Isnin, November 23, 2015

Tangisan Norlela peringatan untuk orang Melayu?


Mungkin buat pertama kalinya dalam sejarah sejak kerajaan negeri dikuasai oleh pakatan pembangkang yang diketuai oleh DAP, ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menangis di sidang DUN.

Wakil rakyat itu menangis bukan kerana kehilangan jawatan tetapi kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang seolah-olah tidak mempedulikan masalah di kawasan diwakilinya. Itulah yang berlaku kepada ADUN Penanti Norlela Ariffin.

Apa yang menarik Norlela bukanlah ADUN Barisan Nasional (BN) tetapi daripada sekutu paling rapat DAP iaitu PKR. Tetapi ternyata beliau seolah-olah dilayan secara tidak adil apabila kerajaan DAP Pulau Pinang seperti mana didakwa oleh Norlela 'mengabaikan kawasannya’.

Bagaimanapun tangisan Norlela tidak harus dilihat sekadar seorang insan yang menjadi wakil rakyat, jauh daripada itu ia mewujudkan persoalan apakah begitu nasib orang Melayu jika pembangkang memerintah?

Semua orang akui dalam pakatan baharu yang ditubuhkan selepas perpecahan Pas, selain DAP terdapat dua lagi parti iaitu PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) tetapi apakah kedua-dua parti itu mempunyai kekuatan untuk melawan kehendak politik DAP?

Sebab itulah apabila Norlela menangis tiada mana-mana kepemimpinan PKR di peringkat pusat yang bersuara mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang memandang serius rintihan wakil rakyat tersebut.

Selama inipun semua orang tahu bagaimana hubungan PKR dan DAP. Kedua-dua menjalin hubungan cukup rapat sehingga meminggirkan Pas. Norlela tidak boleh mengharapkan sangat mana-mana pemimpin PKR bersama beliau dalam perjuangan membela nasib penduduk Penanti.

Oleh itu bagi mengelakkan sebarang tafsiran tidak baik adalah wajar jika kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil tindakan segera mengatasi masalah yang diketengahkan oleh Norlela. Mungkin mereka tidak berpuas hati dengan tangisan beliau tetapi nasib penduduk Penanti perlu dibela.

Jangan sampai wujud pelbagai andaian tidak enak kepada kerajaan negeri khususnya melibatkan kawasan yang penduduknya majoriti terdiri daripada orang Melayu.

Kerajaan negeri sudah pasti tidak mahu keadaan itu berlaku kerana mereka memerintah bukannya hasil undi satu kaum sahaja tetapi semua kaum di Pulau Pinang termasuklah orang Melayu di Penanti.

Kepada pemimpin-pemimpin PKR pula, mereka sepatutnya tidak membiarkan Norlela keseorangan. Ini memandangkan jika tiada tindakan bagi mendesak kerajaan negeri menangani permasalahan yang berlaku, mereka tidak boleh marah kalau ada tafsiran bahawa tangisan Norlela peringatan untuk orang Melayu.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: