Sabtu, Januari 17, 2015

AirAsia disenarai sebagai salah satu syarikat penerbangan paling berbahaya?


KUALA LUMPUR - Berikutan nahas pesawat QZ8501 yang terhempas dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura pada 28 Disember lalu, Kumpulan AirAsia kini dirundum pelbagai persepsi negatif.

Sebuah laman sesawang keselamatan penerbangan, AirlineRatings telah mengeluarkan senarai terbaru yang dikemaskini pada 6 Januari. Senarai berkenaan memetik AirAsia Indonesia dalam ketegori penerbangan antara paling berbahaya di dunia.

Walaubagaimanapun, satu lagi syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines (MAS) tidak tergolong dalam kategori tersebut waima mengalami tahun yang sukar pada 2014.


MAS mendapat lima dari tujuh bintang untuk rekod keselamatan berbanding tiga anak syarikat Kumpulan AirAsia yang diberi purata markah rendah.

AirAsia Malaysia dan AirAsia Zest Filipina menerima penarafan tiga bintang, manakala AirAsia Indonesia hanya diberikan dua daripada tujuh bintang.


Berdasarkan jumlah bintang yang diterima, Kumpulan AirAsia berada dalam kategori syarikat penerbangan paling berbahaya di dunia.

Tambahan pula, insiden pesawat milik AirAsia Indonesia yang terhempas di Laut Jawa pada penghujung tahun lalu antara punca tahap keselamatan syarikat penerbangan tersebut diragui.

Nahas QZ8501 adalah tragedi yang melibatkan kematian pertama bagi kumpulan penerbangan yang mempunyai anak syarikat hampir di kesemua negara di Asia Tenggara.

Lima syarikat penerbangan yang menduduki senarai paling corot dengan menerima hanya satu bintang ialah Nepal Airlines (Nepal), Tara Air (Nepal), Kam Air (Afghanistan), SCAT Airlines (Kazakhstan) dan Lion Air (Indonesia).


Kesemua syarikat penerbangan terbabit telah diharamkan untuk terbang di ruang udara Kesatuan Eropah.

AirlineRatings dilancarkan pada bulan Jun 2013, hasil inisiatif bersama antara pihak berkuasa Australia Barat dan Aerospace Technical Publications International.

Sistem penarafan adalah berdasarkan kepada audit daripada badan-badan kerajaan dan industri, serta rekod kematian yang melibatkan sebuah syarikat penerbangan.

Suara Politik
Belantan

Tiada ulasan: