Selasa, Oktober 30, 2012

Mahu kekalkan Pok Nik Ajis bukti Pas Kelantan hadapi masalah dalaman serius?



Tindakan Pas Kelantan mahu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan kekal menjadi Menteri Besar membuktikan parti itu sedang menghadapi masalah dalaman yang hebat terutama dalam mencari pengganti yang sesuai.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, pemimpin Pas Kelantan menyedari bahawa Mursyidul Am Pas itu sudah tidak mampu untuk melaksanakan tugas berat kerana masalah kesihatan yang serius.

Beliau berkata, sebagai seorang Menteri Besar, Nik Abdul Aziz sendiri sepatutnya menjadi penggerak kepada program dan pembangunan negeri dan bukannya menyerahkan tugas berat itu kepada orang lain.

"Saya melihat beberapa implikasi daripada kenyataan Exco kerajaan Pas Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan ini, pertama, beliau mengetahui Nik Abdul Aziz mempunyai anak emas iaitu Datuk Husam Musa, jadi untuk menyekat Husam daripada menjadi Menteri Besar, beliau membuat kenyataan memaksa Nik Abdul Aziz supaya terus memimpin.

"Kedua, sememangnya mungkin dalam kalangan pemimpin Pas Kelantan menganggap Nik Abdul Aziz sebagai aset jadi mereka harus terus memberi sokongan kerana tidak ada pemimpin yang layak dan percaya akan terus menang di sebalik 'keramat' yang dimiliki oleh Nik Abdul Aziz.

"Ketiga, Nik Abdul Aziz umpama orang yang mengantuk disorongkan bantal, beliau sendiri tidak mahu berhenti dan ini adalah peluang terbaik untuk terus memegang kuasa," katanya kepada Mingguan Malaysia selepas menyampaikan ceramah di Kampung Jenereh 7, Tok Uban di sini malam tadi.


Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Takiyuddin bahawa Pas Kelantan tetap mahu Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar walaupun beliau tidak dapat melakukan kerja berat ekoran masalah kesihatan.

Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, rakyat negeri ini yang akan menerima kesan daripada percaturan politik peribadi pemimpin Pas itu.

"Kalau kerja diserahkan kepada orang lain itu namanya 'makan gaji buta', seorang Menteri Besar kena melaksanakan tugas, turun ke akar umbi dan menjadi tenaga penggerak kepada pembangunan negeri,'' tegasnya

"Kenyataan itu juga membuktikan bahawa Nik Abdul Aziz sudah tidak berupaya disebabkan itu kita tengok usaha kerajaan negeri untuk menarik pelabur gagal, menjadi ketua kerajaan bukan setakat membaca khutbah dan berceramah, beliau kena membangunkan Kelantan dengan sumber-sumber yang ada," katanya.

Tambah Ibrahim, kepentingan rakyat harus didahulukan dan bukannya matlamat peribadi pemimpin Pas diletakkan di hadapan sehingga mengorbankan seluruh negeri ini.

"Bukan saya tak kasih dan tak hormat tok guru (Nik Abdul Aziz) tetapi saya kasihan kepada rakyat Kelantan kerana beliau tidak boleh berfungsi mentadbir dan menjadi ketua kerajaan yang efektif, beliau tidak boleh jadi ketua pentrabdir berkesan kerana keadaan yang uzur," katanya.

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: