Sabtu, Oktober 24, 2009

Komplot Erdogan : Usaha Untuk Menjatuhkan Presiden PAS!


























Rata-rata pimpinan PAS pusat tahu dan sedar tentang cita-cita besar Husam Musa hendak menjadi Presiden PAS. Mereka juga tahu bahawa Husam sedang merancang sesuatu untuk mencapai niatnya itu. Tapi Husam Musa lebih tahu bahawa bukan mudah untuk menduduki kerusi Presiden tersebut lebih-lebih lagi beliau perlu berhadapan dengan tokoh ulama terbilang. Beliau tahu kalau beliau bertanding kerusi presiden melawan Tuan Guru Hj. Hadi, beliau akan kalah teruk dan seolah-olah hilang wang pertaruhan.

Beliau juga tahu beliau tidak boleh kelihatan menentang Tuan Guru Presiden secara terbuka kerana kalau nampak jelas dalam suasana sekarang maka sudah tentu seluruh ahli PAS akan bersatu menentang beliau. Maka sebab itulah Husam perlu melakar perancangan dan strategi yang cukup teliti untuk menjayakan cita-citanya tersebut.Jadi, apakah akal dan perancangan Husam?

1.Melagakan Mursyidul Am dengan Tuan Guru Presiden

Semua orang terkejut beruk bila Tok Guru Nik Aziz berkata usaha untuk menukar kerajaan sekarang bukan macam angan-angan mat jenin. Kenapa tok guru perlu menggunakan perkataan mat jenin dalam kiasannya? Tidakkah Tok Guru tahu bahawa kiasan tersebut dipopularkan oleh Tuan Guru Presiden? Tidakkah Tok Guru baca atau dibacakan akhbar yang menyiarkan berita bahawa Presiden PAS ada menyebut tentang angan-angan Mat Jenin bila memperkatakan tentang kerajaan baru pada 16 Sept yang lepas?

Kalau tok guru tahu, sedar dan baca kesemuanya, mengapa perlu menempelak Tuan Guru Presiden secara terbuka. Takkanlah hanya kerana nak menyokong kerajaan baru yang belum tentu boleh wujud dan berkemungkinan besar tidak akan jadi, tok guru nak gadaikan semangat ukhuwah Islamiyah dan Mahabbah dengan Presiden sendiri. Takkanlah oleh kerana nak menyokong Anwar, Tok Guru mahu supaya ahli PAS melihat ada pertembungan diantara Mursyidul Am dengan Presiden?

Takkanlah kerana percayakan Husam, Tok Guru nak merendah-rendahkan martabat Tuan Guru Presiden?Apa yang dikhuatirkan, Tok Guru tidak mendapat maklumat yang sebenarnya sama macam kes Dato’ Mustapa - apabila Tok Guru dikatakan mengaku tak baca keseluruhan kenyataan Dato' Mustapa. Apa yang lebih dikhuatirkan juga, Tok Guru sedang digunakan oleh Husam Musa dan kumpulan erdogannya untuk meruntuh kepimpinan ulama PAS.Yang pastinya Tok Guru Nik Aziz seringkali mengeluarkan kenyataan yang dilihat bercanggah dengan Tuan Guru Presiden. Adakah ini amalan yang tidak sihat didalam jamaah PAS.

Muktamar telah melantik Tuan Guru Hj Hadi sebagai Presiden PAS dan menjadi tanggungjawab ahli PAS untuk patuh dan taat kepada kepimpinan beliau. Manakala Mursyidul Am hanyalah "advisory post" disamping mempengerusikan Majlis Syura dan bukannya kuasa eksekutif di dalam parti.

Jika dilihat apa yang berlaku adalah Muryidul Am lah yang paling banyak mengeluarkan kenyataan berkaitan parti berbanding Presiden. Mungkin ahli PAS berpendapat bahawa Tok Guru Nik Aziz perlu memahami dan difahamkan tentang bidangkuasa beliau sebelum ahli hilang rasa hormat kepadanya. Mereka lebih khuatir perancangan melagakan kepimpinan ulama adalah berniat jahat dan bertujuan untuk merendahkan kepimpinan ulama di dalam PAS dengan harapan ahli akan hilang keyakinan kepada ulama dan memilih bukan ulama sebagai pemimpin nanti.

2. Menggunakan pengaruh Mursyidul Am

Semua sedia maklum bahawa Husam berjaya mempengaruhi Tok Guru Nik Aziz dalam banyak hal. Walaupun kadangkala Tok Guru berjaya disedarkan oleh kaum keluarganya dan kawan rapatnya, tetapi bila Husam muncul saja semuanya akan bertukar balik seolah-olah macam dipukau....entah ilmu apalah yang dipakai Husam untuk mempengaruhi Tok Guru Nik Aziz. Entah kenapalah Tok Guru Nik Aziz begitu sayangkan Husam walaupun lebih separuh daripada ahli perhubungan PAS Negeri Kelantan tidak menyukai beliau dan lebih separuh daripada ADUN PAS di Kelantan pun juga tidak menyukai beliau kerana mereka terlebih maklum akan sifat dan amalan kejinya.

Yang jelasnya Tok Guru Nik Aziz memang terlalu sayangkan Husam sehingga dia pernah berkata bahawa Husam layak menjadi Presiden PAS!!!! (na'uzubillah)
Kata-kata inilah yang ditungu-tungu oleh Husam dan atas sebab itulah Husam bersungguh-sungguh berusaha ke arah itu dan kumpulan Erdogannya seringkali menggunakan nama Tok Guru Nik Aziz sebagai hujah mereka. Nama Tok Guru Nik Aziz dijaja merata-rata sehingga ke blog-blog mereka bagi membenarkan usaha jahat mereka. Jangan terkejut jika nanti mereka akan berkata bahawa Mursyidul Am lah yang menyuruh Husam lawan Presiden.

3. Merendahkan taraf dan martabat kepimpinan ulama PAS

Satu fahaman yang cuba ditanam ke dalam minda dan pemikiran ahli-ahli PAS ialah ulama tidak faham siasah dan tidak pandai berpolitik.Mereka mungkin pandai membaca Al-Quran dan Al-hadis tetapi tidak pandai menyusun strategi politik dan tidak pandai mengadaptasikan ayat-ayat yang dibaca ke dalam realiti semasa. Sebab itulah bila Tuan Guru Presiden beristikharah sehingga diilhamkan dengan Surah Al-Anfal, mereka cuba mempermainkannya. Mereka mencari pendapat yang paling tidak diterima oleh jumhur bahawa ayat tersebut telah mansuh semata-mata untuk menimbulkan keraguan ahli terhadap kehendak ayat tersebut.

Dan sebelum ini bila Timbalan Mursyidul Am, Ust Haron Din membaca khutbah hari raya dengan mensyarahkan ayat tersebut bahawa mereka yang menentang muzakarah/muqabalah dengan musuh adalah menentang Al-Quran - maka mereka cuba memperlekehkannya dengan seribu satu alasan bahawa ayat tersebut telah disalah tafsir. Begitulah lekehnya ulama-ulama PAS dikacamata mereka. Apa yang mereka hendak tonjolkan ialah hanya mereka yang pandai tafsir Al-Quran ikut kehendak semasa. Dan seolah-olah ingin menunjuk dan menampakkan bahawa akal dan strategi mereka lebih hebat dari hujah Quran.

Ulama-ulama didalam PAS bagi mereka adalah "obsolete" atau kuno dan telah ketinggalan zaman. Ulama-ulama di dalam PAS tidak dapat diterima oleh kaum India dan Cina. Bagi mereka, kalau hendak melihat PAS terus relevan dan diterima oleh segenap lapisan masyarakat maka kita hendaklah menukar kepimpinan ulama di dalam PAS. Inilah propaganda bahaya yang sedang dirancang oleh kumpulan Erdogan tanpa sesiapa yang menyedarinya.

4. Menyerang kepimpinan Tuan Guru Hj Hadi

Satu isu yang sering dimainkan oleh kumpulan Erdogan ialah “PAS Terengganu”. Dimana-mana mereka cuba memperlekehkan PAS Terengganu. PAS Terengganulah yang bawa idea muzakarah dengan UMNO, PAS Terengganulah yang paling tak pandai berstrategi, PAS Terengganu tidak pandai memerintah negeri, sikap PAS Terengganulah yang menjadi punca tewasnya PAS di Terengganu dan macam-macam lagi keburukan PAS Terengganu dicanang merata-rata.

Apakah tujuan mereka sebenarnya? Tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menyerang dan memperlekehkan Tuan Guru Presiden yang datang daripada Terengganu dan pernah memimpin PAS Terengganu. Apa yang hendak ditonjolkan ialah Tuan Guru Presiden sebenarnya tidak mampu memimpin. Kalau di Terengganu pun gagal macam mana nak memimpin PAS satu Malaysia. Begitulah hinanya taktik dan perancangan mereka. Kenapa perlu dimainkan sentimen kenegerian (Terenganu ke Selangor ke) .

5. Bergerak secara berkumpulan

Seolah-olah telah wujud apa yang dikatakan tanzim di dalam tanzim. Kumpulan Erdogan ini sering berjumpa dan bermesyuarat sesama mereka terutamanya sebelum dan sesudah mesyuarat AJK PAS Pusat. Mereka merancang secara berkumpulan untuk menangani sebarang isu di dalam Parti.

Sebab itulah tidak hairan jika didalam ceramah-ceramah dan tulisan mereka, mereka memainkan isu-isu yang lebih kurang sama. Mereka sengaja “pre-empt” dengan mengembar-gemburkan bahawa ada usaha untuk membawa PAS masuk UMNO. Sedangkan sudah berapa puluh kali dinafikan oleh Presiden dan Timbalannya, tetapi mereka masih tetap memainkan isu tersebut. Ini adalah bertujuan untuk menimbulkan kemarahan ahli terhadap Presiden dengan cuba menuduh Presiden menipu ahli.

6. Menggunakan bloggers

Semua orang sedia maklum siapa Kickdefella. Terang-terang Husam mengupah beliau menulis blog dan dan mengunakannya untuk menyampaikan propaganda beliau dan kumpulannya. Begitu juga bloggers yang lain seperti Penarik Beca, Khalid Samad dll – semuanya adalah tali barut kumpulan Erdogan yang terang-terang menyerang kepimpinan ulama PAS dengan seribu satu alasan. Mereka sengaja mereka-reka cerita dan teori untuk menimbulkan keraguan dan syak wasangka ahli terhadap kredibiliti kepimpinan ulama PAS.

7. Menggunakan Harakah

Harakah ialah lidah rasmi PAS. Ianya dibaca oleh majoriti ahli-ahli PAS seluruh Malaysia. Mempengaruhi dan menguasai Harakah termasuk Harakahdaily menjadi agenda utama Husam dan kumpulan Erdogannya dalam merealisasikan cita-cita mereka. Pengarah Urusan Harakah secara terbuka selalu tidak bersetuju dengan pandangan Tuan Guru Presiden yang sepatutnya menjadi bosnya. Dalam banyak hal beliau cuba mempengaruhi Lutfi sebagai Ketua Pengarang Harakah untuk menyiarkan yang tidak sepatutnya dan tidak menyiarkan yang sepatutnya disiarkan. Manakala Harakahdaily pula diurus oleh Rashidi Hassan yang telah berjaya di ‘beli” oleh kumpulan Erdogan. Sebab itulah berita dalam Harakahdaily hanya berkisar mengenai aktiviti dan kehendak mereka terutamanya mengenai Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim.

Tuan Guru Presiden seringkali pening kepala dengan dua media rasmi utama PAS ini. Beberapa kali dikatakan bahawa beliau agak marah dengan akhbar Harakah dan Harakahdaily yang gagal mencerminkan lidah rasmi PAS dan gagal menyiarkan berita yang dianggap penting untuk disampaikan kepada ahli. Amat malang bagi seorang Presiden parti bila dia melantik seseorang untuk menerajui Akhbar Harakah dan Harakahdailiy tetapi mereka tidak mengikut arahan beliau.

8. Membeli Negeri dan Kawasan

Setelah lebih dari 18 tahun PAS memerintah Kelantan, yang kaya bukan PAS Kelantan tetapi Husam Musa. Semua orang tahu Husam banyak duit hasil dari kekayaan kerajaan negeri. Cuma dia bijak “berbelanja”. Dia tidak tunjuk kekayaannya atau berbelanja untuk membeli banglo mewah atau kereta mewah. Tetapi duitnya yang banyak digunakan untuk menjayakan cita-cita politiknya. Sudah berapa banyak kawasan dan negeri yang melaporkan bahawa Husam memberikan mereka wang yang agak banyak untuk menjalankan aktiviti-aktiviti tertentu.

Husam memang pandai kerana dia belajar daripada UMNO dan mentornya Anwar Ibrahim untuk bermain dengan politik wang. Dia tahu bahawa kawasan-kawasan atau negeri yang diberikannya wang sudah tentu akan terhutang budi dengan beliau dan akan menyokongnya kelak bila tiba masanya. Ada juga dikalangan pimpinan PAS di Perak dan negeri-negeri yang lain yang mendapat projek dan imbuhan secara tidak langsung daripada hasil balak di Kelantan. Semuanya hanyalah untuk membeli sokongan daripada negeri dan kawasan di dalam muktamar yang akan datang.

9. Memujuk Presiden untuk melepaskan jawatan

Diberitakan bahawa telah ada usaha-usaha untuk memujuk Tuan Guru Hj Hadi melepaskan jawatannya sebagai presiden PAS. Sebagai ganti beliau akan dilantik sebagai Mursyidul Am PAS setelah Tok Guru Nik Aziz dikatakan bersetuju dengan idea tersebut dan bersedia untuk memberi laluan kepada beliau. Dengan cara itu mudahlah Husam naik menduduki kerusi Presiden. Tetapi adakah Tuan Guru Presiden akan terpedaya dengan taktik bodoh seperti itu. Beliau seribu kali lebih cerdik daripada Husam Musa dan kumpulan Erdogannya.

Kesimpulannya, Husam Musa memang berusaha keras untuk menjadi Presiden PAS. Buat permulaan Husam perlu ketepikan dahulu Ustaz Nasaruddin untuk mendapatkan semula kerusi Timbalan Presiden dan seterusnya hajat beliau untuk kerusi Presiden. Beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk menjayakan cita-cita tersebut. Pokoknya.. matlamat mesti menghalalkan cara. Cuma mungkin beliau terlupa bahawa disebalik perancangan beliau, Allah lebih mengetahui. Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

2 ulasan:

Panglima Perang Cyber berkata...

salam tuan.

Kupasan sangat menarik dan terperinci.

Saya ingin menyalin artikel ini di blog saya.

Saya juga menjangka usaha Anwar untuk melemahkan Pas selepas Umno akan berjaya dengan bantuan Husam Musa and the geng.

Bukankah jika parti Melayu Islam kedua terbesar ini musnah ia akan menggembirakan Amerika?

Taminsari berkata...

Salam Tuan Pang5. Silakan. Sekarang kita sudah nampak tangan-tangan ghaib yang sebenarnya disebalik krisis dalaman PAS ini.

Salam perjuangan.