Rabu, Mac 10, 2010

Apa Hak Wan Azizah Mendesak Zulkifli mengosongkan Kerusi Parlimen!

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mengemukakan lima hujah bagi mempertahankan kedudukannya selepas didesak mengosongkan kerusi itu oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) atas dasar prinsip demokrasi. Berikut ialah hujah yang dikemukakan beliau melalui satu kenyataannya di sini:

1.) Menurut Zulkifli bukan beliau yang meninggalkan PKR, sebaliknya beliau dipecat walaupun sehingga saat terakhir beliau masih lagi berpegang kepada prinsip supaya diberi peluang membela diri di hadapan panel lembaga disiplin yang beragama Islam kerana isunya membabitkan kalimah Allah. Tetapi Wan Azizah enggan memberikan beliau peluang membela diri berdasarkan prinsip keadilan sejagat dan hak asasi kemanusiaan yang kononnya diperjuangkan oleh PKR. Dan kini, setelah menzalimi dan menjadikan beliau mangsa mainan firaun-firaun kecil ini, Wan Azizah mahukan beliau mengosongkan kerusi Parlimen kononnya atas dasar prinsip demokrasi dan keadilan. Lihatlah siapa yang bercakap.

2.) Pada 2 September 1998, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dibuang dari UMNO. Beliau tidak mendengar pun desakan oleh Wan Azizah supaya Anwar mengosongkan kerusinya sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh ketika itu. Kalau Anwar tidak didesak mengosongkan kerusi kerana dipecat pada masa itu, mengapa pula Wan Azizah kini mendesak beliau berbuat perkara yang beliau sendiri tidak lakukan. Bukankah ini bukti kenyataan Wan Azizah berkepentingan politik untuk menyeronokkan firaun-firaun kecil yang mengelilingi beliau.

3.) Mengapa semasa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim melompat ke PKR dari UMNO, Wan Azizah tidak pula mendesak Nasaruddin mengosongkan kerusi atas prinsip keadilan dan demokrasi. Malahan Wan Azizah menyatakan pada masa itu ia adalah hak Nasaruddin memilih parti mana yang ingin beliau sertai dan beliau berhak untuk terus kekal sebagai ADUN Bota. Jadi beliau mahu bertanya kepada Wan Azizah, mana pergi prinsip demokrasi dan keadilan yang beliau laungkan itu atau adakah beliau sekadar menjadi 'Pak Pelaung' firaun-firaun kecil.

4.) Semasa konspirasi 16 September dilaksanakan, Wan Azizah dan PKR telah menghantar Saifuddin Nasution, Elizabeth Wong dan beberapa orang lagi ke Taiwan untuk mengejar Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi memujuk mereka melompat ke PKR, sehingga sanggup bermalam di hotel yang sama dengan Ahli-Ahli Parlimen BN itu. Tidak pula mendengar Wan Azizah bertegas menyatakan Ahli-Ahli Parlimen BN tersebut mesti mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing atas dasar dan prinsip keadilan dan demokrasi. Apakah apabila untuk kepentingan sendiri semuanya halal belaka, tetapi bila terkena batang hidung sendiri semuanya haram. Apakah matlamat menghalalkan cara atau apakah itu sebenarnya dasar dan tembelang PKR?

5.) Adalah jelas sekarang PKR sudah kehilangan majoriti di Parlimen. Kerusi Parlimen PKR tinggal 27, sebaliknya DAP mempunyai majoriti iaitu 28 kerusi dan Pas 23 kerusi. Mengikut dasar dan prinsip demokrasi, sepatutnya Anwar sudah pun meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang. PKR sudah tiada alasan politik dan demokrasi untuk terus memegang jawatan Ketua Pembangkang. Jadi kalau Wan Azizah merasakan bahawa Anwar boleh terus memegang jawatan Ketua Pembangkang walaupun bercanggah dengan prinsip keadilan dan demokrasi, mengapa pula beliau tidak boleh terus memegang jawatan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, apatah lagi beliau dipilih dan diundi oleh rakyat. Biarlah rakyat yang menentukannya pada pilihan raya umum akan datang. Jika Wan Azizah berani, marilah kita bertanding di Parlimen Kulim-Bandar Baharu - satu lawan satu, kata Zulkifli.

Mungkin bagi Zulkifli ini adalah permulaan satu titik hitam dalam sejarah perjuangan reformasi yang bermula pada 2-9-1998. Ia juga adalah permulaan kepada kejatuhan dan kehancuran PKR. Ternyata perjuangan untuk memartabatkan nilai kemanusiaan, mengembalikan hak asasi manusia, dan mendaulatkan nilai dan prinsip-prinsip keadilan sejagat (universal value of natural justice) hanyalah sekadar laungan palsu. Keputusan ini juga membuktikan bahawa bagi Fir’aun-Fir’aun Kecil yang menguasai PKR, ianya adalah satu dosa besar yang tidak boleh dimaafkan bagi memartabat, membela dan mempertahankan Islam.

Beliau dihukum tanpa diberi peluang membela diri menurut prinsip hak asasi kemanusiaan dan nilai keadilan sejagat saperti yang dilaungkan oleh kepimpinan PKR selama ini. Kepantasan tindakan memecat beliau membuktikan kepalsuan slogan mereka. Sedangkan beliau hanyalah sekadar menuntut hak asasi kemanusiaan dan nilai serta prinsip keadilan sejagat dipatuhi, dan prinsip tersebut mewajibkan seseorang hanya boleh dibicarakan oleh rakan sekutunya (a person can only be tried by his own peers). Beliau hanya menuntut dibicarakan oleh panel yang beragama Islam, kerana isunya membabitkan kalimah ALLAH, iaitu persoalan aqidah, syariat dan agama Islam. Sebaliknya mereka meletakkan panel yang majoritinya bukan Islam untuk menghina dan mengaibkan beliau dan umat Islam.

Ini bukan sahaja bercanggah dengan prinsip dan nilai keadilan sejagat, malah merupakan satu penghinaan terhadap Islam dan umat Islam. Sebagaimana umat Islam merasa terhina bila Natrah dibicarakan oleh hakim Inggeris, dan kes kalimah ALLAH dibicarakan oleh hakim bukan Islam! Menurut Zulkifli, beliau berasa terhina dihadapkan ke panel yang bukan Islam untuk membicarakan aqidah, kepercayaan dan agama beliau!

Beliau mempersoalkan mengapa mereka berasa begitu sukar untuk mematuhi prinsip keadilan sejagat yang cukup mudah untuk dilaksanakan ini menjadi persoalan kepada beliau? Bukannya beliau enggan berdepan dengan Lembaga Disiplin, tetapi beliau menuntut dibicarakan berdasarkan prinsip keadilan yang kononnya diperjuangkan oleh PKR. Apakah mereka tidak mempunyai keyakinan jika panelnya terdiri daripada orang Islam? Malah salah seorang ahli panel yang beragama Islam menarik diri atas prinsip tidak mahu terbabit dengan panel yang bukan Islam ini!

Dan jika kita lihat keputusan MPP jelas membuktikan bahawa PKR sudah dikuasai sepenuhnya oleh Fir’aun-Fir’aun Kecil yang mempunyai agenda dan rancangan jahat yang sempit lagi anti Islam. Keputusan MPP PKR ini juga membuktikan kepada beliau bahawa PKR tidak mempunyai sebarang agenda untuk perjuangan Islam. Mereka yang bercita-cita mahu memartabat dan mendaulatkan Islam menurut kerangka Perlembagaan Persekutuan akan menjadi korban.

Keputusan ini juga membuktikan dengan jelas kepada beliau bahawa agenda perjuangan Islam tidak diterima oleh PKR. Malahan terbukti deklarasi Dasar PR pada 19-12-2009 yang kononnya mendaulatkan Islam dan menghormati kedudukan umat dan institusi Islam didalam Perlembagaan Persekutuan adalah sekadar mainan politik picisan dan retorik murahan untuk mengelabukan mata umat Islam, dan suatu pembohongan jelas kepada rakyat.

Berdasarkan itu, tiada sebab dan alasan lagi untuk beliau terus berada didalam PKR. Malah beliau berasa malu kapada ALLAH dan umat Islam untuk terus bersama PKR. Walaupun beliau mempunyai ruang untuk membuat rayuan, namun beliau tidak bercadang untuk terus menggadaikan prinsip beliau dan menjual maruah diri untuk berhadapan dengan sandiwara Fir’aun-Fir’aun Kecil ini. Sebaliknya beliau akan mengkaji dan menimbang opsyen dan pilihan yang ada sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

Apa yang dapat dilihat secara jelas disini adalah ianya menjadi satu trend didalam PKR untuk melancarkan serangan peribadi dan “character assassination” yang tidak berasas terhadap sesiapa juga yang tidak bersetuju atau tidak lagi mahu bersekongkol dengan mereka. Beliau menasihatkan kepada Fir’aun-Fir’aun Kecil ini supaya jangan terlalu emosional, sebaliknya bersikaplah dengan professional dan matang.

Berlainan wadah tidak bermakna silaturrahim terpatah. Itulah prinsip Islam yang sangat indah dan mempesonakan jika dilaksanakan. Beliau berharap mereka akan menghentikan serta merta tindakan bacul melakukan serangan peribadi dan ‘character assassination” terhadap sesiapa juga yang memilih untuk tidak lagi mahu bersama mereka. Itulah adalah hak demokrasi dan hak asasi tiap manusia, iaitu hak untuk memilih. Janganlah mengeruhkan keadaan sehingga memaksa orang lain mengambil sikap “tell-all” dan menelanjangkan semua keburukan kita pula.

Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

1 ulasan:

wasabi berkata...

Salam Bro.Belantan...

Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail didesak menyahut cabaran Zulkifli Noordin agar melepaskan jawatan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau bertanding di Kulim-Bandar Baharu jika beliau seorang pemimpin yang berprinsip.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah itu penting bagi membuktikan dakwaan Zulkifli bahawa Wan Azizah hanya sekadar presiden penghias muka depan dan tidak berfungsi, dapat disangkal.

“Sepatutnya beliau berani menyahut cabaran kerana hujah Zulkifli cukup kuat apabila mendakwa Wan Azizah tidak lagi mampu berfungsi sebagai presiden dan rekod kepimpinannya juga buruk apabila lapan wakil rakyat PKR telah keluar parti sama ada secara sukerala atau dipecat.

“Perkara ini jarang berlaku dalam sejarah kepimpinan politik tanah air. Oleh itu, jika beliau berasakan dia seorang yang masih berprinsip sepatutnya segala cabaran Zulkifli disahut dan buktikan semua tuduhan tersebut tidak benar,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pelajaran mengulas tindakan Wan Azizah yang berdiam diri terhadap cabaran Zulkifli walaupun sebelum ini beliau terlebih dahulu ‘menyerang’ Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu dengan memintanya melepaskan jawatan selaku wakil rakyat.

Semalam, selepas dua hari dipecat daripada PKR, Zulkifli membalas desakan Wan Azizah apabila menasihatkan Presiden PKR itu supaya mencerminkan diri sendiri terlebih dahulu.

Menurut Zulkifli, Wan Azizah yang seharusnya melepaskan jawatannya kerana parti itu gagal mempertahankan dasar Islam, menjadi penyebab parti itu hilang sebuah negeri serta kepimpinannya yang teruk menjadi pendorong terhadap tindakan lapan wakil rakyat keluar parti.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad bagaimanapun yakin, Wan Azizah akan terus mengambil sikap berdiam diri terhadap cabaran tersebut kerana mendakwa Presiden PKR itu telah dikuasai sepenuhnya oleh kumpulan firaun-firaun kecil seperti yang didakwa Zulkifli.

“Wan Azizah tidak akan berani menyahut cabaran Zulkifli kerana beliau hanyalah seorang presiden yang dipergunakan oleh golongan firaun-firaun kecil dalam PKR.

“Kenyataan awal beliau sebelum ini pun supaya Zulkifli melepaskan kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu, saya percaya didesak oleh kumpulan tersebut kerana sehingga kini golongan firaun itu tidak bersuara,” jelasnya.

Mohd. Puad berkata, bukti yang menunjukkan Wan Azizah adalah seorang boneka begitu banyak, antaranya tentang keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PKR yang akhirnya akan diubah oleh beberapa individu dalam parti itu.

Tindakan itu, katanya, jelas membelakangkan kedudukan Wan Azizah selaku presiden dan ia juga membuktikan isteri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak mempunyai kuasa serta tidak dihormati.

Salam perjuangan..