Ahad, Disember 06, 2015

Semoga ALLAH merahmatimu adikku, saya sayang kamu.


TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim malam tadi memuatnaik status di Facebook yang begitu menyayat hati di atas pemergian Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil.

Malah, Tunku Ismail mengakui malam tadi begitu sukar untuknya lalui.

"Kepada adikku yang dikasihi... Dalam banyak malam yang berlalu, inilah malam yang paling sukar untuk saya.

"Kita semua amat sayang dan rindukan kamu. Kamu yang sentiasa membuatkan kita tersenyum. Kamu juga kekuatan dan inspirasiku," tulisnya melalui Facebook rasmi, Johor Southern Tigers.

Putera keempat Sultan Johor itu disahkan mangkat kira-kira jam 7.11 malam di Hospital Sultanah Aminah (HSA), semalam.

Melalui tulisan sama, Tunku Ismail menyatakan bahawa Tunku Abdul Jalil tidak akan dilupakan dan namanya bakal dibawa oleh waris Johor kelak.

"Kamu punyai satu sifat yang kita tiada; jiwa yang penyayang dan rendah diri. Saya sayangkan kamu sepenuh hati dan sangat rindukan kamu.

"Kamu takkan dilupakan. Namamu akan dibawa oleh warisku. Senyumanmu adalah kekuatanku.

"Semoga ALLAH merahmatimu, adikku. Saya sentiasa sayangkan kamu," tulis Tunku Ismail lagi atau lebih dikenali dengan panggilan TMJ.

Almarhum didiagnosis menghidap kanser tahun lalu dan menjalani pemindahan hati di Guangzhou, China.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: