Isnin, Oktober 15, 2012

Islam liberal...versi Anwar?



Bukan sahaja Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din sinikal terhadap Ketua Pembangkang Anwar yang melancarkan buku seorang tokoh Islam liberal di ibu negara baru-baru ini, ramai lagi yang menggeleng kepala.

Tindakan Anwar melancarkan karya bekas Ahli Parlimen India, Mobashar Jawed Akbar yang berfahaman liberal, mengundang keresahan umat Islam.

Pada majlis itu, Akbar meremehkan peranan Islam dalam pembentukan sebuah negara, yang kebetulan menjadi agenda Pas di Malaysia. ‘‘Islam adalah sebuah persaudaraan dan bukannya sebuah negara," kata beliau.

Kenyataan itu ditempelak oleh Haron. Beliau lalu meminta umat Islam tidak menganggap tindakan Anwar bersekutu dengan orang seperti Akbar sebagai sesuatu yang direstui Pas.

Ini bukan kali pertama Anwar menyekutukan diri dengan kelompok liberal termasuk personaliti yang kontroversial. Pada Mac lalu, pemimpin PKR itu menghadiri Persidangan India Today Conclave di Delhi, yang turut disertai penulis buku Satanic Verses, Salman Rushdie. Siapa yang tidak kenal penulis itu yang kini menjadi pujaan Barat kerana terang-terangan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.


Berbeza dengan Anwar, pemimpin pembangkang Pakistan, Imran Khan yang turut dijemput pada persidangan itu, enggan hadir kerana membantah Rushdie.

Ketegasan Imran mendapat pujian masyarakat Islam Pakistan. Tentu ada suatu dorongan yang kuat sehingga Anwar sanggup bersekutu dengan dengan Akbar dan Rushdie. Beliau juga dikatakan mempunyai rangkaian hubungan baik dengan beberapa lagi tokoh yang menghina Islam antaranya Irshad Manji, Ayaan Hirsi Ali dan Taslima Nasreeen.

Maka jangan terkejut jika mereka memuji Anwar sebagaimana dalam buku Irshad Manji, The Trouble With Islam Today: A Muslim‘s Call for Reform in Her Faith. Sedangkan penulis yang sama diketahui umum mempersoalkan syariat Islam dan ulama selain membela golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Yang jelas pemikiran kelompok itu bertentangan dengan fahaman Islam sebenar tetapi menghairankan mengapa Anwar mendokong tokoh-tokoh itu, apakah beliau juga teruja mahu menjadi idola Barat untuk tujuan tersirat? Atau sudah terperangkap dalam naluri gaya hidup bebas agar boleh dihalalkan golongan seperti itu?

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: