Rabu, Disember 02, 2009

Artikel Pilihan : Hadi salahkan penasihat Nik Aziz isu lantik menantu!

Presiden PAS menyalahkan penasihat Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang gagal memberikan "nasihat undang-undang dan politik" yang betul sehingga menjerumuskan menteri besar itu dalam kontroversi dakwaan mengamalkan kronisme.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Nik Abdul Aziz, sebagai pengerusi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), "telah menjalankan pelantikan yang ikhlas" apabila menaikkan Abdul Ariffahmi Abd Rahman, seorang menantunya, sebagai ketua PMBK.

"Apa yang kurangnya ialah mereka yang bertugas di sekeliling yang tidak memberi nasihat perundangan dan politik yang betul kepada Tok Guru," kata presiden PAS hari ini. "Kita dapati bahawa selama 19 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, Tok Guru selaku menteri besar dan ahli keluarganya tidak pernah mengambil peluang dari jawatan yang diamanahkan ini."

Abdul Hadi, yang turut campur tangan dalam kontroversi itu sehingga mendorong Abdul Ariffahmi digugurkan sebagai ketua pegawai eksekutif PMBK, mengulas isu tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan ini yang disiarkan di akhbar web rasmi parti dipercayai sebagai menjawab serangan media dan pemimpin Umno terhadap Nik Abdul Aziz, juga mursyidul am parti itu, yang dituduh mengamalkan pilih kasih kepada anggota keluarga sendiri.

Abdul Hadi bagaimanapun tidak menyebut pihak yang dituduh memberikan nasihat yang salah kepada tokoh besar PAS itu, sama ada pegawai tinggi kerajaan atau barisan pemimpin kanan kerajaan negeri itu. Sewaktu mengumumkan keputusan mesyuarat bersama Abdul Hadi pada 23 November lalu, Nik Abdul Aziz dilaporkan mengarahkan menantunya itu berbuat demikian demi "menjaga nama baik kepimpinan Islam khususnya PAS."

"Dulu masa saya lantik beliau, ada penasihat undang-undang, beliau tidak komen apa. Jadi saya lantik. "Nanti untuk elak fitnah melalui bermacam saluran seperti surat layang jadi tidak mahu fitnah ini berkembang," beliau dipetik berkata. Abdul Hadi, juga ahli parlimen Marang, menyifatkan tindakan Nik Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas bermesyuarat dengan barisan pemimpin kanan parti sebagai "satu tanda keikhlasan dan jiwa besar" menteri besar itu.

"Sifat berjiwa besar ini juga ditunjukkan oleh seluruh ahli keluarga beliau yang bersabar dengan ujian yang dan ini sangat berbeza dengan konsep kronisme yang diamalkan oleh kerajaan BN yang tidak boleh dirombak dan dirungkaikan," katanya lagi. Selain Abdul Hadi, pemimpin lain yang turut hadir dalam mesyuarat bersama Nik Abdul Aziz sebelum peletakan jawatan Abdul Ariffahmi: Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Bendahari Agung PAS Dr Hatta Ramli. - MK

Suara Politik
Taminsari

3 ulasan:

Jumayatara berkata...

Kroni UMNO & PAS 2 x 5.

Jeepers Creepers berkata...

Menyeru kepada seluruh orang melayu islam di negara ini untuk mendoakan kesejahteraan kepada Dato Seri Najib Tun Razak dan keluarga beliau berserta seluruh rakyat Malaysia. Doakan semoga Allah s.w.t melindungi dan merahmati kita semua.

Tidak lupa juga doakan supaya Nik Aziz dan seluruh orang melayu islam di dalam Pakatan Rakyat mendapat hidayah dan dan keampunan dari Allah s.w.t

Juragan Malawati berkata...

Salam...

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak ambil peduli desakan supaya beliau meletakkan jawatan daripada orang UMNO yang dianggapnya ‘budak-budak nakal’.

Beliau juga menegaskan tidak perlu memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung ‘doa kemusnahan’ terhadap pemimpin negara itu.

Malah Mursyidul Am Pas itu mencadangkan kepada orang ramai supaya terus berdoa beramai-ramai tanpa menyebut nama Najib kononnya bagi menjaga hati Perdana Menteri.

Dalam kenyataannya kepada media berhubung perhimpunan aman oleh ratusan orang semalam yang menunjukkan bantahan terhadap tindak-tanduknya, beliau berkata:

“Mustahil saya perlu akur (letak jawatan) semata-mata kerana digesa oleh 200 ‘budak-budak nakal’, bawah pohon jati di pintu masuk pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Jika sebab desakan UMNO, sudah tentu saya berbuat begitu semasa Tan Sri Annuar Musa jadi ketua pembangkang negeri, sebaliknya dia pula yang ‘ghaib’ dari arena politik tanah air.”

Di samping itu, beliau mempersoalkan mengapa harus tunduk kepada suara kumpulan itu yang jumlahnya begitu kecil agar meminta maaf kepada Najib yang juga Presiden UMNO.

“Sedangkan Presiden UMNO selaku orang nombor satu tidak menyuruh saya meminta maaf atau menarik balik,” ujarnya.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas mengulas mengenai perhimpunan kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan (JRPK) semalam.

Mereka berkumpul di hadapan pintu masuk bangunan pentadbiran Kota Darulnaim di sini bagi menunjukkan rasa tidak senang hati terhadap kemelut dalam kepimpinan negeri dan memintanya melepaskan jawatan.

Kumpulan tersebut menyerahkan memorandum dua muka surat kepada Nik Abdul Aziz yang memintanya melepaskan jawatan, menarik balik ‘doa kemusnahan’ dan meminta maaf secara terbuka kepada Najib.

Nik Abdul Aziz sebaliknya bersyukur kerana perhimpunan semalam seolah-olah sebagai tanda kejayaannya mengkucar-kacirkan UMNO.

“Secara logiknya semua orang kena faham bahawa saya bekerja dengan Pas. Jika UMNO yang mendesak saya, maka saya sewajarnya bersyukurlah bahkan berbangga kerana sudah dikira berjaya mengkucar-kacirkan mereka.

“Mereka sudah keluh kesah. Jika saya terus dilarang untuk memohon kemusnahan UMNO secara terbuka, maka saya masih lagi boleh mengangkat doa secara bersendirian.

“Saya masih boleh meminta supaya umat Islam terus berdoa secara senyap-senyap agar Allah menurunkan kemusnahan termasuklah pemimpin UMNO yang menyekat Islam dan menyekat pemberian wang royalti itu daripada melalui kerajaan negeri,” tambahnya.

Terdahulu, ketika bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini, beliau bertegas dengan pendiriannya membenarkan rakyat negeri ini mendoakan agar diturunkan bala terhadap Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, doa itu biarlah dibuat secara individu bukan dilafazkan secara umum atau beramai-ramai.

Jelasnya, rakyat tidak perlu menyebut nama Najib ketika melafazkan doa tersebut secara beramai-ramai dan hanya melakukannya secara peribadi untuk menjaga perasaan pemimpin nombor satu kerajaan itu.

“Oleh kerana Perdana Menteri terasa hati bahawa sebut nama dia dalam doa maka saya minta tak payah sebut nama Yang Berhormat beramai-ramai cuma boleh sebut dalam doa bersendirian,” katanya.