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berdasarkan laporan akhbar arus perdana mutakhir ini bahawa beliau tetap tidak bangga dengan Melayu kerana baginya setiap bangsa adalah sama. Saya menghormati pandangan beliau dalam hal ini.

Namun saya juga punyai pandangan tersendiri yang agak berbeza. Kita perlu berbangga dengan nikmat-nikmat Allah SWT kepada kita, dan antara nikmat yang banyak itu termasuk juga nikmat dijadikan kita sebagai seorang Melayu dan dimuliakan pula dengan Islam.

Hikmah dan kebijaksanaan Allah SWT yang telah menjadikan kita berbangsa Melayu dengan pelbagai keistimewaan yang barangkali tidak wujud pada bangsa yang lain. Kebijaksanaan Allah SWT jualah yang menjadikan pelbagai bangsa dengan matlamat yang jelas supaya dapat meraih manfaat dari kepelbagaian tersebut seperti Firman Allah SWT dalam surah Al Hujurat ayat 13 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Sungguh kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah SWT ialah orang yang paling bertakwa, sungguh Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Teliti."

Secara prinsipnya, menurut Islam ketaksuban kepada bangsa tidaklah ditolak secara keseluruhan, namun ia perlu menurut acuan syarak. Cuma, yang ditegah adalah berbangga dengan bangsa sendiri sehingga merendahkan dan memanipulasi bangsa lain. Biarpun begitu, saya sama sekali tidak mengajak masyarakat supaya membuta tuli kepada semangat terlalu bangga dengan rumpun bangsa sendiri sehingga menjatuhkan bangsa selain daripada Melayu.

Dalam hal ini, saya agak tenang bila merujuk kepada pernyataan As Syahid Hassan Al Banna dalam kitabnya Majmu‘ah Rasail As Syahid Hassan Al Banna yang menyatakan bahawa semua bangsa adalah sama iaitu dari Adam dan mereka semua adalah bersaudara. Perbezaan antara mereka adalah berdasarkan amalan yang dilakukan. Namun, di sini bukanlah bermakna kita langsung tidak perlu menghargai bangsa kita sendiri dan menolak segala keistimewaan semulajadi yang dimiliki.

Ini disebabkan setiap bangsa dijadikan Allah SWT punyai kelebihan dan keistimewaan semulajadi, kelainan dan perbezaan antara mereka seperti mana bangsa Arab yang memiliki keistimewaan yang baik. Asasnya ialah bagaimana untuk menggunakan segala keistimewaan tersebut untuk membangun dan menaikkan martabat bangsa dan umat manusia berdasarkan keistimewaan yang dimiliki.

Seharusnya perlu kita sedari bahawa bangsa Melayu sebenarnya terlalu istimewa untuk ditelusuri susur galurnya yang amat sinonim dengan Islam. Ini dapat dilihat dengan perkembangan sejarah peradaban perkembangan Islam di Tanah Melayu dan sejarah yang agak hampir dengan kita ialah bagaimana peranan cendekiawan berbangsa Melayu termasuk para ulama dan guru-guru pondok seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh Al Hadi, Syeikh Abbas Taha, Dr Burhanuddin Al Helmy, Abu Bakar Al Baqir dan yang seangkatan dengan mereka bertungkus lumus berjuang meraih kemerdekaan.

Siapakah mereka jika tidak dari kelompok orang Melayu yang ingin merubah anak bangsa Melayu dari bertuankan penjajah kepada mempunyai jati diri sebagai bangsa yang berdaulat. Sayugia berbanggalah kita sekiranya kita juga dapat memainkan peranan bilamana kita dapat mencurahkan tenaga dan fikiran untuk kebaikan bangsa kita sendiri dan Islam terutamanya.

Oleh yang demikian, saya berpandangan bahawa dengan membela bangsa Melayu bererti membela kepentingan Islam kerana begitu sinonimnya perkataan “Melayu” itu dengan “Islam”. Tambahan pula tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa perkataan “Melayu” didefinisikan sebagai seseorang yang menganuti Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu.

As Syeikh Jurji Zaidan menerusi karangan beliau Tarikh Al Tamaddun Al Islami menegaskan bahawa sikap taksub dan ekstrem terhadap bangsa tidaklah dapat dihilangkan secara keseluruhan, cuma dicanaikan kembali menurut acuan agama. Oleh kerana itu, maka diiktiraf Quraisy itu sebagai semulia-mulia bangsa dan dilebihkan dalam segenap hal ehwal kehidupan disebabkan hampir dan hubungkait dengan junjungan besar Nabi SAW.

Justeru itu, sebarang tugasan, kedudukan, pemberian dan seumpamanya didahulukan golongan tersebut daripada orang lain apatah lagi zahirnya hadis Nabi SAW bahawa, “Para Imam dari golongan Quraisy”. Berdasarkan hal tersebut, memang tidak terdapat sebarang perbalahan tentang mendahulukan kepimpinan terhadap bangsa Quraisy. Pada pengamatan saya, sekiranya hitungan bangsa tidak ada nilaian mengapa berlakunya sikap mendahulukan bangsa Quraisy terhadap bangsa yang selain darinya. Berlakunya hal ini disebabkan kerana nilaian kemuliaan dan ketinggian didasarkan kepada kelebihan bangsa tersebut.

Saya amat berharap agar perbalahan tentang hal ini tidak mengganggu umat Melayu Islam kerana kita punya tugasan yang lebih besar dari itu iaitu berusaha mencantumkan bangsa Melayu Islam ini agar lebih kuat dan bersatu padu. Marilah kita bersama-sama renungi firman Allah SWT dalam surah Al Anfal ayat 46 yang bermaksud, Dan taatilah Allah SWT dan Rasul Nya dan janganlah kamu berselisih, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan kekuatanmu hilang dan bersabarlah,Sungguh Allah SWT beserta dengan orang yang sabar.

Terlalu banyak isu dan permasalahan yang masih belum selesai yang memerlukan kepada kerja keras dari bangsa Melayu yang dianggap majoriti dalam negara ini. Hindarilah perkara yang boleh membawa kepada perpecahan dan merosakkan hubungan silaturrahim. Mudahan dengan kehadiran cahaya Syawal ini lebih menzahirkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT.( UM )

Suara Politik
Taminsari

Jumaat, Oktober 01, 2010

Soksek-soksek akhbar berbahasa Cina : Hantu-hantu perkauman!

Isu perkauman yang masih menghantui masyarakat ketika ini menjadi topik utama artikel bertajuk ‘Pandang jelas, tetapkan pendirian’ tulisan editor eksekutif Sin Chew Jit Poh, Lin Ming Hua. Artikel itu tersiar di ruangan pendapat akhbar tersebut terbitan 28 September lalu.

Tulis Ming Hua, isu perkauman telah menyakitkan dan menyusahkan pemikiran orang ramai. Hantu-hantu perkauman sebaliknya menganggap ia sesuatu yang hebat kerana berjaya mencipta pelbagai isu. Semuanya akan terpisah melalui rasis dengan fakta-fakta yang tiada penghujungnya.

Sesuatu isu yang tidak dapat dihuraikan untuk menutup kebenaran, menjadi semakin pudar kerana salah tafsiran. Inilah yang menjadi adat dan resam dalam masyarakat sekarang.

Ming Hua menulis lagi, dalam masyarakat hari ini, ada pihak yang takut dan risaukan keamanan. Mereka lebih suka suasana yang tidak tenteram.

Hari ini mereka menuding jari mengatakan anda penumpang, esok mereka menyuruh pula anda supaya balik ke negeri asal.

Cuba fikirkan konsep rasis mereka. Dalam masa yang sama, mereka kata anda pula tidak tahu berterima kasih, tidak tahu kontrak sosial dan telah lupa siapa sebenarnya diri anda.

Tidak boleh dinafikan, baik konsep 1Malaysia atau Malaysian Malaysia, hakikatnya kita masih tidak dapat keluar daripada isu perkauman. Sedangkan Malaysia mempunyai tarikan yang begitu kuat kerana kita mempunyai pelbagai kaum.

Bukankah kekuatan negara kita bergantung kepada kepelbagaian kaum yang boleh menjana satu inovasi tinggi dalam pergaulan sesama kita?

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah pernah berkata, tidak kira bumiputera atau bukan bumiputera, semuanya suka memainkan isu perkauman. Kita tidak dapat menafikannya kerana ia adalah kenyataan.

Kita cuba mengelak daripada menuduh orang lain sebagai perkauman bagi membersihkan diri daripada dianggap fanatik. Pada masa sama, kita perlu lebih berhati- hati untuk ‘memuaskan hati tiang-tiang politik di belakang tirai’.

Sebenarnya bukan penjajah British sahaja yang mengamalkan dasar pecah dan perintah. ‘‘Saya setuju dengan kata-kata seorang penyelidik dari Southern College Johor, Dr. Tan Chong Ho yang berkata, hari ini kumpulan kaum di Malaysia masih terasa diancam dan masih berasa syak wasangka antara kaum dalam fikiran mereka. Perasaan diancam itu adalah racun daripada politik ‘pecah dan perintah’,” tulis Ming Hua.

Tulisnya lagi, disebabkan kurangnya keyakinan dan kefahaman, kaum-kaum tertentu akan berdepan dengan kaum lain secara menunjukkan ego mereka. Ini disebabkan mereka berasa tersisih dan rendah diri. Sikap seperti ini boleh menjurus kepada perbuatan fanatik.

Walaupun hari ini kita berusaha untuk meningkatkan perpaduan dan saling menerima dan memahami antara satu sama lain, halangan dalam masyarakat tetap timbul. Jika ini memang caranya untuk kita meneruskan hidup, maka kita mesti mempertahankannya secara berterusan dan jangan sesekali mengabaikannya.

Pembangkang tawan Putrajaya?

Survival pakatan pembangkang dalam menerajui negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang dibincangkan oleh seorang penulis, Cheng Yi Hui menerusi artikelnya yang bertajuk ‘Bolehkah menawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang?’

Artikel itu tersiar di dalam akhbar China Press terbitan 27 September lalu menerusi ruangan perbincangan umum.

Menurut Yu Hui, pakatan pembangkang ketika ini masih berseronok selepas pilihan raya umum lalu dan berhasrat lebih jauh untuk menawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang.

Bagi rakyat yang sudah matang dengan fenomena politik di rantau ini, mereka yakin sasaran pakatan pembangkang itu masih boleh dipertikaikan.

Sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim masih boleh menjadi pemimpin pembangkang, ia adalah sesuatu yang tidak boleh dijangkakan.

Sekiranya beliau dipenjara kerana kes liwat yang dihadapi ketika ini, pemimpin berwibawa mana pula yang akan menggantikan beliau menerajui pakatan pembangkang dan mengimbangi ketiga-tiga parti itu?

Tiga parti dalam pakatan pembangkang ketika ini mempunyai perselisihan besar yang masih terpendam. Pemilihan kepimpinan PKR dicemari kekecohan dan sudah timbul puak-puak serta perasaan syak-wasangka.

Dalam DAP pula, ada isu surat sokongan yang tidak dapat diperjelaskan. Pemimpin-pemimpin DAP yang selalunya membasmi gejala rasuah, tidak dapat menutup kecacatan mereka. Rakyat berasa hampa dan kecewa kerana parti itu tidak menunjukkan sikap lebih telus dan terbuka.

Pas pula kerana isu kerjasama dengan UMNO menyebabkan parti itu terjerumus ke jurang persengketaan. Rakyat dapat melihat perbalahan antara pemimpin Pas dan bagi orang bukan Islam, mereka kurang senang dan berasa curiga tentang masa depan serta hala tuju Pas.

Tulis Yi Hui, melihat kepada keadaan itu hasrat pakatan pembangkang untuk menawan Kerajaan Pusat agak tidak memberangsangkan.

‘‘Tetapi usah risau kerana jika kita ikhlas dan terus memperbaiki kelemahan yang ada, harapan itu sentiasa ada. Apa yang lebih penting ketika ini, kepimpinan ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang di empat buah negeri perlu bersungguh-sungguh. Benar-benar berkhidmat untuk rakyat, mempercepat agenda membasmi gejala rasuah dan tidak menyorok penjenayah rasuah kerana mata rakyat lebih halus dan melihatnya dengan jelas.

‘‘50 tahun tiada perubahan ditukar kepada lima tahun yang boleh berubah, bukankah itu adalah pilihan yang tidak menyusahkan,” tulis Yi Hui.

Suara Politik
Taminsari

Selasa, September 28, 2010

Bangsa Melayu yang bertopeng Melayu !


Sayang! Adakah generasi Melayu bakal tinggal sejarah? Kini, anak Melayu sendiri malu hendak menyanjung bangsanya di celah-celah komuniti yang mengamalkan cara hidup bebas, mewah, moden dan "open minded".

Identiti Melayu sudah tenggelam di dasar kehidupan ala kebaratan, fahaman agama yang kian bercelaru disogok dengan ideologi-ideologi barat.

Cara berfikir? Mereka melabelkan diri sebagai "PEJUANG KEBEBASAN". Mereka berkehendakkan satu kehidupan yang bebas tanpa kongkongan peraturan yang tegas, serba-serbi bebas. Bebas melakukan apa sahaja demi memenuhi tuntutan nafsu, malah ada yang menginginkan kebebasan dari hukum Islam, wallahualam.

Orang Melayu sekarang "HEBAT". Sesetengahnya angkuh mengecam hak dan kelebihan Bumiputra dan bangsa sendiri yang telah dipertahankan sejak dari zaman kemerdekaan. Mereka memanipulasi isu hak keistimewaan Bumiputra dengan meletakkan kerajaan sebagai pengamal satu jenis penindasan kaum yang tidak dideritai oleh puak lain walau sedikitpun. Inilah dia "KEJAHILAN" yang mampu membentuk satu generasi yang kufur nikmat apabila dikawal oleh rasa tamak dan haloba.

UMNO, PAS dan PKR adalah tiga parti politik negara. Tiga parti beridentitikan Melayu yang sekiranya bersatu, tidak ada satu kuasa dalam dunia ini pun yang mampu menggugat maruah serta hak bangsa dan agama. Malah kaum Bumiputra bukan Melayu juga turut bersinar terang di bawah kilauan keagungan BANGSA Melayu, mengatasi kaum-kaum lain yang hebat di zaman ini. Cahaya inilah yang orang Melayu sudah tiada. Penghalangnya adalah orang Melayu itu sendiri.

Keinginan Melayu PAS dan PKR berpisah dan membentuk landasan masing-masing dengan niat untuk merebut peluang menjadi kumpulan yang berkuasa sekaligus menjadi pemerintah menjadi penyebab kepada terlerainya ikatan perpaduan di kalangan bangsa Melayu sendiri.. Dalam keadaan seperti ini, sudah pastilah fitnah, maki-hamun, memburuk-buruk di kalangan sendiri menjadi satu lumrah yang biasa disajikan kepada masyarakat kita kini.

Pakatan Rakyat yang digerakkan melalui dua pertubuhan Melayu (PAS/PKR) ini sedikit sebanyak tunduk kepada tuntutan dan kemahuan DAP. Apakah sebabnya mereka sanggup bersuara senada dengan mereka dalam pelbagai pertikaian terutama dalam perkara yang membabitkan hak bangsa bumiputra dan agama sedangkan selama ini tidak merugikan kaum lain sedikitpun? DAP mahu sesuatu yang mutlak dan kuasa politik adalah satu-satunya perkara yang mereka tidak dapat kuasai sehingga kini. Dengan perancangan menguasai politik, bermakna mereka akan dapat mempengaruhi kerajaan dan mencorakkan dasar pemerintahan yang sesuai berdasarkan kesesuaian naluri dan citarasa mereka. Tiada larangan agama dan tiada roh Islam dalam pentadbiran. Itulah kebebasan ala kafiruun.

Kepada orang Melayu Pakatan Rakyat, tidak perlu membohongi diri sendiri menunjukkan kesediaan dan kesanggupan untuk mengorbankan segala yang dipertahankan kerajaan semata-mata untuk mendapat satu kepimpinan baru yang belum tentu lagi dapat menjamin kesejahteraan dan kepentingan kaum Melayu dan bumiputra sendiri. Orang Melayu tidak akan mampu bersaing dengan kaum Cina dalam pelbagai bidang yang majoritinya dimonopoli oleh GOLONGAN mereka. Di manakah keAdilan bagi bangsa Melayu jika pemimpin mereka sendiri mengutamakan hak samarata kaum secara membabi buta seumpama "mencurahkan garam ke air laut"?.

Ramai orang Melayu kesian melihat UMNO sekarang ini, kesian kerana UMNO terpaksa berhadapan seorang diri menangkis dari setiap penjuru depan belakang, kiri kanan, atas bawah isu perkauman yang di lontarkan oleh pembangkang dan disambut pula oleh parti komponen dalam BN. Pemimpin-pemimpin UMNO terpaksa berhadapan tanpa henti-henti isu perkauman yang terpaksa di pertahankan demi masa depan "survival" orang-orang Melayu, bukan hanya untuk orang Melayu dalam UMNO malah keseluruhan orang Melayu di mukabumi ini, kestabilan orang Melayu bermakna stabil lah negara, apabila stabil negara maka ekonomi akan bercambah, apabila ekonomi bercambah sejahteralah bangsa lain seperti Cina dan India serta bangsa-bangsa lain di Malaysia ini.

Dalam masa ini juga UMNO dengan sedaya-upaya mengembalikan kesedaran kepada kaum bangsa Melayu supaya berdiri teguh untuk menegakkan bangsa Melayu serta perjuangan bangsa kerana pada masa ini ada Melayu yang telah diekploitasi pemikirannya sanggup menidakkan bahawa BAHASA Melayu yang melambangkan BANGSA Melayu yang MERDEKA sehingga menjadikan negara ini dinamakan 'MALAY'sia telah menjadi bahan pertikaian oleh orang Melayu sendiri tanpa menyedari bahawa mereka inilah juga berBAHASA Melayu dan berBANGSA Melayu tetapi bercakap seolah-olah mereka ini bukan lagi anak bangsa 'MALAY'sia. Inilah matlamat kaum Cina terutama DAP untuk memesongkan identiti seseorang Melayu yang disokong pula oleh Melayu PKR dan juga PAS.

Permainan politik orang Melayu kini "HEBAT" dan nampak lebih licik di dalam memberi laluan kepada DAP dan segala undi kaum Melayu berpindah kepada DAP melalui PKR dan PAS. Seronok mereka walaupun BN menerima kekalahan dibeberapa negeri yang bermajoriti berbangsa Melayu. Majoriti Melayu mungkin sedih, tetapi ada Melayu bersedih dalam gembira tanpa menyedari sumbangan mereka dalam mengorak langkah menghancur bangsa Melayu sendiri. Wajah dan air muka jetahuna Melayu akhirnya ditempiaskan kepada UMNO. Maka paksi UMNO disalahkan bagi semua perkara seolah-olah gagal mempertahankan Melayu.

Bagaimana pula dengan Melayu di dalam PAS dan PKR yang ahli mereka juga ramai yang berbangsa Melayu, tetapi mengapa pula mereka tidak mahu mempertahankan hak dan bangsa Melayu? Tidak pula mereka ini Melayu-Kristian, tetapi Melayu-Islam. Yang diterima adalah kutukan dan penghinaan kepada bangsa sendiri setiap hari terhadap perjuangan UMNO sehinggakan bahasa, bangsa, agama dan negara menjadi pertaruhan seolah "hilang hari ini, esok akan kembali" semula. Amat mudah dan ringkasnya generasi Melayu hari ini dalam memperjuangkan anak bangsanya untuk kemudian hari.

UMNO terpaksa membakar diri untuk memerangi Melayu lain yang telah dicemari dan keseluruhan bangsa-bangsa lain, inilah nasib UMNO dalam keadaan lemah longlai umpama pokok yang condong dan kura-kura cuba memanjat, inilah sedang berlaku. MCA dan GERAKAN mula dengan isu perkauman, MIC dan PPP mula dengan isu dalaman mereka yang tak berkesudahan apatah lagi pembangkang dikalangan Melayu sendiri yang akan menahan jala malah pukat tunda pun digunakan tak cukup dengan itu racun tuba digunakan di air sedang keruh untuk mendapat untung dengan senyum puas.

Istilah Ketuanan Melayu dibesarkan kerana istilah ketuanan Melayu seumpama Melayu ini tuan kepada bangsa lain atau kuli atau hamba, itulah di niatkan oleh mereka untuk mendapat sokongan bangsa lain, sepatutnya Istilah Hak Keistimewaan Orang Melayu disebut tetapi istilah itu agak lembut dan bersopan, UMNO mempertahankan Hak Keistimewaan Orang Melayu itu semestinya perjuangan UMNO, inilah yang dikesan dan di cium oleh ANWAR dan menggunakan platform dalam Pakatan Rakyat untuk mencari kelemahan UMNO dalam memecahbelahkan pemikiran bangsa Melayu secara langsung dan tidak langsung seumpama menerima agenda Malaysia Malaysian, Malaysia Baru, Harapan Baru.

Dalam keadaan Melayu didalam kem Pakatan Rakyat (orang Melayu yang membunuh bangsanya sendiri) itulah pembangkang mencari kelemahan dan melontarkan satu demi satu yang akan menarik minat UMNO untuk melatah dan melenting dan akhirnya dilihat oleh bangsa Cina dan India bahawa Melayu UMNO bangsa yang rasist apabila berusaha menangkis serangan demi serangan yang dilontarkan di dalam isu bahasa, bangsa, agama dan negara.

Kebijaksanaan pemimpin UMNO perlu diasah kembali, muhasabah diri perlu kerana keadaan kini sokongan Cina dan India terhadap BN dan UMNO mula berkurangan, Isu Istilah Ketuanan Melayu perlu diubah kepada Hak Keistimewaan Orang Melayu, demi bangsa Melayu keseluruhannya UMNO kena berhati-hati tetapi berani dan tegas.

Meniti sejarah Tunku Abdul Rahman pernah berpendapat masyarakat Cina lebih mengutamakan faktor ekonomi sementara masyarakat Melayu lebih mengutamakan politik. Namun pendapat Tunku Abdul Rahman tidak lagi relevan dalam keadaan ekonomi sekarang ini. Semakin ramai bijak pandai Cina yang ingin menjadi teraju negara dan hanya boleh dicapai melalui proses politik. DAP merupakan parti pembangkang sejak ditubuhkan semenjak 1966 lagi. Ramai penganalisis berpendapat apa yang tidak dapat diperjuangkan oleh bangsa Cina didalam kerajaan akan diperjuangkan dari luar, DAP. Jadi mereka saling lengkap melengkapi. Yang ruginya Melayu tidak kira UMNO, PAS dan PKR. Inilah resepi kejayaan DAP disamping faktor-faktor yang lain.

Semenjak zaman penjajahan British di mana bangsa Cina berperanan menjayakan Rancangan Brigg bagi menempatkan penduduk Cina di tepi hutan dan luar bandar ke kampung-kampung baru. Kebanyakan kampung-kampung baru ini telah bertukar menjadi bandar dan mempunyai kepentingan ekonomi dan politik yang penting di Malaysia. Antaranya ialah Kulai, Segamat, Kluang, Raub, Kajang, Bidor, Petaling Jaya, Serdang, Sungai Besidan lain-lain. Boleh dikatakan semua majoriti penduduk bandar-bandar di Malaysia adalah kaum Cina. Kebudayaan mereka amat ketara sekali apabila melalui kawasan bandar sehinggakan setiap bandar dapat dikatakan sebagai 'Chinatown'.

Dalam keadaan pemerintahan atau politik di monopoli oleh Melayu, ekonomi di monopoli oleh Cina pun Melayu tak merasa untuk menjadi eksekutif di syarikat-syarikat Cina yang dikuasai oleh Cina secara total. Apakah nasib anak cucu, cicit piat piut generasi Melayu di masa mendatang?

Tidak sedarkah bangsa Melayu PERLU untuk bersatu kembali, perpaduan Melayu demi masa depan anak bangsa, menolak jauh idologi politik sempit yang dimainkan oleh DAP, PKR dan PAS dan mengutamakan perpaduan agar bangsa lain hormat kembali kepada bangsa Melayu. Melayu kini tersepit dalam isu bangsanya sendiri, UMNO memang sudah dikenali sebagai parti yang memperjuang orang Melayu kini dilontarkan isu yang sama dan di dalam mempertahankan hak bangsa Melayu dengan di perhatikan oleh bangsa Cina dan India dan begitu juga Melayu PKR dan PAS untuk sama-sama menjadi cuma pemerhati kepada kejatuhan Melayu.

Sedar atau masih lalaikah orang Melayu keseluruhannya? Mampukah orang Melayu menghadapi keadaan ini? Mampukah anak bangsa Melayu di masa hadapan menghadapi hidup tanpa Hak Keistimewaan Melayu?

Marilah, bersatu elakkan sebarang kemungkinan yang akan menjadi titik permulaan ke arah azab keaiban kaum Melayu dan bumiputra. Jangan sekali-kali kita menjadi pendorong untuk kaum dan bangsa lain menginjak-injak maruah dan mertabat kita demi secebis kenikmatan yang hanya akan membawa kepada penderitaan anak cucu kita kelak.

Bantulah kerajaan yang dipilih dan diketuai oleh orang Melayu mempertahankan maruah Melayu. Ingatlah, bersatu Melayu teguh bercerai Melayu roboh. Tiada esok bagi Melayu dan tiada hari ini bagi Melayu jika keistimewaan kuasa politik bangsa Melayu terlepas dari gengaman. Ingatlah wahai semua bangsa Melayu.

Suara Politik
Taminsari

Ahad, September 26, 2010

Untuk dikongsi bersama : Apa itu ‘kuasa Melayu’?

Orang Melayu baru sedar bahawa ‘kuasa Melayu’ di negara ini akan pupus, atau setidak-tidaknya Melayu tidak akan berkuasa lagi di negeri ini. Beberapa tanda digunakan untuk membuat ramalan tentang kemungkinan pupusnya kuasa Melayu di negara ini.

Hasil Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas dianggap oleh orang Melayu sebagai salah satu tanda terhakisnya kuasa politik Melayu apabila UMNO dan rakan-rakannya dalam Barisan Nasional (BN) hilang kuasa majoriti 2/3 dalam parlimen dan jatuhnya negeri kuasa UMNO sejak kemerdekaan ke tangan Pas atau gabungan parti-parti Pakatan Rakyat, dan hilangnya pengaruh politik UMNO di Pulau Pinang.

BN mula-mulanya kalah di Perak tetapi disebabkan tiga orang anggota DUN PR keluar parti dan menjadi anggota DUN mesra-BN, maka Mahkamah memutuskan bahawa BN-lah yang layak memerintah di negeri itu. Tetapi orang Melayu kekal memerintah di Kelantan, walaupun parti yang memerintah bukan BN/UMNO tetapi Pas.

Orang Melayu mungkin mengenang akan kuasa yang diwarisi oleh orang Melayu dari sejarah pemerintahan Melayu di negeri-negeri Tanah Melayu. Sejarah sebelum kemerdekaan menunjukkan bahawa sejak zaman berzaman, sebelum kedatangan penjajah Inggeris, yang memerintah di Tanah Melayu bukan orang lain tetapi orang Melayu, kerajaan Melayu, raja-raja Melayu, pembesar-pembesar Melayu. Benar, sejak Perjanjian Pangkor tahun 1874, British mulai ‘mencampuri’ urusan pentadbiran negeri Melayu, terutama di Negeri-negeri Melayu Bersekutu atau Federated Malay States.

Tetapi sejarah itu tidak menunjukkan bahawa kuasa pemerintahan Melayu jatuh sepenuhnya ke tangan kuasa baru, iaitu kuasa British. Tidak. Raja Melayu tetap bertahta (tidak diturunkan dari tahtanya) dan memerintah walaupun dengan ‘nasihat’ pegawai British. Di Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu (Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah-Perlis) pentadbiran masih hampir sepenuhnya berada dalam tangan raja Melayu, menteri besar Melayu dan para pegawai pentadbir Melayu. British cuma menjadi ‘penasihat’.

Tetapi akhirnya kerana kelemahan raja-raja dan golongan bangsawan Melayu yang memerintah bersama-sama British itu, kuasa politik Melayu makin lama makin merosot sehinggalah sampai pada tahun 1946 apabila British kembali ke Tanah Melayu (selepas Jepun kalah Perang) untuk mentadbir semula Tanah Melayu dan kemudian cuba mengubah status Tanah Melayu atau ‘British Malaya’ menjadi ‘koloni British’ melalui rancangan Malayan Union-nya.

Orang Melayu seluruh Tanah Melayu bangkit menentang rancangan itu, kerana kalau tidak ditentang Tanah Melayu akan menjadi tanah ‘Jajahan British’, raja-raja Melayu akan hilang hak dan kedaulatannya dan akan dijadikan subject raja British dan bangsa Melayu menjadi ‘rakyat British’ sama seperti halnya dengan Hong Kong, tidak lagi sebagai rakyat raja Melayu atau negeri Melayu. Semasa seluruh bangsa Melayu di Tanah Melayu, termasuk Melayu di Singapura, bangkit menentang rancangan Malayan Union itu kaum-kaum lain tidak menyokong protes itu.

Mereka mungkin itu adalah masalah orang Melayu, masalah raja dan negeri Melayu, bukan masalah mereka. Pada masa itu mereka bukan rakyat raja atau negeri Melayu. Mereka adalah ‘orang asing’ atau ‘pendatang’. Jadi, mereka tidak turut membantah kerana menganggap Malayan Union itu ialah masalah Melayu bukan masalah mereka. Barangkali mereka suka Tanah Melayu menjadi koloni British dan mereka menjadi ‘rakyat British’ atau ‘British citizens’.

Malayan Union yang gagal itu digantikan dengan kesatuan baru yang disebut Federation of Malaya yang diperintah oleh raja baru, iaitu the British raj (seperti di India) yang diwakili di Tanah Melayu oleh Pesuruhjaya British sebagai ‘ketua eksekutif’. Tetapi Federation of Malaya itu sebenarnya ialah Federation of Malay States atau ringkasnya Persekutuan Tanah Melayu, bukan Persekutuan Malaya. Ini menunjukkan bahawa ‘negeri Melayu’ tidak dihapuskan seperti yang cuba dihapuskan oleh British melalui rancangan Malayan Union-nya.

Ada ‘Negeri Melayu’ bererti ada raja Melayu, ada kerajaan Melayu. Kita menyebut ‘sejarah’ ini untuk menangkis pendapat yang mengatakan bahawa sebelum kemerdekaan ‘Negeri Melayu’ atau ‘Kerajaan Melayu’, atau dengan kata lain ‘kuasa Melayu’ sudah tidak ada lagi. Maka orang pun percaya - dan ini termasuk para pemimim Melayu - bahawa dalam tahun 1957 lahirlah sebuah ‘negara baru’ yang disebut negara Federation of Malaya (kemudian dalam tahun 1963, menjadi ‘Persekutuan Malaysia’), tidak lagi ‘persekutuan tanah Melayu’ atau ‘persekutuan negeri-negeri Melayu’. Ini suatu penghinaan kepada bangsa Melayu yang sudah mempunyai negeri atau negara atau kerajaan sejak sekurang-kurangnya abad ke-13 lagi.

Kemerdekaan

Selepas kemerdekaan, UMNO yang pada waktu itu mampu memerintah tanpa bergabung dengan kaum-kaum lain, sanggup berkongsi dengan kaum-kaum lain untuk memerintah negeri ini selepas British meninggalkan Tanah Melayu, demi ‘perpaduan kaum’ (konon!). Dalam PRU pertama (1956), UMNO memenangi lebih daripada 2/3 kerusi Parlimen. Calon-calon dari parti komponen Perikatan, iaitu MCA dan MIC, kalau saya tidak silap, semuanya atau hampir semuanya menang di kawasan yang majoriti pengundinya adalah orang Melayu.

Itulah agaknya yang dimaksudkan oleh Melayu sebagai ‘kuasa Melayu’, iatu kuasa politik Melayu. Tetapi mengapakah sekarang orang Melayu takut ‘kuasa’ itu akan hilang? Apakah yang mereka takut: hilang kuasa UMNO atau hilang kuasa Melayu? Dalam Parlimen, orang Melayu masih merupakan golongan majoriti, kalau kita ambil kira kerusi UMNO, kerusi Melayu Pas, dan kerusi Melayu dari PKR. Kuasa Melayu untuk terus menjadi pemerintah di negeri ini tidak semestinya bererti kuasa UMNO sahaja.

Hari ini, sudah mulai banyak orang Melayu yang berkata, apa untungnya rakyat biasa Melayu jika UMNO terus memerintah. Mereka melihat sebahagian orang Melayu yang berkuasa dalam UMNO sudah tidak ada semangat dan jiwa Melayunya lagi, seperti ibu bapa mereka yang berarak menentang Malayan Union. Mereka dilihat tidak berani lagi ‘memperjuangkan’ nasib bangsa Melayu; UMNO baru ini dilihat semakin menyerah dan bertolak ansur dengan apa sahaja kehendak dan tuntutan orang bukan Melayu, termasuk hal-hal yang mereka tidak tuntut namun diberikan juga, konon untuk mengambil hati orang bukan Melayu, sedangkan tuntutan Melayu dituduh sebagai tuntuan ‘rasis’.

Sama ada ini hanya persepsi orang Melayu terhadap UMNO sekarang atau ini memang kebenaran, UMNO kenalah kaji dengan jujur dan secara rasional untuk mengetahui sebabnya yang sebenar. Maka dalam keadaan nasib Melayu yang tidak menentu ini, lahirlah NGO Melayu yang dituduh ‘rasis’, iaitu Perkasa. Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perkasa lahir kerana mereka menganggap UMNO tidak lagi sanggup atau mampu mempertahankan hak dan kepentingan bangsa Melayu.

Dalam PRU yang lepas banyak penyokong tradisional UMNO lari ke parti-parti lain, khususnya Pas. Apa sebabnya? Apakah mereka sudah kecewa dan hilang kepercayaan kepada UMNO sebagai parti yang dapat membela nasib mereka atau apakah mereka percaya bahawa Pas dapat menjadi parti Melayu sebagai alternatif kepada UMNO? Dasar-dasar apakah yang dibawa oleh Pas yang menarik perhatian mereka?

Masalah

Saya rasa masalah ‘kuasa Melayu’ tidak terletak pada mana-mana parti politik Melayu atau pada soal ‘kuasa politik’ parti semata-mata. Kuasa politik bukan ditentukan oleh parti politik tetapi oleh rakyat, oleh pengundi. Sama ada kita suka atau tidak suka inilah demokrasi. Kuasa politik bukan terletak pada UMNO, atau Pas, atau DAP atau PKR tetapi pada rakyat. Dan rakyat hari ini, terutama golongan muda - ini termasuk pengundi Melayu yang masih merupakan pengundi majoriti di negara ini - nampaknya tidak lagi memilih parti hanya berdasarkan sentimen kaum tetapi berdasarkan soal sama ada parti itu dapat memerintah negara dengan adil, saksama, seimbang, bersih, cekap dan amanah.

Mereka melihat apakah parti itu dipenuhi oleh golongan manusia yang perasuah, orang yang hanya mementingkan diri sendiri, kekayaan sendiri dan kesenangan kaum keluarga dan sahabat handai mereka, atau apakah parti itu dipimpin oleh orang-orang yang bersih dari segala macam rekod moral yang buruk, orang yang bercakap bohong, orang yang lebih mementingkan ekonomi ‘pasaran bebas’, ekonomi mesra pasaran, daripada ekonomi atau pasaran mesra-rakyat.

Sehubungan ini saya teringat membaca suatu artikel dalam majalah Newsweek baru-baru ini yang menceritakan dasar ekonomi negeri China. Seorang pegawai tinggi kerajaan China berkata: In China we make the market economy to serve the people and the State, not the market, maksudnya, ‘Di negeri China ekonomi pasaran diarah berkhidmat untuk rakyat dan negara tidak untuk pasaran’. Barangkali kerana inilah China sekarang sedang berkembang untuk menjadi sebuah kuasa ekonomi dunia mengalahkan negara-negara Barat dan Jepun.

Kalau sesebuah parti Melayu diketahui oleh rakyat semua kaum sebagai parti yang ‘bersih’, yang akan memerintah dengan adil tidak kira kaum, saya kira semua kaum akan tertarik dengan parti itu. Ini soal prinsip, soal moral, bukan soal perkauman.

Jadi, soalnya, apakah dan siapkah yang salah jikalau ‘kuasa Melayu’ akan hilang. Jawabnya ialah, yang salah ialah orang Melayu sendiri, bukan kaum-kaum lain. Diberi kuasa yang banyak oleh rakyat, terutama pengundi Melayu, kuasa itu tidak digunakan dengan baik dan bijaksana; kuasa itu disalahgunakan, sehingga berlaku beberapa banyak skandal berlaku, skandal rasuah, skandal jenayah, skandal ekonomi.

Selama 50 tahun orang Melayu mempunyai kuasa untuk mempertahankan hak dan kepentingan Melayu dalam bidang ekonomi, pendidikan, dalam soal dasar bahasa, dalam soal budaya dan lain-lain lagi, tanpa menjejaskan kepentingan kaum-kaum lain yang juga perlu diperjuangkan oleh penguasa-penguasa politik Melayu itu dengan adil dan saksama, sebagaimana dituntut oleh Perlembagaan, tetapi sejak mutakhir ini nampaknya keadaan orang Melayulah yang semakin terdesak. Maka lahirlah badan bukan kerajaan Melayu seperti Perkasa untuk mewakili suara dan keadaan rakyat Melayu yang terdesak itu.

Kemiskinan di kalangan orang Melayu, penduduk majoriti negara ini, dan kemiskinan di kalangan kaum lain juga makin meningkat. Jurang perbezaan antara golongan terkaya dengan golongan majoriti yang susah semakin membesar. Jikalau dasar ekonomi negara ini mesra-rakyat, keadaan ini sepatutnya tidak berlaku. Kita sibuk memajukan keadaan fizikal negara tetapi lupa memajukan keadaan moral rakyat dan negara serentak atau selaras dengan kemajuan materialistik.

Nasihat saya kepada orang UMNO ialah, tumpukan perhatian kepada reformasi atau transformasi moral dan budaya politik dalam UMNO. Ini akan menjadi asas atau ‘model’ untuk membolehkan UMNO menjadi ‘pejuang bangsa Melayu’ yang kredibel dalam bidang-bidang ekonomi, pendidikan dan sosial merentas kepentingan peribadi anggota-anggota parti itu sendiri.

Saya tidak berkata bahawa ‘moral’ anggota-anggota dan kepimpinan parti-parti lawan semuanya bersih, hebat, cemerlang, Tidak. Yang penting ialah UMNO sebagai parti Melayu yang terbesar (atau masih terbesar?) hendaklah memperbaiki dan menampilkan imejnya sebagai parti yang benar-benar berjiwa ‘kebangsaan’, parti yang dapat menjadi pilihan utama rakyat, tidak sahaja rakyat Melayu tetapi juga rakyat bukan Melayu berdasarkan prinsip-prinsip keadilan, keseimbangan dan kesaksamaan merentas kepentingan kaum dan kepentingan peribadi para anggota parti.

Akhir kata, ‘kuasa Melayu’ tidak bererti kuasa untuk orang Melayu yang berkuasa melakukan apa sahaja menurut nafsu mereka, memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu dan memusnahkan hak dan kepentingan bukan Melayu. Kuasa Melayu bererti kuasa untuk mentadbirkan negara dengan cekap, adil, bijaksana, bersih, bertanggungjawab untuk kepentingan negara, bukan untuk kepentingan etnik atau kepentingan golongan dan orang-orang perseorangan yang berkepentingan peribadi.

Kuasa Melayu tidak bererti kuasa anti-bukan Melayu, atau hanya kuasa pro-Melayu, tetapi kuasa untuk semua rakyat, kuasa untuk mewujudkan kemajuan, kesejahteraan, kemakmuran untuk semua rakyat. Kalau ini maksud kuasa Melayu, tidak ada sebab mengapa rakyat mesti takut kepada kuasa ini. Yang kita takut ialah, jika kuasa Melayu ini diberikan kepada atau jatuh ke tangan orang Melayu yang tidak layak menerimanya dan tidak mampu menggunakannya dengan sebaik-baiknya untuk kepentingan negara.

Oleh Dr. Hassan Ahmad

Suara politik
Taminsari

Rabu, September 22, 2010

Surat dari pembaca : Lee Kuan Yew gembira dengan "orang Melayu" nya!

Oleh : Melayu Melaka

Amat mengejutkan, dalam usia begitu lanjut, dalam temuramahnya dengan akhbar, The New York Times (NYT) baru-baru ini, Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang kini berusia 87 tahun masih mahu lagi mencerca Malaysia. Cercaannya secara tidak langsung mencerca kepimpinan Melayu di Malaysia yang kononnya tidak pandai dan tahu menjaga kepentingan orang Cina dan Indianya.

Lihat sahaja kenyataannya yang terkandung dalam buku terbitan Mendaki, iaitu sebuah pertubuhan Melayu di Singapura apabila Kuan Yew mengucapkan syabas kepada Melayu di sana dengan berkata, Well done Malays! What next?

Dalam buku ini terdapat senarai orang Melayu yang kononnya berjaya.

Tapi lihat sahaja mereka yang disenaraikan dan kita mendapati kebanyakan mereka terdiri daripada pelakon era Jalan Ampas dan penyanyi dekad 1960-an, termasuk beberapa ahli sukan atau pemain bola sepak seperti Fandi Ahmad.

Itu sahaja!

Tidak ada orang Melayu yang terbilang dalam bidang-bidang lain. Inikah Melayu di Singapura yang mereka mahu banggakan?

Kuan Yew terakhir muncul di khalayak ramai apabila dia merasmikan Sukan Olimpik Remaja di Singapura pertengahan Ogos lalu. Dia berjalan beberapa langkah dan bawa obor untuk menyalakannya. Tangannya tidak kuat dan ada seorang lelaki lebih tegap berdiri di belakangnya untuk memastikan yang dia tidak tumbang.

Dalam temuramahnya dengan NYT, dia bercakap tentang masa-masa akhirnya dan isterinya yang kini terlantar atas katil sejak beberapa tahun lalu akibat diserang angin ahmar atau stok, dan bagaimana dia juga rasa kalau dia akan mengalami nasib yang sama.

Tapi dalam masa yang sama, dia masih lantang bercakap tentang politik dan kepimpinan di Malaysia sedangkan dia sering menegah wartawan Barat dari mempersoalkan cara dia dan mereka di Singapura mentadbir negara mereka, apabila ada wartawan bertanya kenapa pemimpin di republik itu mendapat gaji paling tinggi di dunia.

Perdana Menteri mereka dapat S$100,000 setiap bulan atau S$3,000 setiap hari.

Cara mereka mendapat angka ini, menurut Kuan Yew ialah dengan memadankan jumlah gaji dari CEO syarikat besar di negaranya yang mendapat pendapatan besar.

Ini langsung bercanggah dengan sikap dan tabiat pemimpin di Singapura yang tidak mahu memakai pakai rasmi seperti kot dalam Parlimen atau semasa meraikan Hari Kebangsaan mereka setiap tahun bila mereka akan memakai pakaian biasa serba putih yang kononnya tidak mahu berlagak dan menunjuk-nunjuk.

Tetapi di sebalik pakaian ini, merekalah pemimpin yang mendapat pendapatan paling tinggi di dunia. Bandingkan dengan pendapatan presiden Amerika sebanyak US$400,000 setahun sahaja.

Saya sempat ke Singapura awal tahun ini dan apa yang saya dapat lihat tentang orang Melayu di sini amat menyedihkan. Mereka seperti ketinggalan zaman.

Mereka tidak dibenar memakaikan tudung untuk anak-anak sekolah.

Dan gadis-gadis Melayu terpaksa bekerja sebagai pelayan di restoran yang menjual daging haram. Pergi sahaja ke Kelab Alumni Universiti Singapura dan hampir semua pelayan wanita adalah orang Melayu. Dan mereka hidangkan makanan tidak halal dengan daging khinzir dan minuman keras.

Walhal, pemerintah Singapura sering berkata mereka prihatin tentang tuntutan agama Islam dan tidak galak rakyatnya mencerca kaum lain.

Seorang pemuda Cina telah diheret ke mahkamah sebab dia telah menulis sesuatu yang dikatakan menyentuh kaum Melayu. Dia bawa dua rakan keturunan Melayu ke mahkamah untuk membuktikan yang dia tidak mempunyai sifat perkauman. Dan dia hanya didenda S$2,000 sahaja, dari dipenjara.

Tetapi bagaimana pula dengan anak-anak Melayu yang tidak dibenar memakai tudung ke sekolah? Sedangkan anak-anak Panjabi dibenar memakai sarban mereka ke sekolah dan semasa bekerja sebagai anggota polis.

Suara politik
Taminsari

Selasa, September 21, 2010

Tok Guru Nik Aziz malu jadi Melayu!


Dengan nama Allah swt yang maha pemurah lagi amat mengasihani.

Surah ( Ar-Ra'd : ayat 13.11 )

" Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya, dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia ".

Rasulullah tidak pernah menghalang umatnya menyebut tentang bangsa malah baginda berbangga sebagai bangsa Quraisy apabila menyebut 'ana Quraisy'. Baginda mengaku berbangsa Quraisy tetapi tidak bermakna baginda memperbesar-besarkan perkara itu, yang penting ialah Islam .

Tidak ada masalah dengan bangsa sebab itu dalam al-Quran, Allah berfirman : " Manusia itu dijadikan berbangsa-bangsa supaya dapat kenal-mengenali antara satu sama lain ". Maknanya Allah jadikan bangsa/kaum itu memang benar..!

Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Ahad, September 19, 2010

Artikel pilihan : Dasar afirmatif songsang Lee Kuan Yew!

Sudah acap kali masyarakat antarabangsa disogokkan dengan persepsi bahawa majunya Singapura adalah kerana meritrokasi yang diamalkan oleh pemimpin pulau tersebut yang juga dianggap paling cekap dan tidak korup.

Rakyat Singapura juga begitu megah dengan amalan meritrokasi dalam kehidupan seharian mereka yang memberi isyarat kepada dunia bahawa mereka mampu bersaing tanpa diskriminasi. Begitu juga tanggapan negara jiran yang seakan-akan akur dengan sistem meritrokasi Singapura yang dianggap begitu adil, saksama dan sempurna tanpa cacat cela.

Selagi ada tanda aras antarabangsa yang mengukur tahap inovasi, kesempurnaan hidup, kecekapan atau pun bandar terbaik, Singapura pasti akan berada dalam golongan 10 negara terbaik dunia.

Tidak dapat dipisahkan amalan meritrokasi Singapura dengan bekas Perdana Menterinya, Lee Kuan Yew (LKY). Ini kerana beliau dianggap sebagai pencetus apa yang Singapura ada pada hari ini iaitu sebuah negara kelas pertama dalam rantau kelas ketiga.

LKY amat percaya bahawa rakyat Singapura lebih berdaya saing berbanding dengan rakyat negara jiran yang dihasilkan melalui amalan meritrokasi. Rakyat berbangsa Cina Singapura jauh lebih baik berbanding dengan kaum sebangsa sama ada di Malaysia atau Indonesia. Begitu juga dengan Melayu-Singapura jauh lebih sempurna dan moden dengan Melayu-Malaysia.

Sebab itulah, LKY tidak pernah jemu menjaja kepada masyarakat antarabangsa bahawa rakyat Singapura setaraf dengan rakyat negara maju lain kerana sistem meritrokasi yang diamalkannya.

Tetapi jika diteliti kesan yang terbit daripada meritrokasi yang diamalkan oleh Singapura, tidak semua rakyat Singapura berpeluang menikmati kesaksamaan dan keadilan seperti yang digembar-gemburkan oleh LKY. Persekitaran persaingan yang begitu dimegahkan oleh LKY hanya berpihak kepada segelintir penduduk yang kaya dan berpengaruh, sementara mereka yang berada di luar kelompok tersebut begitu sukar menembusi halangan yang telah wujud lebih daripada empat dekad lalu.

Meritrokasi LKY boleh dikelaskan sebagai meritrokasi ‘semu’ iaitu mengamalkan dasar afirmatif yang bersifat songsang. Jika di Malaysia, dasar afirmatif berpegang pada paksi untuk membantu golongan yang terkebelakang, tetapi di Singapura dasar tersebut digunakan untuk memberi perlindungan kepada golongan aristrokrat yang sememangnya berpengaruh dan kaya.

Sebab itulah, rakyat Cina Singapura yang miskin mendapati begitu sukar untuk bergerak lebih maju ke hadapan kerana amalan meritrokasi tersebut sama sekali menyukarkan golongan tersebut bertindak sedemikian. Dilema yang dihadapi oleh golongan tersebut serupa dengan apa yang selama ini dialami oleh rakyat Melayu dan India di Singapura.

Selama ini, jiran terdekat Singapura dan masyarakat antarabangsa terpedaya dengan amalan meritrokasi LKY yang dianggap begitu sempurna sehingga negara tersebut jauh menjadi lebih maju. Persepsi sedemikian rupa timbul kerana kepintaran LKY sebagai strategis yang selama ini bijak menjual nama Singapura.

Rakyat Singapura yang selama ini tertindas dan hanya berdiam diri kini telah mula menampakkan bibit-bibit mempersoalkan sistem meritrokasi yang diamalkan. Golongan muda telah mula menilai ketidakadilan sistem meritrokasi Singapura yang hanya membuka peluang kepada golongan aristrokrat.

LKY juga akur dengan keadaan yang semakin berubah dan kemungkinan terdapat sedikit kesangsian kebolehan anak beliau iaitu Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk mengekalkan sistem meritrokasi di sebalik kewujudan tentangan secara terbuka.

Kesangsian LKY terserlah ketika wawancara dengan akhbar The New York Times (NYT) pada awal bulan ini. Walaupun intipati wawancara tersebut tidak ada kena mengena dengan Malaysia, tetapi LKY telah menggunakan jiran terdekat Singapura itu sebagai kambing hitam.

Jika ditolak isi kandungan wawancara mengenai isteri beliau yang sedang terlantar sakit, sebahagian besar jawapan LKY adalah berkisar kepada keadaan Malaysia yang didakwa berada dalam keadaan tidak harmoni kerana kepincangan sistem pemerintahan yang diamalkan.

Kekecewaan beliau ketika Singapura menurut persepsi LKY dikeluarkan dari Malaysia telah digunakan berkali-kali dalam wawancara tersebut.

Tidak syak lagi LKY telah mempergunakan wawancara NYT tersebut untuk memberi amaran kepada rakyat Singapura yang mula mempersoalkan sistem pemerintahan yang ketat bahawa negara mereka boleh terjerumus seperti Malaysia.

Sekali lagi, LKY cuba memperdaya rakyat Singapura bahawa keadaan di Malaysia begitu tidak stabil dan perlu dielakkan sejauh mungkin. Tetapi sampai bilakah strategi sedemikian rupa boleh bertahan kerana rakyat Singapura yang tertindas telah mula berani mempersoalkan sistem meritrokasi LKY.

Komposisi menteri Kabinet Singapura yang selama ini dimegahkan kerana terdiri daripada mereka yang terbaik sebenarnya hanya terdiri daripada kelompok kecil tetapi berpengaruh. Perhatikan sahaja bagaimana anak beliau diasuh dan dididik sehingga menjawat jawatan Perdana Menteri.

Sebahagian besar jawatan kerajaan atau swasta yang kritikal dikuasai oleh golongan terpilih. Jawatan penting dalam syarikat milik kerajaan (GLC) umpamanya dikuasai oleh golongan aristrokrat tersebut. Perlu ditekankan bahawa GLC Singapura adalah nadi kepada ekonomi negara itu.

Begitu juga dengan jawatan tertinggi dalam angkatan tentera (SAF) dipenuhi oleh golongan istimewa tersebut yang merupakan batu loncatan untuk jawatan yang lebih kritikal dalam kerajaan mahupun swasta.

Statistik pemberian biasiswa kerajaan juga mempamerkan bagaimana tidak adilnya sistem meritrokasi LKY kerana kurang 10 peratus kaum Melayu dan India menerima jumlah keseluruhan biasiswa.

Itulah hakikat sebenar meritrokasi LKY yang selama ini dimegahkan oleh Singapura. Ia sebenarnya begitu pincang sekali dan telah mula membuka mata rakyat mereka yang selama ini tertindas. Sekali lagi Malaysia dijadikan kambing hitam gara-gara mahu mengekalkan amalan pemerintahan ketat Singapura.-UM

Suara Politik
Taminsari

Khamis, September 16, 2010

Artikel pilihan : Singapura patut contohi Malaysia!

Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew mengulangi kecamannya terhadap sistem politik Malaysia kerana mengamalkan diskriminasi kaum, menyisihkan bukan Melayu dengan dasar memberikan kedudukan istimewa kepada orang Melayu.

Lee Kuan Yew yang telah pun berusia 87 tahun dan berada dalam keadaan uzur, di samping menghadapi isterinya, 89 tahun yang kini tidak boleh lagi bercakap sejak diserang strok dua tahun lalu, nampaknya menyimpan dendam dan harapan yang tidak kunjung padam di atas kegagalannya menegakkan Malaysian Malaysia di Malaysia lebih 40 tahun lalu.

Gagasan itu telah tersingkir bersama dengan penyingkiran Singapura dari Malaysia tetapi telah menampakkan kesegarannya semula setelah Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 sekali gus memberi nafas baru kepada DAP yang mewarisinya, malah semakin nampak maju ke hadapan dengan DAP mendapat sokongan daripada parti parti pembangkang Melayu.

Adalah tepat kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin bahawa kenyataan Lee Kuan Yew yang dilontarkan dalam suasana Malaysia sekarang merupakan suatu hasutan, ibarat menjirus minyak ke atas api, menyalakan perasaan perkauman dan membantu merungkaikan ikatan sosial di Malaysia.

Kenyataan Lee Kuan Yew itu lebih berpotensi untuk memarakkan perasaan marah orang Cina Malaysia yang sekarang memahami 1Malaysia sebagai Malaysian Malaysia.

Dalam pada itu, berasaskan kepada tulisan-tulisan yang disiarkan oleh akhbar-akhbar di Singapura dan luar negara, ternyata keadilan sosial yang didakwa oleh Lee Kuan Yew sebagai amalannya tidak dapat dirasakan oleh generasi baru Singapura.

Mereka tidak dapat melihat kebenaran kata-katanya itu kerana mereka merasakan lebih tertekan dan teraniaya melihat kebebasan yang dinikmati oleh jiran terdekat mereka, Malaysia. Rakyat Malaysia bebas bersuara terhadap perasaan tidak puas hati mereka, malah boleh mempersendakan lagu kebangsaan negara!

Rakyat Singapura sudah berpuluh tahun hidup dalam ketakutan untuk bertindak dan bersuara secara berkumpulan atau secara individu termasuk dalam beberapa hal, mereka tidak bebas untuk mengamalkan agama, budaya dan cara hidup masing-masing. Umpamanya, pembakaran gaharu tidak dibenarkan di rumah-rumah pangsa dan azan dari masjid dan surau tidak boleh kuat suaranya.

Lee Kuan Yew tidak memberikan apa yang diberikan oleh Malaysia kepada generasi barunya iaitu udara kebebasan baru yang merungkai sistem kawalan sosial supaya setanding dengan dunia demokrasi dan nilai globalisasi.

Dalam temu bual dengan Seth Mydans untuk akhbar New York Times baru-baru ini, Lee Kuan Yew telah menegaskan sekali lagi pendiriannya untuk tidak menukar sistem pemerintahan Singapura dengan menolak tuntutan generasi baru untuk keterbukaan politik kerana ia membuka pintu kepada politik perkauman dan akan memecah-belahkan masyarakatnya (Lihat The New York Times 2010 http://bit.lydtbcMF)

Tetapi generasi baru Singapura tidak lagi percaya kepada doktrin itu. Mereka sedang berjuang secara senyap di dalam dan di luar negara untuk merungkaikan kawalan sosial yang membelenggu hidup mereka secara authoritarian dan mereka akan melakukannya dengan lebih berani apabila tangan Lee Kuan Yew tidak kelihatan lagi.

Bagaimanapun, sementara menunggu saat bahagia itu tiba, mereka memerlukan sokongan moral terutama dari luar negara. Menurut New York Times, generasi muda Singapura membimbangkan Lee Kuan Yew dengan tuntutan bagi mendapatkan kebebasan politik yang lebih luas dan juga kebebasan untuk bertukar fikiran dalam era Singapura yang moden.

Generasi muda negara itu sedang menunggu dengan sabar saat kebebasan itu datang kerana menurut laporan New York Times itu lagi, Lee Kuan Yew semakin lemah sekarang dengan menderita tekanan jiwa berhadapan dengan keadaan isterinya yang terlantar.

Namun begitu, Lee Kuan Yew tetap mempunyai semangat yang tinggi dan tetap mengenangkan perpisahan Singapura dari Malaysia sebagai sesuatu yang amat menyakitkannya, tetapi lupa dia meninggalkan warisannya di Malaysia iaitu Malaysian Malaysia yang menjadi duri dalam daging di negara ini dan amat menyakitkan hati sebahagian besar rakyat Malaysia.

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sepatutnya bersimpati dengan harapan generasi baru Singapura itu dan membantu memberikan semangat yang kuat kepada mereka untuk mewujudkan Singapura baru yang dapat mengecap udara kebebasan serta demokrasi sesuai dengan kedudukan dan taraf Singapura sebagai negara maju. Pada hari ini, Singapura dilihat sebagai negara maju yang mengamalkan demokrasi dunia ketiga.

Sebagai sokongan moral, Pemuda UMNO Malaysia patut menghantar memorandum kepada Menteri Mentor Singapura dengan salinannya kepada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi mendesaknya memberikan kebebasan media dan kebebasan bergerak kepada parti-parti politik lain, selain daripada PAP demi keadilan sosial di Singapura.

Dengan itu, beliau dapat melihat rakyat Singapura menyanjungnya semasa beliau hidup dan tidak mengutuknya selepas beliau mati. Sekurang-kurangnya dalam hal ini, Singapura patut meniru Malaysia. Lee Kuan Yew akan dapat melihat kegelisahan rakyatnya yang terpendam ini di sebalik segala kemewahan Singapura jika Malaysia membuka pintunya kepada rakyat Singapura untuk penghijrahan bagi pemastautin tetap atau untuk menjadi rakyat negara ini.

Pintu Malaysia akan pecah seperti pecahnya Tembok Berlin dengan pelarian rakyatnya sekali gus akan membuktikan mereka tidak mempunyai kepercayaan terhadap masa depan Singapura.

Apa salahnya untuk Pemuda UMNO Malaysia sekadar menghantar memorandum kepada Lee Kuan Yew, sedangkan bekas Perdana Menteri Singapura itu telah menceroboh dalam pengurusan politik Malaysia.-UM.

Suara Politik
Taminsari