Jumaat, Januari 16, 2015

F1 Malaysia bakal berkubur...!!! Ada usaha halang Sepang jadi tuan rumah?


Selepas 16 tahun menjadi tuan rumah, Malaysia berdepan ancaman hilang hak penganjuran Formula Satu (F1) dan Grand Prix 2015 dari 27-29 Mac ini mungkin menjadi perlumbaan terakhir di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Pada ketika Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali kini berusaha meyakinkan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) untuk menyambung kontrak yang berakhir tahun ini, desas-desus mengatakan penganjuran F1 Malaysia sudah mempunyai persaingan.

Bagaimanapun persaingan itu dikatakan bukan datang daripada luar negara, sebaliknya daripada ‘rakan sendiri’ yang cuba menonjolkan perlumbaan anjuran mereka.

Razlan kini berada di London untuk bertemu Supremo F1, Bernie Ecclestone bagi membincangkan masa depan Grand Prix Malaysia.


Difahamkan pemergian Razlan mendapat restu daripada Kementerian Kewangan yang menjadi tulang belakang kepada suntikan modal penganjuran F1 di Malaysia selama ini.

Keizinan itu diberikan setelah F1 membuktikan penganjuran sukan tersebut telah banyak me­nyumbang kepada perkembangan ekonomi Malaysia sejak kali pertama diperkenalkan pada 1999.

Malah, Razlan sendiri pernah mengakui bahawa Grand Prix Malaysia telah memberi keuntungan kepada SIC dan juga negara dalam pelbagai bidang.

Walaupun Razlan pernah berkata, F1 merupakan sebuah acara sukan yang mewah dan mahal, tetapi beliau tidak dapat menafikan bahawa sukan permotoran tersebut telah banyak membantu perkembangan ekonomi negara.


“F1 memang diakui sebuah sukan yang mahal, tetapi sukan ini telah banyak menyumbang kepada ekonomi Malaysia terutamanya dalam sektor pelancongan. Malah, penganjuran di negara ini turut mempromosi nama Malaysia di pentas dunia,” katanya dalam temu bual bersama Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jika hendak dibuat perbandi­ngan, sukan permotoran yang masih setahun jagung itu tidak la­yak untuk dijadikan pesaing de­ngan F1 yang telah bertapak kukuh di negara ini sejak berbelas-belas tahun lalu dan puluhan tahun di pe­ringkat antarabangsa.

Malah, FI memiliki peminat tegar yang sentiasa mengikuti perkembangan sukan tersebut, sama ada mengenai jentera baharu yang digunakan pada setiap musim ataupun barisan pemandu yang sememang­nya cukup popular dan glamour.


Jika benar desas-desus yang diperkatakan, maka kerajaan sebagai penganjur utama Grand Prix F1 Malaysia perlu membuat pertimbangan bijak agar pilihan yang dibuat kelak tidak merugikan mana-mana pihak sekalipun.

Tidak salah jika kedua-dua sukan permotoran itu sama-sama dianjurkan di negara ini, namun janganlah F1 yang telah cukup lama bertapak di Malaysia dijadikan galang ganti kerana langkah tersebut dilihat kurang tepat untuk SIC yang telah membuktikan kecemerlangan mereka sebagai tuan rumah.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: