Isnin, Julai 26, 2010

Siri ceramah Roadshow Gelombang Selamatkan Selangor Darul Ehsan ( SSDE ) di Ijok, Kuala Selangor!













Ceramah Roadshow ini berlangsung di Dewan Generasi Warisan, Batu 8 Kampung Ijok. Walaupun hujan lebat turun sejak petang, namun ceramah yang sepatutnya di buat di kawasan dataran tetap diteruskan di dalam Dewan Generasi Warisan. Para hadirin yang datang dilihat tidak berganjak sehingga memenuhi luar dewan.

Kedinginan malam itu dihangatkan lagi dengan ceramah yang begitu bersemangat dibawa oleh Sdr. Zahid Md Arip dan juga YB Datuk Seri Noh Omar. Seperti ceramah-ceramah sebelum ini, Sdr. Zahid Md Arip yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan membongkar kisah pembohongan dan juga penyelewengan Anwar Ibrahim yang disifatkannya sebagai manusia Pembohong No.1 di Malaysia. Juga tidak ketinggalan cerita-cerita mengenai PAS dan DAP. Manakala Datuk Noh Omar pula terus membongkar isu penyelewengan perlombongan pasir di Selangor.

Antara yang menarik yang diceritakan oleh Sdr. Zahid adalah bagaimana percubaan kali kedua Anwar untuk memalukan allahyarham Tun Ghafar Baba gagal. Selepas dibebaskan dari penjara semasa awal bulan puasa, Anwar cuba mengatur pertemuan dengan Tun Ghafar Baba melalui Sdr. Zahid yang juga cucu kepada allahyarham Tun Ghafar.

Anwar menyuruh Sdr Zahid mengatur pertemuan dengan Tun Ghafar di rumah Tun sendiri selepas hari raya puasa. Kali pertama apabila Zahid menyampaikan berita itu kepada Tun Ghafar, beliau tidak bercakap apa-apa pun, kata Zahid. Bermakna Tun Ghafar masih tidak dapat menerima apa yang Anwar telah lakukan terhadap beliau sebelum ini. Setelah gagal mendapat jawapan dari Tun, lantas Zahid terus menalifon Anwar dan memberitahunya yang Tun tidak memberi sebarang jawapan diatas permintaan Anwar.

Anwar bagaimana pun terus mendesak Zahid agar memujuk Tun Ghafar sekali lagi yang beliau benar-benar mahu berjumpa dengan Tun Ghafar. Sdr. Zahid memberitahu yang beliau terpaksa sekali lagi bertemu Tun Ghafar dan memberitahu beliau yang Anwar sudah nampak berubah dan ikhlas hendak bertemu dengan Tun. Mungkin Tun ketika itu memikirkan yang Anwar sudah berubah, maka Tun menerimanya tetapi dengan bersyarat. Anwar hanya boleh datang bersama dengan Wan Azizah sahaja?

Nak dijadikan cerita ketika pertengahan bulan puasa Zahid menceritakan yang semasa beliau ke Pasar Ramadhan di Segambut untuk membeli juadah berbuka , secara tak sengaja beliau telah bertemu dengan seorang lagi bekas ahli majlis tertinggi PKR iaitu Sdr.Abdul Rahman. Abdul Rahman memberitahu Zahid yang beliau baharu sahaja bertemu dengan Anwar . Dalam pertemuan itu Anwar memberitahu yang Tun Ghafar telah menalifon dan hendak bertemu dengan beliau.

Setelah mendengar apa yang di cakapkan oleh bekas ahli majlis tertinggi PKR itu, Zahid memberitahu yang beliau terus menalifon TunGhafar untuk membatalkan sahaja pertemuan itu setelah mendapati Anwar cuba memutarbelit kenyataannya. Anwar cuba spin cerita yang “ Tun Ghafar yang hendak berjumpa dengan beliau dan bukannya beliau yang hendak bertemu dengan Tun Ghafar”. Dilihat percubaan Anwar untuk memalukan allahyarham Tun Ghafar Baba buat kali kedua teryata gagal! Zahid memberitahu sejak dari hari itu beliau langsung tidak percayakan lagi apa yang Anwar cakapkan!

Isu seterusnya yang agak menarik adalah isu bom C4 dan Kalimullah. Sdr.Zahid meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat berhubung artikel yang ditulis Datuk Seri Kalimullah Hassan mengenai bahan letupan C4 ketika beliau menerajui The New Straits Times Press Berhad (NSTP).

Sdr. Zahid Md Arip memberitahu yang sebelum ini beliau sudah meminta Kalimullah supaya menjelaskan mengenai artikelnya itu. Artikel mengenai bahan letupan C4 ini amat serius..., maka kita meminta KDN supaya segera menyiasat mengenai perkara ini, katanya.

Semasa temu bual beliau bersama TV3 yang disiarkan menerusi Buletin Utama Sabtu lalu, beliau meminta Kalimullah menjelaskan kaitannya dalam plot menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak ketika menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.

Dalam temu bual berkenaan, beliau mendakwa, Kalimullah dipercayai mempunyai kaitan dengan plot itu dan turut mendakwa, Kalimullah menyiarkan artikel tidak tepat ketika menerajui NSTP mengenai bahan letupan C4 yang digunakan dalam kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006. Dalam artikel itu, C4 ini kononnya hanya dimiliki oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan perlu kelulusan tertinggi Kementerian Pertahanan.

Berita ini tidak tepat kerana kita tahu bahan letupan ini juga ada di semua depot senjata Polis Diraja Malaysia dan penggunaannya tidak memerlukan kelulusan tertinggi. Jika Kalimullah tidak mahu bertanggungjawab, tidak mahu menjawab, dan berdiam diri, beliau jangan marahkan saya. Seluruh rakyat percaya beliau salah seorang yang merancang plot untuk menjatuhkan Najib ketika itu dan agenda itu berterusan sehingga sekarang, dakwa Mohd Zahid.

Manakala Datuk Seri Noh Omar terus membongkar isu skandal pasir yang melibatkan anak syarikat kerajaan negeri Selangor sekarang. Beliau memberitahu Akibat kegiatan mencuri pasir yang berleluasa sekarang di lihat kerajaan negeri gagal menunai janji untuk mengutip hasil pasir negeri bernilai RM150 juta tahun 2009.

Janji sasaran kutipan RM 150 juta hasil pasir ini jelas disebutkan dalam ucapan bajet 2009 Dato’ Menteri Besar. Namun ketika bentang bajet 2010 pada November 2009, YAB MB menyatakan sehingga 21 Oktober 2009, hasil daripada royalti pasir yang diperolehi hanya RM 4.6 juta sahaja. Ini hanya 3 % sahaja dari jumlah sasaran. Ia tersasar jauh, bagai langit dengan bumi.

Menteri Besar mendakwa kewujudan hanya satu syarikat boleh membendung aktiviti mencuri pasir. Persoalan mengapa masalah kecurian pasir masih berleluasa dan kerap dilaporkan? Antaranya dakwaan kegiatan curi pasir di belakang kampus Unisel, Lembangan Sungai Langat di Kuala Langat dan Dengkil, Sepang. Malah ada laporan polis dan dakwaan kecurian pasir menggunakan lori KSSB di mana KSSB merayu atas kompaun akibat “kesalahan mengeluar bahan batuan tanpa wibawa yang sah” misalnya di Kuala Selangor sendiri.

Datuk Seri Noh Omar juga mendakwa yang beliau mempunyai bukti wujud penyelewengan dan amalan pilih kasih oleh anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam menawarkan pembelian pasir kepada syarikat kontraktor.

Beliau mendakwa, daripada maklumat yang diperolehnya, sebuah syarikat diberikan diskaun sebanyak 22 peratus atau RM4.00 bagi pembelian satu tan pasir yang berharga RM17.50 sementara syarikat-syarikat lain hanya diberi potongan 50 sen sahaja bagi setiap tan pasir yang dibeli."Atas keistimewaan ini, saya difahamkan syarikat itu telah mengambil kesempatan dengan menjadi broker penjualan pasir kepada syarikat-syarikat lain dan membuat keuntungan besar.

"Adakah syarikat itu menjadi proksi mana-mana parti politik. Apa muslihat kerajaan negeri sehingga beri cukup keistimewaan kepada syarikat itu,” katanya . Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mendakwa KSSB turut memberi kemudahan kredit kepada sebuah syarikat dan lima kontraktor untuk mengorek pasir pasir tanpa perlu membayar deposit.

"Syarikat-syarikat terbabit menyalahgunakan keistimewaan itu dengan tidak membayar kepada KSSB selepas mengorek pasir. Sikap pilih kasih ini juga menyebabkan KSSB hanya jadi alat dan kuda tunggangan kepada syarikat-syarikat tertentu,” katanya. Noh mendakwa KSSB juga membenarkan pihak kontraktor memproses dan menjual pasir halus di kawasan melombong tetapi mengeluarkan resit yang menyatakan bagi pengeluaran pasir kasar.

Namun kata Noh terdapat juga kemungkinan ada-ada unsur penipuan kepada Pejabat Tanah oleh pihak KSSB dalam soal pembayaran doket pasir. KSSB membayar doket kepada Pejabat Tanah sebanyak RM3.00/tm. Mengambil contoh bukti penipuan yang berlaku di Lot 19439 di Rawang pada tahun 2009. KSSB membayar sebanyak RM 30 ribu untuk pengeluaran 10,000 tm pasir dengan kadar bayaran RM3.00 bagi setiap 1 tm.

KSSB pula mengenakan bayaran doket kepada sebuah syarikat kontraktor sebanyak RM8.00 bagi setiap 1 tm. Bukti yang didapati adalah syarikat berkenaan telah membayar KSSB sejumlah RM116,400 bagi pengeluaran 14,550 tm pasir 4550 tm daripada apa yang diistiharkan oleh pihak KSSB kepada Pejabat Daerah Gombak. Ini bermakna pihak KSSB telah menipu Pejabat Tanah Gombak!

Lebih memburukkan, KSSB turut mengawal kutipan doket pasir yang dahulu dibuat oleh pejabat tanah daerah. Pihak swasta telah ambil alih peranan kerajaan. Ini lebih mendedahkan pada amalan rasuah dan penyelewengan. Kerajaan negeri sepatutnya mengambil tindakan dengan memberhentikan pemberian permit pasir sekiranya mereka ingin menyelesaikan masalah pasir dengan telus dan bukan menyalahkan kerajaan Persekutuan atas kegagalan mereka.,katanya.

Dilihat begitu banyak pembohongan dan penipuan yang telah dilakukan oleh Pakatan Rakyat yang di ketuai oleh Anwar Ibrahim telah berjaya dibongkarkan oleh para penceramah. Diharap kepada hadirin yang datang pada malam itu agar dapat mengambil iktibar dengan apa yang berlaku sekarang di negeri Selangor. Harta bumi Selangor sedang di rompak oleh PR dan kroni-kroninya. Ceramah berlanjutan sehingga larut malam sebelum ditamatkan pada jam 12 tengahmalam. Siri ceramah Roadshow seterusnya akan bersambung ke minggu hadapan di enam lagi kawasan parlimen negeri Selangor.

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

KAPAKTAJAM berkata...

Kapak menyokong penuh pembongkaran dan penipuan walau dari pihak mane pun yg melakukannya. Pembohongan, penipuan dan kecurian pasir yg merugikan Kerajaan Selangor wajib dibenteras dan dihentikan segera. Tidak kira melalui jalan yg halus saluran mahkamah, mahupun dari suara gelombang rakyat.

Rakyat wajib tahu dgn sejelas2nya apa yang sedang dan tengah berlaku sekarang ini. Teruskan pembongkaran isu2 panas ini akan rakyat Selangor sedar dan sedar & sedar serta bertindak segera.