Jumaat, Februari 10, 2012

Adakah PAS hanya menang bersorak, maruah tergadai!


Baru-baru ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah menyatakan dalam satu perhimpunan di Shah Alam bahawa tidak kisah PAS diperkudakan oleh DAP dan DAP yang diperkudakan oleh PAS asalkan jangan 'diperlembukan' oleh UMNO.

Kenyataan itu mengesahkan PAS tidak kisah apa pun yang diminta oleh DAP asalkan cita-cita PAS untuk bersama-sama parti berkenaan dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menawan Putrajaya menjadi realiti.

Sebab itulah Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menyatakan PAS dan PKR akan membantu DAP meyakinkan orang Melayu di Perak bahawa parti itu tidak bersifat cauvinis Cina dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Kita tidak boleh menyalahkan Koo Ham kerana berterus terang, sebaliknya perlu berterima kasih kepada beliau. Ia memandangkan selama ini ramai tertanya-tanya kenapakah PAS begitu bersedia bergabung dalam pakatan pembangkang biar pun berbeza ideologi dan arah perjuangan.

Malahan ramai juga bertanya bolehkah PAS bekerjasama dengan DAP yang secara terang-terang menentang penubuhan negara Islam sehingga PAS terpaksa menggugurkan perjuangan berkenaan.

Tetapi rupanya, DAP dan PKR menerima PAS disebabkan mereka amat memahami kekuatan yang ada pada parti tersebut iaitu menarik sokongan orang Melayu menyokong pembangkang termasuk DAP.

DAP mengetahui mereka tidak boleh bersendirian melakukan usaha meraih sokongan orang Melayu, biar pun sudah memulakan langkah dengan menarik beberapa orang Melayu menyertai parti itu.

Bagi DAP, hanya PAS sahaja yang mampu menandingi keupayaan untuk memecah sokongan orang Melayu kepada Barisan Nasional (BN) melalui UMNO. Oleh itu, PAS diterima masuk dalam pakatan pembangkang dengan jaminan DAP pula akan cuba 'mencuci' imej PAS yang dikatakan dilihat ekstrem.

Bagaimanapun, kita tidak pasti sejauh manakah DAP benar-benar jujur untuk membantu PAS kerana hakikatnya yang lebih memerlukan PAS ialah DAP, bukannya PAS.

Jika DAP mahu membantu mengikis imej yang dikatakan ekstrem itu, parti tersebut perlu membenarkan PAS bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina yang menjadi kubu kuat mereka terutamanya di Perak, Selangor dan Pulau Pinang.

Tetapi kita pasti DAP jauh lebih bijak berpolitik berbanding PAS, ia memandangkan DAP tidak akan mengorbankan kekuatannya semata-mata atas dasar membantu PAS. Namun PAS akan bersedia berbuat demikian kerana parti itu sudah kemaruk hendak berebut kuasa bersama-sama DAP dan PKR.

Sebab itulah, selama ini kita lihat melalui kerjasama dalam pakatan pembangkang PAS lebih banyak menjadi 'pak turut' dan diperalatkan. PAS seolah-olah cuba menafikan hakikat ini, sebaliknya gembira apabila ada penyokong DAP yang mengibarkan bendera PAS.

PAS menganggap itu petanda baik kerana menunjukkan kononnya masyarakat bukan Melayu menyokong parti itu. Parti tersebut sebenarnya tidak sedar bahawa DAP mahu memperalatkan PAS untuk meraih sokongan orang Melayu kerana mereka tidak boleh bergantung kepada PKR.

PKR ibarat parti yang semakin rosak dan penuh kekalutan akibat gelagat pemimpin-pemimpin kanannya. Ia berbeza dengan PAS yang mempunyai ramai ulama, kehadiran golongan ini akan memudahkan misi menarik sokongan orang Melayu.

Tambahan pula DAP amat memahami ketaksuban PAS untuk terus berada dalam pakatan pembangkang dan keghairahan PAS untuk menggantikan UMNO sebagai parti tunggal orang Melayu. Justeru keterujaan inilah yang akan menjadi senjata kepada DAP dan PKR untuk memperalatkan PAS.

Dan satu fakta lagi kita harus mengakui bahawa dari segi organisasi terutamanya pergerakan jentera pilihan raya, PAS jauh lebih tersusun berbanding kedua-dua parti berkenaan.

Ahli-ahli PAS sentiasa taat kepada arahan kepimpinan apabila diminta berkorban dan berjuang untuk parti. Mereka diserapkan dengan fahaman bahawa pakatan pembangkang perlu menumbangkan BN kononnya bagi memberikan harapan baru kepada rakyat dan 'Bersihkan Malaysia'.

Ahli-ahli PAS juga ditanamkan dengan fahaman bahawa musuh mereka yang paling nyata adalah UMNO, oleh itu 'jihad' mereka ialah menghapuskan kuasa politik UMNO biar pun parti terbesar orang Melayu itu telah banyak berjasa kepada bangsa, agama dan negara.

Berikutan keadaan itulah, DAP dan PKR tidak akan meninggalkan PAS, apatah lagi PAS dilihat 'pak turut yang baik' kerana tidak pernah membantah kehendak, kemahuan dan arahan mereka. Bagaimanapun apa yang perlu difikirkan oleh orang Melayu apakah corak politik yang diamalkan pembangkang sekarang akan menguntungkan masa depan mereka atau tidak.

Pilihan raya umum akan datang bukan soal untuk memberi kuasa kepada mana-mana parti semata-mata tetapi sebaliknya menentukan survival perjuangan dan kepentingan orang Melayu tidak tergugat di samping memastikan kaum-kaum lain tidak dipinggirkan.

Jelaslah, DAP dan PKR menerima PAS bukannya bagi membantu parti yang diasaskan oleh para ulama tersebut meneruskan perjuangan Islam tetapi semata-mata untuk meraih kuasa politik. Seperti mana pernah diperkatakan sebelum ini, DAP dan PKR sama sekali tidak akan membiarkan PAS dominan atau menjadi tonggak utama pakatan pembangkang.

Jika DAP dan PKR ikhlas serta mengiktiraf PAS sebagai parti yang mewakili orang Melayu dan umat Islam yang merupakan kelompok terbesar rakyat di negara ini, maka mereka perlu benarkan PAS menjadi parti utama dalam pakatan pembangkang. Melalui cara demikian barulah mimpi PAS siang dan malam untuk menggantikan UMNO akan menjadi kenyataan.

Bagaimanapun kita yakin, harapan untuk melihat PAS menjadi suara utama dalam pakatan pembangkang hanyalah mimpi kerana selain DAP dan PKR tidak akan mengizinkan, PAS juga ketandusan pemimpin yang layak menjadi pemimpin kepada ketiga-tiga parti berkenaan.

Sebab itulah, DAP dan PKR menyatakan kalau pun Anwar Ibrahim dipenjara sekali pun, beliau tetap dilantik sebagai Perdana Menteri kalau pembangkang menang pilihan raya umum nanti.

Oleh itu adalah diharapkan orang Melayu tidak harus terpengaruh dengan janji-janji manis pakatan pembangkang kononnya pakatan itulah alternatif terbaik bagi menggantikan BN serta PAS adalah pengganti UMNO.

Semua itu hanyalah omong kosong kerana fakta sebenarnya ialah kerjasama mereka bukanlah pakatan rakyat tetapi pakatan rapuh akibat berbeza ideologi politik dan hala tuju perjuangan.

Mereka juga perlu menerima hakikat bahawa PAS tidak akan mampu menggantikan UMNO kerana sepanjang perjalanan politiknya UMNO tidak pernah menjadi 'pak turut' sesiapa, UMNO tidak mengorbankan prinsip perjuangannya dan UMNO tidak pernah mengamalkan pendekatan matlamat menghalalkan cara.

Apa pun UMNO lakukan adalah demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam serta bekerjasama dengan parti-parti komponen BN membela kaum-kaum lain supaya kita mampu mewujudkan sebuah rakyat yang bersatu-padu bagi membangunkan negara.

Tetapi apa akan berlaku jika rakyat menyerahkan kuasa kepada sebuah pakatan politik yang menyaksikan satu parti dilihat cauvinis, satu parti dilihat caca marba dan satu parti hanyalah 'pak turut'. Fikirkanlah!-UMO

Suara Politik
Taminsari

Tiada ulasan: