Isnin, Mac 15, 2010

Siapa Anwar, siapa Asghar Ali?

Sebuah akhbar harian di India, Mail Today bertarikh 13 Ogos 2008 telah menyiarkan berita bergambar mengenai pernikahan pasangan Islam yang dilaksanakan oleh seorang kadi wanita dengan empat wanita sebagai saksi.

Pernikahan itu terlebih dahulu mendapat pandangan daripada beberapa orang yang mendakwa sebagai intelek Islam India termasuk Asghar Ali Engineer yang membenarkan pernikahan seperti itu.

Oleh kerana pernikahan itu bertentangan dengan ajaran Islam sebenar maka timbul persoalan siapa Asghar Ali? Apa fahamannya? Dan turut menimbulkan persoalan ialah apa pula hubungan Asghar Ali dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Sebagai bukti, pada 16 Mei 2008, Anwar telah dijemput oleh Asghar Ali untuk memberi syarahan di Institut Pengajian Islam dan Pusat Masyarakat dan Sekularisme di Mumbai India.

Syarahan oleh Anwar itu dihadiri kira-kira 50 orang tetamu.

Kehadiran Anwar atas jemputan Asghar Ali dianggap sebagai rakan baik dan mereka mempunyai hubungan rapat. Hanya orang yang mempunyai hubungan rapat sahaja dijemput memberi syarahan itu. Dalam hal ini, Anwar dilihat sebagai rakan baik Asghar Ali.

Timbul persoalan mengapa Anwar dijemput dan apakah FAHAMAN dan PENDIRIAN sebenar bekas Timbalan Perdana Menteri itu terhadap pegangan agama Asghar Ali yang membenarkan pernikahan sedemikian. Asghar Ali memperlihatkan fahaman amat berbeza terhadap perkara-perkara yang dibenarkan oleh Islam.

Berdasarkan artikel yang ditulis oleh Asghar Ali berjudul 'What I Believe', beliau antara lain menyatakan:

"Saya berpegang kuat mempercayai bahawa setiap individu mempunyai hak untuk menukar agama mereka kepada agama lain tanpa sebarang halangan." Asghar Ali yang berasal dari masyarakat Bohra dan merupakan seorang pengikut Syiah, telah menulis lebih 40 buku. Pada 2004, beliau telah dilucutkan jawatan sebagai Setiausaha Agung Lembaga Pusat Dawoodi Bohra kerana mengkritik pelaksanaan badan agama tersebut.



















Persoalan kini timbul mengenai hubungan Asghar Ali dan Anwar hingga membolehkan Anwar menyampaikan syarahan atas jemputan Asghar Ali. Memang kita sukar menjawab mengenai hubungan Asghar Ali dan Anwar, juga sukar untuk mengetahui pendirian Anwar dan hanya Allah SWT sahaja yang maha mengetahui.

Bagaimanapun, sebagai individu Islam yang dapat berfikir secara waras, apalah kiranya kita fikirkan sejenak mengenai pendirian sebenar Anwar yang berkawan dengan orang seperti Asghar Ali.

Penulis juga ingin bertanya pada Anwar, apakah pendirian beliau mengenai pernikahan sedemikian. Kenapa Anwar hadir memberi syarahan tersebut dan adakah ini menandakan sokongan beliau kepada Asghar Ali berhubung pernikahan itu?

Penulis bimbang, jika Anwar ditakdirkan menjadi " apa yang dihajatnya" , dikhuatiri orang seperti Asghar Ali akan cuba mempromosikan pernikahan yang berlaku itu di negara ini. Sebagai orang Islam, kita semua masih dapat menyelamatkan orang Melayu dan Islam di Malaysia sebelum terlambat.

Pada pembaca, penulis minta fikirkan perkara ini. Pertimbangkan apa yang diluahkan ini. Pada masa sama untuk mengetahui siapa Asghar Ali, layari juga laman web:

http://en.wikipedia.org/wiki/Asghar_Ali_Engineer.

Wallahuallam

Suara Politik
Taminsari

3 ulasan:

acah aje... berkata...

Sebenarnya Ijtihad Asghar Ali itu tak salah, dizaman dahulu, para ulamak telah berlaku tidak adil kepada kaum wanita.

Ini semua berlaku kerana pada masa tersebut hanya kaum lelaki sahaja yang berpendidikan tinggi sementara kaum wanita hanya dianggap layak berada didapur sahaja.

Sekarang semuanya telah berubah, wanita telah pun berjaya menjadi Pendana Menteri.

Didalam keadaan sedemikian rupa, takkan lah wanita nak jadi kadi pun tak boleh.

Wanita sekarang sudah pandai dan bijak, tak kan nak jadi saksi pun tak boleh...

Ulamak dulu sudah silap buat ijtihad, menganggap wanita tidak layak menjadi itu dan ini adalah pandangan kolot.


Akan sampai satu masa nanti, semua ijtihad kolot seperti itu akan dinilai semula.

Taminsari berkata...

Salam Acah aje...terima kasih diatas ulasan saudara. Memang benar jika kita lihat sekarang wanita berjaya menjadi PM termasuklah dinagara Islam. Saya cuma mengambil contoh yang paling mudah untuk dikongsi bersama.

Kalau kita masih ingat dimana peristiwa wanita Islam menjadi imam sembahyang Jumaat kepada lelaki dan wanita di Amerika Syarikat (AS) merupakan satu isu yang dibangkitkan oleh masyarakat Islam di dunia hari ini.

Tuntutan hak yang dilaungkan oleh wanita Islam perlu berdasarkan kepada hukum syariah dan konsep kehidupan Islam. Islam memberi hak kepada wanita dalam hal ehwal kemasyarakatan dan negara berdasarkan kepada kebolehan dan keperluan wanita dalam perkhidmatan negara.

Hak dan kebebasan wanita yang diperuntukkan oleh Islam adalah berdasarkan kepada fitrah ciptaan wanita itu sendiri. Wanita diberi hak yang sama dengan lelaki dalam hal ehwal menuntut ilmu pengetahuan dan ibadah.

Apabila seseorang wanita ingin meletakkan dirinya setanding atau melebihi lelaki dalam aspek kerohanian serta keagamaan maka beliau perlu memahami secara mendalam hal ehwal hukum-hukum dan ibadah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.

Islam membenarkan wanita menjadi imam kepada wanita dalam sembahyang. Oleh itu hak tersebut perlu difahami jika ingin mencapai tahap kerohanian setanding dengan lelaki. Jika Islam tidak membenarkan wanita menjadi imam kepada lelaki dalam sembahyang Jumaat, wanita tidak akan menghadapi sebarang kerugian dan kehilangan hak mereka.

Peruntukan yang lebih besar seperti menuntut ilmu pengetahuan sehingga boleh meletakkan wanita setanding atau melebihi lelaki dalam hal ehwal perkhidmatan masyarakat dan negara perlu diperoleh wanita.

Hak persamaan untuk menjadi imam di masjid jika dituntut oleh wanita adalah merupakan satu tuntutan yang tidak boleh diterima. Tugas-tugas seperti imam di masjid terletak di bahu lelaki. Perkara begini tidak boleh dipertikaikan oleh wanita Islam.

Dalam hal ehwal ibadah ia terikat dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul. Sembahyang Jumaat tidak diwajibkan kepada wanita. Ini adalah berdasarkan kepada tugas hakiki wanita iaitu memelihara anak dan memastikan ahli-ahli keluarga hidup dalam keadaan sempurna.

Persoalannya apakah matlamat wanita menuntut hak sehingga sanggup melakukan sesuatu yang boleh mengheret mereka ke neraka? Adakah kehidupan dan kesempurnaan kerohanian wanita tidak tercapai jika mereka tidak berdamping sesama lelaki ketika bersembahyang?

Sembahyang dan ibadah di dalam Islam berkaitan dengan ketakwaan dan proses untuk mencapai kesempurnaan serta kebahagiaan kerohanian. Wanita Islam seperti Maryam, ibu kepada Nabi Isa mencapai tahap kerohanian yang tinggi walaupun berkurung di dalam mihrab dan tidak pernah disentuh oleh lelaki.

Jika wanita Islam berbicara mengenai ibadah dan amal ibadah, mereka perlu menumpukan perhatian kepada fitrah kerohanian.

bersambung...

Taminsari berkata...

sambungan...

Bagi mencapai dan menunaikan fitrah kerohanian wanita perlu merujuk kepada hukum- hukum berkaitan dengan ibadah. Jika hukum-hukum berkaitan dengan kerohanian tidak pernah dipelajari dan difahami, maka usah mempertikaikan perkara ibadah.

Disiplin kerohanian bukan sahaja dianuti oleh umat Islam, malah ia juga merupakan pengajaran kepada agama lain. Pemisahan lelaki dan wanita dalam sembahyang bukan merupakan simbol kepada penghinaan wanita. Ini adalah disiplin orang yang menganut agama wahyu. Agama
Kristian bermazhab Katolik pun tidak benarkan wanita menjadi paderi, begitu juga dengan agama Ortodoks Yahudi.

Wanita yang telah mencapai tahap kerohanian yang tinggi tidak akan mempersoalkan lelaki menjadi imam di dalam sembahyang kerana kesempurnaan kerohanian menghapuskan perasaan ingin berlumba dengan lelaki dalam soal merebut jawatan imam. Jawatan tersebut tidak
penting kerana kesempurnaan kerohanian merupakan satu kemanisan orang yang beriman.

Oleh itu sebarang hukum yang diwahyukan oleh Allah dijadikan amalan kerana setiap undang-undang Allah itu dianggap sebagai nilai yang paling ideal. Tidak kesemua hukum Islam boleh menggunakan ijtihad. Perkara berurusan dengan ibadah seperti sembahyang diajar sendiri oleh Jibrail kepada Rasulullah s.a.w.

Jika hukum Islam tidak difahami secara terperinci, wanita Islam perlu berhati-hati ketika berhujah dan mengeluarkan fatwa. Kesilapan dalam memberi fatwa bukan sahaja boleh mengheret umat Islam menjadi sesat, malah ia juga merupakan virus yang boleh meruntuhkan keseluruhan aspek ilmu wahyu.

Perkara berkaitan dengan ibadah hanya dapat difahami secara terperinci oleh individu yang diasuh dan dididik berdasarkan kepada disiplin dan etika yang digariskan oleh Rasul dan para ulama. Ini disebabkan ilmu-ilmu wahyu diturunkan khusus oleh Allah kepada para rasul dan nabi.

Manusia biasa yang tidak pernah melihat peristiwa penurunan wahyu perlu merujuk kepada pendapat dan pandangan para sahabat Rasulullah dan juga ulama yang berwibawa.

Salah faham dan penyelewengan terhadap ajaran Islam masa kini adalah dilakukan oleh umat Islam sendiri. Ini disebabkan oleh kecuaian umat Islam dalam aspek keilmuan. Sifat dan sikap umat Islam dalam menuntut
ilmu pengetahuan lebih menjurus kepada keangkuhan bukan berdasarkan kepada keadaan zuhud dan ketenangan jiwa.

Oleh itu dalam menuntut ilmu dan juga meletakkan diri sebagai ahli ilmu, mereka tidak pernah bermuhasabah dan menilai diri sendiri dengan persoalan, sejauh mana ilmu Islam yang telah dimiliki oleh mereka dapat melayakkan mereka mengeluarkan fatwa atau pandangan berdasarkan kepada konteks ajaran Islam.

Wallahuallam...