Ahad, Januari 04, 2015

Sekadar di pinggiran, Pas ikut telunjuk DAP?


Hudud dan siapa Perdana Menteri (PM) pakatan DAP-Pas-PKR (3P) jika memenangi pilihan raya umum (PRU) timbul lagi. Isu ini pernah dibangkitkan tidak lama dulu. Dua isu inilah yang menghantui pemikiran pemimpin pakatan – Hudud dan PM. Belum ada kata sepakat mengenainya. Baru-baru ini DAP mahu kedua-dua isu itu diputuskan sebelum berlangsung Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mahu pakatan itu menjelaskan pendirian bahawa 3P tidak akan melaksanakan hudud jika mahu menang PRU.

Pendirian itu penting supaya pakatan 3P mempunyai dasar yang jelas, konsisten dan meyakinkan rakyat apabila menjadi pentadbir di Putrajaya. Bagi Guan Eng, itulah aspirasi pengundi-pengundi (berhaluan) sederhana, bukan (aspirasi) pengundi ekstrem. Begitu juga dengan calon PM dalam kalangan mereka yang juga memerlukan satu ketetapan.

Siapa mereka? Adakah PM itu Anwar Ibrahim, Abdul Hadi Awang (atau Mat Sabu), Lim Kit Siang (atau Guan Eng). Anwar jadi pilihan DAP walaupun pemimpin itu di dalam penjara. Kenyataan Guan Eng berkaitan pendirian dasar pakatan itu senada dengan Pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai yang mahu pakatan itu mengutamakan matlamat politiknya yang menyeluruh berbanding matlamat parti. Kegagalan untuk mengutamakan perjuangan bersama akan menggugat kesepakatan pakatan itu dan peluang pada PRU nanti.

Dalam erti kata lain, 3P tidak boleh ‘tidur sebantal’ tetapi mimpi lain-lain. Mereka boleh tidur di bantal sendiri tetapi harus mempunyai mimpi yang sama. Pada masa yang sama DAP akan terus konsisten dengan ideologi Sosial Demokrasi yang dakwa parti itu berjuang untuk semua rakyat Malaysia serta mempertahan Perlembagaan Persekutuan.


DAP tidak risau dengan pendirian atau ideologi PKR. DAP sudah tentu lega dengan ikrar Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang sebelum ini menegaskan tidak akan meneruskan konsep ‘ketuanan Melayu’ supaya golongan muda Melayu itu membesar dengan bermaruah. Apa yang menimbulkan kegelisahan DAP ialah ideologi Pas walaupun sudah ada tanda-tanda pendirian itu akan berubah.

PKR juga sudah tentu akan bergerak seiring dengan DAP. Jika sebelum ini, DAP senada dengan PKR dalam isu Menteri Besar (MB) Selangor, maka tidak timbul sokongan PKR kepada DAP dalam dua isu yang dibangkitkan oleh Guan Eng. DAP tidak akan menghadapi masalah besar dengan PKR asalkan Anwar mendapat jawatan PM.

Jika diselak kembali beberapa kenyataan terdahulu, Anwar yang disifatkan isteri-nya sebagai anugerah Tuhan sudah tentu menjadi pilihan pakatan 3P ini sebagai PM. Jawatan ini jugalah yang menjadi matlamat PKR. Anwar dalam satu wawancara dengan akhbar Sin Chew Daily pada tahun 2010 ada menyebut bahawa beliau sebagai PM dan Kit Siang sebagai timbalannya apabila pakatan pembangkang berjaya memerintah. Itu kata Anwar. Pas pula bagaimana?

Majlis Syura Ulama Pas menolak Anwar sebagai PM jika pakatan menang pada PRU lalu. Mungkinkah isu PM akan berakhir sama seperti jawatan MB Selangor? Isu dasar perjuangan Pas dijangka berlarutan tetapi sejauh mana pendirian Pas dalam menghadapinya? Pakatan 3P sebelum ini bersetuju supaya semua parti tidak memberi komen mengenai hudud tetapi isu ini akan terus menjadi ‘duri dalam daging’ kepada pakatan itu setiap kali menjelang PRU.


Kali ini DAP nampaknya mahu penegasan segera dibuat, bukan lagi menunggu saat menghadapi PRU. Mungkin juga isu ini sengaja ditimbulkan bagi menggambarkan kepada semua bahawa DAP tidak akan bertolak ansur dalam isu hudud?

Jika Pas masih kekal dengan matlamatnya menubuhkan negara Islam dan hudud, DAP mungkin boleh mencari alternatif lain bagi melayakkan parti itu bersama PKR memenangi lebih banyak kerusi. Dalam PRU lalu, BN memenangi 133 daripada 222 kerusi yang dipertan-dingkan. Pakatan 3P menang 89 kerusi iaitu DAP (38), PKR (30) dan Pas (21). Di peringkat negeri, DAP menguasai 95 kerusi diikuti Pas 85 dan PKR 49.

Adakah DAP bersedia berjuang bersama PKR jika Pas tetap dengan pendiriannya? Apakah peluang Pas tanpa sokongan PKR dan DAP dalam menghadapi PRU akan datang? Pendirian sebenar Pas amat dinanti-nantikan. Anggota-anggota parti ingin tahu apakah tindakan Pas dalam menghadapi tuntutan DAP dan PKR supaya Pas tidak melaksanakan hudud. Selama ini dalam banyak tindakan termasuk demonstrasi, anggota Pas lebih ramai dan rajin ke hadapan.

Adakah Pas akan mengalah demi membantu sekutunya PKR dan DAP menguasai Putrajaya? Apa pula pendirian Pas berhubung kenyataan Guan Eng yang dikatakan memberi kebenaran kepada bukan Islam di Pulau Pinang menggunakan kalimah Allah? Guan Eng dilaporkan berkata, larangan penggunaan kalimah Allah yang termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004 tidak terpakai kepada bukan Islam, penguatkuasaannya hanya sah kepada orang Islam.



Pas sudah jelas pendirian tegas dan konsisten DAP dalam isu ini. Pas sedar ketegasan ini melalui kenyataan Karpal Singh (mendiang) bahawa Pas perlu melangkah mayatnya terlebih dahulu sebelum melaksanakan hudud. Kenyataan itu tidak berubah walaupun Karpal Singh sudah tiada.

ini pun Kit Siang menyatakan pendirian yang sama. ‘‘Kami berpegang teguh kepada prinsip fundamental kami bahawa negara Islam dan hukum hudud adalah tidak kena dan tidak sesuai bagi Malaysia sebagai sebuah masyarakat majmuk.

Kami tidak menyorok prinsip dan kepercayaan fundamental kami, sama ada daripada Pas atau parti-parti politik lain atau rakyat Malaysia,’’ kata Kit Siang pada September 2012. Ini bermakna jika pembangkang menawan Putrajaya dan membentuk Kerajaan Persekutuan, hudud tidak akan dilaksanakan.

Persidangan Parti DAP 2014 yang bertemakan ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ juga meluluskan sembilan resolusi merangkumi 32 perkara termasuk menolak cadangan melaksanakan hukum hudud. Resolusi yang diluluskan sebulat suara oleh 938 perwakilan itu menolak pelaksanaan hukum hudud sebagai sistem perundangan sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan. Begitulah sikap konsisten DAP berhubung hudud.

Jika Pas mementingkan kerusi atau kuasa politik untuk ke Putrajaya, maka tidak ada pilihan lain kecuali mengalih perhatian penyokong-penyokongnya supaya mereka bersedia melupakan matlamat penubuhan negara Islam dan melaksanakan hudud. Hala tuju Pas perlu beralih kepada negara berkebajikan sahaja dan pada masa yang sama menyedapkan hati dan meyakinkan anggotanya tentang ‘masa akan tiba’ juga hudud dilaksanakan.


Apa yang penting ketika ini, Pas boleh mengambil kesempatan kerjasama dengan DAP dan PKR untuk menambah kerusi membentuk kerajaan Persekutuan. Pas tidak boleh lagi berdolak dalih. Pas perlu membuat keputusan sama ada mahu meneruskan agendanya berkaitan hudud atau agenda menawan pusat pentadbiran Putrajaya.

Pas tidak boleh bersandiwara membohongi penyokong-penyo-kongnya mengenai ideologi atau prinsip perjuangan parti itu. Jangan di hadapan penyokong, parti itu menyatakan akan menegakkan hukum hudud tetapi di depan DAP akur dengan kehendak sekutunya itu. Mungkin juga Pas perlu mendapatkan mandat anggota parti sama ada mahu kekal dengan perjuangan atau berubah mengikut kehendak DAP.

Berdasarkan perkembangan semasa, tidak mustahil Pas akan ‘mengendurkan’ perjuangan hudud. Mungkin dalam kalangan pimpinannya akan ada suara-suara yang mahu Pas melupakan sementara soal hukum hudud dan memberi fokus kepada mendapatkan kuasa terlebih dahulu.

Peranan besar adalah untuk meyakinkan anggota parti terhadap sebarang perjuangan parti itu sama ada hudud atau kuasa. Tidak sukar rasanya bagi Pas untuk meyakinkan anggota parti jika kalangan pemimpin yang lebih terbuka merestui perubahan perjuangan parti manakala golongan ulama yang mahu mempertahankan hudud semakin berkurangan. Adakah Pas bersedia mengorbankan dasar dan ideologinya? Kita tunggu perkembangan hudud di Kelantan yang dikuasai Pas.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: