Khamis, Jun 23, 2011

Soksek-soksek akhbar berbahasa Cina!

DR. MAHATHIR DAN MUKHRIZ KRITIK PAS

Akhbar Nanyang Siang Pau terbitan 19 Jun 2011 menyiarkan artikel tulisan pengkritik semasa, Loh Hon Chew mengenai komen yang dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Mukhriz terhadap Pas.

Artikel bertajuk ‘Tun Mahathir anak-beranak mengkritik Pas’ itu tersiar dalam ruangan Pendapat Yuanlun pada halaman A16 akhbar berkenaan.

Menurut penulis, Dr. Mahathir dan Mukhriz merasa tidak selesa dengan keputusan Pas baru-baru ini untuk meninggalkan perjuangan menubuhkan negara Islam dan beralih kepada negara berkebajikan.

Dr. Mahathir berkata, Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menentang negara Islam telah menang besar kerana puak yang memperjuangkan perkara itu dalam Pas telah dipaksa melepaskan kuasa semasa pemilihan pada muktamar tahunan parti itu yang ke-57.

Mukhriz yang turut memberikan komen, menyifatkan kemenangan golongan pro- Anwar adalah tidak baik kepada perbincangan kerjasama antara UMNO dan Pas serta tidak bagus untuk perpaduan orang Melayu.

Kata-kata Dr. Mahathir itu, jelas menunjukkan beliau sangat geram dan tidak boleh menerima hakikat bahawa Karpal mempunyai pengaruh yang begitu kuat dalam Pas.

Dalam reaksi balasnya, Karpal berkata, beliau langsung tiada pengaruh dalam Pas. Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu turut menuduh bekas Perdana Menteri itu sengaja membuat dakwaan berkenaan bagi mewujudkan pergeseran antara kedua-dua parti.

Sebenarnya, bukan Karpal dan pemimpin DAP sahaja yang membantah penubuhan negara Islam. Jika kita bertanya orang Cina, daripada 10 orang yang ditanya, sekurang-kurangnya sembilan orang akan menyatakan bantahan terhadap langkah itu.

Mereka bukan sahaja membantah negara Islam, malah tidak bersetuju dengan penubuhan negara Buddha dan Kristian. Sebab itu, seluruh masyarakat Cina menyatakan bantahan selepas Dr. Mahathir menyebut ‘‘kita sudah pun menjadi negara Islam’’ selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan 2001.

Hanya Presiden Gerakan ketika itu, Tun Dr. Lim Keng Yaik seorang sahaja yang bersetuju dengan kata-kata beliau manakala Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik cuba mengelak daripada menjawab soalan pemberita mengenai kenyataan Dr. Mahathir.

Sehingga sekarang, MCA dan Gerakan membantah penubuhan negara Islam manakala UMNO pula mengambil sikap berbelah- bahagi dalam isu berkenaan. Langkah UMNO yang menyatakan Malaysia kini adalah negara Islam dan tidak menentang secara terbuka cadangan penubuhan negara Islam ala-Pas merupakan taktik politik. Tujuannya adalah bagi menarik pengundi beragama Islam.

Pada masa sama, perubahan yang dibuat Pas juga adalah strategi politik. Parti itu memahami bahawa isu negara Islam tidak boleh lagi menarik minat pengundi, kerana keburukannya lebih besar daripada kebaikan.

Pas meninggalkan perjuangan negara Islam kerana mahu terus hidup. Ia tiada kaitan langsung dengan Karpal, jadi kita tidak perlu mengagung-agungkan Pengerusi DAP itu.

Dalam pada itu, kenyataan Mukhriz bahawa kemenangan golongan pro-Anwar yang menyokong negara berkebajikan adalah tidak baik untuk perpaduan orang Melayu menunjukkan beliau masih mempunyai fahaman perkauman.

Adalah melucukan apabila beliau menganggap cadangan penubuhan negara Islam akan mendatangkan kebaikan kepada perpaduan orang-orang Melayu.

Semua orang Melayu memang beragama Islam. Ini tidak boleh dipertikaikan lagi, tetapi orang Islam tidak semestinya daripada kalangan kaum Melayu sahaja.

Di seluruh dunia ada ramai orang Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Bilangan orang Islam di China lebih ramai daripada jumlah penduduk Malaysia. Orang berkulit putih di Amerika Syarikat dan Eropah juga ada yang beragama Islam.

Oleh itu, mengaitkan Islam dengan perpaduan Melayu adalah salah kerana mana- mana kaum tidak akan bersatu semata-mata kerana ia menganut agama sama. Rakyat Pakistan misalnya, mereka membunuh orang Pakistan lain yang seagama untuk membalas dendam. Ini jelas menunjukkan agama tidak membawa kepada perpaduan.

Pendapat Mukhriz yang mengaitkan agama dengan perpaduan adalah kesilapan besar. Pemikiran seperti itu adalah lebih mundur berbanding fahaman perwakilan Pas ketika muktamar parti itu, baru-baru ini.

Pendirian kepimpinan baru Pas untuk tidak lagi memperjuangkan negara Islam telah menyatukan rakyat yang berlainan agama. Ia tidak seperti Mukhriz yang mempolitikkan agama dan hanya mencari perpaduan untuk satu kaum sahaja.

Bagi Belantan, sebenarnya dalam konteks politik negara sekarang, orang Melayu perlu sedar akan mainan politik khususnya kaum Cina. Bidang Ekonomi dan pendidikan yang menjadi teras dalam sesebuah negara telahpun dikuasai oleh kaum Cina cuma kuasa politik masih lagi belum dikuasai. Nampak sangat dendam mereka terhadap Tun masih belum reda. Mereka dilihat begitu kritis dengan setiap kenyataan dan tindakan Tun seolah-olah mereka telah lupa jasa Tun selama ini.

Perbalahan yang berlaku di antara pimpinan Melayu/Islam termasuk UMNO, PAS serta PKR (yang dipimpin oleh Melayu/Islam tapi bawa perjuangan Melayu/Islam?) hanya akan menguntungkan kaum Cina dan India. Bukan bermaksud untuk bersifat perkauman tetapi sifat dan budaya Melayu yang menjadi tunjang pembinaan negara Malaysia semakin terhakis.

Inilah yang sebenarnya yang mereka mahukan sebenarnya, dengan menghilangkan pengaruh Melayu dalam apa jua dasar dan kepentingan negara.

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

tOy berkata...

Bagi kita di Malaysia, orang Melayu lebih dominan dengan agama Islam berbanding kaum lain. Hakikatnya, bila dikatakan seseorang itu Melayu, persepsi utama rakyat Malaysia; dia mesti beragama Islam (walaupun ramai hanya Islam pada nama, malah ada beragama selain Islam).
Perbandingan yang dibuat oleh penulis di Nanyang Siang Pau itu mengenepikan hakikat ini (atau saja buat-buat tak faham?). Memang Islam bukan hak milik mutlak orang Melayu, tapi kalau dikira dalam konteks Malaysia, Melayu adalah dominan dan majoriti yang menganut agama Islam.
Kadang-kadang, kesian juga dengan sesetengah orang Melayu ni, yang menggadai bangsa kononnya perjuangan bangsa tidak selari dengan ajaran Islam. Perlu diingat, hilang Melayu di Malaysia, Islam pun mungkin tergadai...fikir-fikirkan lah..